Bismillah.

Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,







Apa makna Laknat?
Laknat Allah bermaksud 'Pengusiran dan penolakan dari rahmat Allah serta jauh dari kasih sayang dan redha-Nya, baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.'
Bentuk-bentuk laknat ini boleh dilihat dalam berbagai keadaan dan hukuman yang Allah timpakan kepada golongan yang dimurkai-Nya.
Berikut ialah bentuk-bentuk laknat Allah dengan dalil daripada Al-Qur’an dan Hadis:
1. Dilaknat Secara Lisan oleh Allah dalam Al-Qur’an
Allah menyebut secara jelas laknat terhadap golongan tertentu. Misalnya ,
"Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala (neraka)."
(Surah Al-Ahzab: 64)
Dan,
"Mereka itu dilaknat oleh Allah, oleh para malaikat dan oleh manusia semuanya."
(Surah Ali ‘Imran: 87)
Ciri-ciri orang yang dilaknat dalam ayat ini iaitu orang yang:
- Kufur kepada Allah dan Rasul
- Mati dalam keadaan kufur tanpa taubat
- Menentang kebenaran dan memusuhi agama
- Membantu menyesatkan manusia lain
Dilaknat oleh Allah itu maknanya, mereka dikutuk dan dijauhkan dari rahmat Allah, bahkan dilaknat oleh para malaikat dan manusia juga.
2. Dilaknat dengan Siksaan di Dunia
Laknat boleh berupa azab atau hukuman fizikal di dunia, seperti kehinaan, penyakit, perubahan bentuk tubuh, atau dimusnahkan.
Contoh:
"Maka tatkala mereka berlaku sombong terhadap apa yang dilarang kepada mereka, Kami katakan kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina."
(Surah Al-A'raf: 166)
Iaitu orang yahudi dilaknat dengan diubah menjadi kera akibat melanggar perintah Allah.
Contoh hukuman fizikal lagi sebagai laknat dari Allah:
a) Firaun dan kaumnya
Azab dengan ditenggelamkan dan laknat yang berkekalan.
Dalilnya ,
“Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya di laut, sebab mereka semua orang yang zalim.”
(Surah Al-Anfal: 54)
Dan juga,
“Dan dilaknatlah mereka di dunia dan di hari kiamat.”
(Surah Hud: 99)
Iaitu Allah laknat Firaun dengan:
- Azab dunia: tenggelam dalam laut
- Azab akhirat: masuk neraka dan kehinaan
b) Kaum Tsamud
Disambar petir dan gempa bumi
Dalilnya,
“Dan orang-orang yang mendustakan Shalih, mereka dibinasakan oleh satu suara keras yang mengguntur...”
(Surah Hud: 67)
Iaitu mereka dihina dan dilaknat dengan kehancuran seluruh kampung.
3. Dilaknat dengan Tidak Diberi Hidayah
Orang yang dilaknat oleh Allah akan dijauhkan dari petunjuk.
Dalilnya,
a) surah annissa: 52
"Barangsiapa yang dilaknat oleh Allah, nescaya kamu sekali-kali tidak akan mendapat penolong baginya."
(Surah An-Nisa’: 52)
Di mana, hatinya dibiarkan sesat dan tidak memahami kebenaran.
Orang yang dilaknat oleh Allah akan dijauhkan dari petunjuk (hidayah). Ini adalah salah satu kesan paling dahsyat daripada laknat Allah: hati menjadi tertutup, tidak nampak kebenaran, dan terus hidup dalam kesesatan hingga ajal menjemput.
b) Surah An-Nisa’ ayat 88:
"Barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka kamu tidak akan mendapatkan jalan baginya."
(An-Nisa’: 88)
Bila Allah melaknat dan menyesatkan seseorang, tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi petunjuk kepadanya, walau dia dengar ceramah, baca al-Qur’an atau berada di sisi orang beriman.
c) Surah Al-A'raf: 146
“Aku akan palingkan daripada ayat-ayat-Ku orang-orang yang sombong tanpa alasan di muka bumi. Jika mereka melihat tiap-tiap ayat, mereka tidak beriman kepadanya. Jika mereka melihat jalan yang lurus, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan.”
Inilah bentuk hukuman jiwa dan hati – mereka tahu kebenaran tetapi tak mahu ikut, kerana hidayah dicabut akibat kesombongan, dosa dan laknat Allah.
Kenapa Allah menjauhkan hidayah daripada orang tertentu?
