Langkau ke kandungan utama

225) APA KESANNYA JIKA YAKIN ALLAH ITU AR RAQIB?

Bismillah.
Alhamdulillah,
Assamu'alaikum,

    Hari ini pengajian asma ul husna, nama-nama Allah yang baik,  yang merupakan satu perkara yang amat penting bahkan wajib kerana  dengan   sebab  kita   belajar nama-nama Allah kita akan kenal Allah dengan sebenarnya sedangkan  hukum kenal Allah adalah wajib. 

       Di mana punca segala masalah yang berlaku  adalah kerana manusia  tidak kenal Allah dan bila tidak kenal Allah manusia  akan langgar saja apa-apa larangan Allah yang akhirnya ia membawa musibah yang  besar. Tidak ada musibah yang lebih besar daripada melanggar larangan Allah. 

    Jadi , mempelajari nama-nama Allah samada melalui quran atau hadis adalah satu fardhu ain yang wajib yang sepatutnya dijadikan sebagai satu sillybus dalam mana-mana pendidikan samada di rumah atau di sekolah atau di universiti. 

     Yang wajibnya ialah  kita belajar dan  faham supaya kita kenal Allah dimana itu satu cara atau satu proses, tapi tujuan akhirnya ialah dengan ilmu itu ialah kita takut kepada Allah. Kata Allah dalam Fathir:28,

       Hanya yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu.

     Jika kita belajar nama Allah tapi tidak datang takut kepada Allah maka hasil ilmu itu tak kemana. Ia menjadi ilmu yang tak memberi faedah. Bukan saja tak memberi faedah tetapi membawa musibah kepada orang itu. Iaitu Allah murka  bagi sesiapa yang belajar tapi tak beramal atau tak menghayatinya. 


Ar raqib dalam al quran
    
     Kita belajar satu lagi nama Allah iaiti ar Raqib.  Ar Raqib disebut dalam quran sebanyak tiga kali. Iaitu dalam surah:

1. Al Maidah : 117.

       Ini berkenaan nabi Isa ibnu Maryam a.s. Ketika Allah berkata kepada Isa dalam ayat 116,  Wahai Isa anak Maryam, adakah engkau yang mengajak manusia jadikan engkau dan ibu mu sebagai 2 tuhan selain dari Allah? Maka nabi Isa menjawab, maha suci Engkau , tidak mungkin aku berkata yang tidak benar.  Aku tidak pernah mengajak orang menyembah ku dan menyembah ibuku.  Sekiranya aku benar-benar berkata begitu sudah tentu Engkau mengetahui- nya.  Aku tahu Engkau tahu apa yang  dalam diriku dan aku tidak mengetahui apa yang dalam diri Engkau. Sesungguhnya Engkau maha mengetahui perkara yang ghaib.

     Kenapa Allah bertanya kepada nabi Isa? Sedangkan Allah tahu nabi Isa tak pernah berkata begitu pun. Kenapa Allah tanya sedangkan   jawapannya Allah sudah tahu?   Sebenarnya tujuan- nya ialah Allah nak tempelak pengikut nabi Isa a.s yang menyembah nabi Isa. Nabi Isa tak pernah suruh pun. Mereka hanya memandai-mandai. 

       Kemudian  dalam ayat 117 nabi Isa berkata, aku tak pernah berkata kepada mereka kecuali apa yang Engkau suruh. Iaitu sembahlah Allah sahaja sebab Ia tuhan ku dan Allah juga tuhan kepada kamu (manusia).  

Hanya menyampaikan suruhan Allah

      Kalau nabi pun berkata apa yang Allah suruh. Maka kita jangan pula suruh orang apa yang kita rasa betul. Jangan suruh orang apa yang guru cakap, tapi suruhlah apa yang Allah suruh. Kita bukan sehebat nabi. Nabi pun tak pernah suruh apa yang dia rasa betul, tapi apa yang Allah perintah. Simple.

