Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Melawan hawa nafsu Dalam kehidupan ini, antara perjuangan paling sukar bagi manusia ialah melawan hawa nafsu sendiri. Kita mudah melihat kesalahan orang lain, tetapi kadangkala sukar mengakui kesalahan diri. Kita mahu orang menghormati pendapat kita, menerima keputusan kita dan memahami perasaan kita, tetapi belum tentu kita bersedia menerima kebenaran apabila ia ber tentangan dengan kehendak sendiri. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Al-Jathiyah, ayat 23, tentang manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan. Ayat ini bukan sekadar menceritakan kesesatan orang lain, tetapi menjadi peringatan agar kita sentiasa memeriksa hati sendiri. Lebih-lebih lagi apabila usia semakin meningkat dan pengalaman semakin banyak. Jangan sampai kita semakin yakin dengan diri sendiri, tetapi semakin sukar menerima teguran, semakin berat mengakui kesilapa...