Langkau ke kandungan utama

322) BILAKAH MASA UNTUK BERAMAL?

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,





Memilih

   Benarkah sekarang ini masanya kita memilih mahu masuk syurga atau neraka?

    Benar. Sekarang – ketika kita masih hidup di dunia – inilah satu-satunya masa kita boleh memilih antara syurga atau neraka. Setelah mati, pintu pilihan tertutup dan hanya ada balasan. Inilah prinsip asas dalam Islam yang ditegaskan oleh al-Qur’an dan Sunnah.




Dalil-dalil yang Menunjukkan Dunia Adalah Tempat Membuat Pilihan

 1. Surah Al-Kahfi (18): 29

   "Dan katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhan kamu. Maka sesiapa yang mahu, hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang mahu, hendaklah dia kufur..."

     Allah memberi pilihan kepada manusia semasa hidup ini , bukan selepas mati, iaitu samada mahu beriman atau mahu kufur .  Tetapi dengan jelas Allah memberi amaran bahawa setiap pilihan ada akibatnya iaitu syurga bagi yang beriman  dan neraka bagi yang kufur.  Pilihan di tangan kita sendiri.




2. Surah Ibrahim (14): 2


 "...Allah yang memiliki segala yang di langit dan di bumi. Kecelakaan besarlah bagi orang-orang kafir kerana azab yang sangat berat."


    Ayat ini menunjukkan bahawa dunia adalah tempat ujian .  Allah beri kita kaya, Allah beri kita jawatan, beri kita sihat, beri kita pandai berceramah dan macam- macam, itu semua ujian bagi kita. Bukan keistimewaan. 

   Dan mereka yang memilih kekufuran akan menerima balasannya kelak.  Kalau kita pilih salah guna apa yang Allah beri, maka bersiaplah di hadapan Allah nanti untuk disoal jawab. Yang mana walau sekecil dosa pun akan Allah beri balasan. Dan sekecil amal pun Allah akan beri ganjaran. 

    Jadi persediaan untuk  bertemu pengadilan Allah kita mulakan dari. sekarang.


3. Surah Al-Mulk (67): 2


     "Dialah yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalnya."

     Hidup di dunia tujuannya adalah untuk diuji, dan ujian itu menentukan nasib kira di  akhirat – syurga atau neraka. Oleh itu, semasa hidup inilah kita memilih, mahu membuat amal soleh atau amal yang buruk. Yang masing-masing akan membawa akibat yang berlainan. Amal soleh membawa ke syurga manakala amal buruk membawa kita ke neraka.



 4. Sabda Nabi ﷺ:

    “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
(HR Muslim)

   Pilihan hanya berlaku semasa hidup. Selepas mati, tiada lagi peluang untuk memilih atau beramal. Sedekah dapat di buat semasa hidup, ilmu dapat di manfaatkan jika semasa hidup kita sampaikan ilmu, dan anak soleh mesti dididik menjadi anak soleh semasa kita hidup.  Bila sudah mati amalan pun terhenti.




Neraka Bukan untuk Dihindari Selepas Mati — Tetapi Sekarang


   "Pada hari itu (akhirat), seseorang tidak lagi dapat menebus dirinya dengan apapun..."
[ Surah Al-Baqarah (2): 123]

    Hari kiamat bukan tempat untuk memilih, tetapi hari pembalasan. Di mana tidak ada orang yang dapat menolong orang lain pada hari itu. Kita tak dapat menebus diri kita dengan apa pun pada hari itu. Oleh itu,  di dunia inilah kita memilih hendak pergi ke mana di akhirat nanti. 



 Syurga Disediakan Bagi Mereka Yang Memilih Jalan Ketaatan Sekarang


    "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal."
[Surah Al-Kahfi (18): 107]


   Hanya mereka yang memilih iman dan amal soleh di dunia, akan mendapat syurga di akhirat.

     Jika orang berkata , "tak payah lah nak beriman dan beramal sangat, belum tentu masuk syurga". Ya masuk syurga bukan kita  tentukan  . Tapi Allah berjanji bahawa,  
  "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal."

    Oleh itu, kita beriman dengan iman yang sahih seperti nabi dan para sahabat. Beramal dengan amal yang soleh di mana syaratnya ada 3 iaitu:
a)  beriman kepada Allah
b)  ikhlas kerana Allah
c)  beramal dengan ittiba' kepada rasul.

    Jika semua yang tersebut dipenuhi mengapa kita ragu dengan janji Allah?  Dan iman dan amal itu mesti diusahakan semasa hidup bukan selepas mati. 


