Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,
Soalan:
Seseorang yang dikenali sebagai seorang muslim apabila melakukan perbuatan kafir, bolehkah dihukum sebagai kafir atau murtad? Biasa kita dengar tidak boleh menjatuhkan hukuman keatas seorang muslim, melain kan memenuhi syarat-syaratnya. Apakah syarat-syarat tersebut?
Jawapan:
Ini adalah satu perbahasan yang dibahaskan oleh ulama ahli sunnah wal jamaah iaitu berkenaan hukum takfir. Hukum kita menjatuh- kan kafir keatas seseorang yang zahirnya dikenali sebagai muslim, iaitu ia menunaikan solat, mengadap kiblat yang sama dengan kita, makan sembelihan kita , berpuasa ramadhan dan sebagainya. Bila ia melakukan perbuatan kafir, apakah hukum kafir itu kena padanya?
Tawaquf
Mengikut Allah dan rasulNya , hukum menjatuhkan kafir kepada seseorang muslim itu hukumnya tawaquf. Iaitu berhenti, kecuali terbukti dari Allah dan rasul. Itu prinsip ahli sunnah wal jamaah.
Ahli sunnah tidak membenarkan menjatuhkan hukum kafir kepada seseorang kecuali terdapat bukti dan dalil dari syarak, iaitu al quran dan as sunnah.
Hukuman kafir tidak boleh datang dari keinginan nafsu, tidak boleh juga berdasarkan kecenderungan kita, iatu bila kita lihat ia melakukan sesuatu kesalahan terus kita hukum kafir. Itu tidak boleh. Tidak boleh juga kerana marah, misalnya dia buat niaya kepada kita, dia tipu kita, tiba-tiba kita nampak ia buat kesalahan yang boleh dihukum kafir lalu kita kata ia sudah kafir, kerana kita beremosi.
Begitu juga jika tak setuju dengan pendapat seseorang , kita hukum ia kafir, tak boleh. Tidak boleh juga kerana kita kecewa dengan realiti semasa. Iaitu kita lihat masyarakat hari ini makin teruk, tengok orang ugama makin teruk , dan macam-macam lagi, lalu kerana kita kecewa kita hukum mereka itu kafir.
Begitu juga kita hukum pesalah dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya, seperti kita lihat ia membuat kesalahan yang berat, lalu kita hukum dia dengan hukum yang setimpal dengan kesalahannya , lalu kita hukum ia kafir. Ini pun tidak boleh. Kerana menghukum kafir keatas seseorang yang asalnya muslim adalah kukum syarak. Tidak boleh dijatuhkan kecuali mengikut hukum Allah dan rasulNya. Ia sama seperti mewajibkan sesuatu mesti dengan bukti dari Allah . Begitulah pula dengan hukuman kafir.
Tidak sama
Hukuman kafir keatas sesuatu perbuatan tidak semestinya sama dengan pelaku perbuatan tersebut. Sebagai contoh, memuji berhala. Itu perbuatan kafir. Tapi adakah orang yang melakukannya mesti dihukum kafir? Tidak semestinya.
Melainkan memenuhi syarat dan ternafi semua halangan-halangan. Perkara ini membezakan ahli sunnah dengan puak khawarij. Di mana puak khawarij berpendapat pelaku perbuatan kafir dikenakan hukum yang sama dengan perbuatannya. Manakala ahli sunnah tidak begitu, iaitu mesti memenuhi syarat dan terhadang dari halangan barulah boleh di hukum kafir.
Syarat-syarat nya ialah:
1) Ia dilakukan dalam keadaan sedar dan berakal. Jika pada ketika itu akalnya ada masalah, maka hukum kafir tidak kena padanya.
Contohnya, ia tengah tidur lalu memuji tuhan kafir. Tidak jatuh hukum kafir kerana ketika itu ia tidak berakal.
2) Ia sudah baligh ketika melakukan perbuatan itu. Jika ketika itu ia belum baligh, tidak ia dikenakan hukum kafir.
Dua syarat di atas berdasarkan hadis nabi s.a.w ,
“Dari Aisyah, dari Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda, ‘Diangkat pena (tidak dikenakan dosa) atas tiga kelompok: orang tidur hingga bangun, anak kecil hingga baligh (mimpi basah), dan orang gila hingga berakal.’” (HR Ahmad, Ad Darimi dan Ibnu Khuzaimah).
