Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,
Solat tapi buat kemungkaran
Baru-baru ini ada kes seorang ustaz yang dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan seksual. Ada juga kes ustaz salah guna wang derma. Padahal mereka orang yang solat. Kenapa solat mereka tidak dapat mencegah mereka dari perbuatan tersebut?
Soalan ini sangat penting kerana ia menyentuh persoalan kenapa orang yang solat tapi masih boleh terjerumus dalam dosa besar seperti zina, salah guna amanah, mengumpat, penipuan, memfitnah, pergaulan bebas dan sebagainya. Mari kita lihat penjelasannya:
1. Dalil al-Qur’an
Allah berfirman:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
(Surah al-‘Ankabut 29:45)
Ayat ini menunjukkan salah satu fungsi solat ialah menjadi benteng moral. Bolehkah ia dinafikan? Tidak, tetapi ia hanya benar bila solat dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas. Jika solat hanya berupa gerakan fizikal tanpa kesedaran hati, ia tidak memberi kesan mendalam dalam diri.
Baik, mari kita jelaskan dengan lebih mendalam.
a) Kebenaran Ayat Tidak Boleh Dinafikan
Firman Allah itu mutlak benar:
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
(al-‘Ankabut: 45)
Maka antara fungsi asas solat ialah pencegah maksiat. Ia tidak boleh dinafikan kerana ia ayat yang datang dari Allah, yang Maha Mengetahui kesan solat terhadap hati manusia. Tetapi....
b) Mengapa Ada Orang Solat Tapi Masih Buat Maksiat?
Kuncinya pada kualiti solat.
Jika solat dilakukan dengan khusyuk, faham apa yang dibaca dalam solat, ia akan menghidupkan hati, menimbulkan rasa muraqabah (sedar Allah memerhati), sehingga membawa ke luar solat, dalam aktiviti hariannya. Lalu, dengan perasaan ia diperhatikan itu, menahan dirinya dari membuat dosa.
Tetapi jika solat hanya gerakan jasad, tanpa hati yang hadir, ia jadi sekadar ritual , maka ia tidak menembusi jiwa, tidak dirasakan kesannya.
Analogi:
Seperti ubat – ia memang menyembuhkan. Tetapi kalau orang makan ubat tidak ikut cara betul (salah dos, tidak konsisten), penyakitnya tidak sembuh. Bukan kerana ubat itu tidak berkesan, tapi kerana cara pengambilan salah.
Begitu juga solat — tetap benar fungsinya, cuma manusia tidak melaksanakannya dengan betul.
c) Dalil Lain Menyokong
Allah juga menyebut tentang orang solat yang lalai:
“Maka celakalah orang yang solat, iaitu mereka yang lalai dalam solatnya, yang berbuat riya’.”
(al-Ma‘un: 4–6)
Ayat ini menunjukkan: solat yang tidak khusyuk, dibuat sekadar untuk menunjuk atau hanya satu kebiasaan, ia tidak membawa kesan dalam pencegahan dosa atau perbuatan salah. Ia solat, tapi terbabit dengan maksiat, bukankah itu memalukan? Sebab itu Allah kata ia celaka.
2. Dalil Hadis Nabi ﷺ
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Ada orang yang mendirikan solat, namun tidak ditulis baginya (pahala) kecuali sepersepuluh daripadanya, atau sepersembilan, atau seperlapan, sehingga ada yang tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih.”
(Riwayat Ibn Mājah – disahihkan oleh al-Albani)
Baik, mari kita tadabbur hadis ini.
a) Maksud Hadis
Hadis ini menegaskan bahawa nilai solat seseorang berbeza-beza bergantung pada keikhlasan dan kekhusyukan.
Ada orang solat penuh – tetapi pahala yang dicatat sangat sedikit, bahkan ada yang hanya dapat penat (yakni gerakan fizikal, tapi kosong dari pahala).
Ini berlaku bila solat dilakukan tanpa hati, sekadar rutin, atau bercampur dengan riya’ (nak menunjuk-nunjuk).
b) Psikologi Hadis
Ibadah secara fizikal sahaja itu seperti tubuh yang bekerja, tetapi otak dan hati tidak fokus. Akhirnya hanya letih yang dapat, tanpa ada kesan spiritual.
Mindfulness (kesedaran hati) dalam solat,
Kesedaran hati itu melatih disiplin diri, kawalan nafsu, dan ketenangan emosi. Inilah yang menghasilkan pahala dan pencegahan maksiat.
Tetapi, bila hati kosong, otak manusia akan kembali ke dunia luar walaupun tubuh masih di tikar solat. Itulah solat yang tidak memberi hasil.
Hadis ini memberi amaran bahawa:
- Tidak semua orang yang solat mendapat pahala penuh.
- Nilai solat bergantung pada kehadiran hati (khusyuk) dan keikhlasan.
- Jika solat dibuat sambil lalai, ia hanya tinggal sebagai gerakan badan — akhirnya hanya penat yang dapat, tanpa pahala dan tidak mencegah dari maksiat.
3. Psikologi Solat dan Dosa
Habit yang tanpa makna , iaitu bila solat dilakukan secara rutin tanpa penghayatan, ia hanya menjadi ritual mekanikal. Di mana otak tidak menghubungkan solat dengan nilai moral dalam kehidupan sebenar.
Pertentangan dalam fikiran seseorang (cognitive dissonance)
Orang yang tahu sesuatu itu salah, tetapi ia tetap buat kerana nafsu, akan cuba “tenangkan” dirinya dengan alasan: “Aku masih solat, Allah akan ampunkan”. Ini menyebabkan solat dijadikan topeng diri, bukan terapi jiwa.
Kelemahan pengendalian diri (self-regulation)
Solat yang khusyuk sebenarnya melatih disiplin emosi dan kontrol diri. Tetapi bila hati tidak hadir di dalam solat, latihan itu gagal, lalu nafsu dan bisikan syaitan mudah menguasai.
Kesimpulan
Orang yang solat tetapi masih melakukan dosa besar boleh jadi kerana:
a) Solatnya tidak khusyuk, ia hanya gerakan tanpa kesedaran hati.
b) Ia menjadikan solat sebagai formaliti, bukan ubat hati.
c) Nafsu dan godaan lebih kuat kerana tiada mujahadah jiwa.
d) Hatinya rosak oleh penyakit riya’, cinta dunia, dan tidak takut kepada Allah.
Oleh itu , solat sepatutnya mencegah kemungkaran, tetapi hanya berlaku bila ia benar-benar hidup dalam hati.
Tetapi, bila solat hanya di bibir dan tubuh, ia tidak akan meninggalkan kesan pada akhlak dirinya.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Padang Jawa.
25/9/2025
Ulasan
Catat Ulasan