Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Apa Maksud Kebesaran Allah?
Kebesaran Allah bermaksud keagungan, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT yang tidak terbatas, tidak dapat ditandingi, dan meliputi segala sesuatu. Tiada sesuatu pun yang menyamai-Nya sama ada pada zat, sifat atau perbuatan.
Apakah tanda-tandanya?
Tanda kebesaran Allah (آيات الله) ialah segala bukti yang menunjukkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan-Nya. Ia dapat dilihat pada alam, diri manusia, kehidupan, dan wahyu. Antaranya:
1. Tanda kebesaran Allah pada alam semesta
Allah jelaskan,
“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.”
(Surah Āli ‘Imrān: 190)
Alam semesta bukan terjadi secara kebetulan. Setiap ciptaan menunjukkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keesaan Allah. Allah menyebut alam sebagai ayat-ayat (tanda-tanda) untuk manusia berfikir dan beriman. Tanda-tanda di alam semesta ialah:
i) Langit yang terbina tanpa tiang
Langit terbentang luas, kukuh dan seimbang tanpa sokongan yang kelihatan. Ia tidak runtuh walaupun berusia ribuan tahun.
Firman Allah,
“Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang sebagaimana yang kamu lihat…”
(Surah Ar-Ra‘d: 2)
Ini menunjukkan kekuasaan Allah mengawal alam tanpa bantuan sesiapa.
ii) Peredaran matahari, bulan dan planet yang teratur
Matahari terbit dan terbenam tepat waktunya, bulan beredar mengikut fasa dan planet tidak bertembung walaupun bergerak laju.
Allah jelaskan,
“Matahari tidak mungkin mengejar bulan, dan malam tidak mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.”
(Surah Yāsīn: 40)
Jika sistem ini rosak walau sedikit, kehidupan akan musnah.
iii) Pergantian siang dan malam
Allah memberi cahaya hari dan tenaga di siang hari , malam untuk rehat dan ketenangan. Kedua-duanya seimbang dan silih berganti.
“Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian dan Kami jadikan siang untuk mencari kehidupan.”
(Surah An-Naba’: 10–11)
Ini tanda rahmat dan kebijaksanaan Allah dalam mengatur kehidupan manusia.
iv) Hujan yang turun dengan kadar tertentu
Air hujan turun tepat mengikut keperluan, tidak berlebihan dan tidak berkurang.
“Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran…”
(Surah Al-Mu’minūn: 18)
Jika hujan turun tanpa aturan, akan berlaku banjir besar atau kemarau yang memusnahkan.
v) Bumi yang sesuai untuk kehidupan
Bumi tidak terlalu panas atau sejuk, berputar dengan kelajuan tepat, mempunyai atmosfera, oksigen dan graviti yang seimbang.
Allah berfirman mengenainya,
“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu…”
(Surah Al-Mulk: 15)
Semua ini bukan kebetulan, tetapi persediaan Allah untuk manusia.
vi) Gunung, laut dan angin
Gunung menstabilkan kerak bumi
Laut memisahkan air masin dan tawar. Angin pula membawa awan, hujan dan rezeki
“Dan Kami jadikan gunung-ganang sebagai pasak.”
(Surah An-Naba’: 7)
vii) Keseimbangan dan ketepatan ciptaan
Segala ciptaan Allah berada dalam mīzān (keseimbangan) — tiada yang sia-sia.
“Dia menciptakan segala sesuatu lalu menetapkannya dengan ketetapan yang sempurna.”
(Surah Al-Furqān: 2)
2. Tanda kebesaran Allah pada diri manusia
Tanda kebesaran Allah pada diri manusia sangat jelas jika manusia merenung dirinya sendiri. Allah menjadikan manusia sebagai ayat (tanda) kebesaran-Nya yang hidup.
“Dan pada diri kamu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”
(Az-Zāriyāt: 21)
Berikut penjelasannya:
i) Kejadian manusia yang sempurna
Manusia diciptakan dengan rupa yang paling baik.
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik kejadian.”
