Langkau ke kandungan utama

173) BAGAIMANA MENDIDIK ISLAM ANAK-ANAK SECARA PRAKTIS?

Bismillah.
Assalamu'alaikum,

     Apakah perkara penting yang harus kita tanamkan dalam diri anak-anak kita sejak kecil? Secara umumnya kita harus membimbing dan membentuk akidah anak-anak  kita supaya akidahnya benar. Kemudian kita  membimbing mereka supaya membentuk  akhlak mereka yang benar. Dan kemudian  kita mengajar mereka bagaimana sikap hidup bersosial dalam masyarakat. Akhirnya kita membimbing mereka bagaimana untuk rajin beribadah kepada Allah.
  
        Jadi , di sini kami memberikan   idea-idea untuk kita amalkan secara praktis untuk mencapai maksud di atas. Di sini kami perincikan  hal-hal tersebut:


1) Membina akidah anak

         Bagaimana menanam akidah kepada anak-anak  kita yang masih kecil ? Iaitu dengan:
- menjelaskan tauhid atau akidah secara mudah
- menjelaskan bahaya syirik secara mudah
-  menanam supaya selalu minta tolong hanya kepada Allah
- menanam perasaan selalu di awasi oleh Allah
-   beriman kepada takdir
-  menanam cinta kepada nabi
-  menanam perasaan cinta kepada para sahabat. 

          Masalah akidah amat luas, tapi perkara  ini sudah cukup untuk kita tanamkan  kepada anak-anak kita. Kita bawakan  ini dalam kehidupan  anak-anak. Sering kita ingatkan  supaya minta lah sesuatu hanya kepada Allah, Allah yang mengàtur segalanya  dan semuanya mudah bagi Allah swt. 

        Kita ceritakan mengenai penciptaan  Allah ke atas dunia ini iaitu tauhid rububiah.  Anak-anak itu dalam fitrah. Mereka diciptakan  ada fitrah dalam diri mereka, bukan kosong akidahnya. Sebab itu nabi s.a.w bersabda ,

     "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."
(Riwayat al-Bukhari: 1385)

    Oleh kerana itu jika kita membicarakan tentang tauhid kepadanya, ianya mudah. Jika kita katakan kepadanya, hanya Allah yang patut disembah, hanya Allah yang mencipta alam semesta  , begitu juga menceritakan bahaya kesyirikan. Iaitu ada orang menyembah mayat, maka tak mungkin   mayat disembah. Mereka boleh mudah menerima logik. Masakan kita menyolatkannya , kita menguburkannya, kita doakan kemudian  kita sembah pula? Itu tidak logik.
    
       Tunjukkan di youtube ada orang menyembah lembu. Takkan  lembu kita sembah? Tunjukkan mereka buruknya kesyirikan. Kebodohan menganggap angka 13 adalah sial.  Dan lain-lain lagi. 

        Anak-anak mudah menerima akidah yang benar kerana ada fitrah itu dalam diri mereka , maka ia mudah menerima.  Bila kita tanam ini sejak kecil, bila besar nanti mereka lebih tidak suka lagi kepada kesyirikan tersebut. Orang yang tak diajar saja tidak suka kepada kesyirikan apalagi orang yang diajar. Apalagi yang kita kukuhkan fitrah dalam diri mereka. Kerana kesyirikan    berlawanan dengan fitrah.


Berdoa kepada Allah

     Begitu juga ajarkan anak-anak kalau ada masalah maka berdoa kepada Allah, minta tolong kepada Allah. Sering-sering kita ajarkan disamping kita membantu nya. Supaya nanti tertanam di hatinya bahawasanya tempat pertama meminta tolong adalah Allah swt. Anak-anak biasanya yang pertama ia minta tolong ialah ibunya. Jadi ibu-ibu jangan lupa ajar anak minta tolong kepada Allah swt.

       Akidah ini adalah doktrin yang kita ulang-ulang. Mungkin 10 kali mungkin 100 kali. Sehingga tertanam di hati anak-anak. 