    Tapi sekarang bila cakap bab agama banyak yang ia cakap ialah bukan yang Allah suruh, bukan apa yang nabi buat. Tapi apa yang guru dia cakap, apa yang ia mimpi dan sebagainya.  Ini satu benda bukan daripada agama tapi diterima oleh orangramai.   Sebab itu masyarakat tidak menjadi semakin baik. Lagi belajar agama lagi makin jauh dari Allah. Sebab ia bukan ikut perintah Allah dan rasul. 

    Kemudian kata nabi Isa , 


aku ke atas kaumku sebagai saksi  (syahid)  , aku menyaksikan apa yang aku suruh dan apa yang mereka buat. Selama mana aku bersama mereka,   iaitu selama mana aku hidup.

    Kemudian, kata nabi Isa lagi,

       Maka tatkala Engkau telah mewafatkan aku, Engkaulah yang ar Raqib, iaitu yang maha mengawasi.  Jadi, masa hidup nabi Isa lihat apa yang kaumnya buat, tapi bila beliau sudah mati maka terserahlah kepada Allah, Allah sendiri yang mengawasi  mereka. 

    

2)  surah an Nissa' :1,
  
     Ayat ini panjang, kita ambil bahagian akhir iaitu,

       Bila Allah kata, sesungguhnya Allah keatas kalian adalah  maha mengawasi ( raqib).  Apa yang Allah nak bagitahu dalam ayat ini? 

       Objektif Allah di sini bukan setakat nak bagitahu bahawa Allah maha mengawasi,  tetapi tujuannya ialah supaya fikiran kita jangan fikir melainkan yang Allah redha, mulut kita jangan bercakap melainlan yang Allah redha. Mata kita jangan tengok melainkan apa yang Allah redha. Anggota badan kita jangan buat melainkan apa yang Allah redha.

   Itulah kesan bila kita yakin Allah adalah raqib.  Jika kita lihat ayat awalnya,

       Wahai orang beriman heedaklah kamu takut kepada tuhan kamu.  Kenapa Allah suruh takut kepada rabb?  Rabbakum itu maknanya Pencipta kamu. Sebab Dia  yang menciptakanmu,  kataNya,

        Allah mencipta kamu dari satu ialu Adam a.s. dan Allah jadikan dari Adam itu pasangan. Kemudian Allah kembang biakkan rijal dan wanita. 



3)  dalam surah al Ahzab: 52



Makna ar Raqib

    Dari segi bahasa,  ar raqib bermakna al hafiz,  yang menjaga. Yang maha menjaga , yang tidak pernah terlepas daripada Allah sesuatu apa pun.

     Berbeza kita jaga dengan Allah jaga. Kalau kita jaga, banyak yang terlepas pandang, terlupa. Tapi kalau Allah jaga  maka seperti dalam al quran,  tidak ada satu daun pun yang gugur melainkan Allah tahu. Kalau daun yang tak bernyawa , gugur  , tak berakal pun Allah tahu  maka kita yang berakal, bernyawa lagi lah Allah tahu pergerakan kita. 

    Bilangan daun dengan bilangan manusia mana lebih banyak?  Daun lebih banyak.  Itupun Allah tahu.

     Dari segi hak Allah makna ar raqib menurut imam at Thabari r.h ketika ia mentafsirkan ayat,

      Kata nya makna ar raqib dalam ayat ini ialah Allah Maha menjaga , Allah Maha menghitung setiap amalan kamu,   samada perkataan ataupun perbuatan ataupun lintasan hati. 

         Kata syeikh As Sa'di r.h. , ar raqib dan syahid adalah dari dua nama Allah yang ada persamaan. Dan kedua-dua ini menunjukkan pendengaran Allah meliputi semua yang diucapkan. Samada terang-terangan atau pun tersembunyi. Dan meliputi semua penglihatan manusia  apa saja yang dilihat dan meliputi  semua ilmu yang ada pada   manusia.  Bahkan apa yang tersembunyi di dalam dada manusia. 


