Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,
Gejala pelajar sekolah
Bila timbul gejala pelajar ganas, berpoya-poya, malas dan membuang masa, ada beberapa “silap” atau kelemahan pendidikan di sekolah yang sering diperkatakan iaitu:
1. Pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan
Sistem kita lebih menekankan markah dan gred berbanding pembentukan akhlak dan jati diri.
Di mana, murid yang lemah akademik merasa gagal, lalu hilang motivasi yang akhirnya jadi malas, membuang masa, atau memberontak dengan tingkah laku ganas.
Dalam Islam, akhlak lebih utama daripada sekadar markah atau pencapaian akademik, kerana markah hanya berguna di dunia, tetapi akhlak mulia menentukan nilai seseorang di sisi Allah di dunia dan akhirat.
Allah berfirman dalam surah Asy-Syams: 9–10,
“Sungguh beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya, dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya.”
Maka, kejayaan sebenar menurut Al-Qur’an ialah kejayaan menjaga jiwa dan akhlak, bukan semata-mata pencapaian dunia.
Dalil Hadis
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”
(Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi)
Oleh itu, ukuran kualiti seorang mukmin ialah akhlak, bukan sekadar ilmu atau kepandaian.
2. Kurangnya penekanan pada pendidikan akhlak dan agama
Pendidikan agama/moral sering hanya diajar sebagai teori, tanpa penghayatan.
Di mana, akhlak tidak dibentuk melalui contoh, latihan, dan bimbingan rohani.
Maka, bila hati kosong, pelajar mudah terpengaruh dengan hiburan melalaikan dan gaya hidup berpoya-poya.
Allah telah ingatkan, dalam surah Az-Zukhruf: 36,
“Barangsiapa berpaling dari pengajaran (zikrullah) Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkannya), maka syaitan itulah menjadi teman yang selalu menyertainya.”
Hati yang kosong dari zikrullah akan ditemani syaitan, lalu cenderung kepada hiburan sia-sia dan maksiat.
3. Guru mengajar, bukan mendidik
Ada guru yang hanya fokus menyampaikan silibus, bukan membimbing jiwa.
Ini menyebabkan hubungan guru–murid jadi renggang yang menyebabkan pelajar tidak rasa disayangi atau dihargai.
Allah berfirman dalam surah
Al-Ahzāb: 21
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik (uswah hasanah) bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
Rasulullah ﷺ ditunjukkan Allah sebagai role model terbaik. Guru sebagai pendidik umat, wajib mencontohi cara baginda dalam membimbing dengan membawa teladan.
Bila guru bukan menjadi “role model” di sekolah, pelajar akhirnya mencari identiti di luar dengan cara salah.
4. Kelemahan sistem disiplin
Ada sekolah terlalu longgar hingga pelajar bebas buat sesuka hati.
Ada pula terlalu keras tanpa hikmah hingga pelajar memberontak dan menjadi ganas.
Sepatutnya , disiplin mesti disertai dengan pendekatan tarbiyah (didikan jiwa), kasih sayang, memahami masalah, bukan hanya hukuman.
Berikut dalil-dalil Al-Qur’an dan hadis yang menegaskan pendekatan tarbiyah penuh hikmah:
a) Surah An-Naḥl: 125
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…”
Dalam mendidik, Allah memerintahkan hikmah dan nasihat, bukan keras semata-mata. Hukuman mungkin ada tempatnya, tetapi mesti diiringi didikan jiwa.
b) Surah Āli ‘Imrān: 159
“Maka disebabkan rahmat dari Allah engkau (wahai Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan lari dari sekelilingmu…”
Kelembutan adalah asas tarbiyah. Jika terlalu keras, murid akan menjauh dan hilang rasa hormat.
c) Hadis tentang guru/pendidik:
Sabda nabi s.a.w,
“Permudahkanlah dan jangan mempersulit. Berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari (dari agama).”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Disiplin sepatutnya membimbing, memahami masalah, bukan menakutkan hingga pelajar lari daripada kebaikan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Bukanlah orang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang kuat ialah orang yang dapat mengendalikan dirinya ketika marah.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Bahkan dalam mendisiplinkan, pendidik mesti menahan marah. Hukuman tanpa tarbiyah hanyalah luahan emosi, bukan pendidikan.
