Langkau ke kandungan utama

121) APA BUKTI AL QURAN ITU DARI ALLAH?

Bismillah.
Assalamu'alaikum ,


          Musyrikin Mekah tidak mahu menerima risalah al quran yang dibawa oleh  nabi Muhammad s.a.w kepada mereka. Mereka menuduh nabi dengan bermacam-macam hal. Ahli sihir, mereka-reka kitab baharu , mencedok dari kitab Injil, orang gila dan sebagainya. Tetapi Allah sendiri  menjawab tuduhan mereka itu di dalam  surah Yunus:37 ini,
         Dalam ayat ini Allah menafikan bahawa al quran itu direka-reka oleh nabi Muhammad sa.w.

        Bahkan, al quran itu satu kitab yang membenarkan kitab-kitab sebelumnya iaitu Taurat dan  Injil.  Al quran tidak bercanggah dengan dua kitab tersebut, bahkan  kitab tersebut juga ada menceritakan tentang turunnya al quran dan nabi terakhir. Bermakna ia saling kuat menguatkan atau membenarkan antara satu sama yang lain.

         Antara lain  fungsi al quran itu diturunkan  kepada nabi, termasuk  menceritakan  mengenai nabi-nabi sebelumnya seperti nabi Adam , Musa dan Isa  dalam quran. Dan kisah-kisah itu juga ada dalam kitab-kitab  dahulu.

      Jika nabi Muhammad  me reka quran, bagaimana beliau  tahu kisah-kisah ribuan tahun dahulu itu? Tak mungkin, sebab nabi sendiri buta huruf dan nabi tidak pergi ke mana-mana. 

         Dalam quran ada kisah nabi dahulu dan hal akan datang.  Tak mungkin nabi tahu kisah ribuan tahun dahulu dan hal-hal akan datang. Dan  ada cerita alam ghaib , alam kubur,   àkhiràt dan sebagainya. Tak mungkin nabi tahu hal-hal yang ghaib itu kecuali diberitahu oleh Allah. 


Makna tafsilal kitab

         Allah kata lagi bahawa fungsi al quran ialah  sebagai tafsilal /penjelasan kepada kitab iaitu menghuraikan  hukum -hakam, ibadat, puasa , solat dan lain-lain. Juga menghuraikan tentang akidah. Siapa Allah, nama-nama Allah, sifat Allah , kebesaran Allah dan sebagainya. Juga mengenai cerita-cerita ghaib seperti syurga, neraka dan akhirat. 

        Sebab itu kalau kita nak kenal Allah maka  mesti tadabbur al quran. Nak tahu beza dunia dengan akhirat kena faham al quran . Sebab itu siapa yang tak faham al quran,  ia tak kenal dunia dan tak kenal akhirat.  Dan siapa yang tak kenal akhirat akan tertipu dengan dunia.

        Ada juga ulama mengatakan tafsilal kitab maksudnya quran menjelaskan mengenai kitab-kitab dahulu. Tafsil juga bermaksud quran itu jelas (tibyan). Tidak ada yang samar-samar. Kerana quran itu petunjuk kepada semua orang termasuk orang kafir, maka ia tentu jelas lagi senang difahami.

         Dan isi kandungan al quran tidak ada sebarang  keraguan atau kecacatan padanya. Tiada dalam al quran satu hukuman yang tidak adil. Tiada ayat yang tak seimbang dan sebagainya.  Ia sesuai untuk semua manusia, termasuk orang kafir. 

         Al quran  turun dari tuhan rabbil 'alamin.  Apa maksud alamin? Iaitu semua selain Allah itu adalah alam. Dan ia menjadi tanda atau bukti kewujudan dan  kehebatan  Pencipta. Tapi hanya ulul albab sahaja yang merasakan kehebatan Allah itu. 


Bukti kita tak ragu

        Adakah kita percaya al quran itu tiada keraguan padanya?  Paling berkat, paling adil dan sebagainya? Tanda kita tidak ragu ialah kita tadabbur setiap ayat dan ambil pengajaran darinya.  Iaitu kita baca, fahamkan dan amalkan dalam hidup kita serta jadikan panduan dari pagi sampai malam . Tapi kalau dalam hidup kita tak ikut al quran tapi  ikut nafsu,   ikut undang-undang manusia, quran dibuat sekadar bahan bacaan,  sebenarnya hati kita penuh keraguan kepada  al quran.  

