Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,
HADITH #01
ALLAH MENJAWAB UCAPAN KITA DALAM SOLAT
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda,
”ALLAH berfirman: Aku membahagi solat antara diriku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian. Hamba-Ku akan mendapatkan apa-apa yang dia minta. Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi ALLAH Tuhan semesta alam.’ (Surah al-Fatihah: 2), ALLAH berfirman: Hamba-Ku sedang memuji-Ku. Apabila dia berkata, ‘Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.’ (Surah al-Fatihah:3), ALLAH berfirman: Hamba-Ku sedang menyanjung-Ku. Apabila dia berkata, ‘’Raja Hari Pembalasan.’ (Surah al-Fatihah: 4), ALLAH berfirman: Hamba-Ku sedang memuliakan-Ku. Apabila dia berkata, ‘Hanya kepada-Mu aku menyembah, hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.’ (Surah al-Fatihah: 5), ALLAH berfirman: Ini adalah (perjanjian) antara diri-Ku dan hamba-Ku. Hamba-Ku akan mendapatkan apa-apa yang dia minta. Apabila dia berkata, ‘Tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan orang-orang yang tersesat.’ (Surah al-Fatihah: 6-7), ALLAH berfirman: Ini milik hamba-Ku. Hamba-Ku akan mendapatkan apa-apa yang dimintanya.”
[HR Ahmad (2:241), Muslim dalam Kitab al-Salah (395), Abu Daud dalam kitab al-Salah (821), al-Tirmidzi dalam kitab al-Tafsir (2953), al-Nasai dalam kitab al-Iftitah (910), Ibnu Majah dalam kitab al-Adab (3784)]
HADITH #02
JAGA ADAB KEPADA ALLAH SETIAP MASA
Maksud hadith:-
Daropada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH berfirman: Anak Adam mendustakan-Ku padahal dia tidak patut melakukannya. Dia turut memaki diri-Ku padahal dia tidak patut melakukannya. Dia mendustakan-Ku apabila dia berkata, ‘ALLAH tidak akan membangkitkanku sebagaimana ALLAH telah menciptakanku pertama kali.’ Padahal penciptaan yang pertama tidak lebih mudah ke atas diri-Ku berbanding menghidupkannya semula. Dia memaki diri-Ku apabila dia berkata, ‘ALLAH memiliki anak.’ Padahal Aku adalah tumpuan makhluk, Aku tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, tiada satupun yang serupa dengan-Ku.””
[HR al-Bukhari. Sahih Bukhari dalam kitab al-Tafsir (4482)]
HADITH #03
SEMUANYA KETENTUAN ALLAH
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH berfirman: Anak Adam telah menyakiti-Ku. dia mencela masa, padahal Aku adalah masa. Di tangan-Ku semua urusan. Aku yang membolak-balikkan malam dan siang.”
[HR al-Bukhari dan Ahmad. Sahih Al-Bukhari dalam kitab al-Tafsir (4826), Muslim dalam kitab al-Adab (2246)]
HADITH #04
MENYEMBAH ALLAH DENGAN MEMBANTU HAMBA-NYA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH akan berfirman pada hari Kiamat: Wahai anak Adam, Aku sakit namun engkau tidak menziarahi-Ku. Manusia berkata, ‘Wahai Tuhan, bagaimana aku menziarahi-Mu padahal Engkau adalah Tuhan semesta alam?’ ALLAH berfirman: Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si fulan sakit namun engkau tidak menziarahinya, nescaya engkau akan mendapati-Ku di sisinya? Wahai anak Adam, Aku meminta makan daripadamu namun engkau tidak memberi-Ku makan. Manusia berkata, ‘Bagaimana aku memberi-Mu makanan padahal Engkau adalah Tuhan semesta alam?’ ALLAH berfirman: Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si fulan meminta makanan kepadamu namun engkau tidak memberinya makan? Tidakkah engkau ketahui bahawa sekiranya engkau memberinya makanan, nescaya engkau akan mendapati balasannya di sisi-Ku? Wahai anak Adam, Aku meminta minum kepadamu namun engkau tidak memberi-Ku minum. Manusia berkata, ‘Bagaimana aku memberi-Mu minum padahal Engkau adalah Tuhan semesta alam?’ ALLAH berfirman: Tidakkah engkau mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si fulan meminta minum kepadamu namun engkau tidak memberinya? Tidakkah engkau ketahui bahawa sekiranya engkau memberinya minum, nescaya engkau akan mendapati balasannya di sisi-Ku?”
