Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Menghadapi perbezaan
Semua pasangan suami-isteri mahukan kebahagiaan. Kebahagiaan rumah tangga bukan kerana suami dan isteri tidak pernah berselisih faham. Sebaliknya, mereka belajar bagaimana untuk menghadapi perbezaan tanpa merosakkan kasih sayang.
Rumah tangga yang bahagia tidak datang sendiri. Ia dibina melalui komunikasi, kepercayaan, penghargaan, sentuhan kasih sayang dan kesediaan untuk saling memahami.
Berikut ialah 10 peraturan emas yang boleh diamalkan setiap hari oleh setiap pasangan :
1. Berbuallah setiap hari — diam boleh membina jarak.
Jangan biarkan kesibukan membuatkan suami isteri semakin jauh. Luangkan masa walaupun hanya beberapa minit untuk bertanya, sekurang-kurangnya, “Bagaimana awak hari ini?”
Dengarkan cerita dari pasangan tanpa sibuk dengan telefon. Komunikasi kecil tetapi konsisten boleh menguatkan hubungan pasangan.
2. Lawan masalah, bukan lawan antara satu sama lain.
Apabila berlaku masalah, jangan anggap pasangan sebagai musuh. Suami dan isteri itu berada dalam satu pasukan. Masalah itu yang perlu dilawan, bukannya pasangan. Cari jalan penyelesaian bersama, bukan mencari siapa yang patut dipersalahkan.
3. Jangan ada rahsia — berterus terang membina kepercayaan.
Kejujuran ialah asas bagi kepercayaan. Jangan sembunyikan perkara penting yang boleh memberi kesan kepada rumah tangga. Berterus terang mungkin kadang-kadang sukar, tetapi kehilangan kepercayaan jauh lebih sukar untuk dipulihkan.
4. Beri lebih daripada apa yang kita dapat.
Jangan sentiasa berkira, “Aku sudah buat ini, dia pula apa yang dia buat?” Rumah tangga bukan pertandingan siapa paling banyak berkorban. Sebaliknya belajarlah memberi kasih sayang, perhatian, masa dan pertolongan tanpa menunggu pasangan memulakannya.
5. Hargai pasangan dengan jelas, kritik dengan lembut.
Jangan hanya nampak kesalahan pasangan. Sebutkan penghargaan dengan kata-kata: “Terima kasih sebab tolong saya.” Jika perlu menegur, tegurlah dengan lembut dan secara peribadi. Jangan menjatuhkan maruah pasangan hanya kerana mahu membuktikan kita betul.
6. Jangan biarkan ego menang — mohon maaf walaupun sukar.
Dalam rumah tangga, ada masa kita betul dan ada masa kita tersilap. Jangan biarkan ego membuatkan masalah kecil menjadi besar. Perkataan “Maaf” bukan tanda kalah. Ia tanda bahawa kita lebih mementingkan hubungan daripada ego sendiri.
7. Selalu peluk, cium dan pegang tangan pasangan.
Sentuhan kasih sayang ialah bahasa yang sangat kuat dalam rumah tangga. Pelukan sebelum keluar bekerja, ciuman ketika bertemu atau sekadar memegang tangan pasangan boleh membuatkan seseorang rasa dihargai, disayangi dan rasa selamat.
8. Jaga maruah pasangan di hadapan orang lain.
Jangan membuka aib, menghina atau memperlekeh kan pasangan di khalayak ramai, walaupun di kalangan sanak- saudara. Jika ada perkara yang perlu dibincang kan, lakukan secara tertutup. Jaga maruah pasangan seolah-olah kita sedang menjaga maruah diri sendiri.
9. Urus kewangan sebagai satu pasukan.
Wang boleh menjadi punca tekanan dalam rumah tangga jika tidak diurus dengan baik. Berbincanglah tentang pendapatan, perbelanjaan, hutang, simpanan dan keperluan keluarga. Elakkan menyembunyikan masalah kewangan daripada pasangan. Matlamatnya bukan siapa yang mengawal wang, tetapi bagaimana wang digunakan untuk menjaga kestabilan keluarga.
10. Jangan berhenti mendoa- kan pasangan.
Doakan pasangan bukan hanya ketika dia menghadapi masalah. Doakan agar Allah menjaga hatinya, kesihatan nya, rezekinya, imannya dan hubungan kalian di setiap ada masa. Pasangan yang saling mendoakan akan sentiasa mengingati bahawa rumah tangga bukan sekadar hubungan antara dua manusia, tetapi ia amanah daripada Allah.
Penutup
Rumah tangga yang bahagia tidak dibina dalam sehari. Ia dibina melalui perkara-perkara kecil yang dilakukan berulang kali — bercakap dengan baik, memaafkan, menghargai, menjaga maruah, memberi perhatian dan saling membantu.
Jangan tunggu pasangan menjadi sempurna untuk kita menghargainya. Tiada siapa yang sempurna kecuali nabi kita. Jadilah pasangan yang baik terlebih dahulu.
Kerana akhirnya, kebahagiaan rumah tangga bukan tentang siapa yang menang dalam setiap pertengkaran, tetapi bagaimana kedua-duanya tetap memilih untuk bersama selepas melalui setiap ujian.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek.
8/8/26
(Iman 12 tahun)
Ulasan
Catat Ulasan