Iaitu samada :
a). Kerana mereka mendustakan kebenaran selepas mengetahuinya.
b) Mereka terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat, lalu hati menjadi keras.
c) Mereka sombong dan angkuh, tidak mahu tunduk kepada syariat.
d) Mereka menjadi penentang kebenaran, bukan sekadar jahil.
Kesan Jauh dari Petunjuk:
- Tidak rasa bersalah bila buat dosa
- Tak dapat bezakan antara haq dan batil
- Hati keras walau selalu dengar peringatan
- Benci pada kebenaran dan orang soleh
- Bertambah sesat dan semakin jauh dari Allah
4. Dilaknat dengan Didoakan oleh Malaikat dan Orang Beriman
Orang zalim dan munafik boleh dilaknat oleh para malaikat dan orang-orang beriman.
Dalilnya,
"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan."
(Surah Al-Ahzab: 57)
Dan lagi,
Surah At-Taubah: 68
"Allah menjanjikan orang-orang munafik, lelaki dan perempuan, dan orang-orang kafir, neraka Jahannam… Allah melaknat mereka dan bagi mereka azab yang kekal."
Orang munafik itu dilaknat oleh Allah, dan layak juga dilaknat oleh malaikat dan orang mukmin kerana:
- mereka menipu agama,
- berpura-pura beriman,
- tetapi dalam hati benci kepada Islam dan suka melihat Islam runtuh.
5. Dilaknat dalam Bentuk Kehinaan di Akhirat
Laknat Allah bukan hanya bermaksud dijauhkan dari rahmat-Nya di dunia, tetapi termasuk juga kehinaan abadi di akhirat, iaitu:
Diperlakukan dengan penuh kehinaan, kehampaan, azab yang menjatuhkan maruah, dan tidak dipandang langsung oleh Allah.
Bentuk paling berat adalah jauh dari rahmat Allah di akhirat, serta masuk ke dalam neraka secara kekal.
Dalilnya:
a) surah al Baqarah : 161,162
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati dalam kekafiran, mereka itu dilaknat oleh Allah, para malaikat dan manusia semuanya.
Mereka kekal di dalamnya (neraka), tidak diringankan azabnya dan tidak pula mereka diberi tangguh."
(Surah Al-Baqarah: 161-162)
Mereka yang dilaknat diakhirat itu dengan cara:
- Dihina di neraka
- Tidak diberi peluang pembelaan
- Kekal dalam azab
b) Surah Al-Furqan: 69
"Akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam kehinaan."
Ia dilaknat bukan sekadar dengan azab, tetapi azab yang menghina
kan.
Contohnya:
- Dicela di hadapan seluruh manusia
- Dirantai dan diseret dalam neraka
- Wajah gelap, mata buta, lidah bisu
6. Dilaknat Rasulullah ﷺ dalam Doanya
Nabi ﷺ sendiri pernah mendoakan laknat kepada golongan tertentu seperti:
Hadis:
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang meminta disambungkan rambutnya, orang yang mencacah tatu dan yang meminta dicacah tatu."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Ini menunjukkan perbuatan haram boleh menyebabkan pelakunya dilaknat.
Siapakah Golongan yang Dilaknat?
Berikut ialah senarai ringkas golongan yang dilaknat oleh Allah, Rasul-Nya, dan para malaikat, berserta dalilnya:
1. Iblis
Sebab:
Ingkar dan sombong tidak mahu sujud kepada Nabi Adam.
Dalilnya,
"Maka keluarlah kamu dari syurga, sesungguhnya kamu adalah yang terlaknat."
(Surah Sad: 77–78)
2. Orang Kafir dan Munafik
Sebab:
Kufur kepada Allah dan menyembunyikan kebenaran.
Dalilnya,
"Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala."
(Surah Al-Ahzab: 64)
Dan lagi,
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari neraka."
(Surah An-Nisa': 145)
3. Pembunuh Orang Mukmin Tanpa Hak
Dalilnya,
"Dan barang siapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, kekal di dalamnya dan Allah murka kepadanya, melaknatnya dan menyediakan azab yang besar baginya."
(Surah An-Nisa’: 93)
Membunuh orang mukmin dengan sengaja bermaksud, seseorang membunuh seorang Muslim yang beriman dengan niat dan pengetahuan penuh, bukan kerana silap atau tidak sengaja.
4. Pemutus Silaturrahim
Dalilnya,
"Mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatan mereka."
