Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,

Tak Ambil Iktibar
Kenapa manusia tak ambil iktibar dari kematian, padahal dia dengar tentangnya setiap hari?
Walaupun mendengar berita kematian, baik orang yang ia kenali atau ia tak kenali, tetapi seseorang tidak ambil iktibar darinya. Ia tak menambahkan rasa ingin beramal dan meninggalkan kesia-siaan. Kenapa?
Ini kerana mungkin disebabkan perkara berikut
1. Hati Yang Keras dan Lalai
Kerana hati telah menjadi keras, lalai dengan dunia, dan dikuasai hawa nafsu. Walaupun telinga mendengar tentang kematian, hati tidak tersentuh kerana bukan matanya yang buta tetapi hati yang buta. Allah jelaskan,
“Bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang berada di dalam dada.”
(Surah Al-Hajj: 46)
Dan Allah berfirman lagi,
“Kemudian setelah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.”
(Surah Al-Baqarah: 74)
Manusia boleh menangis saat mendengar berita kematian, tetapi amalannya tidak berubah, kerana hati keras akibat:
- dosa berulang kali,
- banyak melihat maksiat,
- terlalu cinta dunia,
- tidak merenung ayat Allah.
2. Diperdaya oleh Dunia
Ia terpedaya itu dengan cara:
a) Sibuk dengan dunia
Dia sibuk dan pandai dalam bab kehidupan dunia. Tetapi tentang akhirat ia tak ambil tahu. Maka Allah berfirman,
“Mereka hanya mengetahui yang lahir sahaja dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.”
(Surah Ar-Rum: 7)
b) Bermegah-megah dengan dunia
Firman Allah lagi dalam Surah At-Takathur: 1–2
"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur."
(Surah At-Takathur: 1–2)
Allah menyatakan bahawa manusia sibuk berbangga dan berlumba-lumba mengumpul dunia hingga lalai, dan hanya akan sedar setelah masuk ke dalam kubur — tetapi ketika itu sudah terlambat.
c) Dikejar tanpa batas
Ramai yang sibuk bekerja, berniaga, dan berhibur sehingga tiada masa untuk renungan dan muhasabah.
d) Rasa kematian itu jauh
Manusia rasa seolah-olah mati itu tidak dekat, padahal ajal itu boleh datang bila-bila masa.
Apa Kesan Lalai dari Kematian?
Kesannya ialah:
- Tidak bersedia menghadapi akhirat
- Tidak bertaubat
- Tidak beramal soleh
- Hati menjadi keras
- Hidup tanpa arah dan tujuan sebenar
3. Syaitan Menipu & Melalaikan
Syaitan memang bijak dalam menipu manusia. Firman Allah,
“Syaitan menjadikan mereka lupa mengingati Allah. Mereka itulah golongan syaitan.”
(Surah Al-Mujadilah: 19)
Apa yang syaitan bisikkan kehati manusia? Iaitu kau...
“Masih muda lagi…”
“Bertenanglah, nikmati hidup dulu…”
“Taubat nanti-nanti…”
Sehingga mati datang tiba-tiba tanpa persediaan.
4. Tidak Menggunakan Akal dan Hati
Ramai manusia tidak mengambil iktibar dari kematian kerana mereka tidak menggunakan akal dan hati dengan sebaiknya, sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran. Allah mencela mereka yang lalai, tidak merenung, dan hidup seolah-olah dunia ini tempat yang kekal.
Dalilnya,
“Tidakkah mereka berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dapat memahami atau telinga yang dapat mendengar? Bukan mata yang buta, tetapi hati yang dalam dada.”
(Surah Al-Hajj: 46)
Ayat ini menjelaskan bahawa kebutaan sebenar bukanlah buta mata, tetapi buta hati — tidak mahu memahami, tidak mahu merenung dan tidak mengambil pelajaran dari kejadian-kejadian di dunia, termasuk kematian.
Surah Qaf: 37
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengaran, sedang dia menyaksikannya.”
(Surah Qaf: 37)
Hanya orang yang memiliki hati yang hidup dan menggunakan pendengaran secara sedar yang dapat mengambil pengajaran.
Apa Peranan Akal dan Hati dalam Mengambil Iktibar?
Iaitu,
a) Akal Menganalisis kejadian kematian dan kefanaan dunia.
Manakala hati merasai hakikat kehidupan akhirat dan mendekatkan diri kepada Allah
b) Akal menyedari bahawa dunia sementara . Maka hati tunduk kepada kebenaran dan takutkan azab Allah.
c) Akal membawa kepada tafakur. Lalu hati pula membawa kepada taubat dan tawakal
Oleh itu, tanpa gabungan akal dan hati yang bersih, kematian hanya dilihat sebagai peristiwa biasa, bukan sebagai peringatan tentang kehidupan akhirat.
5. Cinta Dunia, Takut Mati
"Cinta dunia dan benci kepada mati."
(HR. Abu Dawud – hadis tentang kelemahan umat akhir zaman)
Ramai mengaku beriman, tetapi takut kehilangan dunia, bukan takut kehilangan akhirat. Ia sanggup mengorbankan akhirat demi mendapat faedah dunia ini.
Bagaimana untuk menjadikan kematian sebagai iktibar?
Iaitu dengan:
1. Ziarah kubur
Nabi ﷺ bersabda:
“Ziarahilah kubur, kerana ia mengingatkan kamu kepada kematian.”
(HR. Muslim)
2. Baca dan tadabbur Al-Qur’an
Al-Qur’an menghidupkan hati yang mati.
3. Jaga solat dan muhasabah harian
Kita jaga solat , solat cegah kita dari kemungkaran.
4. Berkawan dengan orang soleh
Orang soleh akan ingatkan kita kepada akhirat.
5. Kurangkan hiburan,
Kerana hiburan itu disukai nafsu. Sebaliknya lebihkan tazkirah dan ilmu
Kesimpulan:
Walaupun manusia mendengar tentang kematian setiap hari, dia tetap lalai, kerana:
- hati keras dan tak tadabbur al quran
- diperdaya dunia dan syaitan,
- dan tidak mengambil langkah untuk mendekat kepada akhirat.
“Cukuplah kematian itu sebagai peringatan.”
(HR. Tirmizi – Hadis hasan)
Semoga Allah menjadikan kita golongan yang bertafakur bila melihat kematian, bukan sekadar mendengar tanpa berubah.
Dan sampaikan kepada orang lain.
Padang Jawa.
10/7/2025
Ulasan
Catat Ulasan