[HR Muslim. Sahih Muslim dalam kitab al-Bir wa al-Silah (2569)]
HADITH #05
GANJARAN KEHILANGAN MATA
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه , aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH berfirman: Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan (mengambil) kedua-dua kesayangannya, lalu ia bersabar, maka Aku akan menggantikan kedua-duanya dengan balasan Syurga. – Maksudnya adalah kedua-dua matanya.”
[HR Ahmad (3: 144) dan al-Bukhari dalam kitab al-Marda (5653)]
HADITH #06
BAGAI CUTI BERGAJI
Maksud hadith:-
Daripada Syaddad bin Aws رضي الله عنه berkata, aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH berfirman: Apabila Aku menguji seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu dia memuji-Ku dan bersabar ke atas ujian-Ku, maka dia akan bangkit daripada katilnya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya (bersih) daripada dosa. Tuhan turut bertitah kepada para malaikat penulis amalan: Aku yang telah mengikat dan menimpakan musibah kepada hamba-Ku ini, justeru tuliskanlah pahala yang biasa kamu tuliskan baginya ketika mana dia sihat.”
[HR Ahmad (4:123). Status kedudukan hadith ini lemah kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Rasyid bin Dawud al-San’ani. Beliau dilemahkan oleh al-Bukhari, al-Duruqutni dan lain-lain. Kandungan hadith ini bagaimanapun disokong oleh beberapa hadith sahih]
HADITH #07
GANJARAN DEMAM
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah menziarahi orang sakit. Baginda ﷺ lalu bersabda,
“Bergembiralah. Sesungguhnya ALLAH berfirman: (Demam) ini adalah api-Ku yang aku timpakan kepada hamba-Ku yang beriman di dunia agar menjadi penawar baginya untuk api neraka di hari Kiamat.”
[HR Ahmad (2:440), Ibnu Majah dalam kitab al-Tib (3470), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9844). Kedudukan hadith ini lemah kerana dalam sanadnya terdapat Abdul Rahman bin Yazid bin Tamim al-Sulami. Beliau disepakati lemah oleh ahli hadith. Sesetengah riwayat menyebutkan Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir sebagai ganti perawi ini, namun riwayat tersebut silap.]
HADITH #08
KESEMPITAN REZEKI MENG- HAPUS DOSA?
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Tuhan berfirman: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, tidaklah seseorang yang hendak Aku ampuni Aku keluarkan dari dunia melainkan selepas Aku gugurkan semua dosa yang berada di tengkuknya dengan penyakit di tubuhnya dan kesempitan dalam rezekinya.”
[HR Razin. Al-Mundhiri mengatakan bahawa hadith ini tidak dijumpai sumbernya. Razin bin Mu’awiyah al-‘Abdari menulis sebuah kitab bertajuk Tajrid al-Sihah al-Sittah untuk menghimpun hadith-hadith Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa’i, dan Muwatta Malik. Beliau turut memasukkan hadith-hadith tambahan yang tidak dijumpai dalam kitab-kitab ini. Hadith-hadith tambahan itu kebanyakkannya munkar dan tidak dijumpai asalnya. Liat Siyar A’lam al-Nubala (39:197)]
HADITH #09
BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH
Maksud hadith:-
Datipada Wathilah: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda,
“اَللّهُ berfirman: Aku mengikuti sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Bersangkalah kepada-Ku apa sahaja yang dia kehendaki.”
[HR al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir (22:87) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4:240)]
HADITH #10
SYURGA YANG PENUH KEJUTAN
Maksud hadith:-
Daripafa Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat mata, didengar telinga dan terdetik dalam minda manusia.”