       Kita, kalau berhadapan dengan manusia,  kita bercakap dengan menjaga tutur kata,  jaga imej kita. Tapi adakah kita jaga hati kita dari orang itu?  Tidak , sebab kita tahu orang itu tidak tahu. Tapi kalau Allah tengok, Allah tengok yang zahir dan batin. Contoh kita solat, Allah lihat kita rukuk  , kita letak tangan di dada, kita sujud dan sebagainya yang zahir.  Dan Allah lihat apa yang kita baca dalam solat, fatihah, surah dan lain-lain.

      Dan semasa kita baca itu, hati kita di mana? Mulut sebut Allahu akbar, fikiran melayang. Semasa baca fatihah, makhraj dah betul tapi fikiran kita kemana?  Semasa baca,

      Betulkah bila baca macam itu , bila di luar solat , hanya kepada Allah kita minta tolong? Hanya kepada Allah kita menyembah?

     Kita baca dalam solat ,   di luar solat Allah bandingkan adakah sama macam dalam solat yang di baca?  Dalam solat semua ikut perintah Allah, rukuk kita pun  rukuk, sujud kita pun sujud. Tapi bila di luar solat , Allah perintah macam-macam,   dia buat tak tahu. Allah kata jangan buang masa, dia buang masa. Ertinya  dia hanya mentaati Allah dalamasa 5 ke 10 minit sahaja. 

       
Kesan beriman dengan nama Allah ar Raqib

       Beriman dengan nama Allah ar raqib membuahkan dalam hati, muraqabah kepada Allah. Iaitu Allah sentiasa mengawas. Ketika seorang dan ketika di hadapan orang.


        Kita ini sering berbeza bila bercakap di belakang orang dengan di depan orang. Tapi kita kena yakin walau di depan atau di belakang semuanya Allah tengok.  Semuanya Allah awasi. 


Kisah tentang orang yang takut Allah

     Ada kisah ibnu Umar , dia berjumpa dengan seorang remaja gembala kambing. Dia pun letak hamparan dan ajak anak muda itu makan. Kata anak muda itu, aku puasa. Kata ibnu Umar, kamu gembala kambing, tengah panas, bukankah penat? Jawabnya, aku berpuasa sebagai bekalan kepada hari yang lebih dahsyat, iaitu di padang mahsyar. Kemudian kata  ibnu Umar, juallah seekor kambing ini. Jawabnya, ini bukan kepunyaan aku, ada tuannya. Kata ibnu Umar  (nak test)  , kamu jual dan katakan kepada tuan kamu yang kambing dimakan serigala atau hilang. Jawab pemuda itu, tuan aku takkan percaya. Kata ibnu Umar, tuan kamu takkan tahu. Jawab pemuda, Allah di mana? 

     Kata-kata  itu membuat ibnu Umar menangis,  kenapa? Kerana seorang yang miskin tapi   akidah nya cukup mantap. Puasa sebab  takut kepada padang mahsyar. Takut jual kambing sebab Allah sedang ar raqib. Allah sedang memerhati. Walaupun ia miskin, dan ia memerlukan, walaupun ia boleh tipu , dia takkan buat dosa sebab yakin Allah itu ar raqib.


     Ada seorang bapa dengan anaknya,  ia berjalan ke suatu tempat yang ada kebun  epal. Kata bapanya  epal itu masak dan sedap. Dia bagitahu anaknya, bapa panjat kamu tengok ada orang tak? Kalau ada orang bagitahu bapa supaya tak kena tangkap atau dituduh mencuri.

     Bila dia panjat dan nak petik saja epal itu, anaknya berkata , ayah,  ada orang nampak. Jawabnya, mana ada? Jawab anaknya, Allah nampak.  Bapanya terkejut lalu turun.

      Seorang bapa mengajar takut kepada orang, tapi anaknya mengajàr bapanya supaya takut kepada Pencipta . Di mana budak ini belajar? Ia  belajar dimana-mana saja. 