Diawasi Allah

      Begitu juga ajarkan supaya ia berasa diawasi oleh Allah. Terutamanya waktu ia membuat kesalahan . Walau ayah ibu tidak tahu , tapi Allah tahu. Allah akan balas setiap keburukan kita cepat atau lambat. Adanya syurga ,adanya neraka untuk pembalasan. Katakan walau ayah tidak tahu kamu buat apa , tapi Allah tahu, Allah melihat kamu. 


Malaikat mencatat
 
       Demikian juga kita cerita kan bahawa malaikat mencatat setiap apa yang kita buat. Nanti akan dibuka semula catatan itu  untuk di baca di depan kita. Anak-anak mudah menerima kerana ia belum dimasuki fikiran tidak  sihat dan  fikiran liberal . Adanya Allah, malaikat ,ada jin, itu mudah anak-anak terima. Tinggal kita sering atau tidak mengulang-ulang hal tersebut. Harus kita ingatkan  selalu kerana di luar sana banyak perkara  yang membawa keburukan kepadanya. Terutamanya anak remaja. 

         Anak-anak akan ada 2 hal yang difikirkannya. Iaitu ia takut dengan  azab Allah dan kedua, dia tidak mahu mengecewakan orang tuanya. Jadi kita ingatkan dua perkara ini kepada anak-anak. Jangan kecewakan ibu, waspada. Dan ingatkan bahawa Allah sentiasa melihat.


Beriman kepada takdir

       Beriman kepada takdir juga penting. Bila ia kecewa, katakan , sudahlah  itu semua qadarullah, takdir Allah. Misalnya, kita pergi ke kedai nak beli sesuatu  tiba-tiba kedai sudah tutup , maka katakan  qadarullah, kedai sudah tutup.  Sudah takdir nak buat macamana? Kita sudah berusaha datang, tapi sudah takdir Allah. Ini melatih diri anak supaya tidak cepat marah, kerana ada namanya qadarullah walau kita sudah berusaha. Kalau sudah belajar bersungguh-sungguh tapi tetap dapat rendah, maka kata kan itu sudah qadarullah. Agar ia bersabar dan tidak putus asa. 

      Begitu juga kita dengan isteri kita, kalau jadi apa-apa, katakan, sudahlah itu sudah qadarullah.

     Kalau anak-anak  sering mendengar qadarullah, qadarullah, ini akan menanam imannya kepada takdir. Ini sangat memberi pengaruh dalam kehidupannya di masa akan datang. Ketika dia berhadapan dengan ujian-ujian hidup di dunia ini. Dalam kehidupan pendidikan nya, dalam hal ekonominya , dalam hal berkeluarganya, yang penting kita tanamkan  dalam dirinya,  qadarullah . Masalah akidah  harus diulang-ulang , sering kita doktrin. Qadarullah, qadarullah.

        Walaupun ia sekolah agama, tetap kita tanamkan nilai-nilai akidah ini  apalagi jika ia bukan  sekolah agama. Di rumahlah kita harus menggembleng tenaga menanam akidah kepada anak-anak. Kerana di sekolah sedikit sekali yang ia dapat. Ada saja kesempatan kita bercakap bab akidah,  kita sampaikan. Yang terbaik jika kita mengajar anak mengaji, suruh ia baca terjemahannya sekali, lalu kita terangkan semampu kita maknanya. Kerana di sana terdapat bermacam-macam  hal berkaitan akidah.

      Selalulah kita ambil contoh dari kejadian atau berita-berita yang ada di dalam tv atau apa yang kita dengar. Dan katakan bahawa Allah mengetahui semuanya . Walaupun orang jahat tak dapat ditangkap di dunia tetapi di akhirat ia takkan  dapat lari bahkan lebih parah lagi di azab.  Itu lebih baik daripada anak-anak ikut pengajian. Mereka  tidak fokus tapi jika ada sesuatu di depan matanya, itu lebih membawa kefahaman. 

     Jika ada sesuatu peristiwa lalu kita kaitkan dengan akidah itu lebih berkesan kepada anak - anak. Misalnya di hari krismas,  katakan  Islam tidak begitu kerana orang kristian itu menyembah manusia  , kita menyembah  Allah. 