[HR Ahmad (2:438), al-Bukhari dalam Kitab Bad’ al-Khalq (3244), Muslim dalam Kitab al-Jannah wa Sifah Na’imiha (2844), al-Tirmidzi dalam Kitab al-Tafsir (3197), dan Ibnu Majah dalam Kitab al-Zuhd (4328)]
HADITH #11
REDHA KUNCI KEBAHAGIAAN
Maksud hadith:-
Daripada Abi Hind al-Darly رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Siapa yang tidak berpuas hati dengan ketentuan-Ku dan tidak bersabar ke atas ujian-Ku, sila dia mencari Tuhan selain-Ku.”
[HR al-Thabrani dalam al-Mu’am al-Kabir (22:320 No.807)]
HADITH #12
GANJARAN PUASA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.”
[HR al-Bukhari dalam Kitab al-Sawm {2:228) dan Muslim dalam Kitab al-Siyam (161)]
HADITH #13
PEMURAHNYA TUHAN KITA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Apabila seorang hamba-Ku berniat melakukan kebaikan namun dia tidak melakukannya, Aku menulis untuknya satu pahala. Jika dia melakukannya, maka Aku tuliskan untuknya 10 pahala hingga 700 kali ganda. Jika dia berniat melakukan keburukan namun tidak melakukannya, aku tidak menuliskan untuknya. Jika dia melakukannya, maka aku menuliskan untuknya satu dosa sahaja.”
[HR al-Bukhari dalam Kitab al-Tawhid (7501), Muslim dalam Kitab al-Iman (128), dan al-Tirmidzi dalam Kitab al-Tafsir (3073)]
HADITH #14
PERJUMPAAN DENGAN ALLAH
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Jika seorang hamba-Ku suka berjumpa dengan-Ku, Aku pun suka berjumpa dengannya. Jika dia tidak suka berjumpa dengan-Ku, maka Aku pun tidak suka berjumpa dengannya.”
[HR Imam Malik (2:240), al-Bukhari dalam Kitab al-Tawhid (7504) dan al-Nasa’i dalam Kitab al-Jana’iz (1836)]
HADITH #15
HIDUP ADALAH PELUANG
Maksud hadith:-
Daripada Abu Dhar al-Ghifari رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ dalam perkara yang Baginda ﷺ riwayatkan daripada ALLAH,
“ALLAH SWT berfirman: Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku haramkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku jadikan sifat ini haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.
Wahai hamba-Ku, kamu semua tersesat kecuali yang Aku beri hidayah, justeru mintalah hidayah daripada-Ku, Aku akan memberimu hidayah.
Wahai hamba-Ku, kamu semua lapar melainkan yang Aku beri makan, justeru mintalah makanan daripada Aku, Aku akan memberimu makanan.
Wahai hamba-Ku, kamu semua telanjang melainkan yang Aku berikan pakaian, justeru mintalah pakaian daripada Aku, Aku akan memberimu pakaian.
Wahai hamba-Ku, kamu semua melakukan kesalahan di waktu malam dan siang, sedangkan Aku pengampun semua dosa, justeru mintalah keampunan daripada Aku, Aku akan mengampunimu.
Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak memiliki kemampuan untuk menyakiti-Ku dan tidak memiliki kemampuan untuk memberi keuntungan untuk-Ku.
Wahai hamba-Ku, seandainya kamu semua; yang terdahulu mahupun yang terkemudian, manusia mahupun jin, memiliki hati manusia yang paling bertaqwa sekalipun, perkara itu tidak akan menambah kerajaan-Ku sedikit pun.
Wahai hamba-Ku, sekiranya orang-orang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada jenis manusia mahupun jin, berdiri di satu tempat untuk meminta kepada-Ku, lalu aku berikan masing-masing daripada mereka permintaannya, maka yang demikian itu tidak akan mengurangkan kekayaan-Ku melainkan seperti jarum yang dicelupkan ke dalam lautan.
Wahai hamba-Ku, semua ini ialah amal perbuatanmu sendiri, Aku menghitungnya lalu membalasnya untukmu. Sesiapa yang mendapati kebaikan, hendaklah ia memuji ALLAH. Dan sesiapa yang mendapati selain daripada itu, janganlah mencela sesiapa melainkan diri sendiri.”