       Seperti Allah khabarkan dalam al Isra:9,

         Bahkan Allah kata dalam ayat di atas, al quran itu petunjuk yang aqwam. Ahli tafsir  mengatakan maksud aqwam itu ialah yang paling lurus ,paling bijak,  paling mulia dan sebagainya.  Iaitu kalau nak jadi paling bijak, paling mulia, paling lurus dan sebagainya ialah dengan mengikut al quran . Selagi tak ikut al quran maka selagi itulah tidak dapat aqwam.


Mulia kerana al quran

    Sebab itulah nabi jadi manusia paling mulia kerana al quran,  Mekah jadi tempat yang mulia sebab ia tempat turun al quran, bulan ramadhan bulan yang mulia sebab bulan turunnya al quran dan lailatul qadar mulia sebab ia waktu alquran diturunkan.  Dan manusia yang paling baik ialah yang belajar dan mengajarkan al quran.  Seperti kata nabi,

"Sebaik-baik orang di antara kalian adalah yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari) [HR. Bukhari, no. 5027]

       Jadi,  sesiapa yang tak ikut al quran, ia takkan jadi yang terbaik.


Cabaran dari Allah


       Bila musyrikin mengatakan al quran itu direka oleh nabi Muhammad , maka Allah jawab dalam surah Yunus:38,

       Kalau benar al quran  itu direka oleh nabi, maka Allah suruh nabi cabar mereka supaya  membuat satu surah  yang sama macam al quran.  Nabi berbangsa arab dan berbahasa arab,  sama seperti mereka juga, maka jika benar nabi me reka al quran , maka logiknya mereka pun boleh buat seumpama al quran. Yang sama dari segi susunan, maksudnya yang mendalam dan ketidakjemuan membacanya.  Bawalah sebarang pembantu jika mereka orang yang benar. Nabi yakin mereka takkan mampu kerana nabi sendiri tidak mampu membuat al quran. Sebab nabi tahu ia dari Allah. Ternyata kaum musyrikin tak mampu membuatnya.


       Apa faedah cabaran nabi tersebut?  Iaitu cabaran itu   mematikan tuduhan mereka dan membungkam hujah mereka. Ini juga mengajar kita jika ada tuduhan maka jangan menuduh balik atau maki hamun balik.Tetapi berikan  hujah yang benar. 


         Sebenarnya bila mereka menolak al quran  , Allah boleh turunkan azab kepada mereka jika Allah mahu.  Tetapi kenapa Allah suruh nabi cabar mereka?  Kerana nabi itu membawa rahmat kepada manusia bukan menghukum. Nabi itu seorang pendakwah.  Iaitu berdakwah dengan memberi hujah.


Lagi cabaran Allah

        Cabaran Allah ini berlaku lagi di dalam surah al Baqarah:23,
        Dalam ayat ini Allah tanya kaum musyrikin Mekah yang ragu tentang al quran yang di turunkan kepada  hamba Nya. Kenapa Allah kata hamba Nya bukan Muhammad  atau rasul saja?  Ini kerana  Allah nak beritahu bahawa  nabi Muhammad s.a.w itu mulia kerana ia bersifat hamba kepada Allah. Semakin manusia  menghambakan diri  kepada Allah, ia semakin mulia. Sedangkan semakin manusia menghambakan diri  kepada manusia , ia semakin hina. Apa saja orang suruh dia buat. Itu merendahkan martabat manusia.


Hamba Allah

        Sebab itu  nabi solat malam hingga bengkak kaki kerana beliau mahu menjadi hamba Allah yang bersyukur lagi mulia. Bukan sebab lain. Kata nabi kepada Aishah,

: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur  ?.”

Riwayat al-Bukhari (4837

          Lalu, Allah cabar musyrikin Mekah supaya membuat satu surah yang seumpama al quran,  dan mintalah pakar-pakar bahasa mereka menolong. Dan Allah sambung lagi kataNya,
          Maka kata Allah bahawa selama-lamanya  mereka tak akan dapat membuat al quran. Jika begitu,  maka Allah suruh mereka takut kepada api neraka. Kenapa Allah tak kata , ikutlah al quran?  Apa maksud Allah supaya takutkan  neraka itu? 

        Maksud Allah itu ialah,  hendaklah mereka  percaya dan ikut al quran. Dan kesan jika tidak ikut al quran, iaitu mereka  akan  masuk neraka akibatnya. Dan Allah ingatkan lagi bahawa bahan bakar neraka itu  adalah manusia (yang kafir) dan batu-batan berhala. Maknanya orang kafir dan batu itu sama saja tarafnya. Dan bererti bahawa punca manusia itu dibakar adalah keràna kufur kepada Allah dan tidak ikut al quran.