Ini dalilnya. Jadi, orang yang membuat kesalahan ketika tidur atau ia masih kanak-kanak atau ia gila atau akalnya rosak, maka kesalahannya ketika itu tidak memberi kesan kepada agamanya.
3) Ia tahu perbuatan yang ia lakukan itu perbuatan kafir. Orang yang tidak tahu ia tidak dijatuhkan hukuman kafir kepadanya.
Contohnya orang yang baru masuk Islam. Ia ingat perbuatan yang sebelum ia masuk islam itu baik, lalu ia lakukan. Ia sangka itu diterima dalam Islam, rupa-rupanya tidak. Maka orang yang tidak tahu ini ia tak dikenakan hukuman kafir.
Dalilnya dari ayat Allah,
Maknanya ia mesti telah tahu apa yang disuruh dan apa yang ditegah oleh Allah melalui apa-apa pemberitahuan. Jika ia belum tahu, maka ia tak dikenakan hukuman.
4) Ia melakukan perbuatan kafir itu atas kerelaan atau pilihannya sendiri. Jika ia melakukan perbuatan itu bukan atas pilihan- nya, seperti dipaksa, maka tidak boleh dikenakan hukum kafir kepadanya.
Dalilnya dari ayat Allah,
Dan sabda nabi,
Abbas ra. bahwa Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ketika ia tidak sengaja, lupa, dan dipaksa.” (HR. Ibnu Majah no. 2045).
Hal ini berlaku kepada Ammar bin Yasir yang dipaksa mencela Allah dan rasul, lalu Ammar lakukan. Bila hal ini diadukan kepada rasul s.a.w ,maka turun lah ayat di atas.
Oleh itu sesiapa yang dipaksa berbuat perbuatan kafir ia tak dikenakan hukuman kafir.
Jika ia sengaja atas pilihannya sendiri, maka ia jatuh kafir.
5) Ia berbuat itu dengan sengaja, bukannya tersilap atau tak disengajakan oleh sebab tertentu.
Jika ia melakukannya kerana tersilap atau tak sengaja maka ia diberi kemaafan.
Dalilnya ialah seseorang yang menuturkan satu perkataan kerana terlampau seronok. Ia diceritakan dari satu hadis nabi ,
Nabi SAW dalam sebuah hadis baginda sabdanya:
"Sungguh kegembiraan Allah kerana taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang daripada kalian terhadap binatang tunggangannya di sebuah padang pasir yang luas, namun tiba-tiba binatang tersebut lepas. Sedangkan di atasnya ada bekalan makanan dan minumannya sehinggalah akhirnya dia berasa putus asa untuk mencari. Kemudian dia beristirehat di bawah sebatang pohon dalam keadaan putus asa untuk menemuinya kembali. Sewaktu dalam keadaan itu, tiba-tiba dia mendapati binatang tunggangan- nya sudah ada berdiri di sisinya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya kemudian berkata dengan sangat gembira: "Ya Allah, Engkau hambaku dan aku ini Tuhanmu." Dia tersalah tutur kata kerana terlalu gembira."
(Riwayat Muslim)
Nabi SAW menggambarkan perasaan pengembara tersebut amat gembira sehingga tanpa sengaja dia telah tersalah tutur kata. Padahal sebenarnya dia ingin menyebut: "Ya Allah, Engkau Tuhanku dan aku ini hamba-Mu."
Oleh kerana ia berkata itu dalam keadaan tidak sengaja, maka ia tak dijatuhkan hukum kafir dan dimaaf- kan.
Walaupun dimaafkan (kerana hakikatnya dia tidak mengiktikad- kan maksudnya,) namun kesilapan sebegini hendaklah dijauhi dalam keadaan seseorang itu sejahtera dan waras akal fikirannya.
6) Ia melakukan perbuatan itu tanpa terdapat takwilan. Iaitu disebabkan kekeliruan dan kesamaran.
Jika ia melakukannya kerana andaiannya atau kekeliruan yang ada padanya, atau wujud kesamaran di pihaknya, seperti sekarang ramai orang jadi samar , ramai orang keliru mana yang sebenarnya perbuatan agama, ada ustaz ni kata begini , ada ustaz tu kata begitu, sehingga orang ramai kehairanan mana satu nak diikut? Disebabkan kekeliruan itu , maka tak boleh dijatuhkan hukum kafir kepadanya bila ia melakukan perbuatan kafir.
