Bismillah.
Assalamu'alaikum,
Sesuatu hal dalam agama mesti berdasarkan dalil. Mengajar anak supaya kenal tuhan, adakah wajib atau harus? Wajib. Dalilnya di surah al Ikhlas:1,
Bila Allah suruh nabi Muhammad supaya mengajak manusia mengenali bahawa Allah itu esa, maknanya wajib bagi kita kenal Allah dan wajib mengajar anak kita kenal Allah.
Adakah kita buat? Adakah kita ajar anak kita kenal tuhan sehingga anak kita kenal dan cinta kepada tuhan, sehingga dia rasa seronok untuk solat?
Mengenali Allah itu wajib, tapi ramai orang tak ambil tahu. Mengajar supaya kenal tuhan itu paling penting tapi diabaikan oleh ibubapa. Kesan daripada itu maka terjadilah apa yang terjadi sekarang. Remaja ambil dadah , merempit , buli di sekolah , zina dan lain-lain lagi.
Kewajipan Ibubapa kepada anak-anak :
Apa kewajiban yang wajib kita tunaikan kepada anak-anak kita ?. Allah menyuruh ibubapa supaya ,
1. Berusaha menyelamatkan anak-anak dari neraka dan berusaha memasukkan nya ke syurga.
Adakah sesiapa yang meng hantar anaknya ke sekolah dengan harapan supaya anaknya tahu jalan ke syurga dan berusaha masuk ke syurga?
Atau ibubapa hantar anak ke sekolah supaya anaknya dapat masuk universiti?
Yang mana lebih penting dan wajib? Kita pastikan anak kita masuk syurga atau masuk universiti? Lumrahnya , pendidikan di mana-manapun hendak memastikan anak masuk universiti. Jarang sangat yang berusaha supaya anaknya dapat masuk syurga.
Dalam hal ini kita lihat apa kata Allah mengenai masa depan anak-anak kita. Lihat surah at Tahrim: 6 ,
Kata Abdullah bin Masud, iaitu bila Allah sebut saja ' Wahai orang-orang beriman', maka wajib kita dengar dan wajib ambil perhatian. Kenapa? Sebab selepas itu Allah hendak memberi kan satu perintah atau larangan yang mana jika kita patuhi maknanya kita termasuk orang beriman. Jika tak dipatuhi, maka kita bukan orang beriman sebenarnya.
Apa yang Allah nak kata dalam ayat ini? Iaitu jagalah diri dan keluarga kamu dari api neraka . Yang bahan apinya ialah manusia dan batu. Bukan kayu atau minyak. Kalau kita campak batu ke dalam api , batu tak terbakar. Tapi bila dicampak ke dalam neraka , batu terbakar. Kenapa? Sebab api di neraka itu jauh lebih panas dari api dunia ini sehingga batu pun boleh terbakar. Iaitu 69 kali ganda panasnya.
Tidak ada ayat yang Allah sebut jagalah anak kamu dari lapar dan dahaga. Atau dari sakit. Tapi jagalah dari api neraka. Kenapa Allah tekankan pasal neraka , tidak pasal makan minum dan kesihatan? Sebab perkara itu semua orang pandai menjaganya bahkan orang kafir pun pandai. Tidak perlu diberi peringatan.
Tapi bila bab menjaga anak dari api neraka tidak ramai yang peduli sebab dalam kepalanya ada dunia saja. Sebab itu bila anak tak pergi sekolah 3 hari , kita risau. Tapi bila anak tak solat subuh 3 hari , kita tak risau pun. Bila anak sudah bangun lewat, ibunya kata , cepat-cepat pergi sekolah , tak payah solat . Seolah-olah neraka ini tiada apa baginya. Sepatutnya ibunya bertegas selagi tak solat jangan pergi sekolah. Apa faedah pergi sekolah , masuk universiti, lepas tu masuk neraka?
Begitu juga bila di sekolah , bila masuk waktu asar, murid-murid dan guru berhenti dulu dan solat asar atau habiskan sekolah hingga jam 6.30 baru solat asar? Tunggu habis sekolah jam 6.30. Bila ditanya ustaz yang ada, katanya belajar pun ibadah.
Sebenarnya , belajar untuk apa? Belajar untuk beramal. Dan amal yang paling penting bagi orang Islam ialah solat. Seolah-olah soalan yang pertama ditanya nanti ialah belajar, bukan solat.
Sebenarnya, jika solat sempurna, semua benda lain ikut sempurna. Jika solat tak sempurna semua benda lain akan turut tempang. Jika kita didik anak kita solat lambat itu tak mengapa kerana belajar, maka nanti dia rasa tak mengapa solat lambat, dengan alasan kerja, tugas, dan lain-lain nanti. Konon kerja pun ibadat.
Nabi dulu juga belajar dan bekerja. Tapi adakah kerana itu nabi solat lewat?
