Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Belajar budi bahasa dan adab
Berbudi bahasa bukanlah sesuatu yang hanya diajar melalui nasihat. Anak belajar adab dengan melihat bagaimana ibu bapa bercakap, melayan orang, meminta maaf, menghormati orang tua dan mengawal diri. Apa yang mereka lihat berulang kali di rumah, itulah yang perlahan-lahan menjadi akhlak mereka.
Ini di antara cara membina anak yang berbudi bahasa:
1. Sambut anak setiap kali dia pulang.
Apabila anak masuk melalui pintu, sambutlah dengan senyuman, salam, pelukan atau sapaan yang lembut. Perkara kecil ini membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi. Sehingga dia merasakan rumahnya menjadi tempat yang penuh dengan rasa selamat dan kasih sayang.
2. Tunjukkan tutur kata yang baik kepada orang lain.
Bercakaplah dengan sopan kepada jiran, saudara dan orang di sekeliling. Elakkan bercakap buruk atau menghina orang lain di hadapan anak.
Anak mungkin tidak memberi komen, tetapi mereka sedang memerhati dan mengingati. Kerana akhlak ibu bapa menjadi contoh yang paling dekat dengan mereka.
3. Bawalah anak ketika menziarahi atau menghubungi ibu bapa anda.
Biarkan anak melihat bagaimana anda bertanya khabar, membantu dan menghormati datuk serta nenek mereka. Apabila anak melihat anda menghormati orang tua, mereka belajar bahawa menghormati ibu bapa bukan sekadar arahan, tetapi satu cara hidup.
4. Minta maaf apabila anda bersalah.
Jangan takut untuk berkata, “Ayah minta maaf, tadi ayah tersilap.”
Permohonan maaf tidak menjatuhkan maruah ibu bapa. Sebaliknya, ia mengajar anak tentang rendah hati, kejujuran dan keberanian mengakui kesalahan. Anak juga akan belajar bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang tidak pernah salah, tetapi orang yang berani memperbaiki kesalahannya.
5. Bacalah sesuatu bersama anak setiap hari.
Walaupun hanya lima minit sebelum tidur, jadikan membaca sebagai rutin. Selain menambah ilmu dan kosa kata, masa ini membina hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak. Suatu hari nanti, mungkin bukan isi buku yang paling mereka ingat, tetapi kenangan duduk bersama ibu atau ayah sebelum tidur itu yang ia paling ingat.
6. Mulakan dan akhiri hari dengan kehangatan dan doa bersama.
Mulakan pagi dengan salam, senyuman dan kata-kata yang baik. Sebelum tidur, luangkan sedikit masa untuk berdoa bersama. Dengan itu anak akan belajar bahawa kasih sayang, syukur dan pergantungan kepada Allah adalah sebahagian daripada kehidupan keluarga.
7. Belajarlah melupakan kesalahan kecil anak.
Tidak semua kesalahan anak perlu ditegur. Ada perkara yang cukup sekadar diberi panduan, kemudian dibiarkan berlalu.
Jika setiap kesalahan kecil dikomen dan dibesarkan, anak mungkin berasa sentiasa diperhatikan dan takut untuk melakukan kesilapan. Pilih perkara yang benar-benar perlu untuk diperbetulkan, bukan semua kesalahan.
Penutup
Anak yang berbudi bahasa tidak terbentuk dalam sehari. Ia dibina melalui contoh yang dilihat setiap hari, kata-kata yang didengar dan layanan yang mereka rasakan di rumah.
Jangan hanya berkata kepada anak, “Jadilah anak yang baik.”
Sebaliknya tunjukkan kepada mereka bagaimana menjadi manusia yang baik.
Kerana akhirnya, anak mungkin lupa banyak nasihat yang kita berikan, tetapi mereka sukar melupakan cara kita melayan mereka dan cara kita melayan orang lain.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek.
29/8/26
Ulasan
Catat Ulasan