Cinta kepada nabi

      Jangan lupa juga mengajar anak-anak supaya cinta kepada nabi Muhammad s.a.w.  Tentunya kitalah yang kena beramal dengan sunnah nabi dahulu supaya bila ditanya mengapa buat begitu,  maka kita katakan itu sunnah nabi s.a.w . Itu tanda cinta kepada nabi. Ceritakan juga sejarah ringkas nabi s.a.w.  Bagaimana perjuangan nabi s.a.w.  Mungkin sesekali kita kumpulkan anak-anak  dan membaca sedikit sirah nabi. Ceritakan  kisah kebaikan akhlak nabi misalnya. 

      Dan bila ada saja berlaku berkaitan nabi s.a.w, kita terangkan kepada anak. Seperti ada orang mencaci nabi, kita terangkan mengapa nabi itu sebaik-baik manusia.


Kisah para sahabat

      Begitu juga kita ceritakan tentang kisah para sahabat, kemuliaan akhlaknya, kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu,  dalam berperang dan sebagainya.

      Ini semua memerlukan peranan ibubapa sendiri. Pendidikan di sekolah agama ada kesannya. Tetapi pendidikan dari ibubapa lebih berkesan dan terpateri di jiwa mereka.  Ada saja kesempatan kita ceritakan tentang takdir, tentang syirik, tentang tauhid, kita ceritakan.
  
       Kalau akidah anak kita kuat, insya Allah ia akan selamat di kemudian hari. Kerana zaman ini zaman penuh syubhat, zaman syahwat dan zaman fitnah. Kita tidak dapat mengawal mereka setiap masa. Kalau mereka sudah pegang h/p, itu lagi susah. Kesan buruk h/p kepada anak amat dahsyat nanti. Maka kita kena tanamkan akidah secara praktis kepada anak-anak.


       
2) Membina akhlak


       Bagaimana beradab dengan kedua orang tua? Ia perlu didoktrin kan. Suruh dia cium tangan kedua ibubapa. Ini sesuai dengan adab biasa bangsa kita. Bagi orang Arab mereka mencium kening orang tua. Adab kita ini harus di doktrinkan   , disuruh, sebagai adab kepada kedua ibu bapa. Dengan begitu mereka akan lebih sayang kepada kita dan lebih hormat kepada kita.

      Begitu juga supaya menunggu kedua ibubapa makan dulu baru anak-anak makan.  Ini harus di doktrinkan. 

        Atau bila berjalan, jangan berjalan  di depan  orang tua. Tapi di belakang. Atau orang tua sedang berbual, jangan anak-anak main h/p di depannya. Dengan kita ulang-ulang  selalu , lama-lama itu terpateri di hatinya. Jangan dibiarkan dengan menganggap nanti besar dia akan tahu. Tidak. Anak-anak  zaman sekarang tidak seperti dulu, ada yang menegurnya. Zaman sekarang tidak ada, bahkan kalau dibiar ia bertambah rosak. 
 
      Kalau kita tidak mengajar adab kepada mereka di rumah siapa yang akan mengajar mereka?  Maka adab anak-anak ini penting untuk kita Ingatkan, tentang jasa ibu yang mengandung 9 bulan lamanya. Ibunya sakit-sakit , muntah kerana mengandungkan dia. Supaya dia ingat dan supaya ia akan beradab. Begitu juga ibu-ibu ingatkan  bahawa ayahnya sudah penat  setengah  mati kerja kerana ingin membesarkan  mereka. Kurang tidur, kurang rehat sehingga dia ingat dan beradab dengan kedua orang tua. Dalam segala hal,   ingatkan mereka supaya beradab dengan orang tua. 
 


    Adab kepada pakcik, .makcik, datuk, nenek dan lain-lain. Anak-anak kalau tak diajar ia tak tahu menghormati seseorang. Apalagi jangan sampai tak menghormati pakcik dan makciknya. Kenalkan ia kepada saudara mara dan jangan biar ia tidak kenal nanti. Katakan bila pakcik, makcik datang cium tangannya. 

        Anak-anak kalau tak diajar  ia jadi kurang ajar kepada pakciknya, makciknya. Kita ingatkan dia siapa mereka . Ingatkan dia supaya cium tangannya. Keluarkan makanan untuknya. Iaitu ajarkan anak menghormati mereka. Itu kena disuruh jangan dibiarkan saja. Ajari mereka, bila mereka membuat kerja  bantulah mereka. Ini harus diulang-ulang.

