Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Tentang mengurus emosi
Kecerdasan emosi bukan bermaksud kita tidak boleh marah, kecewa, sedih atau terluka. Semua itu adalah perasaan manusia yang normal.
Yang membezakan orang yang matang dengan yang tidak, ialah bagaimana dia mengurus perasaan tersebut sebelum perasaan itu sendiri mengawal tindakannya. Ini beberapa cara mengawal emosi yang baik:
1. Dengar supaya memahami, bukan sekadar terus menjawab
Apabila orang bercakap, cuba fahami apa yang sebenarnya ingin disampaikan. Jangan terlalu cepat menyediakan jawapan atau mempertahan kan diri. Mendengar dengan tenang dapat mengelakkan banyak salah faham.
Contoh:
Isteri berkata, “Saya penat menguruskan banyak perkara di rumah.”
Daripada terus menjawab, “Saya pun penat bekerja,” lebih baik dengar dahulu dan fahami perasaannya.
Respons yang lebih matang:
“Saya faham awak penat. Apa yang paling membebankan awak sekarang? Beritahu saya.”
2. Berhenti sebelum bereaksi kepada emosi negatif
Apabila marah atau kecewa, jangan terus membalas. Beri diri sedikit masa untuk bertenang. Kadang-kadang beberapa minit diam dapat mengelakkan kata-kata yang akan kita sesali kemudian.
Contoh:
Seseorang bercakap dengan kita dalam nada yang kasar. Kita mula terasa marah.
Daripada terus membalas dengan suara yang lebih tinggi, berhenti seketika, tarik nafas dan tenangkan diri.
Respons yang lebih matang:
“Saya tidak mahu bercakap ketika sedang marah. Kita bincang semula apabila keadaan sudah tenang.”
3. Emosi kita, tanggungjawab kita.
Orang lain mungkin melaku kan sesuatu yang mengecewa kan kita, tetapi cara kita mengurus perasaan itu tetap menjadi tanggungjawab kita. Jangan menyerahkan kawalan emosi kita kepada orang lain.
Contoh:
Seseorang tidak membalas mesej kita. Kita mula rasa tidak dihargai.
Daripada terus berkata, “Dia memang sengaja abaikan saya,” lebih baik kita belajar mengawal andaian dan perasaan sendiri.
Respons yang lebih matang:
“Saya memang terasa, tetapi saya belum tahu apa sebab sebenarnya. Saya tidak mahu membuat kesimpulan terburu-buru.”
4. Kenali keadaan dan orang sebelum berucap.
Sebelum bercakap, perhati kan suasana, keadaan emosi orang lain dan masa yang sesuai. Tidak semua perkara perlu dikatakan ketika itu juga. Orang yang bijak tahu bila perlu bercakap dan bila lebih baik diam.
Contoh:
Kita mahu menegur kesalahan seseorang. Tetapi orang itu baru sahaja menerima berita buruk.
Walaupun teguran kita ada benarnya, tetapi masa dan cara menyampaikannya mungkin tidak sesuai.
Respons yang lebih matang:
“Saya ada perkara yang ingin saya bincangkan. Kita bercakap nanti apabila awak sudah lebih tenang.”
5. Tetapkan sempadan tanpa rasa bersalah.
Belajar berkata “tidak” apabila sesuatu melampaui kemampuan atau prinsip kita. Menetapkan batas bukan bermaksud kita tidak baik. Ia bermaksud kita tahu menghargai diri sendiri dan menjaga hubungan dengan cara yang sihat.
Contoh:
Seorang kawan selalu meminta pertolongan pada saat-saat terakhir sehingga mengganggu urusan kita.
Kita tidak perlu marah atau memutuskan hubungan.
Respons yang lebih matang:
“Maaf, kali ini saya tidak dapat membantu kerana saya sudah ada urusan. Kalau diberitahu lebih awal, mungkin saya boleh bantu.”
6. Jangan cepat ambil hati terhadap mood buruk seseorang.
Ada kalanya seseorang bersikap kasar kerana dia sedang penat, tertekan atau menghadapi masalah sendiri. Tidak semua perubahan sikap orang lain berkaitan dengan kita. Belajar membezakan antara masalah mereka dan nilai diri kita.
Contoh:
Kita bertanya sesuatu kepada seseorang, tetapi dia menjawab dengan kasar.
Kita jangan terus berfikir, “Dia benci aku.”
Mungkin dia sedang penat, tertekan atau mempunyai masalah yang kita tidak tahu.
Respons yang lebih matang:
Fikirkan, “Mungkin dia sedang menghadapi sesuatu. Saya tidak perlu membalas emosinya dengan emosi pula.”
Penutup
Kecerdasan emosi bukan tentang menyembunyikan perasaan, tetapi tentang belajar mengurusnya dengan matang.
Orang yang mempunyai kecerdasan emosi bukan orang yang tidak pernah marah atau terasa. Dia juga mempunyai emosi seperti orang lain.
Bezanya, dia belajar untuk berkata kepada dirinya:
“Saya boleh merasakan emosi ini, tetapi saya tidak semesti nya perlu bertindak mengikut emosi ini.”
Itulah antara tanda seseorang semakin matang, tenang dan mampu mengawal dirinya.
Semakin kita mampu mengawal tindakan ketika emosi sedang tinggi, semakin tenang kehidupan kita dan semakin dihormati orang di sekeliling kita.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek
13/9/26
Ulasan
Catat Ulasan