Dalilnya
Kerana ia mungkin melakukan nya atas salah faham. Dalilnya dari kisah sahabat nabi ini,
Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakpuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut: Hatib bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW ke Mekah. Diberikan perutusan itu kepada seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”
Maka kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya: “Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.
Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.
Kedua-dua mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka, didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?” Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya aku ini
beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayanku sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka, yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”
Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”
Rasulullah SAW menjawab:
إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”
Riwayat al-Bukhari (4890)
Kedua-dua mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui”
Apabila Hatib mengaku ia lakukan itu bukan kerana kufur dan bukan kerana redha dengan kekufuran kaum quraish tetapi kerana ingin membalas jasa orang yang pernah berbuat baik kepadanya, maka nabi mengakui kata-kata Hatib itu.
Kefahaman dari hadis ini
Dari kisah ini , Al Khattabi (319- 388H ) dalam Maalim as Sunan, katanya,
" Antara kefahaman dari hadis ini ialah hukum orang yang mentakwil, (iaitu Hatib melakukannya kerana ingin menjaga keluarganya di Mekah bukan kerana hawa nafsu, bukan kerana mempermain-mainkan agama dan kerana iman nya sudah terbukti dalam perang Badar ) atas sesuatu yang ditegah padanya, adalah berbeza dengan orang yang sengaja melakukan perkara yang ditegah keatasnya kerana ia menghalalkan perkara yang ditegah tanpa sebarang takwilan.
Seperti ia melakukan perkara yang haram tanpa sebarang alasan, itu menunjukkan ada ciri-ciri khianat. Kalau tiada takwilan maka dikenakan kepadanya hukuman kafir.
Kata al Khattabi (319 - 388 H) lagi, "Hadis ini juga menunjukkan jika seseorang melakukan perkara yang ditegah dan mendakwa sesuatu perkara yang boleh diambil andaiannya , maka dakwaannya diterima sekalipun perkara itu pada kebiasaannya adalah sebaliknya. Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesuatu perkara yang ada sesuatu andaian diambil atasnya yang berkemungkinan sama seperti kes Hatib tadi, lalu diambil takwilannya yang baik atas husnuzzan keatas orang Islam ? ".
Demikian juga kata syeikh Syamsuddin al Birmawi, dalam kitabnya Allami' Al sabih katanya,
" Seseorang yang mentakwil pada menghukum kafir kepada seseorang lain adalah diberi kemaafan".
Maksudnya seperti perbuatan Umar, yang menuduh munafik kepada Hatib, atas takwilan Umar yang salah, tidak dikira berdosa. Sebab itu baginda nabi s.a.w memberi kemaafan kepada Umar diatas takwilan Umar yang tidak tepat kepada Hatib.
Laksanakan
Jadi, 6 syarat ini mesti kita laksanakan apabila melihat seseorang muslim melakukan perbuatan kafir atau perbuatan dosa atau perbuatan fasik atau perbuatan bid'ah. Ia mesti melalui semua neraca ini, iaitu diulang lagi, pelakunya mesti:
1. Berakal
2. Baligh
3. Dia tahu kedudukan perkara itu
4. Pilihan sendiri
5. Bukan tersilap
6. Dia tiada takwilan
Kalau ada satu yang tak memenuhi 6 syarat ini maka ia tidak boleh dihukum kafir .
Ambil perhatian
Ambil perhatian akan perkara ini terutama di masa ini orang Islam dok bertelagah dalam banyak isu sesama sendiri. Apabila bertelagah, hati panas, maka hati-hati bila menghukum orang lain. Berhati-hati itu tidaklah bermaksud kita diam dari perbuatan salah orang lain. Tetapi menjadi tanggungjawab kita menerangkan kebenaran dan menolak kebatilan. Tetapi ketika orang menyanggah kita, menentang kita, di waktu itu harus hati-hati.
Jangan gopoh menjatuhkan hukum orang itu kafir , orang itu fasik, orang itu munafik, atau orang itu ahli bid'ah.
Kerana tanggungjawab kita adalah menyampailan kebenaran, bukan menghukum. Orang terima atau tidak, itu bukan urusan kita tapi terserah kepada Allah di atas arasy sana.
Semoga bermenafaat.
Dari kuliah Us. Ishak Kadir,
Klang.
13/8/24
Ulasan
Catat Ulasan