5. Kurang pendidikan emosi dan sosial
Remaja alami tekanan identiti. Apa maksud tekanan identiti?
Tekanan identiti” (identity crisis / identity stress) ialah keadaan kekeliruan diri yang dialami oleh remaja atau pelajar ketika mereka mencari jawapan kepada soalan:
“Siapakah aku?”
“Apa tujuan hidup aku?”
“Nilai apa yang patut aku ikut?”
“Aku nak jadi macam siapa di masa depan?”
Tetapi sistem pendidikan jarang membantu mereka mengurus emosi, tekanan, dan konflik diri ini.
Allah sudah menerangkan apakah perkara paling asas yang perlu difahami oleh remaja iaitu:
a) Mengenal Allah sebagai Tuhan (Tauhid)
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”
(Surah Adz-Dzāriyāt: 56)
Inilah tujuan hidup manusia iaitu mengenal Allah dan beribadah kepada-Nya.
b) Kewajipan Mengenal Allah sejak muda
Seperti Luqman yang mengajar anaknya yang masih muda. Allah berfirman
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar.”
(Surah Luqmān: 13)
Luqman mendidik anaknya tentang tauhid sejak kecil/remaja. Ini menunjukkan mengenal Allah adalah asas pendidikan.
c) Mengenal Akhirat sebagai peringatan
Mengenal akhirat bukan setakat tahu saja, tapi sebagai peringatan. Allah berfirman,
“Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang (pada waktu itu) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian tiap-tiap diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya.”
(Surah Al-Baqarah: 281)
Ayat ini mengingatkan bahawa hidup bukan sekadar dunia, tetapi akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan yang adil.
Akibat tidak dididik dengan iman dan akhirat, maka mereka mencari kefahaman atau ketenangan dalam hiburan, melepak, dan aktiviti sia-sia.
6. Pengaruh luar lebih kuat daripada pengaruh sekolah
Media sosial, budaya hiburan, dan rakan sebaya lebih dominan kerana sekolah tidak membekalkan daya tahan rohani.
Sekolah gagal membina imuniti dalaman (self-control, rasa malu, takwa), maka pelajar mudah hanyut.
Islam sangat menekankan agar kita memilih kawan yang baik agamanya, kerana kawan akan sangat mempengaruhi iman, akhlak, dan arah hidup kita
Sabda nabi s.a.w,
“Seseorang itu berada atas agama (gaya hidup) temannya. Maka perhatikanlah dengan siapa kamu berkawan.”
(Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi, sahih)
Kawan sangat mempengaruhi cara hidup dan agama seseorang. Oleh itu penting guru mengajar anak murid menjadi kawan yang baik.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk ialah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin memberimu minyak wangi, atau engkau beli darinya, atau sekurang-kurangnya engkau mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, bisa membakar pakaianmu, atau engkau mendapat bau busuk darinya.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kawan yang baik memberi pengaruh positif manakala kawan buruk akan merosakkan.
Kesimpulan
Silapnya pendidikan sekolah ialah apabila ia lebih menekankan ilmu otak (akademik), tetapi mengabaikan ilmu hati (agama, akhlak, adab, kawalan diri).
Akibatnya, lahirlah pelajar yang mungkin pintar dari segi akademik, tetapi kosong jiwa , lalu cenderung ganas, berpoya-poya, malas dan membuang masa.
Ringkasnya:
Sekolah berjaya mencerdikkan fikiran, tetapi gagal mendidik hati.
Semoga bermenafaat dan kongsikan kepada orang lain.
Padang Jawa.
25/8/2025
Ulasan
Catat Ulasan