Langkau ke kandungan utama

249) APAKAH CIRI-CIRI SUAMI YANG SOLEH?

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,





SUAMI YANG SOLEH

      Ciri-ciri suami yang soleh itu merujuk kepada lelaki yang bukan sahaja menjalankan tanggung- jawab zahir dalam rumahtangga, tetapi juga memimpin keluarganya menuju redha Allah. Berikut adalah ciri-ciri penting suami yang soleh, berserta dalil dan penjelasan:




1. Taat kepada Allah dan Rasul

   Ia  sentiasa menjaga solat, menjauhi dosa besar, berakhlak mulia, dan hidup berdasarkan syariat.  Dalilnya ayat  66:6,



> "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka..."
(Surah At-Tahrim: 6)

       Dari ayat ini Allah menyeru seorang suami atau bapa yang kalau dia rasa dia beriman, maka pelihara atau lindungi ahli keluarganya dari api neraka. Bagaimana caranya?

     Iaitu dengan menyuruh ahli keluarganya:
a)   taat perintah Allah
b)   jauhi larangan Allah
c)  Mendidik dan memimpin keluarga dengan ilmu agama, akhlak, ibadah, dan ketaqwaan.

   Kerana apa nak selamat? Sebab bahan  bakar neraka itu ialah manusia yang ingkar dan batu. Iaitu amat dahsyatnya.

    Maka,  seorang suami harus membawa  keluarganya ke syurga,  bukan neraka. 




2. Menjadi pemimpin yang adil dalam rumah tangga

   Memimpin isteri dan anak-anak dengan hikmah, tegas dalam perkara agama, lembut dalam pergaulan.  Dalilnya ayat  4:34,



> "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita..."
(Surah An-Nisa: 34)

Dalam bahasa Arab:

> الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

   "Qawwamun" bermaksud pemimpin, pelindung, dan penanggungjawab.

  Ini menegaskan bahawa lelaki (suami/bapa) adalah ketua dalam keluarga yang bertanggungjawab:

a )  Mendidik isteri dan anak-anak supaya hidup mengikut syariat

b)  Membimbing dengan agama dan akhlak,

c)   Menyediakan nafkah, keselamatan, dan kasih sayang.

   Tetapi kepimpinan ini bukan kuasa mutlak sehingga ia tidak boleh ditegur kesalahannya, atau untuk menindas, tetapi amanah yang sangat besar di sisi Allah.

  Bagaimana cara ia mendidik  ahli keluarganya?  Iaitu dengan hikmah (kebijaksanaan) seperti:

a)  Menilai waktu dan cara untuk menegur kesalahan.

b)  Mendidik dengan sabar, bukan marah buta.

c)   Menasihati dengan contoh dan ilmu.


     Seorang suami atau bapa juga harus tegas dalam beragama terutama dalam hal-hal yang wajib dan haram seperti:

a)  Tidak membiarkan keluarga lalai dari solat, tidak menutup aurat dan menjaga pergaulan.

b)  Mengambil berat tentang halal-haram dalam rumah tangga.

c)  Tidak tunduk kepada tekanan sekeliling yang mengabaikan syariat.


   Seorang suami atau bapa juga harus lembut dalam pergaulan kepada ahli keluarganya. Ini kerana ia mencontohi rasulullah dalam pergaulan di mana Rasulullah ﷺ adalah contoh terbaik dengan sabdanya,


“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)

   Di mana baginda tidak pernah memukul isteri, bahkan melayan dengan kasih dan lemah lembut.



3. Menunaikan tanggungjawab nafkah dan perlindungan

  Memberi makan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan zahir dan batin dengan penuh tanggungjawab.  Dalilnya ayat 2: 233,



> "Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf..."
(Surah Al-Baqarah: 233)

    Ayat ini menyentuh hak dan tanggungjawab seorang ayah terhadap ibu kepada anaknya, terutama selepas melahirkan anak, sama ada masih sebagai isteri atau dalam keadaan berpisah (cerai).

     “Kewajiban ayah ialah memberi makan dan pakaian” membawa maksud bahawa:

a)   Allah menegaskan bahawa tanggungjawab kewangan berada di atas bahu ayah.

