Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Ketenangan hati
Dalam Surah Ar-Ra'd ayat 28, Allah SWT berfirman:
"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."
Ayat ini menunjukkan bahawa ketenangan hati bukan datang daripada harta, pangkat atau kesenangan dunia, tetapi daripada zikrullah (mengingati Allah).
Bagaimanakah cara mengingati Allah?
Mengingati Allah itu bukan sekadar menyebut nama-Nya dengan lidah, tetapi melibat kan hati, lisan dan perbuatan.
Iaitu:
1. Mengingati Allah dengan hati (qalbu)
Iaitu menghayati kebesaran Allah, mengakui bahawa Allah sentiasa melihat kita, bertawakal kepada-Nya, bersangka baik kepada-Nya dan redha dengan ketentuan-Nya.
Allah berfirman:
"Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring, serta mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi..."
(Surah Ali 'Imran 3:191)
Ayat ini menunjukkan bahawa mengingati Allah juga dilakukan melalui tafakur terhadap ciptaan-Nya.
2. Memuji dan membesarkan Allah dengan lidah
Ini termasuk membaca tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, doa dan membaca al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda:
"Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang hidup dengan orang mati."
(Hadis riwayat Sahih al-Bukhari)
Baginda juga bersabda:
"Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan mengingati Allah."
(Hadis riwayat Jami' al-Tirmidhi)
3. Mengingati Allah dengan cara amal
Zikir yang sebenar melahir kan ketaatan. Seseorang yang benar-benar mengingati Allah akan menjaga solat, berlaku jujur, menunaikan amanah dan meninggalkan maksiat.
Allah berfirman:
"Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."
(Surah Taha 20:14)
Ini menunjukkan bahawa solat merupakan antara bentuk zikir yang paling agung untuk mengingati Allah .
Mengapa zikir menenangkan hati?
Kerana,
1) Zikir menguatkan keyakinan kepada Allah.
Apabila seseorang menyebut Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, La ilaha illallah, atau membaca al-Quran, dia mengingat bahawa segala urusan berada dalam kekuasaan Allah. Kebimbangan terhadap masa depan berkurang kerana dia bertawakal kepada-Nya.
2) Zikir menghilangkan kelalaian hati.
Hati yang lalai mudah dipenuhi rasa takut, gelisah, hasad dan kecewa. Zikir membersihkan hati daripada penyakit-penyakit ini lalu menggantikannya dengan ketenangan dan redba.
3) Zikir menghidupkan hubungan dengan Allah.
Apabila seseorang mengingati Allah, Allah juga mengingatinya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah: 152,
Tiada kemuliaan yang lebih besar daripada seorang hamba diingati oleh Tuhannya.
4) Zikir menanam sifat redha dan sabar.
Orang yang banyak berzikir lebih mudah jika terkena ujian kerana dia yakin setiap musibah mempunyai hikmah dan ganjaran di sisi Allah.
5) Zikir mengurangkan gangguan syaitan.
Syaitan sentiasa berusaha menimbulkan waswas, ketakutan dan kesedihan. Zikir menjadi benteng yang melindungi hati daripada gangguannya.
6) Zikir mengingatkan tujuan hidup.
Apabila hati sentiasa mengingati Allah, seseorang tidak terlalu terikat kepada dunia. Dia sedar bahawa kehidupan akhirat lebih kekal, lalu hatinya menjadi lebih tenang menghadapi kehilangan dan kesusahan.
Bagaimanakah cara berzikir yang menenangkan hati?
a) Berzikir dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar di bibir.
b) Memahami makna zikir yang dibaca.
c) Menghayati kebesaran, rahmat dan kekuasaan Allah.
d) Berzikir secara berterusan, sama ada selepas solat, ketika berjalan, memandu atau sebelum tidur.
e) Membaca al-Quran kerana al-Quran juga merupakan zikir yang paling agung.
Menurut tafsir Ibn Kathir, ayat ini menunjukkan bahawa hati orang beriman hanya benar-benar tenteram apabila mengingati Allah, kerana hanya Allah yang mampu menghilangkan kegelisahan.
Al-Tabari pula menjelaskan bahawa ketenangan itu lahir daripada keyakinan terhadap janji dan pertolongan Allah.
Tafsir oleh :
Ibn Kathir
Al Qurtubi
At Tabari
As Sa'di
Kesimpulan
"Mengingati Allah" dalam ayat ini merangkumi seluruh kehidupan seorang mukmin.
Lidahnya berzikir, hatinya sentiasa sedar akan kehadiran Allah, fikirannya merenungi kebesaran-Nya, dan anggota badannya melaksanakan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Inilah zikir yang sempurna menurut al-Quran dan sunnah.
Apabila zikir menjadi cara hidup, maka janji Allah dalam Surah Ar-Ra'd ayat 28 akan menjadi kenyataan: hati akan memperoleh ketenangan yang hakiki, walaupun berhadapan dengan ujian, kerana sandarannya ialah Allah SWT.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek
2/7/26
Ulasan
Catat Ulasan