      Kisah imam al Junaid, ia beri 4 ekor ayam kepada 4 orang budak. Katanya, kamu ambil ayam ni kamu pergi tempat yang orang tak nampak dan kamu sembelih. Kemudian bawa datang. 

     Kemudian budak-budak  itu pergi  dan tak lama datang dengan ayam yang telah disembelih. Ada seorang budak tidak datang. 

     Akhirnya budak itu datang dengan ayam yang tak disembelih. Tanya imam Al Junaid, kenapa kamu tak sembelih ayam? Adakah kamu tak mampu sembelih ayam itu? Jawab budak itu, bukan aku tak mampu tapi aku tak  mampu cari tempat yang Allah tak nampak. 

      Jadi imam Al Junaid mengajar budak-budak  itu bukan cara sembelih ayam tapi mengajar tauhid bahawa Allah itu ar raqib. 


Pendidikan yang penting

      Kita di sekolah banyak mengajar budak sembelih ayam tapi tak solat pun. Iaitu tak diajar tauhid Alah nampak walau di manapun kita berada sehingga tertanam dalam hatinya. 

     Pendidikan yang paling penting ialah mengenal Allah melalui nama-nama Allah. Di sekolah hanya diajar menghafal nama-nama Allah. Tapi tidak diajar mengenal Allah melalui nama-nama Allah supaya takut azab Allah walaupun berseorangan. .
     Sebab itu murid-murid sekolah, pelajar universiti dengan mudah tinggal solat, dengan mudah menipu ,  dengan mudah buat maksiat,  sebab dia tak kenal Allah. Kadang-kadang lepas solat saja terus buat maksiat.  


Muraqabah

      Jadi,  kenal nama Allah itu ar raqib membuat seseorang itu muraqabah,  sentiasa rasa Allah memerhatinya 24 jam. Bila ia yakin Allah memerhatinya,  apa jadi padanya?  Iaitu tak mungkin ia cakap benda yang tak elok,  tak mungkin ia tengok benda yang haram dilihat , tak mungkin dengar benda yang haram. Akhlaknya baik bila ia yakin Allah sentiasa mengawasinya. 


Islam  , iman dan ihsan

       Sebab itu darjat iman yang paling tinggi ialah ihsan. Dan yang paling rendah ialah Islam. Zahirnya islam tapi hatinya entah ke mana. Kemudian orang mukmin. Dan paling tinggi ihsan. Apa makna ihsan?

      Iaitu engkau sembah Allah seolah-olah  engkau nampak Allah, kalau tidak, yakinlah Allah nampak kamu. Apa beza yakin nampak Allah dengan yakin Allah nampak?

    Kata syeikh Utsaimin, jika kita nampak Allah, maknanya nampak sifat Allah,  kita beribadah dengan penuh cinta , lazat dan  seronok. Tapi kalau kita yakin Allah nampak, kita beribadah dalam ketakutan. Sebab kita rasa bahawa Allah nampak kita.  Itulah bezanya.


Paling bertaqwa

         Orang yang paling bertaqwa ialah nabi Muhammad s.a.w,  bagaimana ia dapat darjat itu? Iaitu bila apa saja ayat al quran yang ia terima , ia faham dan ia amalkan. Tiada satu pun perintah Allah melainkan ia  yang pertama laksanakan. Tiada satu pun  larangan Allah, melainkan nabi s.a.w yang pertama tinggalkan. Dari situ nabi dapat  kemanisan seolah-olah  nabi beribadat nabi nampak Allah. Dengan  tunduk dan patuh semua perintah Allah dalam al quran. 

      Maknanya bila  banyak lagi yang kita belum faham ayat-ayat al quran, maka kita takkan sampai ke tahap itu.  Maka banyak lagi ayat-ayat Allah yang kita langgar,  yang Allah tak suka. Sebab kita masih banyak belum tadabbur al quran. 