[HR Muslim dalam Kitab al-Bir wa al-Silah (2577)]
HADITH #16
RIYAK MENGHAPUS AMALAN
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Aku adalah pihak yang paling tidak memerlukan persekutuan. Siapa yang melakukan sesuatu amalan, lalu dia menyekutukan Aku dengan yang lain padanya, Aku akan meninggalkan dirinya dan persekutuan itu.”
[HR Muslim dalam Kitab al-Zuhd wa al-Riqaq (2985)]
HADITH #17
BERSEDEKAH JANGAN TUNGGU KAYA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Nafkahkanlah (hartamu), Aku akan memberi nafkah untukmu.”
[HR Ahmad (2:464, al-Bukhari dalam Kitab al-Tawhid (7495), dan Muslim dalam Kitab al-Zakah (993)]
HADITH #18
SEBARKAN KASIH SAYANG
Maksud hadith:-
Dafipada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Kasih sayang-Ku telah mendahului kemurkaan-Ku.”
[HR Muslim dalam Kitab al-Tawbah (7070)]
HADITH #19
ALLAH MENYAMBUT ORANG YANG BERTAUBAT
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Jika seorang hamba mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya satu batu. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
[HR al-Bukhari dalam Kitab al-Tawhid (7356)]
HADITH #20
MENYAMBUNG SILATURAHIM
Maksud hadith:-
Daripada Abdul Rahman bin Auf رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Aku adalah Yang Maha Pengasih. Aku menciptakan Rahim dan memberinya sebahagian daripada nama-Ku. Siapa yang menyambungnya, Aku akan menyambungnya. Siapa yang memutuskannya, Aku akan memutuskannya.”
[HR Ahmad (1:194), al-Bukhari dalam Kitab al-Adab al-Mufrad (53), Abu Daud dalam Kitab al-Zakah (1694), al-Tirmidzi dalam Kitab al-Bir wa al-silah (1907), dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4:157)]
HADITH #21
SIFAT SOMBONG KHAS MILIK TUHAN
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Kesombongan adalah selendang-Ku. Keagungan adalah sarung-Ku. Siapa yang merebut salah satunya daripada-Ku, Aku akan mencampaknya ke dalam neraka.”
[HR Ahmad (2:248), Abu Daud dalam Kitab al-Libas (4090, dan Ibnu Majah dalam Kitab al-Zakah (4174)]
HADITH #22
BERSEGERA DAN MENJADI YANG PERTAMA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling bersegera dalam berbuka.”
[HR Ahmad (2:237) dan al-Tirmidzi dalam Kitab al-Siyam (700). Dalam sanadnya terdapat seorang perawi lemah bernama Abdul Rahman bin Qurrah. Hadith ini tidak dijumpai dalam Ibnu Majah]
HADITH #23
KASIH SAYANG KERANA ALLAH
Maksud hadith:-
Daripada Muaz رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku akan mendapatkan mimbar daripada cahaya. Para nabi dan syuhada iri kepada mereka.”
[HR al-Tidmidzi dalam Kitab al-Zuhd (2390)]
HADITH #24
AMALAN YANG PALING DICINTAI
Maksud hadith:-
Daripada Abu Umamah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Ibadah yang paling Aku sukai untuk dilakukan oleh hamba-Ku adalah menunjukkan ketulusan hati kepada-Ku.”
[HR Ahmad (2:254) menerusi ‘Ubaydullah bin Zahr, daripada Ali bin Yazid, daripada Abu Umamah. Rangkaian sanad ini lemah di sisi ahli hadith]
HADITH #25
MEREKA YANG MENDAPAT CINTA ALLAH
Maksud hadith:-
Daripada Muaz رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Cinta kasih-Ku telah pasti untuk orang-orang yang saling mencintai kerana-Ku, yang saling bergaul kerana-Ku, saling memberi kerana-Ku, dan saling menziarahi kerana-Ku.”
[HR Ahmad (5:233), al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir (20:80 no. 150), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4:168) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8992]
HADITH #26
KERJA UNTUK TUHAN SELALU UNTUNG
Maksud hadith:-
Daripada Ibnu Umar رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Mana-mana hamba-Ku yang keluar berjihad di jalan-Ku kerana mengharapkan keredaan-Ku, Aku menjamin baginya bahawa jika Aku memulangkannya, maka ia akan pulang dengan membawa pahala dan ghanimah; dan jika Aku mencabut nyawanya, maka Aku akan mengampuninya, merahmatinya dan memasukkannya ke dalam Syurga.”