       Begitu juga kepada datuk dan nenek.
Kalau anak masih kecil tanyakan dia siapa datuk dan neneknya. Supaya dia tahu itu ayah dan emak kepada ibubapanya. Yang harus dihormati juga.. Supaya  dia faham, kenal dan seterusnya berlaku hormat dan beradab kepada mereka. 

          Seperti mana Allah mengajar Musa a.s adab. Iaitu buka sandalnya ketika memasuki tempat yang suci.


       Adab kepada tetamu. Jika kita pergi kerumah ulama atau syeikh, selalu yang melayani adalah anak-anak mereka. Yang masih sekolah menengah atau sekolah rendah. Menuangkan kopi , menyediakan kuih-muih. Ia diajar melayan tetamu. Iaitu yang lelaki melayan tetamu lelaki yang perempuan melayan tetamu perempuan. Tapi perkara  ini tidak dibuat dalam masyarakat kita  di sini. Ini contoh yang baik yang harus kita ikuti. 


       Adab kepada tetangga.Tidaklah patut kita membuat bising yang mengganggu tetangga seperti bermain bola atau lain-lainnya. Atau masa-masa tertentu kita minta anak menghantar makanan kepada tetangga. Begitu juga kita ajar anak kita supaya berbuat baik kepada anak-anak tetangga . Ini harus dingatkan  selalu.

        Anak-anak itu perlukan diingatkan selalu kerana ingatan dari h/p dan filem-filem lebih banyak dari yang kita ajar. Mereka belajar adab dari situ, bergaul lelaki perempuan, adab tidak tahu malu, dan pelajaran itu lebih masuk dari apa yang kita ajarkan. 

       Kalau kita tanya mahukah saya bawakan orang yahudi atau orang kafir mengajar anak kamu? Orang mesti tidak mahu. Sebab bagi mereka halal haram sama saja. Tetapi kita rela pula anak kita diajar oleh media-media seperti tv dan internet. Dengan drama koreanya, dengan filem-filem dan macam lagi. Itu membuat anak-anak  terbiasa dengan maksiat. Adab yang kita ajar jadi hancur. 

      Oleh itu, kita harus mengulang-ulang memberi ingatan. Ini boleh, ini tidak boleh. Agar apa yang kita ajarkan lebih kuat dari apa yang  dia lihat.

      Adab dalam berbicara. Iaitu jangan menjerit-jerit ketika berkata. Perempuan harus ada sifat malu. Kalau kita tidak ajar dari awal, dengan suaminya dia akan teriak-teriak. Ini harus kita ulang-ulang. Walau jika dia ada  masalah, harus berkata dengan perlahan.  Semua ada adabnya. 

     Begitu juga bila orang tua sedang berbicara, jangan anak potong kata-katanya. Itu tidak sopan . Biarkan ia habis bercakap dahulu. Ini harus kita ingatkan.

       Semua apa yang kita usahakan kepada anak-anak  ini berpahala  samada kita berjaya atau tidak. Tetap ada pahalanya. Tidak ada yang sia-sia. Kita tidak mampu berdakwah di masjid, tapi kita boleh berdakwah kepada anak-anak kita, isteri kita dan orang terdekat dengan kita. Kebaikannya kembali kepada kita.



      Adab berpakaian. Yang perempuan jangan dibiarkan berpakaian seksi. Yang lelaki jangan dibiar berpakaian seluar pendek, rambut yang berfesyen melampau.  Biasanya ia terpengaruh dengan fesyen orang kafir. Walaupun fesyen ia juga mempengaruhi akhlaknya juga nanti. Oleh itu ajari mereka berpakaian  cara Islam yang sederhana, tidak melampau. Yang perempuan dilatih pakai tudung dan baju yang longgar.  Ini harus di doktrin sejak ia kecil. Bila sudah besar  susah mengajarnya lagi. 