(At-Tīn: 4)
Setiap anggota badan berfungsi tepat pada tempatnya – mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hati untuk merasa. Ini mustahil berlaku secara kebetulan.
ii) Proses kejadian dari setitis air
Manusia berasal daripada air mani yang hina, kemudian menjadi makhluk yang berakal dan bernilai.
“Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?”
(Al-Mursalāt: 20)
Ini tanda:
> Allah Maha Berkuasa
> Manusia tidak boleh sombong
iii) Akal dan kemampuan berfikir
Manusia boleh:
> Berfikir
> Membuat pilihan
> Membezakan baik dan buruk
“…dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati.”
(An-Naḥl: 78)
Akal adalah nikmat yang besar dan amanah daripada Allah. Ia tanda kehebatan Allah.
iv) Hati dan perasaan
Hati manusia boleh:
> Tenang
> Takut
> Cinta
> Menyesal
Tapi Allah memberi jalan,
“Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
(Ar-Ra‘d: 28)
Ini menunjukkan hati berada di bawah kekuasaan Allah.
v) Sistem tubuh yang sangat teratur
Jantung berdenyut tanpa henti, darah mengalir, paru-paru berfungsi secara automatik. Bukankah ini satu kehebatan?
“Yang menciptakan, lalu menyempurnakan kejadian-Nya.”
(Al-A‘lā: 2)
Manusia tidak mengawal semua ini – Allah yang mengaturnya.
vi) Roh yang ditiup oleh Allah
Manusia bukan sekadar jasad. Tetapi ada roh.
“Kemudian Dia meniupkan ke dalamnya roh ciptaan-Nya.”
(As-Sajdah: 9)
Roh memberi kehidupan, kesedaran dan tanggungjawab kepada manusia.
vii) Naluri menyembah dan mencari Tuhan
Manusia secara fitrah suka mencari makna hidup dan Tuhan.
“Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus; fitrah Allah…”
(Ar-Rūm: 30)
Ini tanda bahawa manusia dicipta untuk beribadah.
viii) Kesedaran dosa dan taubat
Rasa bersalah selepas berdosa adalah tanda iman. Ini sesuai dengan firman Allah,
“Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, mereka segera mengingati Allah…”
(Āli ‘Imrān: 135)
3. Tanda kebesaran Allah pada kehidupan seharian
Kebesaran Allah melalui tanda-tanda-Nya dalam kehidupan seharian dapat dilihat dengan jelas oleh sesiapa yang berfikir dan merenung. Allah tidak hanya menunjukkan kebesaran-Nya melalui perkara luar biasa, tetapi melalui perkara biasa yang berlaku setiap hari.
Ini penjelasannya:
i) Nafas dan kehidupan
Setiap saat kita bernafas tanpa disedari bahawa itu semua dari Allah. Dengan nafas itu manusia hidup, hilang nafas matilah kita.
“Dan Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan…”
(Al-Mu’minūn: 80)
Jika Allah menahan nafas walau sesaat, manusia tidak mampu mengembalikannya. Ini bukti kita hidup dengan izin Allah, bukan dengan kekuatan sendiri.
ii) Jantung berdenyut tanpa henti
Jantung berdenyut puluhan ribu kali sehari tanpa kita arahkan.
Ini tanda:
> Allah Maha Mengatur
> Manusia lemah dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya
“Allah yang menahan langit dan bumi supaya tidak lenyap…”
(Fāṭir: 41)
iii) Rezeki yang datang setiap hari
Makanan, minuman, pekerjaan, kesihatan – semuanya rezeki Allah.
Fitman Allah,
“Dan tidak ada satu makhluk pun di bumi melainkan Allah yang menanggung rezekinya.”
(Hūd: 6)
Kadang-kadang rezeki datang tanpa disangka-sangka, membuktikan Allah Maha Pemurah dan Maha Mengetahui keperluan hamba-Nya.
iv) Akal dan kemampuan berfikir
Kita boleh memahami, belajar, membuat keputusan dengan adanya akal.
“…dan Dia mengurniakan kamu pendengaran, penglihatan dan hati.”
