Langkau ke kandungan utama

118) APA SYARAT AMALAN SOLEH?

Bismillah.
Assalamu'alaikum,
       Apakah  ganjaran bagi orang yang beriman dan apakah ciri-ciri orang yang beriman yang layak mendapat janji Allah di akhirat nanti?  Allah jelaskan ia di dalam surah al Nahl : 97,
        Orang yang akan mendapat ganjaran dari Allah ialah yang memenuhi syaratnya.

         Syarat pertama dia telah beramal soleh, kedua dia mesti beriman kepada Allah.

Apa maksud amal soleh?

          Amal soleh ialah apa sahaja amal orang islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal), pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat islam. Amal itu dengan: Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T.. Mengikut rukun, syarat dan cara yang betul.
     
 Amal yang soleh ada beberapa syarat, iaitu;

1. Ia mesti beriman kepada Allah.

 Dalilnya lihat surah al Furqan: 23,
            Ini kisah semasa di akhirat. Bila amalan mereka  yang mereka sangka amalan soleh ,dibawa ke hadapan Allah, tetapi ia umpama debu yang berterbangan.  Kenapa bertukar menjadi debu?  Kerana ia tidak beriman kepada Allah. Dalilnya surah al Kahfi: 
        Kalau ia derma sejuta, buat rumah orang miskin , tapi dia tak percaya Allah lagi tak solat , maka semua amalannya sia-sia.  Iman itu umpama tapak. Jika ada tapak maka boleh simpan pahala. Kalau tiada iman, pahala tiada tempat untuk disimpan.
        
         Orang kafir atau tak beriman  yakin apa yang ia buat itu baik. Dan boleh membawanya ke syurga.  Tapi Allah tolak amalan mereka walaupun kelihatan baik.  

          Kenapa amalannya jadi umpama debu? Kerana debu tiada nilai langsung. Tak guna ditimbang, dan tak berguna apa-apa.  Bila ia melihat amalnya jadi debu, ia satu penyesalan yang sangat besar. 

 Lihat juga surah alGhasiah: 
           Di hari akhirat hanya ada dua jenis manusia sahaja. Walaupun nabi kata ada 73 golongan.  Dari 73 itu 1 golongan saja masuk syurga, 72 lagi masuk neraka.
         
       Maka  pada hari itu banyak muka-muka yang tunduk? Kenapa tunduk? Kerana malu dan hina. Seperti orang bersalah di dunia ini yang tunduk mukanya semasa dibawa oleh polis.
         Padahal dia sudah beramal dengan susah payah semasa di dunia.

         Dengan amalan yang ia sangka baik, tapi ia tetap masuk  neraka yang panas. 

          Ia minum air yang sangat panas pula.

         Makanannya pula ialah makanan yang berduri. 

         Yang makanan itu tidak mengenyangkan ia. Inilah akibat jika tidak beriman kepada Allah. Amalannya sia-sia, dan dihumban kedalam neraka.

    
2. Mesti mengikut sunnah    

          Syarat kedua supaya amal itu menjadi amal soleh atau amalan yang diterima Allah ialah ia mesti selari dengan amalan nabi kita.  Dalilnya di surah Ali Imran: 31,
          Allah beritahu nabi supaya berkata kepada umatnya yang mengaku cintakan Allah , maka ikutlah nabi. Seperti dalam solat contohnya nabi berkata, 
Arti hadits:
Dari Malik (telah bersabda Rasulullah saw): “Dan shalatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku shalat.” [H.R. Bukhari]

          Makna ikut itu apa.? Maknanya ialah, ikut apa yang nabi buat, dan tinggalkan apa yang nabi tak buat. Tapi ada orang faham, ikut apa yang nabi buat, manakala yang nabi tinggal kita bebas nak buat atau tinggal. Ini satu kefahaman yang salah.

          Sebab , apa makna buat ? Maknanya apa yang nabi buat , itu yang nabi suka. Mana yang nabi tinggalkan  , nabi tak suka. Kenapa kita nak buat juga? Kalau benda tu baik  maka nabilah orang pertama yang akan buat.