Ini merangkumi:

-  Nafkah makan dan minum

-   Pakaian yang sesuai

-   Keperluan asas lain, termasuk tempat tinggal jika masih bersama

   Dalam konteks ayat  ini, "para ibu" pula   bermaksud:

-   Isteri yang menyusu anaknya
-   Atau bekas isteri (jika anak dalam jagaannya)

     Jadi ia wajib menafkahi isterinya sendiri atau bekas isterinya jika ia menjaga anak mereka semasa mereka masih suami- isteri dulu. 


    Setakat mana pula cara memberi nafkah itu?  Allah beritahu,
“Dengan cara yang makruf” (بِٱلۡمَعۡرُوفِ)

   "Makruf" bermaksud secara baik, adil, dan berpatutan iaitu mengikut:

-  Kemampuan kewangan si ayah

-   Adat kebiasaan masyarakat setempat

-   Keperluan sebenar ibu dan anak

-      Tidak boleh kedekut, dan tidak juga membazir.


    Di sini juga  Allah menyeru agar tanggungjawab ini dilakukan dengan akhlak mulia, bukan dengan kasar, menghina atau memperkecilkan.

    Bila sudah tahu wajib memberi nafkah,  apa pula barang yang termasuk nafkah menurut Fiqh?

Menurut para ulama fiqh, nafkah kepada isteri/ibu termasuk:

-  Makanan harian yang sesuai

-   Pakaian yang bersesuaian

-   Tempat tinggal yang selamat dan bersih

-   Perubatan asas

-   Kos keperluan anak jika dalam jagaan bekas isteri



4. Menyayangi dan melayan isteri dengan baik

    Rasulullah SAW ialah contoh terbaik – Baginda membantu di rumah, bercakap lembut, dan tidak pernah memukul isterinya.  Dalilnya dari hadis nabi s.a.w,


 "Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteri-isteriku."
(HR. Tirmizi)

. “Sebaik-baik kamu...”

    Di sini Nabi ﷺ menetapkan satu ukuran sebenar terhadap akhlak lelaki atau suami iaitu ia  bukan sekadar harus  baik di luar rumah, tetapi yang lebih penting  ialah baik terhadap isterinya sendiri

    Di mana kebaikan yang sebenar itu diuji dalam hubungannya dengan orang yang  paling dekat dan paling lama  dengannya— iaitu isterinya sendiri


 “...ialah yang paling baik terhadap isterinya”

   Seorang suami yang baik kepada isterinya. Jadi,   “Baik” itu merangkumi apa?  Iaitu:

-   Layanan penuh kasih sayang

-   Akhlak yang lembut dan sabar

-   Tidak memukul atau mengasari

-   Memenuhi keperluan emosi, fizikal, dan rohani

-   Menghormati maruah dan suara isteri

     Dalam rumah tangga, ujian kesabaran dan keikhlasan sebenar seorang lelaki terserlah. Maka  siapakah yang kita jadikan contoh atau penentu tentang kebaikan seorang suami?

    Maka Nabi ﷺ   mengatakan bahawa  beliaulah orang yang patut dijadikan contoh atau   penentu "siapa yang paling baik".


 “Aku adalah yang paling baik terhadap isteriku”

   Nabi ﷺ meletakkan dirinya sebagai contoh terbaik suami. Ini tak diragukan lagi kerana beliau mendapat bimbingan langsung dari Allah melalui wahyu.  Beliau seorang yang maksum, dan dari kecil lagi ia digelar al amin, yang tidak pernah menipu. Maka beliau adalah contoh bagi semua manusia.  Beliau turut:

-   Membantu kerja rumah (Hadis Riwayat Bukhari)

-   Memanggil isteri dengan panggilan mesra (seperti Aisyah r.a. dipanggil "Humaira’")

-   Tidak pernah memukul isteri

-   Mendengar pendapat dan perasaan isteri

-   Bermain dan bergurau dengan isteri (seperti berlumba dengan Aisyah)




5. Bersabar dan menasihati isteri dengan kasih

  Bila isteri silap, dia membimbing dengan hikmah, bukan marah atau hina. Dalilnya ayat 4:19,


> "Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) secara baik..."
(Surah An-Nisa: 19)

. "Bergaullah dengan mereka..."

   Ayat ini bermaksud ialah suami hendaklah hidup bersama isteri dalam hubungan perkahwinan secara adil, sabar dan penuh kasih.