[HR Ahmad (2:117) dan al-Nasa’i dalam Kitab al-Jihad (3128)]
HADITH #27
SOLAT TIKET KE SYURGA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Qatadah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Aku telah mewajibkan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku telah menetapkan janji bahawa siapa yang menjaga solat-solat itu pada masa-masanya, Aku akan memasukkannya ke dalam Syurga. Dan siapa yang tidak menjaganya, maka ia tidak akan memiliki perjanjian di sisi-Ku.”
[HR Ibnu Majah dalam Kitab Iqamah al-Salah (1403) dengan sanad hasan]
HADITH #28
SABAR DAN SYUKUR
Maksud hadith:-
Drpd Abu al-Darda رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda, “ALLAH SWT berfirman kepada Nabi Isa a.s: Wahai Isa, Aku akan mengutus selepasmu satu umat yang jika mendapat kesukaan mereka memuji dan bersyukur, jika tertimpa keburukan mereka bersabar dan mengharap ganjaran. Merka tidak memiliki ketenangan dan ilmu.”
“Nabi Isa berkata: Wahai Tuhan, bagaimana mereka tidak memiliki ketenangan dan ilmu?”
“ALLAH SWT berfirman: Aku memberi mereka ketenangan dan ilmu-Ku.”
[HR Ahmad (6:450), al-Tabarani dalam al-Awsat (3380), dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4165)]
HADITH #29
KEAMPUNAN ALLAH TIADA SEMPADAN
Maksud hadith:-
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Siapa yang meyakini bahawa Aku berkuasa untuk mengampunkan dosanya maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli, selagimana ia tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu.”
[HR al-Tabrani dengan sanad yang sahih dan al-Hakim]
HADITH #30
JANGAN SUKA MENGELUH
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Jika Aku menimpakan musibah kepada seorang hamba yang mukmin, lalu dia tidak mengeluhkan-Ku kepada orang yang menziarahinya, Aku akan lepaskan ikatan-Ku, lalu Aku akan menggantikan untuknya daging yang lebih baik daripada dagingnya, darah yang lebih baik daripada darahnya, lalu dia akan memulakan amal yang baharu.”
[HR al-Hakim dengan sanad yang sahih dalam al-Mustarak (1:349) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9239)]
HADITH #31
ALLAH MAHA PENGAMPUN
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Wahai anak Adam, selagimana kamu menyeru dan mengharapkan-Ku, Aku akan ampunkan semua dosa yang pernah kamu lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai dosa-dosamu mencapai awan di langit sekalipun, lalu engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku pasti mengampunimu.
Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan dosa-dosa sepenuh bumi, lalu engkau menghadap-Ku tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu, maka Aku akan anugerahkan kepada kamu keampunan sepenuh bumi.”
[HR at-Tirmidzi dengan sanad yang sahih dalam Kitab al-Da’awat (3540)]
HADITH #32
NIKMAT TAAT
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Sekiranya hamba-hamba-Ku taat kepada-Ku, nescaya Aku akan menurunkan hujan untuk mereka pada waktu malam dan menerbitkan matahari pada waktu siang, dan Aku tidak akan memperdengarkan kepada mereka suara petir.”
[HR Imam Ahmad dengan sanad yang sahih (2:359) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4:256)]
HADITH #33
JAUHI SYIRIK, DOSA DIAMPUNI
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Aku adalah pihak yang paling layak untuk ditakuti, justeru tidak dijadikan Tuhan lain bersama-Ku. Siapa yang takut dan tidak menjadikan Tuhan lain bersama-Ku, maka Aku sangat layak untuk mengampuninya.”
[HR Imam Ahmad (3:142), at-Tirmidzi dalam Kitab al-Tafsir (3328), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11630), Ibnu Majah dalam Kitab al-Zuhd (4299), dan al-Hakim (2:508)]
HADITH #34
MULAKAN HARI DENGAN KETAATAN
Maksud hadith:-
Daripada Abu al-Darda رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman: Wahai anak Adam, solatlah untuk-Ku empat rakaat pada awal siang, maka Aku akan cukupkan untukmu pada hujung harinya.”