(Surah Muhammad: 23)
Silaturrahim (الصلَة الرَّحِم) bermaksud menghubungkan hubungan kekerabatan atau persaudaraan yang dituntut oleh agama – khususnya dengan ahli keluarga, saudara mara, dan kaum kerabat.
Maka, memutus silaturrahim bermaksud:
Tidak menjalinkan hubungan yang sepatutnya dengan kaum kerabat, seperti:
- tidak menziarahi,
- tidak memberi salam atau menjawab salam,
- memutus komunikasi (tanpa sebab syar’i),
- tidak membantu dalam kesusahan,
- menyebarkan permusuhan dan kebencian,
- mendiamkan diri dalam waktu yang lama tanpa uzur.
5. Perempuan yang Menyambung Rambut, Mencabut Bulu Kening, Bertatoo.
Dalilnya,
"Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambung, yang mencabut bulu kening, yang membuat tatu dan yang minta ditatu."
(HR. Bukhari dan Muslim)
Hadis ini melibatkan larangan tegas terhadap perbuatan mengubah ciptaan Allah demi kecantikan yang menipu atau bertentangan dengan syariat. Semua perbuatan ini dikaitkan dengan laknat Allah, iaitu:
- Dijauhkan dari rahmat-Nya,
- Mendapat kemurkaan-Nya,
- Tidak diterima amal kecuali bertaubat.
Kenapa Perbuatan Ini Dilaknat?
a) Mengubah ciptaan Allah tanpa keperluan syar’i
b) Menipu dan menimbulkan fitnah
c) Meniru budaya bukan Islam atau kaum fasik
d) Membawa kepada kesombongan, riya’, dan pamer kecantikan secara haram
6. Penzina dan Penuduh Zina Tanpa Bukti
Dalilnya,
"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik lagi beriman, (mereka) dilaknat di dunia dan akhirat dan bagi mereka azab yang besar."
(Surah An-Nur: 23)
Penzina dihukum berat di dunia dan dilaknat Allah jika tidak bertaubat.
Penuduh zina tanpa bukti lebih berat lagi, kerana dia melakukan fitnah besar yang boleh menghancurkan maruah seorang mukmin yang suci.
7. Peminum Arak dan Penyokongnya
Dalilnya,
Nabi ﷺ bersabda:
"Allah melaknat khamar, peminumnya, pemberinya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang minta diperah, pembawanya dan yang minta dihantarkan."
(HR. Abu Dawud dan Ibn Majah)
Termasuk yang dilaknat iaitu:
1. Pemilik khamar
Mereka yang menghasilkan atau memiliki arak dengan tujuan digunakan.
2. Peminum
Orang yang minum arak – ini dosa besar dan dilaknat Allah.
3. Pemberi minum
Orang yang menuangkan atau menyajikan arak kepada orang lain, walaupun dia tidak minum.
4. Penjual
Orang yang menjual arak untuk keuntungan – rezeki haram.
5. Pembeli
Orang yang membeli arak walaupun untuk diberikan kepada orang lain.
6. Pemerah (pengeluar)
Orang yang memproses atau memerah bahan untuk dijadikan arak. Pekerja kilang arak.
7. Yang minta diperah
Orang yang menyuruh atau mengupah orang lain untuk membuat arak.
8. Pembawa arak
Orang yang membawa atau mengangkut arak. Pemandu lori arak.
9. Yang minta dihantarkan
Orang yang memesan arak untuk dirinya.
10. Semua yang membantu
Mereka yang terlibat dalam apa cara sekalipun dalam pengedaran atau penggunaan arak.
8. Pemakan Riba
Dalilnya,
"Orang-orang yang makan riba... mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya. Allah melaknat mereka."
(Surah Al-Baqarah: 275–276)
Orang yang makan atau terlibat dengan riba secara sengaja, maka ia:
- Dilaknat oleh Allah
- Diancam kekal dalam neraka jika mati tanpa taubat
- Menjadi musuh Allah dan Rasul
9. Orang yang Mengubah Batas Tanah Orang Lain
Dalilnya,
"Allah melaknat orang yang mengubah batas tanah."
(HR. Muslim)
Contoh perbuatan yang termasuk dalam larangan ini:
- Ubah pelan tanah jiran semasa pembinaan pagar.
- Tambah kawasan tanpa izin seperti dalam kebun sawit, dusun, rumah dan lain-lain
- Menggunakan "jalan belakang" untuk memiliki tanah pusaka lebih dari bahagiannya.