          Sebab itu sebelum nabi wafat, turun ayat 3:  al Maidah,
            Apa makna sempurna? Iaitu bila kita tambah, makna nya apa yang ada itu belum sempurna. Kalau sempurna tak perlu ditambah.

        Kadang-kadang benda simple saja. Contoh bila habis solat nabi baca,
tiga kali. Tapi imam baca,
Jadi, mana yang lebih pandai? Nabi atau imam?  Yang nabi baca itu dari nafsu atau wahyu? Wahyu. Yang imam baca itu dari nafsu dia atau gurunya?   Jawab.....

        Logiknya lepas solat pujilah Allah, alhamdulillah.  Istighfar patutnya selepas buat dosa. Tapi adakah nabi tak faham ini? Imam lebih faham dari nabi?

       Sebenarnya bila kita solat adakah kita fokus 100%. Mulut puji Allah, fikiran ingat lain. Kunci yang hilang boleh jumpa semasa solat. Jadi, kerana kita tak fokus, tak khusyu' itulah kita kena istighfar. Bukan alhamdulillah.

 Apa kita dapat?

          Bila kita ikut nabi  ,ikut sunnah nabi, apa yang kita dapat? Allah kata kita akan dapat Cinta Allah. Iaitu Allah cinta kita. Allah sendiri yang akan cinta kita. Bukan kita yang cinta Allah. Kadang kita kata cinta Allah , tapi sebenarnya syok sendiri saja. Buktinya satu hari kita baca quran berapa jam? Buka hp berapa jam? Memang kita syok sendiri je.

         Kata Othman ibn Affan, kalau seseorang itu cinta Allah dia takkan jemu memahami al quran. Itulah ayat-ayat cinta 

       Kalau ikut nabi maka  Allah akan cinta kamu. Jadi kenapa nak berbeza dengan nabi?  Bila kita ikut orang ramai dapat tak cinta Allah? Tidak , sebab tak ikut syarat.

         Lagi dapat apa? Dapat keampunan Allah. Dengan ikut nabi, sunnah nabi dapat keampunan Allah. Iaitu kita dimaafkan Allah nanti di akhirat.

Dalil hadis.

          Ini dalil dari hadis bahawa amalan yang diterima ialah yang mengikut sunnah. Apa yang nabi kata semua dari wahyu. Kalau kita merendahkan apa yang nabi kata sama seperti merendahkan Allah. Nabi bukan berkata ikut nafsu. 

Kata nabi,
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)
       
      Kenapa tertolak? Sebab tak sama dengan nabi. Jadi cerdik tak kita? Bila buat satu amalan yang tak sama dengan nabi, belum pasti diterima. Sedangkan bila buat amalan yang sama dengan nabi pasti diterima. Mana kita nak pilih?

     Kita hantar amalan kepada Allah yang cacat. Ada amalan yang baik kita tak mahu hantar. Adakah itu patut?

        
3. Ikhlas kepada Allah sahaja.

        Kita dah beriman, amal ikut sunnah nabi tapi tak ikhlas. Buat bukan kerana Allah. Kadang supaya biar orang puji kita ikut sunnah , kita kuat ibadat dan sebagainya.
       
       Dari hadis qudsi riwayat Abu Hurairah, nabi bersabda, bahawa Allah berkata, 
"Aku paling kaya dari sekutu-sekutu. Siapa yang membuat amalan yang mensyirikkan Aku kepada selain Aku , Aku tinggalkan dia dan Aku abaikan dia dengan kesyirikannya."

        Contohnya,  dia pergi masjid kerana Allah, sebab kedua sebab emak mentua dia datang malam tu. Itu berbuat amal kwrana selain Allah.

Lihat pula surah al Bayyinah: 5 ,
         Di sini Allah menyatakan ibadah mesti ikhlas kerana Allah. Kadang kita lebih memperhatikan lafaz niat dalam solat, tapi dalam hati tidak dijaga.  Yang Allah pandang ialah niat di dalam hati bukan lafaznya. 
       