   Termasuk dalam “bergaul” itu ialah:

-    Layanan harian (perkataan dan perbuatan)

-   Nafkah zahir dan batin

-   Akhlak dalam pergaulan suami isteri



 "...secara makruf (baik)"

   “Makruf” di sini bermaksud cara yang diakui baik oleh syariat dan adat yang tidak bertentangan dengan agama. Ini merangkumi:

-   Layanan dengan lemah lembut dan belas kasihan

-    Kesetiaan, amanah, dan tanggungjawab

-    Sabar terhadap kelemahan pasangan

-    Elak menyakiti hati isteri dengan kata-kata atau perbuatan

   Ibn Kathir berkata:

“Iaitu ucapkan kepada mereka kata-kata yang baik, perelokkan perbuatan dan penampilan diri sebagaimana kamu mahu mereka berbuat begitu kepada kamu.”





6. Mendidik keluarga dengan ilmu dan iman

  Mengajar solat, akhlak, adab Islam, dan menjaga anak-anak dari kerosakan dunia.  Ini perlu diusahakan.  Dalilnya dari hadis nabi s.a.w,


> "Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya..."
(HR. Bukhari & Muslim)


 "Setiap kamu adalah pemimpin..."

   Hadis ini menunjukkan bahawa setiap orang dalam masyarakat Islam memegang amanah, walaupun dia bukan raja atau ketua negara. Suami juga adalah seorang pemimpin sebab di bawahnya ada orang yang perlu ditanggungjawab kannya.



 "Akan ditanya tentang kepimpinannya"

   Ini menunjukkan tanggungjawab seorang suami   itu akan dipersoalkan di hadapan Allah, bukan sekadar kuasa.  Kita akan ditanya tentang:

-  Adakah kita adil?

-   Adakah kita menjaga orang di bawah tanggungan kita?

-   Adakah kita zalim atau cuai?

    Maka itu, hendaklah seseorang takut kepada Allah tentang orang yang dipimpinnya. Sabda nabi s.a.w,

    "Wanita itu adalah amanah. Maka takutlah kamu kepada Allah dalam urusan mereka.”
— (Hadis Riwayat Muslim)

“Wanita itu adalah amanah”

   Wanita yang menjadi isteri adalah tanggungjawab besar yang diberikan oleh Allah kepada suami.
Di mana seorang wanita meninggalkan rumah ibu bapanya dan menyerahkan dirinya kepada suami dalam ikatan suci pernikahan — ini adalah perjanjian yang berat di sisi Allah.  Yang mana ia adalah satu amanah dalam Islam bukan sekadar tanggungjawab, tetapi sesuatu yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat.



 “Maka takutlah kamu kepada Allah dalam urusan mereka”

   Rasulullah ﷺ menyeru agar seorang suami takut kepada Allah dalam urusan dengan isteri dan anak-anaknya dengan  berakhlak dan bertaqwa dalam melayani mereka. 

   Jangan juga  berlaku zalim, jangan menyakiti, jangan menindas, jangan abaikan hak mereka.

    Ini adalah peringatan langsung daripada Rasulullah ﷺ kepada semua lelaki yang bergelar suami.







7. Menjadi contoh teladan yang baik

    Seorang suami wajib menjadi contoh teladan yang baik (qudwah hasanah) kepada keluarganya — kerana dia adalah pemimpin, pendidik, dan pelindung dalam rumah tangga.


Apa Maksud Suami Jadi Contoh Teladan?

Iaitu ia harus:

a)   Menunjukkan akhlak Islam seperti,

-    Bersopan, tidak marah melampau, tidak bercakap kasar

-   Lemah lembut dengan anak-anak dan isteri

b)   . Menjaga solat dan ibadah

-   Solat berjemaah (atau mengajak keluarga solat)

-    Membaca al-Quran, berzikir, doa bersama

c)   Rajin dan bertanggungjawab

-   Bekerja dengan jujur dan ikhlas

-    Tidak malas atau bergantung pada isteri sahaja


d)   Mendidik dengan hikmah

-   Mengajar adab dan akhlak kepada anak-anak

-   Menegur dengan cara yang bijak, bukan menghina






8. Tidak memaksa isteri kepada maksiat

  Tidak memaksa isteri, contohnya seperti  membuka aurat, tinggalkan solat, atau menjauhi keluarga kerana ego. Dalilnya hadis Bukhari, Muslim,

  "Tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan hanya dalam perkara yang makruf (baik)."
(لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق)




  Ini bermaksud, jika suami menyuruh isteri melakukan perkara haram, isteri tidak wajib taat.