       Anak perempuan juga ditanamkan rasa malu. Jika ada tetamu lelaki jangan dibiarkan ia masuk campur. Cukup ia duduk di dalam saja. Jika ia ada rasa malu, nanti dengan suaminya ia akan ada rasa hormat dan beradab. Ia malu menyakiti hati suaminya, ia malu membuat suaminya marah. Tapi kalau dibiarkan ia liar ke sana sini, ia akan tidak ada rasa malu lagi kepada sesiapa.   Jika ada rasa malu , jangankan  membuat maksiat, melanggar etika saja dia akan rasa malu.


3) Membina sosial anak

       Mengajar anak dalam bersosial bukan perkara yang harus diambil ringan. Ada sebahagian anak ia jadi kaku bila bergaul dengan orang lain. Kadang ini  menyebab kan ia tidak dapat  mengembangkan keupayaann dirinya kerana kurang pengalaman bersosial. Sebab itu dalam Islam kita disuruh solat berjemaah , berkumpul, bertolong bantu dalam ketaqwaan. Jadi, banyak dalil-dalil menunjukkan kita harus bersosial.


Jika tak pandai bersosial

        Bila anak tidak pandai bersosial, ada kesan negatif , misalnya:

1. Ia jadi kaku berlebihan yang menyebab kan ia tak mampu mengembangkan bakatnya.
2. Bila ia tidak pernah bergaul  ia akan rasa sombong. Sebab ia tidak tahu kekurangan dirinya, ia tidak tahu kelebihan orang lain, ia tidak tahu salah dirinya. Hingga muncul keangkuhan dalam dirinya. Ia merasa dirinya tinggi, orang lain rendah.

       Oleh itu kita latih anak  supaya bersosial. Bila ada kawan yang tidak disenangi ia harus sabar , tidak cepat putus asa. Kerana bila ia besar nanti ia akan berdepan seperti itu yang lebih banyak. Tidak semua orang akan sesuai dengan kita. Jadi sejak kecil kita ajari hal-hal seperti itu.

   Mengajak anak ke majlis orang tua. Ini kita buat sesekali. Seperti Umar r.a kadang mengajak anaknya ibnu Umar . Dia melihat nabi membuat satu teka teki kepada para sahabat katanya ,
      " Sungguh ada satu pohon yang keberkahannya seperti seorang mukmin  beritahu aku apakah pohon itu? Bahawasanya daunnya tidak pernah gugur, .. dan seterusnya.."

        Lalu ibnu Umar terbetik dihatinya itu pohon kurma. Tetapi ia melihat  Abu Bakar dan ayahnya tidak bercakap, sedang dia adalah anak yang paling kecil ketika itu. Lantas dia pun tidak menjawab.

       Ertinya , seorang anak di biasakan mengambil iktibar dari golongan tua dan dapat bergaul dengan mereka. Agar tahu membawa diri. .

     Begitu juga Saidina Umar r.a dalam satu mesyuarat telah mengajak ibnu Abbas bersama walaupun yang lain nya adalah orang-orang tua. Itu bertujuan mengajar ibnu Abbas menghadapi permasaalahan, melibat bagaimana mereka berdiskusi supaya dia dapat mengambil pelajaran.  Ini dilakulan sesekali saja agar dia dapat mengambil menafaatnya.  

       Menyuruh anak membeli atau mengirim sesuatu.  Bila membeli sesuatu perlu berdepan dengan penjual, berinteraksi, mungkin harus menunggu dan sebagainya. Di situ dia dapat banyak pelajaran, seperti bagaimana berinteraksi, berbahasa  , berani berbual,  sabar dan  lain-lain lagi. Dan supaya ia tidak terlampau malu. Misalnya jika barang yang dibeli itu salah,  kita suruh ia tukar. Itu perlukan ia berinteraksi  bagaimana ia mengatakan sesuatu. Itu cara mendidik dirinya.

      Bahkan sesetengah sekolah menyuruh anak-anak menjual sesuatu sebagai latihan sahaja.  Di situ dia dapat banyak pelajaran. Bagaimana berkomunkasi, bagaimana menyediakan  barang dan menerima wang. Dan sebagainya. Suatu hari mungkin pengalaman  itu berguna kepadanya. 

