Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Bila beristighfar
Bila kita beristighfar, apa yang sebenarnya yang kita minta dari Allah? Adakah minta ampun sahaja?
Apabila kita beristighfar (“Astaghfirullah”), hakikatnya kita sedang meminta beberapa perkara besar daripada Allah:
1. Memohon Allah ampunkan dosa kita
Ini makna paling asas istighfar — kita mengaku ber salah dan memohon keampunan.
“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah An-Nisa’ 4:110)
Iaitu kita memohon ampun kepada Allah atas setiap dosa yang kita lakukan.
2. Memohon Allah tutup aib dan keburukan dosa kita
Perkataan maghfirah berasal daripada akar kata yang membawa makna menutup / melindungi. Ulama menjelas kan bahawa bila kita meminta ampun, kita juga meminta agar Allah menutup aib dosa kita dan tidak membuka keburukan kita di dunia dan akhirat.
3. Memohon Allah lindungi kita daripada kesan dan hukuman akibat dosa
Bukan sekadar “hapus rekod dosa”, tetapi kita mohon supaya Allah jauhkan akibat buruk dosa itu ke atas hati, hidup, dan akhirat kita.
Apa akibat atau kesan dari dosa?
Dosa bukan sekadar kesalahan yang dicatat, tetapi ia memberi kesan besar kepada hati, kehidupan, dan nasib seseorang di akhirat.
Antara akibat buruk dosa ialah:
a) Menghitamkan dan mengeraskan hati
Setiap kali seseorang berdosa tanpa taubat, hatinya menjadi semakin gelap sehingga sukar menerima nasihat dan kebenaran.
“Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka usahakan itu telah menutupi hati mereka.” (Surah Al-Mutaffifin: 14)
b) Menjauhkan diri daripada Allah
Dosa menjadi penghalang antara hamba dengan Tuhan- nya. Seseorang mungkin masih beribadah, tetapi tidak lagi merasai kemanisan iman.
c) Menghilangkan keberkatan hidup
Rezeki, masa, ilmu, keluarga, dan ketenangan boleh hilang keberkatannya akibat maksiat.
Sebahagian salaf berkata:
“Sesungguhnya aku melihat kesan dosaku pada akhlak isteriku dan tungganganku.”
d) Menyebabkan hati gelisah dan tidak tenang
Walaupun seseorang memiliki nikmat dunia, dosa boleh menyebab kan jiwa sentiasa resah, sempit, dan tidak bahagia.
“Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit.”
(Surah Taha: 124)
e) Menjadi sebab terhalang nya doa
Dosa boleh menghalang doa daripada dimakbulkan, terutama jika seseorang terus bermaksiat tanpa bertaubat.
f) Mengundang bala dan musibah
Sebahagian musibah berlaku sebagai peringatan atau akibat dosa manusia.
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh apa yang tangan kamu usahakan.” (Surah Ash-Shura: 30)
g) Memudahkan melakukan dosa lain
Satu dosa yang tidak ditaubati sering membuka pintu kepada dosa-dosa seterusnya. Maksiat melahir kan maksiat.
h) Menghinakan pelaku dosa
Walaupun manusia mungkin melihatnya hebat, dosa akhirnya menjatuhkan maruah seseorang di sisi Allah dan manusia.
i) Membawa azab kubur dan azab akhirat
Jika tidak diampuni, dosa boleh menjadi sebab azab di alam barzakh dan neraka.
“Dan takutlah kamu akan api neraka yang disediakan untuk orang-orang kafir.”
(Surah Ali ‘Imran: 131)
4. Memohon Allah bersihkan hati dan perbaiki diri kita
Istighfar ialah tanda taubat dan kembali kepada Allah.
“Dan mereka yang apabila melakukan dosa atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka...”
( Surah Ali ‘Imran 3:135)
Kesimpulan
Bila kita beristighfar, sebenarnya kita berkata dalam hati:
“Ya Allah, aku berdosa. Ampunilah aku, tutuplah aibku, hapuskan kesan dosaku, dan jangan hukum aku kerananya.”
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Ulasan
Catat Ulasan