Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum

Berada di Mesir
Itu hari waktu aku (penulis asal) berada di Mesir aku perhatikan bahawa tak terdapat warga asing dari Bangladesh misalnya yang mahu bekerja di Mesir. Apa sebabnya?
Cabaran ekonomi
Umum mengetahui bahawa Republik Arab Mesir dengan penduduk seramai 118 juta orang mengalami cabaran ekonomi yang besar. Pendapatan bulanan rakyatnya secara kasar dianggarkan sekitar RM700-800 sebulan. Jadi tidak hairanlah mengapa warga Bangladesh sendiri tidak mahu ke Mesir untuk bekerja kerana gaji di Mesir lebih sedikit daripada apa yang diperolehi di Bangladesh. Untuk rekod Bangladesh ada sekitar 170 juta rakyat.
Rakyat cukup makan
Sebenarnya bukan mudah untuk memastikan setiap rakyat cukup makan, terutamanya bagi negara-negara yang punya rakyat yang ramai serta pertumbuhan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Kalau dilihat di negara-negara begini mereka memang terbeban dengan isu harga barang, inflasi serta peluang kerja terhad serta jumlah gaji yang amat tidak setimpal dengan kelayakan akademik.
Terlalu ramai
Apa yang aku perhatikan, kebanyakan negara di Asia dan Afrika yang berdepan isu mensejahterakan rakyat rata-ratanya mempunyai jumlah penduduk terlalu ramai dan kerajaan sendiri tak termampu nak memberikan bantuan kepada setiap rakyat yang ada. Ini ditambah pula dengan keterbatasan sumber ekonomi selain isu korupsi yang melanda negara-negara demikian rupa.
Kaherah Baru
Jangan tak tahu bahawa bandar Kaherah itu sendiri terbahagi dua. Kaherah Lama dan Kaherah Baru. Kaherah Lama ni ialah bandar lama, kota tua yang sudah zaman berzaman, penuh sesak dengan rakyat marhaen. Sementara Kaherah Baru ialah kota baru yang dibangunkan, moden dan dihuni oleh orang ada-ada. Aku sempat ke Kaherah Baru dan tinggal di Kaherah Lama. Antara aroma Chanel dan tahi kuda.
Konflik
Juga kita jangan lupa betapa negara-negara begini sentiasa terbelenggu dengan pelbagai macam konflik serta turut diikat dengan segala macam perjanjian ekonomi atau beban hutang luar negara yang tinggi yang mana bayaran hutang memakan beban yang besar serta terikat dengan segala bentuk perjanjian yang hanya menguntungkan pihak yang memberikan hutang, contohnya Bank Dunia.
Geopolitik
Kalau dilihat daripada aspek geopolitik Mesir dilihat sentiasa berada dalam keadaan berisiko hasil konflik serantau yang tak pernah reda, baik ketika era 1960a, 1970an, 1980an dan terkini isu Palestin yang berterusan selain pergolakan negara-negara rantau Arab yang tidak menjamin keselamatan dan keamanan. Bila perang tercetus, maka ramai pelarian turut melarikan diri dan Mesir tidak terkecuali.
Meminta wang
Ketika aku di Mesir aku melihat rakyatnya terlalu ramai memenuhi setiap laluan, lorong dan jalanraya. Jika kita berjalan kaki pasti ada yang meminta wang untuk dibuat belanja makan. Tak cukup dengan itu kalau kita di dalam kereta, teksi, pasti ada yang sanggup mengetuk pintu dan meminta sedikit wang untuk dibuat makan. Keadaannya tak banyak beza macam apa yang aku lihat di New Delhi India atau juga di Jakarta, Indonesia.
Negara maju
Mengembara ke negara-negara maju dan serba moden dengan segala fasiliti pengangkutan serba lengkap tak sama dengan mengembara ke negara-negara sedang membangun atau mundur. Mentaliti rakyatnya tak sama. Tahap pendidikan tak sama. Kemudahan awamnya tak sama. Ekonominya tak sama. Sistemnya tak sama. Pentadbirannya tak sama. Serba serbi saling berbeza.
Kurang membangun
Aku perhatikan di kebanyakan negara kurang membangun, isu kebersihan menjadi isu utama. Di Mesir orang membuang sampah merata-rata tanpa ada rasa segan silu sedangkan di situlah institusi pendidikan Islam tersohor seperti Al-Azhar. Hairan apa yang dapat dijadikan tauladan jika begitulah keadaan negara yang menempatkan institusi pengajian Islam yang dihormati. Ia memperlihatkan ketidaksejajaran antara apa yang dianjurkan oleh ugama serta apa yang dipraktikkan oleh penganut ugama.
Keadaan tandas
Sebagai contoh keadaan tandas di pusat hentian bas adalah amat menjijikkan. Tiada bersih, tidak diselia dan tidak punya kelengkapan untuk bersuci yang sepatutnya selain najis merata. Tahi dalam perut aku tu merayu, jangan buang aku di sini. Bayangkan sampai macam tu sekali.
Mentaliti
Hairan aku melihat macam mana mentaliti orang di kawasan tu jadi begitu. Kalau di kaki lima aku lalui penuh pancutan air kencing. Bau hancingnya Tuhan saja yang tahu. Tapi yang hairannya macam mana orang boleh pula duduk merata di tepi kaki lima, sambil minta sedekah dan mengaji, berqasidah. Aku jadi pening celaru. Kejap mengaji, ni dah kotor pula. Aku jadi keliru. Apa sebenarnya ni. Sungguh. Jujur. Itu yang aku rasa.
Fasiliti
Menyentuh soal fasiliti hentian bas, aku boleh katakan bahawa apa yang kita ada di Malaysia ni antara yang terbaik di dunia. Ya. Aku dah jalan merata tempat dan aku dapat melihat jelas perbezaan apa yang kita ada dan apa yang orang luar ada. Kemudahan prasarana R&R kita boleh aku sifatkan amat selesa, bersih, teratur dan memenuhi keperluan banyak golongan pengguna.
R & R
Bayangkan, jika kita ke R&R kita boleh berehat sebentar setelah memandu 2-3 jam, kita boleh makan minum, kita boleh ke tandas untuk buang air, kita boleh mandi jika mahu, kita boleh beli buah-buahan. Kelengkapan kita lengkap, selesa. Sewaktu aku di Belgium, Republik Czech, Poland dan Jerman juga tak begitu. Ya mereka juga ada R&R, bersih, selesa, cuma saiznya dan fungsinya tak seperti kita.
Tak tahu nak kata apa..
Aku tak tahu nak kata macam mana, aku takut nanti orang terasa, tapi pada aku, kadangkala kemiskinan, kurang akses kepada pendidikan menjadikan sesuatu masyarakat tu mundur, terkebelakang dan akhirnya menjadi pengotor. Mungkin aku salah dan mungkin juga aku betul, tapi itulah yang dapat aku simpulkan bila aku dah mengembara, melihat negara orang. Wallahualam.
Semoga bermenafaat.
Di petik dari ,
FB Hafiz Ostmann
Ulasan
Catat Ulasan