      Menugaskan anak menjaga adik-adiknya. Bila  kedua ibubapa harus keluar, mintalah anak yang tua menjaga adik-adiknya. Ajarkan dia cara membancuh  susu, mengingatkannya jangan bermain api atau apa-apa yang membahayakan. Dan kepada adiknya kita suruh mendengar apa kata kakak atau abangnya. 

      Dengan itu kita mengajar yang tua menyayangi adiknya dan adiknya menyayangi kakak-abangnya. Menanam rasa kasih sayang ini mesti sejak kecil. Kita tidak mahu bila ia besar , ia membawa diri sendiri. Tidak ada rasa sayang antara adik beradik. Bila dari kecil kita didik supaya sayang menyayangi, sampai besar ia akan tetap  berkasih-sayang.


     Ajari kerjasama dengan orang lain. Bahkan ada pendakwah atau guru, tidak biasa ber kerjasama. Ini disebabkan mungkin ada keangkuhan dalam dirinya. Ia tak biasa diperintah atau ia tidak biasa memerintah. 

       Dengan  adanya kerjasama , kadang pendapaf kita ditolak. Jadi kita harus biasakan diri menerima pendapat orang lain atau biasa di kritik orang lain. 

    Jika di sekolah seseorang tidak biasa berkerjasama, nanti bila terjun ketengah masyarakat ia sukar berinteraksi. Dia mahu keputusan di tangannya saja. Jika ada perselisihan pendapaf ia marah, maka itu jadi masalah. Padahal itu masalah duniawi sahaja. 

      Jadi anak-anak harus belajar memberi pendapat secara berdepan. Dan belajar menerima pendapat orang lain. Ini suatu pelajaran adab sosial yang harus dipelajari oleh anak-anak.   Supaya dia tidak jadi orang yang tak menjaga adab dalam hubungan sosial. Supaya ia pandai memberi perintah  dan menerima perintah  dengan cara ikhlas.

       Oleh itu penting untuk kita mengajar anak-anak kerjasama dengan  orang lain. 



4) Membina ibadah anak.
        
      Ibadah ini ada dua jenis iaitu ibadah antara kita dengan Allah. Dan hubungan  antara kita dengan sesama manusia. Kita harus mendidik anak-anak kita sejak kecil. 

     Solat pada waktunya. Disertai solat sunat. Ajarkan ia sejak dari kecil. Yang penting sekali solat subuh. Kita pun mestilah solat, kalah tidak, susahlah. Latih anak sementara ia masih kecil. Seseorang itu tumbuh sengan kebiasaan yang ia lakukan. Kalau dia terbiasa solat subuh dan sunatnya, maka ia akan mudah nanti. Tapi kalau tak dibiasakan semua jadi berat. 

       Diceritakan imam Ahmad bin Hanbal, ayahnya meninggal ketika ia masih kecil, tapi ibunya yang masih berumur 20an tidak mahu kahwin lagi. Ia mahu fokus mendidik anaknya Ahmad , diajar mengaji, solat dan lain-lain. Walaupun miskin.  Sehingga ia tumbuh membesar menjadi imam yang hafal sejuta hadis.

    Begitu juga imam Malik, imam Syafie. Ibu mereka sabar mendidik mereka. Yang penting dibiasakan. 

    Kalau anak masih kecil,  ajarkan tacara wudhu'. Umur yang 3 , 4  ,5 dan 6 tahun ajarkan wudhu' yang betul. 



       Ajarkan juga doa kepada anak-anak. Bila naik kenderaan bacakan doa naik kenderaan , suruh anak ikut. Baca juga doa keluar rumah dan doa dihindari perkara yang buruk. Baca satu-satu dan suruh dia ikut. Baca setiap kali naik kenderaan. Lama-lama dia akan  terbiasa. 

      Ajar juga doa masuk tandas, sebelum tidur, bangun tidur ,makan baca bismillah, dan sebagainya. Ingatkan  setiap hari. Ini akan membuat ia tidak lupa dan kita pun tidak lupa. 
     