     Dan ketaatan kepada suami hanya berlaku dalam perkara yang baik (makruf), bukan perkara dosa.


  Seorang isteri tidak wajib taat kepada suami jika suami menyuruhnya melanggar hukum Allah, seperti:

-Membuka aurat

-Tidak solat

-Menjauhi ibu bapa tanpa alasan syarie

-Meninggalkan agama kerana kehendak suami







9. Memelihara maruah dan rahsia rumah tangga


    Perkahwinan adalah ikatan kasih dan rahmat antara suami dengan isteri . Maka suami wajib menjaga kehormatan rumah tangga, bukan mendedahkan kelemahan isteri atau urusan peribadi keluarga.

    Ini dijelaskan oleh  Nabi ﷺ:  dalam sabdanya,

   "Sesungguhnya sejahat-jahat kedudukan seseorang di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang suami yang bersama isterinya, lalu dia menyebarkan rahsia hubungan tersebut."
(HR. Muslim)

     Ini adalah peringatan keras dari nabi s.a.w.  Suami isteri dilarang membuka aib atau mendedahkan perkara sulit, khususnya hubungan peribadi mereka.


Apa Maksud Memelihara Maruah dan Rahsia?

a)   Tidak membuka aib isteri di hadapan orang lain

-   Jangan ceritakan kelemahan isteri kepada keluarga, kawan, atau di media sosial.

-    Jika ada masalah, selesaikan secara tertutup dengan hikmah.


b)    Tidak menyebar rahsia rumah tangga, ianya termasuk,

-    Rahsia nafkah, masalah anak, hubungan batin, atau pertengkaran — semua ini wajib dirahsiakan.

-    Hanya dibincang jika benar- benar perlu (contoh: kaunseling, syura).


c)   Menjaga maruah isteri di depan orang lain  iaitu,

-   Jangan menghina isteri di hadapan anak atau orang luar.

-    Tegur secara berhemah jika perlu, bukan dengan menjatuhkan harga diri.




10. Berdoa dan bergantung kepada Allah

  Suami yang soleh selalu berdoa agar keluarganya menjadi “qurratu a’yun” (penyejuk mata).  Dalilnya ayat  25:74,


> "Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk hati..."
(Surah Al-Furqan: 74)

Penjelasan Ayat

"Rabbanaa hab lanaa..." – Doa penuh harapan

  Orang beriman memohon anugerah dari Allah, bukan sekadar usaha sendiri. Mereka tahu hanya Allah yang mampu menjadikan keluarga mereka tenang, damai dan beriman.


"Min azwaajinaa wa zurriyaatinaa qurrata a’yun" – Penyejuk mata

Frasa "qurrata a’yun" bermaksud:

  Sesuatu yang menenangkan hati dan menggembirakan jiwa.

  Iaitu  isteri dan anak-anak yang taat kepada Allah, berakhlak mulia dan menyenangkan dipandang.

   Juga keluarga yang tidak menjadi beban atau sumber kedukaan, tetapi sumber ketenangan dan kebahagiaan.

    Ulama seperti Imam Al-Qurtubi dan Ibn Kathir mentafsirkan "qurrata a’yun" sebagai keluarga yang taat dan beriman, sehingga apabila dilihat, hati menjadi tenang dan bersyukur.


"Waj’alnaa lil-muttaqeena imaamaa" – Kepimpinan taqwa

   Doa ini juga mencerminkan keinginan suami soleh untuk:

-   Memimpin keluarga dan masyarakat dalam ketaatan dan kebaikan.

-    Menjadi contoh teladan kepada orang lain dalam membina rumah tangga Islam yang sebenar.




Kesimpulan:

Suami yang soleh ialah:

-  Pemimpin yang bertanggung jawab kepada dirinya, isteri dan keluarganya.

-  Penuh kasih sayang dalam memimpin keluarga kepada keredhaan Allah.

'-  Adil dalam membuat sebarang keputusan dalam keluarganya

-  Taat kepada Allah, dalam setiap aspek kehidupan 

-   Dan sentiasa membimbing keluarganya ke jalan syurga.



Doa untuk menjadi suami soleh:


 "Ya Allah, jadikan aku suami yang soleh, pemimpin yang Engkau redhai, dan pembimbing keluargaku ke syurga."



  Semoga dapat amal dan sampaikan kepada orang lain.






Padang Jawa.
24/5/25

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...