Menyesal Selepas Mati Tidak Berguna – Sudah Terlambat

   Dalam Islam, penyesalan selepas mati tidak memberi manfaat kerana masa beramal sudah tamat. Saat nyawa dicabut, lembaran amalan tertutup. Penyesalan yang disebut dalam al-Qur’an hanya menjadi azab batin bagi orang kafir dan orang yang lalai semasa hidup.



Dalil-dalil Jelas:

1. Surah Al-Mu’minun (23): 99–100


   "Hingga apabila datang kematian kepada salah seorang dari mereka, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan.’ Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang diucapkannya sahaja..."


    Mereka menyesal dan minta peluang kedua, tapi Allah tolak: “Tidak!” . Bermakna di akhirat, masa untuk beramal sudah tamat. Pintu sudah dikunci. Di dunia inilah jika mahu beramal soleh. Di dunia inilah jika mahu bertaubat.  Dan di dunia inilah jika mahu minta dihalalkan dari orang yang kita aniaya. Bila sudah sampai akhirat, masa sudah habis, peluang sudah tertutup.  Pintu ditutup rapat.




 2. Surah As-Sajdah (32): 12

   "Dan (alangkah ngerinya) jika kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka, (sambil berkata): 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal yang soleh. Sungguh, kami kini orang-orang yang yakin'.”


    Semasa hidup, seronok kata ini, kata itu. Tanpa sedar kata itu fitnah dan mengumpat. Seronok beramai-ramai buat fitnah dan menghasut. Tapi bila di akhirat ditunjukkan dosa dan balasannya, masing- masing tunduk dalam kengerian. Sesal datang, takut datang , kecewa pun datang. Tapi semua sudah terlambat. Ingin kembali ke dunia?

    Allah kata, itu tak mungkin. Masa sudah diberi masa di dunia. Kitab petunjuk sudah ada semasa di dunia. Tapi kamu memilih hawa nafsu. Sesal sudah tak berguna. 

  Itulah   penyesalan yang sia-sia, kerana dunia sudah ditinggalkan.



3. Surah Al-Fajr (89): 23–24

 "Pada hari itu, manusia akan ingat (apa yang telah dikerjakannya), tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. 

"Dia akan berkata: 'Aduhai! Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu mengerjakan (kebajikan) untuk hidupku (akhirat).'"

      Semasa di akhirat  ,  Allah beri kita kebolehan mengingat apa yang kita buat di dunia secara detail. Apa yang tersembunyi semua tersingkap di hari itu.  Barulah kita kita rasa malu, takut, ngeri dan sesal dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Hingga kita berkata, : "Alangkah baiknya kalau dulu aku beramal soleh. Aku solat, aku puasa, aku tak fitnah orang , aku tak  hasut rakyat supaya membenci seseorang?"

   Tapi kesedaran itu sudah terlambat. Masa sudah tamat. Tipuan dunia sudah memakan dirinya sendiri.

    Ayat ini menggambarkan kesedaran terlambat yang tidak memberi faedah.  Kalau hendak menyesal, menyesallah di dunia ini sekarang!



4. Hadis Nabi ﷺ:

  “Apabila mati anak Adam, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara…”
(HR Muslim)

    Allah beri kita hidup sekian-sekian tahun lamanya. Itu sudah cukup untuk kita beramal soleh dan masuk syurga Allah. Tapi kita sia-siakan. Masa banyak digunakan untuk memuaskan kehendak nafsu, mengejar harta, dan wang ringgit.

    Bila mati baru tersedar. Yang boleh dibawa hanyalah pahala dari amal-amal soleh kita. Tapi amal kurang. Dosa banyak. Maka kalau nak masuk syurga kenalah dibersihkan dosa itu dengan hukuman dari Allah.  Kalau kita mati dalam syirik kepada Allah, kita tetaplah tidak akan dapat masuk syurga selama- lamanya. 

    Bila mati , amalan sudah tidak diterima lagi, kecuali warisan pahala seperti sedekah jariah , ilmu yang bermenafaat kepada orang lain dan doa anak yang soleh. 





Kesimpulan Penting

-   Dunia adalah ladang akhirat – sekaranglah masanya kita menanam amal.

-   Setiap hari kita sedang membuat pilihan – taat atau ingkar, sabar atau putus asa, amal atau lalai.

-    Syurga dan neraka adalah balasan bagi pilihan itu – bukan nasib, tapi hasil usaha kita sendiri.



     Semoga bermenafaat dan sila sampaikan kepada orang lain.





Padang Jawa.
27/7/2025

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...