    Jangan lupa  bawa anak-anak  ke solat jemaah. Ini akan membiasakannya dengan kebiasaan yang penting.  Dari rumah kemasjid, kita bagitau ia jangan itu dan ini. Jangan teriak-teriak, kalau ada teman jangan berlari-lari, ikut solat sunat. Kita ingatkan  selalu hingga masuk ke dalam hatinya.  Bila sampai masjid terus ia kerjakan. Jadi, ingatkan ia dari awal bukan  sesudah sampai.  Agar dia biasa pergi ke masjid, katakan pahalanya 27 kali ganda. Beri semangat kepada anak-anak begitu.  Bila kita meninggal, ia rajin berjemaah , itu satu kebaikan untuk kita.

       Latih anak-anak memuliakan  hari raya. Bangun pagi-pagi, pakai baju baru, pergi solat beramai-ramai. Kita buat begitu supaga ia rasa gembira dengan Islam. Supaya ia dapat bergembira sesudah sebulan  berpuasa. 

      Waktu raya korban, kita ajak dia melihat kambing yang nak kita korbankan. Suruh dia lihat orang menyembelih supaya ia tahu itu syiar dalam Islam. Ini satu pengalaman supaya tertanam dalam hatinya nanti. Bila ia besar ia akan ingat, ayahku dulu sembelih kambing. Lalu insyaallah ia akan lakukan begitu pula nanti. 


     Biasakan puasa walau masih kecil. Ikut kemampuan anak itu juga. Kalau ia letih maka pecahlah. Kalau sudah 7 tahun , anak-anak biasanya sudah kuat untuk puasa 30 hari. Kalau ia berjaya atau ia pecah dua tiga hari,  berilah ia sesuatu penghargaan yang baik. 



       Suruh jadi imam. Kalau ada anak lelaki suruh sesekali jadi imam. Kalau ada anak perempuan dua atau tiga orang,  suruh mereka solat jemaah, seorang menjadi imam. Akan timbul kasih sayang dan semangat untuk beribadah nanti. 


     Latih bersedekah. Dan memberi hadiah. Ini penting supaya ia peka kepada orang susah. Kalau jumpa orang susah di tepi jalan misalnya, suruh ia bersedekah kepadanya. Supaya anak itu ada sifat zuhud, tidak memikirkan  dunia sangat.  Kalau dia kata ingin memberi hadiah kepada teman-teman atau guru, berikan saja. Supaya ia tidak kedekut. Kerana kedekut itu sifat yang jelek. Jika kedekut itu sudah jadi perangai , itu susah dibaiki. 
    
      Jika sejak kecil kita latih tidak kedekut, , insyaallah ia terbawa sampai besar. Jangan, bila ada makanan atau apa-apa, ia sembunyikan. Akhirnya nanti ia kedekut bukan kepada orang lain tapi kepada keluarga sendiri pun kedekut.  Kalau lelaki kedekut dengan  isterinya, itu masalah. 

       Jadi,  ajar anak beri sedekah , atau hadiah walaupun yang murah. Kita tanam ke dalam  dirinya peka kepada orang lain.

       Kalau anak kita ada kelebihan itu hal yang baik. Tapi jangan sampai kita posisikan dirinya bukan  pada waktunya. Contohnya,  kalau  ia hafiz  kita suruh ia jadi imam di masjid yang besar. Tapi hatinya tidak kuat, mungkin ia dipuji orang, disanjung, maka   timbul riak,  sombong dan sebagainya dalam hatinya. Itu bahaya kepada dirinya. Kita kena hati-hati. 

        Iaitu kita suruh buat sesuatu yang besar tapi  hatinya belum mampu. Kita kena lihat psikologi anak-anak. Jangan  kita buat sesuatu yang berlebihan sehingga anak itu tidak kuat menghadapi posisi yang kita letakkan padanya hingga ia terjerumus ke dalam  kesombongan, keangkuhan atau merendahkan orang lain. Itu tidak kita inginkan. Kita melatih tapi jangan sampai terbabas.

      Semoga dengan ini Allah mudahkan kita mendidik anak-anak kita menjadi anak yang soleh, selamat dunia dan akhirat. Yang mendoakan kita sesudah kita meninggal nanti. 


Semoga bermenafaat




Dari kuliah Dr. Firanda.
Klang.
14/6/24













Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...