Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Mengumpul pahala
Rumah bukan sekadar tempat kita berehat dan berkumpul bersama keluarga. Rumah juga boleh menjadi tempat kita mengumpul pahala dan mendidik keluarga dengan sunnah Rasulullah ﷺ.
Tidak perlu menunggu mampu melakukan perkara besar. Mulakan dengan amalan kecil yang dilakukan secara konsisten:
1. Memberi salam ketika masuk rumah.
Ucapkan “Assalamualaikum” kepada ahli keluarga apabila masuk ke dalam rumah.
2. Membaca Bismillah sebelum makan dan minum.
Dan makan dengan tangan kanan juga mengambil makanan yang berada di hadapan.
3. Membaca doa sebelum tidur.
Biasakan membaca doa dan zikir sebelum melelapkan mata.
4. Solat sunat di rumah.
Hidupkan rumah dengan solat-solat sunat sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah ﷺ.
Antara solat sunat yang boleh dan dianjurkan dilakukan di rumah ialah:
i) Solat sunat Rawatib – sebelum atau selepas solat fardu.
ii) Solat sunat Tahajud – dilakukan pada waktu malam selepas tidur.
iii) Solat sunat Witir – sebagai penutup solat malam.
iv) Solat sunat Dhuha – dilakukan selepas matahari naik hingga sebelum Zohor.
v) Solat sunat Mutlak – solat sunat yang dilakukan tanpa sebab khusus, pada waktu yang dibenarkan.
5. Membaca al-Quran setiap hari.
Walaupun hanya beberapa ayat, yang penting terus istiqamah.
6. Memperbanyakkan zikir dan istighfar.
Jadikan rumah tempat lidah sentiasa mengingati Allah.
Antara zikir pagi dan petang yang sahih daripada sunnah ialah:
i) Ayat Kursi — Surah al-Baqarah (2:255) 1 kali.
ii) Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas — 3 kali setiap satu.
iii) Sayyidul Istighfar — 1 kali:
7. Membantu pekerjaan rumah.
Rasulullah ﷺ membantu urusan keluarganya. Ini menunjukkan kelembutan dan akhlak yang mulia.
8. Menggunakan siwak atau berus gigi dan menjaga kebersihan mulut.
Memberus gigi merupakan antara sunnah yang sangat dianjurkan teutama sebelum solat.
9. Membaca doa ketika keluar dan masuk rumah.
Biasakan setiap perjalanan dimulakan dan diakhiri dengan mengingati Allah.
10. Mengajar dan mengingat kan keluarga tentang agama.
Luangkan masa membaca al-Quran, hadis atau memberi nasihat di dalam rumah dengan cara yang baik.
Penutup
Jangan meremehkan amalan yang kecil. Mungkin satu salam, satu zikir, satu ayat al-Quran atau satu sunnah yang kita hidupkan di rumah menjadi sebab turunnya keberkatan kepada seluruh keluarga.
Hidupkan sunnah di rumah, supaya rumah kita bukan hanya tempat tinggal, tetapi menjadi tempat tumbuhnya iman, akhlak dan kasih sayang kerana Allah.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek
9/9/26
Ulasan
Catat Ulasan