     Bila kenal Allah melalui nama-namaNya dalam al quran, akhirnya apa yang kita dapat?     Iaitu takut kepada azab Allah.    Kerana akhir kepada ilmu yang kita pelajari ialah takut kepada Allah. Nak bercakap takut kepada Allah, nak tengok ,  nak dengar , takut kepada Allah. Takut bila berdosa akan diazab Allah. 

      Kadang bila kita berdepan dengan boss, dengan suami, kita lupa tuhan. Sebab apa? Sebab kita dari kecil diajar  hormat orang. Tapi dari kecil kita tak diajar hormat kepada Pencipta orang itu.  


Takut Allah 

     Kemudian kesan dari yakin Alah itu ar raqib ialah kita sentiasa takut Allah  walaupun  waktu malam atau berseorangan . Jika kita takut Allah di depan orang,  dengan takut Allah waktu seorang diri,  mana yang Allah puji dan ada nilai?  Yang kita takut depan orang,    Allah tak nilai. Depan boss,    atau suami,    atau ustaz, kita takut je,    menikus je. Nampak macam malaikat, pijak semut pun tak mati.  Tapi belakang orang, pijak gajah pun gajah mati.

        Kalau depan kita ada cctv polis 24 jam, macamana jadinya akhlak kita? Baik. Takut buat salah. Padahal yang tengok cctv itu cuma polis, dan cctv itu mungkin rosak.  Dan polis kalau hari-hari tengok, dia tak larat, dia skip saja.  

    Tapi jika Allah yang tengok, mungkinkah Allah terlepas pandang, rosak, gambar tak jelas? Walau pun sebesar debu yang halus, Allah takkan terlepas pandang. Lihat surah Ghafir: 19,

         Di sini Allah ceritakan tentang diriNya supaya kita kenal Allah dan kita dapat faedah dari itu.  Allah kata, Allah tahu mata yang khianat. Apa maksudnya?  Maksudnya , ialah seperti kita duduk depan orang, kita tidak melihat kepadanya tapi melihat ke tempat lain.  Itu mata yang khianat.  Atau  kita tengok sesuatu sebelah kita yang kawan kita tak perasan kita tengok. Mulut bercakap, tapi mata melihat tempat lain. Orang tak perasan. 

      Setiap pandangan kita yang khianat itu pun Allah tahu, walau orang itu tidak tahu.



Mengumpat

       Telinga yang khianat pun ada juga. Iaitu contohnya ia mendengar orang mengumpat. Mengumpat itu menceritakan sesuatu yang orang itu tak suka jika ia mendengarnya. Mengumpat itu musibah, tetapi yang lebih musibah ialah dia tak tahu yang dia mengumpat. Dia kata,  aku berkata apa yang betul berlaku. Sebenarnya apa yang betul berlaku itulah mengumpat. Kalau ia kata benda yang tak betul  itu lebih dahsyat, itu dipanggil fitnah. Menuduh sesuatu tanpa bukti.

     Antara sebab manusia paling banyak disiksa dalam kubur ialah mengumpat dan kedua namimah, mengadu domba sehingga orang bergaduh.

     Akibat mengumpat ini ada tiga keadaan.  Satu, kalau kita tak bertaubat maka akan diazab di alam kubur lagi. Kedua, pahala-pahala kita habis. Pahala umrah,  pahala sedekah, solat sunat, datang majlis ilmu, habis di transfer kepada orang yang kita umpat.  Ketiga, lagi teruk  jika pahala kita habis, dosa orang itu  transfer ke kita. Ini kerja orang paling bodoh, buat ibadat beri kepada orang. Kerja, tapi gaji beri pada orang.

       Jika hendak mengadu masalah, maka jangan sebut nama. Nabi  jika ingin memberi pengajaran, nabi tak sebut nama, tapi sebut si fulan, si fulan. Kalau kita sebut si fulan, orang pun tak tahu siapa, itu bukan mengumpat. 

      Jika kita tak mengumpat, tapi orang mengumpat kita, kita bertuah kalau kita redha. 