      Walaupun ayat ini ditujukan kepada musyrikin Mekah tapi pengajarannya untuk semua manusia, bahkan  orang islam sendiri pun ada yang  ragu-ragu dengan isi al quran. Buktinya, orang Islam sendiri tidak baca dan fahamkan al quran. Kalau yakin al quran itu petunjuk kepada kita, kita pasti nak dapatkan petunjuk itu untuk diri kita. Iaitu dengan memahami dan amalkan al quran.  Kalau kita tak ikut quran, maknanya kita ragu-ragu dengan nya.  Ragu-ragu itu akhirnya membawa ke neraka.


 Punca orang kafir tolak quran    

         Apakah punca mereka menuduh nabi Muhammad s.a.w mereka-reka al quran?  Allah beritahu puncanya dalam ayat 39, Yunus ini,
       Kaum musyrikin sebenarnya tahu al quran itu benar  tetapi mereka tak mahu orang mengikut nabi, sebab itu mereka tuduh bermacam-macam. Bahkan Abu Jahal sendiri berkata bahawa Muhammad tidak pernah berdusta kepada manusia, tak mungkin ia berdusta kepada Tuhan.  Jadi kenapa mereka dustakan al quran?

         Dari ayat di atas, Allah beritahu sebab orang kafir mendustakan alquran yang di bawa nabi adalah kerana:

1 . Tidak mengetahui kandungan alquran 

         Allah kata dalam ayat ini bahawa musyrikin Mekah itu menolak al quran kerana  mereka belum mengetahui dengan sebenarnya kandungan al quran itu. Jika mereka tahu mereka pasti akan mengikut nabi.  Allah jelaskan lagi hal yang sama dalam An Nissa:82,
        Allah suruh kita tadabbur al quran.  Kerana  dengan tadabbur baru kita tahu kandungan nya. Allah kata , jika al quran itu datang dari selain Allah, pasti berlaku banyak percanggahan fakta di dalamnya. Dari segi akidah, dari segi kisah-kisah para nabi, hukum-hakam, langsung tidak ada percanggahan, sedangkan ia  ada 6000 lebih ayat tapi tidak ada  sebarang percanggahan. Itu bukti al quran itu turun dari Allah . Jadi, puncanya ialah mereka tidak memperhatikan kandungan al quran dengan sepenuhnya.


         Maka , ayat ini hendak mencela orang kafir dan munafik yang tidak mahu mentadabbur al quran.    Jika orang kafir pun Allah cela sebab tak tadabbur al quran,  maka kalau orang islam, lagi lah Allah cela.  Maknanya , salah lah kata ustaz yang mengatakan quran ini tak sesuai di tadabbur oleh orang biasa.  Tapi, lihat Allah cela siapa?  Orang kafir.

        Antara kafir dan orang islam mana yang lebih patut tadabbur al quran? Orang Islam sebab ia mengaku beriman. Tapi orang kafir pun Allah cela, maka orang islam lebih lagi Allah cela.


Bercanggah dengan nafsu

      Kenapa orang kafir dan munafik  tidak mahu tadabbur al quran?  Sebab kandungannya bercanggah dengan nafsu mereka.  Bila  mereka tadabbur al quran dan ikut al quran maka dia akan tinggalkan nafsu, pangkat,  jawatan, segala jahiliah dan semua maksiatnya,  maka akhirnya akan tunduk kepada Allah dan rasulNya. Dan jadi pengikut nabi. Sebab itu mereka tidak mahu tadabbur.

        Begitu juga ,  kenapa orang islam tak mahu tadabbur al quran? Sebab kalau tadabbur, mereka kena berubah. Sebab al quran  ada kata mengenai aurat, riba, rasuah, arak, mengenai makan harta orang ramai, semua ada. Jadi kalau dia tadabbur dia kena berubah. Daripada makan rasuah kena tinggal rasuah. Daripada makan riba, kena tinggal riba ,  daripada zina kena tinggal zina, dan lain-lain lagi. Itu yang dia tak mahu.  Daripada rebut kuasa kepada tinggal rebut kuasa dan berhenti politik. Sebab  mereka berpolitik nak kuasa atau nak supaya  al quran itu diikuti? Dan yang banyak rasuah, cakap lain buat lain, makan duit orang ramai, pecah amanah itu siapa ? Banyak orang politik. Itu tanda-tanda orang munafik. Jadi bila tadabbur al quran, semua itu kena tinggal. Al quran suruh tinggalkan.