        Lihat pula sifat orang yang ikhlas, yang layak masuk syurga,  dalam membuat kebajikan dalam surah al Insan: 8, 
         Apa amalan mereka semasa di dunia?  Iaitu sentiasa memberi makanan yang baik-baik kepada orang yang paling berhajat, iaitu orang miskin, anak yatim dan tawanan perang. Iaitu ia banyak memberi menafaat kepada orang bukan dirinya sahaja.
      
          Adakah dia berbuat baik itu kerana mengharapkan balasan? Lihat ayat seterusnya,
        Tidak. Dia hanya ikhlaskan kerana mengharap keridhaan Allah. Tidak mengharapkan balasan dari manusia walaupun ucapan terima kasih. Itulah tanda ikhlas. 
     
        Bila kita buat makan dan jemput orang lalu minta orang itu baca doa sikit untuk kita , itupan tidak ikhlas sebenarnya. Ini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Sepatutnya beri makan, sudah. Jangan harap apa-apa dari tetamu.
    
Allah tak bezakan jantina bila beramal soleh.

          Sebab itu dalam surah an Nahl: 97 tadi Allah sebut lelaki dan perempuan . Itu tanda keadilan Allah. Pahala solat atau pahala puasa lelaki dengan wanita adalah sama. Cuma lelaki ada kelebihan dalam solat di masjid, solat jumaat dan berjihad. Cemburunya wanita zaman sahabat dalam hal ini disebut dalam hadis di bawah,,


Pertanyaan Hazrat Asma r.anha mengenai ganjaran bagi kaum wanita.

         Hazrat Asma' binti Yazid r.anha ialah seorang wanita ansar. Beliau telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata,

       “Ya rasulullah, tuan terlebih dahulu saya kasihi daripada kedua ibu bapa saya. Saya ialah utusan drp wanita-wanita islam untuk berjumpa dengan tuan. Sesungguhnya tuan diutuskan sebagai nabi untuk kaum lelaki dan juga wanita. Sebab itulah kami Jemaah kaum wanita beriman dengan tuan dan Allah s.w.t. 

        Tetapi kami tinggal dalam empat penjuru rumah dan sentiasa berada di sebalik tabir. Kami ialah teman kaum lelaki di dalam rumah. Keperluan hawa nafsu mereka disempurnakan melalui kami juga. Kami menanggung anak-anak mereka di dalam perut kami. Namun demikian, kaum lelaki mendahului kami dalam banyak amal kebajikan. Mereka dapat bersolah Jumaat, bersolah secara Jemaah, mereka menziarahi orang sakit, mereka menghadiri upacara jenazah, menunaikan haji demi haji atau umrah  dan lebih daripada itu mereka berjuang di jalan Allah s.w.t. 

         Apabila mereka pergi haji atau umrah ataupun berjihad kami kaum wanitalah yang menjaga harta mereka. Kami menenun pakaian untuk mereka dan kami menjaga anak-anak mereka. Apakah kami tidak mendapat sebahagian pahala mereka?”

        Setelah mendengarkan ini, Rasulullah s.a.w berpaling kearah para sahabat lalu bersabda, “ Adakah kamu pernah mendengar seseorang yang bertanyakan soalan agama yang lebih baik dari wanita ini?”

        Para sahabat menjawab,” Kami tidak terfikir yang wanita juga boleh menanyakan soalan sedemikian.”
Selepas itu Rasulullah s.a.w berpaling kepada Hazrat Asma lalu bersabda,

         “Dengar teliti serta fahamkan dan kemudian pergilah beritahu kepada wanita-wanita yang telah menghantar kamu. Layanlah suami kamu dengan baik dan carilah kesukaannya serta tunaikan kesukaannya itu maka pahala bagi kesemua amal kebajikan tadi ialah sama antara kamu dengan mereka.”

        Maka kembalilah Hazrat Asma dengan penuh gembira setelah mendengar jawapan tersebut.

       Maknanya, setiap kali suaminya pergi beramal dan berjihad di luar,  isteri nya tetap dapat pahala yang sama. Hanya perlu duduk di rumah sahaja menguruskan kewajipannya. Dengan pertanyaan Asma' tadi telah memberi peluang  jalan 'short cut' ke syurga bagi kaum wanita. 