     Ada orang ia  tak mengumpat tapi mendengar orang mengumpat. Orang ini, ia boleh jadi hebat jika ia mencegah  perbuatan orang mengumpat itu. Iaitu ia mencegah kemungkaran. 

        Mencegah itu maknanya kita ada rahmat kepadanya. Kita fikir macamana supaya ia berhenti buat maksiat. Jangan kita menambah penderitaan dia. Menegur pula dengan hikmah, bukan di depan orang. 


Ingin bertaubat

       Bila kita mengumpat orang lalu ingin bertaubat daripadanya, bagaimana caranya? Ada ulama berpendapat kena ceritakan kepadanya hal kita mengumpat itu. Kalau dia maafkan, alhamdulillah. Kalau tidak dimaafkan kita kena tanggunglah. Itu satu pendapat.

      Pendapat yang lain mengatakan tidak payah diberitahu. Sebab jika diberitahu akan  membawa mudharat yag lain pula. Akan jadi semakin benci,   semakin geram, semakin bergaduh , mudharat lebih besar . Maka kata ulama, cukup kita bertaubat dan  berdoa kebaikan untuknya selama mana kita mengumpat dia. Semoga Allah ampunkan dosanya dan dosa mengumpat kita. 

        Kesimpulannya, kenapa orang suka mengumpat atau mendengar umpatan ? Kerana samada dia tak tahu sifat Allah ar Raqib atau  tak yakin sifat Allah ar Raqib. 


Tiap-tiap percakapan

     Daripada berkata yang sia-sia lebih baik diam. Kerana tiap-tiap perkataan yang keluar dari mulut kita pasti akan dihisab. Lihat firman Allah,

       Kata Allah tidak ada satu ucapan pun yang kita ucapkan melainkan akan di awasi atau di catit oleh malaikat. Yang baik atau yang buruk semua akan dicatit.
    
   Jadi  Allah sentiasa mendengar apa yang kita cakap, apa yang kita lihat dan Allah tahu apa di dalam hati kita.  Kata seorang ulama,
  ' Siapa yang sentiasa menjaga hati dan fikirannya agar selari dengan apa yang Allah redha maka  Allah akan jaga setiap gerakan anggota badannya. '

      Misalnya fikiran kita tiba-tiba terfikir nak buat benda buruk  lalu kita tersedar dan istighfar, maka Allah akan jaga anggota kita supaya sentiasa taat kepada Allah. 

     Kata ulama Zu Annun, 
 ' Tanda seseorang itu merasai Allah sentiasa mengawasinya ialah dia sentiasa mengutamakan apa yang Allah turunkan dalam al quran dan sunnah nabi.  Dan dia akan besarkan apa saja yang Allah besarkan, dan akan  kecilkan apa saja yang Allah kecilkan.'

       Misalnya dunia ini bagi Allah tiada nilai ( kecil), jadi bagi orang yang beriman, dunia itu bukanlah yang jadi keutamaan baginya. Tapi bagi Allah akhirat itu besar dan utama, maka orang yang muraqabah itu pun  menjadikan akhirat matlamat hidupnya. 

      Bila Allah itu ar raqib bermakna Allah itu juga maha mendengar. Tak mungkin Allah mengawasi tapi Allah tak mendengar. Begitu juga bila Allah ar raqib bermakna Allah maha melihat. Mana mungkin Allah mengawasi tapi tidak melihat. Begitu juga Allah pasti mengetahui, mana mungkin Allah mengawasi tapi tidak mengetahui.  Jadi, 3 dalam 1. Ar raqib juga bermakna maha mendengar, maha melihat dan maha mengetahui. 

        Semoga lepas ini kita lebih yakin dan lebih merasa Allah sentiasa ar raqib. Apa kesannya? Iaitu takut untuk mengumpat, mengata aib orang, membuat dosa bila berseorangan dan lebih sibuk dengan aib diri sendiri. 

    
Semoga bermenafaat.
    
       
      
Dari kuliah Ust. Abdul Muein,
Klang.
15/2/25


     

      

      

      

     

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...