[HR at-Tirmidzi dengan sanad yang sahih dalam Kitab al-Salah (475)]
HADITH #35
HAKIKAT KEKAYAAN DAN KEFAKIRAN
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: Wahai anak Adam, luangkanlah masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi dadamu dengan kekayaan dan menutupi kefakiranmu. Jika engkau tidak melakukannya, Aku akan memenuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan, namun Aku tidak menutupi kefakiranmu.”
[HR Imam Ahmad (2:358), at-Tirmidzi dalam Sifah al-Qiyamah (2466), Ibnu Majah dalam Kitab al-Zuhd (4107) dan al-Hakim (2:443)]
HADITH #36
JANGAN BERTANGGUH JIKA MAMPU
Maksud hadith:-
Daripada Abu Sa’id رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: Seorang hamba yang Aku sihatkan tubuhnya dan Aku luaskan hartanya, berlalu ke atasnya 5 tahun namun tidak datang kepada-Ku (ibadah haji atau umrah), maka ia benar-benar merugi.”
[HR Abu Ya’la (1031) dan Ibnu Hibban (3703) dengan sanad yang sahih.]
HADITH #37
MUKMIN TIDAK PERNAH KESUNYIAN
Maksud hadith:-
Daropada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: Aku selalu bersama hamba-Ku selagimana dia mengikuti-Ku dan menggerakkan bibirnya kerana-Ku.”
[HR Imam Ahmad (2:540), Ibnu Majah dalam Kitab al-Adab (3792), dan al-Hakim (1:496)]
HADITH #38
KEMUNCAK KENIKMATAN SYURGA
Maksud hadith:-
Daripada Abu Sa’id رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“ALLAH SWT berfirman kepada ahli Syurga: Wahai ahli Syurga. Ahli Syurga menjawab: ‘Kami menyahutMu, wahai Tuhan kami.’ ALLAH berfirman: Adakah kamu telah puas hati? Mereka menjawab, ‘Bagaimana kami tidak berpuas hati? Engkau telah memberi kami sesuatu yang tidak pernah Engkau berikan kepada satu orang pun makhluk-Mu.’ ALLAH berfirman: Mahukah kamu Aku berikan yang lebih baik daripada itu? Mereka menjawab, ‘Wahai Tuhan, apa yang lebih baik daripada itu?’ ALLAH berfirman: Aku turunkan kepadamu keredhaan-Ku, selepas ini Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya.”
[HR Imam Ahmad (3:88), al-Bukhari dalam al-Tawhid (8:205), Muslim dalam al-Jannah wa Na’imuha (2829) dan at-Tirmidzi dalam Sifah al-Jannah (2555)]
HADITH #39
PENYESALAN AHLI NERAKA
Maksud hadith:-
Daripada Anas رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman kepada ahli neraka yang paling ringan seksaannya: Sekiranya engkau memiliki semua yang berada di atas dunia, adakah engkau bersedia menyerahkannya untuk menebus dirimu? Orang itu menjawab, ‘Ya.’ ALLAH berfirman: Aku pernah meminta yang lebih ringan daripada itu apabila engkau berada dalam sulbi Adam, iaitu jangan mensekutukan diri-Ku, namun engkau menolak dan memilih syirik.”
[HR al-Bukhari dalam Bad’ al-Khalq (4:104), dan Muslim dalam Sifah al-Munafiqin (3805)]
HADITH #40
BERCINTALAH KERANA ALLAH
Maksud hadith:-
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman pada hari Kiamat: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana-Ku? Pada hari ini, aku akan menaungi mereka di bawah naungan-Ku ketika mana tiada naungan melainkan naungan-Ku.”
[HR Imam Ahmad (2:237) dan Muslim dalam al-Bir wa al-Silah (1566)]
Semoga bermenafaat.
Dari blog Hj. Syarib's Travel Log
Padang Jawa.
5/1/25
Ulasan
Catat Ulasan