         Di dalam al quran disebut beberapa nama wanita yang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah iaitu , Maryam, Asiah dan kakak nabi Musa. Bertuahnya wanita beriman  tak perlu berjihad tapi dapat pahala jihad suaminya.

          Walaubagaimanapun wanita boleh pergi solat jemaah,  solat jumaat dan berjihad. Seperti yang pernah di lakukan pada zaman nabi dahulu.

 Apa Allah nak beri?

         Maka setiap lelaki atau perempuan yang beriman  dan beramal soleh , Allah berikan ia hayatan thoyyibah . Seperti di surah an Nahl:97,
      Apa kah hayatan thoyyibah? Ulama tafsir mengatakan ianya ada tiga hal:

1. Qanaah

        Ini punca manusia bahagia  iaitu apa saja yang ia dapat, yang ia ada, dia rasa cukup. Baik banyak atau pun sedikit. Baik sihat atau pun sakit.

      Punca manusia tak bahagia ialah ia rasa tak pernah cukup.

2. Rezeki yang halal.

         Allab beri dia rezeki yang halal sahaja. Yang haram Allah jauhkan. Tidak ada unsur-unsur riba' dalam urusan hidupnya.

3. Allah beri taufik kepadanya untuk beramal.

        Ada orang dah belajar , dah tahu  tapi tiada kekuatan untuk beramal. Maknanya ia tidak mendapat taufik dari Allah.
       
      Tapi orang yang Allah beri hayatan thoyyibah ia senang untuk beramal. Misalnya untuk solat sunat, sedekah dan sebagainya.

        Kenapa dia mudah untuk beramal? Kerana dia ada dua perkara, beriman kepada Allah dan beramal soleh. Kalau dia dah beramal tapi tak dapat hayatan thoyyibah  maka periksa amalnya, mungkin bercampur dengan amalan bid'ah. Atau imannya tak sempurna, atau tak ikhlas atau ia ada harapkan balasan dari orang.

Contoh hayatan thoyyiban

        Lihàt contoh hayatan thoyyibah dari hadis,

       Daripada Anas sesungguhnya Nabi saw bersabda , "Perkara yang aku cintai ialah wanita (isteri), minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku ketika solat.”

Riwayat Imam Ahmad ( 12293) di dalam Musnad

       Dalam solat khusyu', tenang dan tenteram itu tanda mendapat hayatan thoyyibah. Sebab itu bila nabi solat malam, lama dan panjang.
        
       Oleh itu kita boleh ukur kita dapat atau tidak, dengan melihat solat kita. Adakah dapat penyejuk mata?  Atau solat sekadar melepas batok di tangga? Antara makan, bersembang, tengok hp dan solat  mana buat yang paling ringkas dan sekejap?

Lihat surah azZumar: 22,
           Apa maksud lapang hati untuk Islam? Iaitu hatinya lapang saja untuk mentaati perintah dan lapang hati untuk meninggalkan larangan dalam Islam.  Kerana Islam itu terdiri dari perintah dan larangan.  Ini tanda hayatan thoyyibah.

         Hati lapang lawannya hati keras. Bila susah nak beramal itu tanda hati keras. Pastilah yang hati keras ini akan tersesat dari jalan yang lurus.

Ganjaran di akhirat
  
        Di dunia ia dapat hayatan thoyyiban, di akhirat dia dapat apa? Iaitu,
         Apa kah balasan yang lebih baik dari apa yang kita kerjakan itu? Iaitu contohnya:

1. Solat sunat 2 rakaat sebelum subuh Allah beri ganjaran lebih dari dunia dan seisinya. Dapatkah kita mengukurnya?

2. Solat sunat 12 rakaat, Allah beri istana yang kekal di syurga nanti.
 
        Jadi , kita nak untung atau rugi? Oleh itu peluang kita masih ada kerana kita masih hidup.  Semua yang mati minta kembali ke dunia untuk beramal soleh, tapi sudah terlambat. Garisan penamat sudah sampai, pintu sudah tertutup.

        Jadi, jangan sia-siakan masa yang ada.



Klang & Padang Jawa.
21/10/23

.



          


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...