Bismillah
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Tanda Allah Mengasihi Seseorang Sebelum Matinya
Dalam kehidupan seorang Muslim, kasih sayang Allah merupakan nikmat yang paling besar. Kasih Allah bukan hanya dilihat melalui kesenangan hidup, kekayaan atau kesihatan, tetapi lebih jelas pada keadaan hati dan amal seseorang, khususnya ketika menghampiri akhir hayatnya.
Islam mengajarkan bahawa Allah akan memberikan tanda-tanda tertentu kepada hamba yang dikasihi-Nya sebelum kematian, sebagai persediaan untuk kembali kepada-Nya dalam keadaan yang baik atau disebut sebagai husnul khatimah.
Diberi taufik
Antara tanda kasih Allah ialah apabila seseorang diberikan taufik untuk melakukan amal soleh sebelum meninggal dunia. Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan menggunakannya dengan memberi peluang melakukan amal soleh sebelum kematiannya.
Keadaan ini dapat dilihat apabila seseorang semakin rajin beribadah, ringan melakukan kebaikan dan hatinya terdorong untuk mendekatkan diri kepada Allah walaupun sebelumnya mungkin lalai.
Mudah bertaubat
Selain itu, tanda kasih Allah juga terlihat apabila hati seseorang menjadi lembut dan mudah bertaubat. Dia cepat merasa bersalah apabila melakukan dosa dan sentiasa ingin memperbaiki diri.
Allah mencintai orang yang bertaubat, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 222.
Perasaan menyesal terhadap dosa sebenarnya adalah rahmat Allah yang menunjuk kan iman masih hidup dalam hati seseorang.
Istiqamah
Seterusnya, istiqamah dalam ibadah juga merupakan tanda kasih Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.”
[Riwayat: Sahih al-Bukhari (Hadis No. 6464)]
Seseorang yang dikasihi Allah akan diberikan kekuatan untuk terus melakukan ketaatan walaupun sedikit tetapi berterusan.
Istiqamah ini menjadikan hidupnya lebih tenang dan terarah. Allah menjanjikan bahawa malaikat akan turun memberi ketenangan kepada orang yang beriman dan istiqamah ketika menghadapi saat akhir kehidupannya.
Benci maksiat
Di samping itu, Allah juga menanamkan rasa benci terhadap maksiat dalam hati hamba yang dicintai-Nya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini, dia akan merasai kemanisan iman:
(1) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya,
(2) dia mencintai seseorang hanya kerana Allah,
(3) dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”
[Riwayat: Sahih al-Bukhari (Hadis No. 16)]
Perkara dosa yang dahulu terasa biasa menjadi sesuatu yang berat dan tidak menenangkan jiwa. Hatinya lebih cenderung kepada majlis ilmu, zikir dan perkara yang mengingatkan kepada akhirat.
Perubahan ini menunjukkan Allah sedang membersihkan hatinya sebelum bertemu dengan-Nya.
Husnul khatimah
Tanda paling besar kasih Allah ialah dikurniakan pengakhiran hidup yang baik atau husnul khatimah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, Dia akan menggunakannya.”
Para sahabat bertanya: “Bagaimana Allah menggunakannya?”
Baginda menjawab:
“Allah memberi taufik kepadanya melakukan amal soleh sebelum dia meninggal dunia.”
(Riwayat:Musnad Ahmad)
Antaranya ialah meninggal dunia dalam keadaan beribadah, sempat bertaubat, atau dapat mengucapkan kalimah syahadah sebelum wafat. Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang akhir ucapannya “La ilaha illallah” akan masuk syurga.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang akhir ucapannya ‘La ilaha illallah’, maka dia akan masuk syurga.”
(Riwayat: Sunan Abi Dawud) (Hadis No. 3116)
Pengakhiran yang baik ini bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil kehidupan yang dipimpin oleh rahmat dan kasih sayang Allah.
Dicintai orang soleh
Akhir sekali, orang yang dikasihi Allah biasanya dicintai oleh manusia yang soleh. Nama dan kebaikannya disebut dengan penuh penghormatan, dan ramai yang mendoakannya selepas kematiannya.
Hal ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia menjadikan hamba itu dicintai oleh penduduk langit dan bumi.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu berfirman:
‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’
Maka Jibril pun mencintainya.
Kemudian Jibril menyeru kepada penduduk langit:
‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’
Maka penduduk langit pun mencintainya.
Kemudian diletakkan baginya penerimaan (kecintaan) di bumi.”
[Riwayat: Sahih al-Bukhari (Hadis No. 6040)]
Kesimpulan
Kesimpulannya, tanda kasih Allah kepada seseorang sebelum matinya bukanlah diukur melalui kejayaan duniawi, tetapi melalui perubahan hati, istiqamah dalam amal dan pengakhiran hidup yang baik.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa memperbaiki diri, memperbanyak taubat dan memohon kepada Allah agar dikurniakan husnul khatimah, kerana kasih Allah yang sebenar ialah apabila seseorang kembali kepada-Nya dalam keadaan diredhai.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Klang.
5/4/26
Ulasan
Catat Ulasan