(An-Naḥl: 78)
Tanpa akal, manusia hilang arah. Ini tanda Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain.
v) Rasa tenang dan gelisah dalam hati
Hati manusia berubah-ubah:
> Tenang bila dekat dengan Allah
> Gelisah bila jauh daripada-Nya
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
(Ar-Ra‘d: 28)
Ini tanda hati berada di bawah kekuasaan Allah.
vi) Siang dan malam
Allah ciptakan siang untuk bekerja, malam untuk berehat.
“Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan siang untuk mencari kehidupan.”
(An-Naba’: 10–11)
Pertukaran ini berlaku tanpa gagal, tanda sistem ciptaan Allah sangat sempurna.
vii) Pertolongan Allah ketika dalam kesempitan
Saat kita hampir putus asa, tiba-tiba datang jalan keluar.
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberinya jalan keluar.”
(Aṭ-Ṭalāq: 2)
Ini bukti Allah Maha Mendengar doa, walaupun hanya terlintas dalam hati.
viii) Kesedaran untuk bertaubat
Rasa bersalah selepas melakukan dosa bukan kelemahan, tetapi tanda rahmat dari Allah.
“Kemudian Dia menerima taubat mereka agar mereka bertaubat.”
(At-Taubah: 118)
4. Tanda kebesaran Allah pada wahyu (Al-Quran)
Tanda kebesaran Allah ada pada wahyu (Al-Quran) . Ia dapat difahami melalui beberapa aspek utama yang menunjukkan bahawa Al-Quran benar-benar datang daripada Allah SWT, bukan ciptaan manusia. Iaitu:
i) Keindahan bahasa dan susunan (I‘jaz al-Quran) ayat.
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang paling fasih, dengan susunan ayat yang unik, mendalam dan berkesan ke dalam hati.
Orang Arab yang mahir sastera pada zaman Rasulullah ﷺ tidak mampu menandingi satu surah pun sepertinya.
Dalil:
“Dan jika kamu ragu tentang Al-Quran yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah yang sebanding dengannya…”
(Al-Baqarah: 23)
Ini menunjukkan kebesaran Allah melalui kemampuan wahyu yang tidak mampu ditiru manusia.
ii) Kandungan yang menyeluruh dan seimbang
Al-Quran merangkumi:
> Akidah (iman kepada Allah, akhirat, malaikat)
> Ibadah (solat, puasa, zakat)
> Akhlak (jujur, sabar, amanah)
> Syariat dan panduan hidup
kisah umat terdahulu sebagai pengajaran
Semua ini diturunkan kepada Nabi ﷺ yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), menandakan ia datang dari Allah Yang Maha Mengetahui.
iii) Ketiadaan percanggahan
Walaupun Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama ±23 tahun dalam pelbagai situasi, ia tidak bercanggah antara satu sama lain.
Dalil:
“Tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran? Sekiranya ia dari selain Allah, nescaya mereka dapati banyak percanggahan di dalamnya.”
(An-Nisa’: 82)
Ini adalah tanda kebesaran Allah yang Maha Sempurna ilmu-Nya.
iv) Berita ghaib dan kebenaran sejarah
Al-Quran menceritakan:
> Kisah nabi-nabi terdahulu
> Peristiwa yang belum berlaku ketika diturunkan (seperti kemenangan Rom)
Dalil:
“Telah dikalahkan bangsa Rom… dan mereka akan menang kembali dalam beberapa tahun.”
(Ar-Rum: 2–4)
Semua ini berlaku tepat seperti yang diwahyukan — ia menjadi bukti kebesaran Allah.
v) Kesan Al-Quran ke atas hati dan jiwa
Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi:
> Menenangkan hati
> Menggerakkan taubat
> Mengubah akhlak dan kehidupan manusia
Dalil:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.”
(Al-Isra’: 9)
Perubahan besar pada sahabat RA daripada jahiliah kepada umat terbaik hasil dari quran adalah tanda kebesaran Allah melalui wahyu-Nya.
vi) Terpelihara hingga hari ini
Al-Quran satu-satunya kitab suci yang terpelihara lafaz dan maknanya tanpa perubahan sejak diturunkan.