Hukum tadabbur al quran.

        Ramai orang tidak mahu tadabbur al quran kerana  mereka tidak faham tujuan dan hukum tadabbur al quran. Hukumnya wajib sebab:

1. Secara logik.

       Kita wajib tunduk kepada Allah dan mentauhidkan Allah. Sedangkan al quran itu adalah petunjuk kepada orang yang mahu mentauhidkan Allah dan bertaqwa kepada Allah. Kaedah feqh mengatakan ,

 "Jika sesuatu itu wajib maka untuk sampai kepada tujuan itu menjadi wajib juga."
  
        Jadi jika alquran itu petunjuk kepada orang yang nak mentauhidkan Allah, maka tadabbur al quran menjadi wajib pula.

2.  Dalil hadis:

        Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " 
(Muslim)

         Oleh kerana quran  itu tali Allah kepada rahmatnya,  maka wajib kita tadabbur al quran untuk mendapat rahmat Allah. Tanpa tadabbur kita tidak akan faham dan ikut al quran.

3. Dalil al quran,  

Di surah an Nissa:82,  bermaksud:

"Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) Al-Qur'an? Sekiranya (Al-Qur'an) itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya."

Dan surah Muhammad:24 bermaksud:

"(Setelah diterangkan yang demikian) Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (tadabbur) isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"

       Allah mencela orang yang tidak tadabbur al quran dengan amaran hati mereka sudah terkunci. Apa akibat hati terkunci? Iaitu hidayat tidak dapat masuk dan syirik serta kufur tidak dapat keluar. 

       Maka untuk mengelakkan hati terkunci, maka wajib tadabbur al quran.

4. Logik kedua.

       Isteri wajib taat suami. Untuk faham perintah suami isteri wajib faham kata-kata suami  atau bahasa suami.

       Jikalau untuk taat perintah suami, si isteri kena faham bahasa suami, inikan pula perintah Allah. Lebih-lebih lagi kena faham kata-kata Allah iaitu al quran. Maka untuk faham al quran , wajib tadabbur al quran. Kenapa orang Islam pun tak suka tadabbur al quran?


Orang kafir benci al quran

       Orang kafir dan munafik amat bencikan al quran di setiap masa dan zaman. Maka dengan sebab itu mereka  menghasut orang lain supaya menjauhkan orang islam dari al quran.
Lihat Fussilat:26,
       Orang kafir melarang orang lain dari mendengar al quran. Maksud mendengar di situ ialah dengar dan taat kepada  suruhan dan larangan dalam al quran itu. Kalau setakat dengar sahaja mereka pun tak ada masalah. Para sahabat dulu bila dengar saja ayat quran terus masuk dalam hati , terus mereka amal dan mereka berubah  serta -merta.

         Tapi mengapa kita tak berubah bila dengar al quran ? Sebab tak faham. Quran kata syurga itu indah dan kekal, tapi sebab tak faham, kita masih lagi buru dunia yang sementara lagi seperti sayap nyamuk sahaja. Syurga  kita tak mahu peduli.

         Jadi , orang musyrikin buat kacau supaya para sahabat tak dapat dengar quran dari nabi. Sebab bila dengar, mereka akan terus berubah .  Dengan  menjauhkan orang Islam dari faham dan amal al quran,  orang musyrikin akan dapat mengatasi orang Islam. Orang Islam boleh mengalahkan musuh dengan benar-benar ikut al quran, bukan jauh dari al quran. 


        
Dan sebab kedua musyrikin menolak al quran kerana ,

2. Belum dengar takwil quran yang sebenar.

         Yang dimaksudkan dengan takwil dalam surah Yunus: 39 diatas ialah tafsir atau penjelasan yang sebenar kandungan al quran.  Mereka belum tahu lagi penjelasan sebenar , tapi sudah menghukum nabi Muhammad sesat.

          Makana takwil yang kedua ialah akibat. Iaitu mereka belum tahu akibat dari pendustaaan mereka kepada nabi dan alquran. Iaitu azab Allah. Sesiapa yang mendustakan rasul dan  alquran,  maka akan diazab oleh Allah.


