Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Usia remaja
Usia remaja ialah satu fasa yang sangat penting dalam kehidupan. Pada usia ini, anak mula belajar membuat keputusan sendiri, memilih kawan, membentuk akhlak, dan menentukan hala tuju masa depan. Apa yang dipelajari pada usia ini akan memberi kesan besar apabila ia dewasa. Oleh itu, peganglah nasihat berikut sebagai panduan hidup:
1. Sentiasa berbuat baik kepada orang, sama ada melalui perkataan atau perbuatan.
Gunakan kata-kata yang lembut, sopan dan menyenang kan hati. Elakkan memaki, mengejek atau menyakiti perasaan orang lain. Bantulah sesiapa yang memerlukan mengikut kemampuan. Orang yang suka berbuat baik akan disenangi manusia dan lebih penting lagi, dicintai Allah.
2. Sentiasa berkata benar, walaupun kadang-kadang ia susah.
Kejujuran adalah asas kepada kepercayaan. Mungkin berkata benar menyebabkan kita dimarahi pada awalnya, tetapi akhirnya ia membawa kebaikan. Sebaliknya, pembohongan mungkin kelihatan mudah pada mulanya, namun akhirnya akan mendatangkan masalah yang lebih besar.
3. Hormati ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua.
Ibu bapa membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan. Guru pula mendidik kita supaya menjadi orang yang berilmu. Menghormati mereka adalah tanda akhlak yang mulia. Orang yang menghormati orang lain akan turut dihormati.
4. Rajin di sekolah atau di mana sahaja kamu berada.
Jangan hanya rajin ketika guru melihat atau ibu bapa memerhati. Jadilah seorang yang bertanggungjawab dalam setiap tugas. Kerajinan membuka pintu kepada kejayaan, manakala kemalasan menyebabkan seseorang ketinggalan.
5. Jangan mudah berputus asa apabila menghadapi kesusahan.
Setiap orang yang berjaya pernah menghadapi kegagalan dan cabaran. Anggaplah setiap kesusahan sebagai peluang untuk belajar menjadi lebih kuat. Terus berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah.
6. Pilihlah kawan yang baik.
Kawan mempunyai pengaruh yang besar dalam hidup. Pilihlah sahabat yang rajin belajar, menjaga solat, berakhlak baik dan sentiasa mengajak kepada perkara yang bermanfaat. Jauhilah kawan yang mengajak kepada perkara yang buruk.
7. Sentiasa belajar benda baharu.
Ilmu tidak hanya diperoleh di dalam kelas. Belajarlah daripada buku, pengalaman, guru, ibu bapa dan orang yang berilmu. Orang yang cintakan ilmu akan sentiasa berkembang dan lebih bersedia menghadapi kehidupan.
8. Bersabar dalam setiap usaha.
Kejayaan tidak datang dalam sehari. Kadang-kadang kita perlu mencuba berkali-kali sebelum berjaya. Orang yang sabar akan terus berusaha tanpa mudah mengalah, dan Allah mencintai orang yang sabar.
9. Tolong orang semampu yang boleh.
Membantu orang lain tidak semestinya dengan wang. Senyuman, tenaga, ilmu, masa dan nasihat yang baik juga merupakan bantuan. Apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita.
10. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Jangan hanya melihat orang yang lebih berada daripada kita, tetapi lihatlah mereka yang kurang bernasib baik. Bersyukur menjadikan hati tenang dan bahagia. Orang yang bersyukur akan sentiasa menghargai setiap nikmat yang Allah berikan.
11. Jaga kesihatan badan dan minda.
Makan makanan yang sihat, bersenam, tidur yang mencukupi dan kurangkan perkara yang melalaikan. Selain itu, jagalah fikiran dengan membaca perkara yang baik dan mengingati Allah. Badan yang sihat dan minda yang cerdas membantu kita belajar dan beribadah dengan lebih baik.
12. Tunaikan semua kewajipan.
Sebagai seorang Muslim, kewajipan yang paling utama ialah menjaga solat, mentaati Allah dan Rasul-Nya, menghormati ibu bapa, belajar bersungguh-sungguh serta melaksanakan amanah yang diberikan. Orang yang bertanggungjawab akan dipercayai dan dihormati oleh semua.
Kesimpulan
Anakku, kejayaan sebenar bukan hanya memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang atau menjadi kaya. Kejayaan yang paling besar ialah menjadi insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, bertanggungjawab dan sentiasa mencari keredaan Allah. Peganglah nasihat ini sepanjang hidupmu. Insya-Allah, kamu akan menjadi kebanggaan ibu bapa, bermanfaat kepada masyarakat dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Kg. Delek
23/7/26
Ulasan
Catat Ulasan