Dalil:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah yang menjaganya.”
(Al-Hijr: 9)
Ini bukti kebesaran Allah dalam menjaga wahyu-Nya sepanjang zaman. Ia tetap sama sejak zaman nabi hingga kini.
5. Tanda kebesaran Allah pada sejarah dan umat manusia
Tanda Kebesaran Allah pada sejarah dan umat manusia dapat difahami melalui peristiwa, perubahan zaman, serta nasib bangsa-bangsa yang direkodkan dalam sejarah. Allah sendiri mengajak manusia mengambil ibrah (pengajaran) daripada sejarah, bukan sekadar membacanya.
i) Kebangkitan dan Kejatuhan Umat
Sejarah membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan pada teknologi atau jumlah, tetapi pada ketaatan kepada Allah.
> Kaum ‘Ād: kuat fizikal dan binaan megah, tetapi binasa kerana sombong dan kufur.
> Kaum Thamūd: mahir memahat gunung, namun dihancurkan kerana mendustakan nabi.
> Firaun: kuasa mutlak, tetapi tenggelam dengan bala tenteranya.
Tanda kebesaran Allah: Tiada kuasa yang mampu menentang kehendak-Nya walaupun sebesar mana kekuasaan manusia.
Dalil:
“Maka masing-masing Kami azabkan kerana dosa mereka…” (Surah Al-‘Ankabūt: 40)
ii) Sunnatullah dalam Sejarah
Allah menetapkan hukum tetap (sunnatullah) dalam perjalanan umat manusia:
Taat → pertolongan dan keberkatan
Zalim & ingkar → kehancuran dan kehinaan
Hukum ini berulang-ulang berlaku sepanjang sejarah, tanpa pengecualian.
Dalil:
“Dan kamu tidak akan dapati perubahan pada sunnatullah.” (Surah Al-Aḥzāb: 62)
Ini membuktikan keadilan dan kekuasaan mutlak Allah dalam mengatur sejarah.
iii) Sejarah Para Nabi dan Rasul
Kisah para nabi menunjukkan:
> Kebenaran akhirnya menang
> Kebatilan pasti tumbang walau berkuasa lama
Nabi Nuh ﷺ diejek, Nabi Musa ﷺ ditindas, Nabi Muhammad ﷺ disakiti — namun risalah Allah tetap tersebar.
Tanda kebesaran Allah: Dakwah yang ikhlas kerana Allah tidak dapat dipadam oleh kezaliman manusia.
iv) Kelangsungan dan Keajaiban Umat Islam
Umat Islam pernah jatuh dan bangkit:
> Jatuh ketika meninggalkan ajaran Islam
> Bangkit ketika kembali kepada iman, ilmu dan akhlak
Al-Quran terus terpelihara lebih 1400 tahun, walaupun empayar silih berganti runtuh.
Dalil:
“Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran dan Kami pula yang menjaganya.” (Surah Al-Ḥijr: 9)
Ini tanda kebesaran Allah dalam menjaga agama-Nya walaupun manusia lemah.
v) Pengajaran Sejarah untuk Manusia Hari Ini
Allah memerintahkan manusia mengembara dan berfikir, bukan sekadar melihat tinggalan sejarah.
Dalil:
“Maka berjalanlah di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan.”
(Surah Al-An‘ām: 11)
Sejarah menjadi cermin bahawa :
> Kesombongan membawa kehancuran
> Keimanan membawa kemuliaan
> Keadilan membawa kestabilan
Sejarah bukan kebetulan tetapi ia pentas tentang kebesaran Allah.
Kesimpulan
Tanda kebesaran Allah bukan sekadar untuk dilihat, tetapi:
> Untuk difikirkan
> Untuk menginsafkan
> Untuk menguatkan iman
> Dan untuk mendekatkan diri kepada Allah
Orang yang beriman melihat tanda kebesaran Allah bukan dengan mata sahaja, tetapi dengan hati.
Semoga bermenafaat
Ulasan
Catat Ulasan