Cuba kita bayangkan kita berdiri di padang mahsyar , telanjang, matahari dekat di atas kepala, tiada tempat untuk berlindung dari panas,. Itu baru di padang mahsyar. Waktu itu apa yang kita kejar dari dunia kita , tak berguna langsung. Yang berguna ialah amalan soleh kita. Lihat surah as Syuara:88,
Hati yang bersih suci itu bagaimana? Contoh, kalau dalam satu masalah, setengah dia redha, setengah lagi ia tak redha maka hatinya belum hati yang suci. Dia belum selamat lagi nanti. Hati yang bersih itu ialah bersih dari semua sifat yang tercela, yang tak disukai olah Allah.
Allah beritahu lagi, neraka itu ada penjaganya. Siapa? Iaitu malaikat.
Biasa kita ingat malaikat ini baik dan ok. Tapi Allah kata malaikat penjaga neraka ini ghilazun. Iaitu hatinya keras kerana Allah telah cabut rahmat dari hatinya. Dan sifatnya syidadun, iaitu kasar. Bila ia pukul , belasah, ia ganas, habis-habisan. Tidak ada rasa penat membelasah itu. Ia tak pernah derhaka pada Allah, . Allah kata pukul, dia pukul. Allah kata bakar dia bakar, Allah kata belasah dia belasah. Apa saja yang Allah suruh dia akan patuh 100%.
Jadi, dari ayat at Tahrim: 6 kita kena ambil perhatian. Kita hantar anak kesekolah , hingga universiti, belanja yang banyak, tenaga yang banyak ,tiba-tiba anak kita masuk neraka , kerana tidak solat, lalai solat, tidakkah rugi?
Jadi, jaga diri sendiri, isteri dan anak-anak kita dari api neraka.
Bagaimana nak selamat?
Untuk selamat dari neraka maka kita dan anak-anak kita hendaklah:
1) Taati Allah dan jauhi maksiat
Kata Abdullah bin Abbas, untuk selamat dari neraka Allah maka,
' Berbuatlah dalam mentaati Allah, dan takutlah maksiat'
Iaitu kita kena taat Allah , anak-anak kena taat Allah. Jaga solat, bawa anak lelaki solat di masjid, jika bapa solat lambat, dia tak boleh nak tegur anaknya. Sebab apa? Sebab termasuk menjaga anak-anak dari neraka itu ialah dengan memberi contoh yang baik kepadanya.
Dan diri kita , anak, dan isteri jangan buat maksiat, takuti maksiat kata Abdullah bin Abbas. Dan tegur anak kita bila buat maksiat. Anak kita lambat solat kita tegur. Anak buka aurat kena tegur. Ada orang hantar anak ke sekolah ugama, tapi dia sendiri tak tutup aurat. Bila anak balik dia nak ikut siapa? Jadi, ibubapa sendiri kena beri contoh.
Kata Ali bin Abi Talib, makna selamatkan diri dan anak-anak dari neraka ialah,
' Kamu mestilah berbuat benda yang baik dan ajarkan anak adab Islam '. Sekolah tak dapat membuat semua untuk anak-anak, ibubapalah yang menyempurnakan akhlak anak-anak mereka di rumah.
2) Mengajar anak ilmu tauhid, cintakan Allah dan membersihkan mereka dari kesyirikan dan maksiat.
Kadang-kadang benda ini mungkin mereka tak belajar di sekolah. Ibubapa kena kenalkan mereka akan Allah, siapa Allah, kenapa kena solat, kenapa kena sembah Allah, apa kebaikan solat.?
Ada juga anak yang solat tapi buat maksiat. Lepas solat ia buat maksiat, buka aurat contohnya. Bermakna solat itu tak memberi kesan kepadanya. Kerana Allah berkata,
Solat yang betul, solat yang ikhlas akan dapat mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran. Bila solat tapi buat maksiat maknanya solat itu dia tak faham atau lalai dalam solat. Kena periksa balik.
Apa dalil supaya kita mengajar anak-anak mentauhidkan Allah dan meninggalkan syirik? Iaitu di surah Luqman. Allah telah beri contoh pendidikan anak-anak yang terbaik dalam surah ini. Tapi kita jarang baca surah Luqman. Dalam surah yasin dan kahfi tidak ada cara mendidik anak-anak. Tapi ada dalam surah Luqman. Tapi kita tak jadikan surah Luqman sebagai asas mendidik anak-anak.
Luqman ini hanya seorang hamba berkulit hitam dan bukan nabi. Tapi Allah muliakan ia di sisi Nya . Tapi bila kita bercakap bab pendidikan, kita tak ambil pun dari kisah Luqman.