Rasul sebelumnya juga didustakan

          Maka Allah ingatkan nabi supaya jangan sedih dan risau dengan pendustaan musyrikin itu dengan sambungan ayat 39 : Yunus ,
        Iaitu itu bukan perkara baru. Rasul-rasul sebelum beliau juga didustakan juga.  Yang kedua,  Allah beritahu iaitu mereka yang mendustakan rasul-rasul semuanya telah Allah azab seperti kaum Tsamud, Lut  dan 'Ad. 
          
            Dan Allah beritahu juga bahawa sesiapa sahaja yang mendustakan rasul dan al quran  ,mereka adalah orang yang zalim. Bukan musyrikin Mekah sahaja tetapi sesiapa saja pada setiap zaman yang zalim akan menerima akibatnya.


Pengajaran

       Dari ayat -ayat di atas kita boleh ambil pengajaran bahawa :

1. Al quran amat penting untuk di tadabbur dan di hayati. 

2. Al quran bukan untuk dibaca tanpa faham. Ia patut di jadikan subjek utama di mana-mana sekolah orang Islam untuk di tadabbur.

3. Allab mencela orang yang tidak tadabbur al quran.

4. Kerja kita bukan menghukum sesuatu itu berdosa atau masuk neraka. Kerja kita ialah menjelaskan dalil.



Klang.
29/10/23
          





  



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

185) APA PENDIDIKAN TERAWAL KEPADA ANAK-ANAK? ( Bhg. 1)

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,       Di antara hal yang menjadi perhatian ibubapa ialah pendidikan  anak-anak.  Tidak seorang pun dari ibubapa kecuali mengharapkan  anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh. Kerana anak yang soleh ialah perhiasan di dunia, kerana Allah berfirman, dalam al Kahfi:46          Lebih-lebih lagi jika anak itu anak yang soleh. Oleh kerana itu ibubapa suka membanggakan  anak-anaknya lebih-lebih  lagi jika anak itu berjaya, tidak lain kerana anak itu adalah buah hati ibubapanya. Itu sebab nya bila Allah bertanya kepada malaikat yang mencabut nyawa anak seorang yang beriman, kata Allah,     Firman Allah , 'Kamu telah mengambil nyawa buah hati hamba-Ku? Dijawab oleh malaikat, 'Ya.'  (HR: Tirmizi dan ibn Hibban)        Allah sendiri menamakan anak adalah buah hati kedua ibubapa. Ini bermaksud anak adalah sangat dicinta...

174) MENGAPA PERLU KENAL SUNNAH NABI S.A.W?

Bismillah, Assalamu'alaikum,         Mengapa perlu kenal sunnah nabi s.a.w? Kerana dengan itu kita akan kenal apa itu bid'ah. Kenapa perkara ini perlu dibahas? Kerana ramainya orang membahas syariat. Sehingga dengan keahliannya beretorika, atau kepintarannya dalam berlogika, hingga boleh memahamkan orang yang tidak faham , bahawa bid'ah itu sama dengan sunnah.  Dan hingga semua bid'ah itu dianggap bid'ah hasanah.  Sehingga baginya tidak ada lagi bid'ah yang dholalah (sesat).         Dengan mafhum seperti itu, diakui atau tidak diakui, maka setiap kali lahir bid'ah , asal baik dianggap oleh pelakunya, maka mereka panggil ia  bid'ah hasanah.         Oleh itu, daripada kita payah memikirkan definisi bid'ah ini, yang mana definisi bid'ah itu semakin hari semakin berkembang, semakin hari semakin membuka peluang untuk memasukkan hal-hal yang bukan dari sunnah menjadi sesuatu yang tak terpis...

228) APA TANDA ALLAH NAK BERI KEBAIKAN KEPADA SESEORANG ?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,          Bila Allah mahukan kebaikan kepada seseorang, maka Allah beri apa padanya? Adakah Allah beri rumah besar atau duit banyak atau isteri cantik? Jawapannya nabi s.a.w jelaskan dalam satu hadis yang pendek,       Nabi s.a.w bersabda: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ “Barangsiapa yang Allah inginkan padanya kebaikan,  Allah akan fahamkan dia dalam (urusan) agama.” ( HR: Muslim 1037,  Bukhari:71)      Orang yang nak dapat kebaikan, tapi dia cari benda lain. Contohnya dia cari duit, tapi duit bukan semesti nya membawa kebaikan. Buktinya Qarun paling banyak harta tapi dihina oleh Allah swt. Di dunia lagi Allah azab. Nabi Muhammad s.a.w miskin tapi ia paling dicintai Allah sebab ia paling faham agama      Bila kita minta dalam solat dengan membaca ,      Maka jalan yang lurus itu ialah d...