- Menyogok pegawai untuk mendapat tanah yang bukan haknya.
10. Lelaki Menyerupai Wanita dan Sebaliknya
Dalilnya,
Nabi ﷺ bersabda:
"Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
(HR. Bukhari)
"Menyerupai" (تشبّه) bermaksud:
Meniru atau menampakkan diri seperti jantina lawan dalam:
- Pakaian
- Gaya rambut
- Suara atau cara bercakap
- Gerak tubuh
- Cara berjalan atau berlagak
- Pekerjaan atau peranan yang khusus bagi lawan jantina (jika menyalahi syariat dan fitrah)
Kenapa Perbuatan Ini Dilaknat?
a). Melanggar fitrah Allah:
Allah menciptakan lelaki dan wanita dengan identiti dan ciri khas masing-masing. Menyamar atau meniru adalah penghinaan terhadap fitrah.
b) Mengelirukan masyarakat:
Perbuatan ini membuka pintu kepada percampuran jantina, kerosakan akhlak, dan fenomena LGBT/transgender.
c) Meniru budaya fasik atau kaum yang dilaknat:
Kaum Nabi Lut dihancurkan kerana menyimpang dari fitrah (Surah Al-A’raf: 80–84)
11. Orang yang Menyembunyikan Ilmu
Dalilnya,
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan keterangan-keterangan (ayat-ayat Allah)... mereka itu dilaknat oleh Allah dan semua yang dapat melaknat."
(Surah Al-Baqarah: 159)
Siapa yang dimaksudkan dalam ayat ini?
Orang yang menyembunyikan ilmu, kebenaran dan petunjuk Allah, termasuk:
- Ulama, guru, atau sesiapa yang tahu kebenaran tetapi tidak menyampaikannya.
- Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menyembunyikan berita tentang Nabi Muhammad ﷺ.
- Mana-mana individu yang menyembunyikan dalil atau hukum Allah kerana takut kehilangan pangkat, duit, atau kepentingan peribadi.
Apa maksud ‘menyembunyikan keterangan’?
- Tidak menyampaikan ayat/hukum Allah yang diketahui, padahal orang ramai memerlukan.
- Memutarbelit atau menyembunyikan kebenaran dalam urusan fatwa, dakwah, atau ilmu.
- Tidak memperbetulkan kesesatan, bidaah, atau maksiat padahal dia tahu itu salah.
Apa akibatnya?
"Mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua yang dapat melaknat."
12. Penderhaka kepada Ibu Bapa
Tidak disebut secara langsung laknat, tetapi penderhakaan termasuk dosa besar yang membawa murka dan jauh dari rahmat Allah.
"Ridha Allah bergantung pada keridhaan orang tua, dan murka Allah bergantung pada kemurkaan orang tua."
(HR. Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan bahawa keredhaan dan kemurkaan Allah sangat berkait rapat dengan hubungan anak dan ibu bapanya.
Hadis ini juga memberi peringatan bahawa menjaga hati dan perasaan ibu bapa adalah ibadah besar, dan menderhaka kepada mereka adalah dosa besar.
Dalilnya lagi,
Hadith nabi s.a.w,
'Maukah aku beritahukan kamu dosa besar yang paling besar?... Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua ibu bapa.”
(HR. Bukhari & Muslim)
Tetapi jika ibu bapa menyuruh anak buat maksiat atau menentang Allah, maka tidak wajib taat, tetapi masih wajib hormat dan berbuat baik.
Kesimpulan:
Laknat Allah (لَعْنَةُ اللهِ) bermaksud:
Dijauhkan dari rahmat Allah, ditolak dari kasih sayang dan keberkatan-Nya, serta diancam dengan azab yang berat di dunia dan akhirat.
Laknat adalah tanda kemurkaan Allah akibat dosa besar atau kekufuran yang nyata. Ia boleh berlaku melalui azab dunia, kehilangan hidayah, dan akhirnya masuk neraka di akhirat.
Akibat Laknat Allah
Orang yang Allah laknat maka dia:
- Tidak mendapat hidayah.
- Dihina dan dipermalukan di dunia dan akhirat.
- Dosa tidak diampun kecuali taubat sebenar.
- Terputus dari rahmat Allah dan doa makhluk.
- Diharamkan dari syurga jika tidak bertaubat.
Semoga bermenafaat dan sila sampaikan kepada orang lain.
Klang.
10/7/2025
Ulasan
Catat Ulasan