Apa kehebatan Luqman? Iaitu ia mendidik anaknya kenal Allah dan tak mensyirikkan Allah. Maknanya jika ibubapa ajar anak dia kenal Allah, dan jadi hamba kepada Allah maka Allah sangat suka kepadanya dan dia ibubapa yang hebat.
Kalau ibubapa hanya berjaya menjadikan anaknya pelajar cemerlang, tapi tak kenal tuhan, tak solat, ia tiada nilai di sisi Allah s.w.t.
Apa kata Luqman kepada anaknya?
1. Iaitu jangan sekutukan Allah.
Lihat Luqman: 13 ,
Peranan ibubapa itu mesti sentiasa mengingatkan anak-anaknya. Bukan ikut masa. Sebelum Luqman berjaya mendidik anaknya , apa yang dia ada dulu? Iaitu dia ada hikmah. Seperti yang Allah nyatakan dalam Luqman: 12,
Apa dia hikmah? Secara ringkasnya ialah kefahaman terhadap agama yang mendalam. Jadi, jika ibubapa yang hendak mendidik anak-anaknya, maka dia sendiri kena faham agama dulu, kena belajar agama. Kalau setakat hantar anak ke sekolah, kita tak lepas. Semasa di akhirat nanti, ibubapa yang akan disoal. Bukan cikgu nya. Jadi samada ibubapa atau guru, sebelum mendidik anak-anak, carilah hikmah dulu, iaitu kefahaman agama dari al quran.
Kata Luqman kepada anaknya, "Wahai anakku." Ini bermaksud bahawa bahasa dengan anak hendaklah bahasa yang lembut dan mesra. Nabi Ibrahim bila berdakwah kepada bapanya yang syirik, tetap menggunakan bahasa " wahai bapaku". Walaupun bapanya kafir. Begitu juga nabi Nuh kepada anaknya.
Tetapi kita tak guna bahasa wahai anakku, apalagi jika kepada anak kita yang degil. Soalnya kenapa nabi-nabi dan orang soleh dulu menggunakan bahasa yang lembut bila berdakwah dan mengajak manusia walaupun manusia yang syirik?
Sebab kita mahu anak kita dengar kita. Bukan kita nak lepas geram . Kalau nak dia dengar , maka kena sentuh hati dia. Sehingga dia rasa , sayangnya ayah ku pada ku, walaupun dia degil. Kalau bahasa kita 'Hoi..' dalam mindset anak rasa bapa dia tak sayang. Lepas itu bila kita beri nasihat, tidak akan masuk ke hatinya . Sebab bahasa kita kasar.
Kenapa Luqman ajar anaknya supaya jangan syirikkan Allah? Cara pengajaran yqng terbaik ialah dengan memberi sebab sesuatu itu di lakukan. Iaitu jawapannya ialah kerana syirik itu adalah satu kezaliman yang paling besar. Maknanya ada syirik-syirik yang lain , tetapi yang paling besar ialah mensyirikkan Allah. Menduakan Allah.
Kisah nabi Musa dan Khidir
Tahu kisah nabi Musa dengan Khidir di dalam al quran? Di mana nabi Musa membantah Khidir membunuh seorang anak kecil. Kenapa ? Kerana membunuh jiwa itu satu dosa besar. Tapi Khidir mendapat perintah itu dari Allah . Sebabnya ialah jika anak itu besar ia akan syirik dan mensyirikkan kedua ibubapanya pula.
Membunuh adalah satu dosa besar. Tapi kenapa Khidir lakukan? Sebab jika anak itu besar dan syirik kepada Allah, itu lebih besar dosanya dari membunuh. Jadi untuk mengelakkan dosa yang paling besar iaitu dengan mengambil dosa yang lebih kecil. Hakikatnya Khidir tak berdosa sebab itu perintah Allah. Kita dilarang buat seperti Khidir buat itu.
Mana lebih baik bila anak kita besar tapi dia tak solat ? Adakah tak solat itu syirik? Ya sebab ia tak sembah Allah, tapi sembah nafsunya sendiri. Ramai anak-anak tak solat tapi ia berjaya dalam pelajaran. Ada juga anak yang jaga solat tapi tak berapa berjaya dalam pelajaran, maka bapanya marah kepadanya.
Dalam masyarakat kita lumrahnya, kalau anak itu berjaya, cemerlang tapi tak solat, itu ok. Padahal mengikut kisah Khidir tadi, syirik adalah dosa besar yang jika ia mati itu lebih baik baginya.
Jadi, pengajaran kepada ibubapa, jangan hantar anak ke sekolah supaya anak cemerlang akademik sahaja, tapi yang lebih penting ialah jangan anak itu mensyirikkan Allah.
Bila seseorang hidup kerana dunia , adakah ia syirik? Ya. Kerana ia hidup demi dunianya, kerjaya, dia sanggup tinggalkan solat atau lalaikan solat. Tiada makna dalam solat kita berjanji 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan mati ku hanya kerana Allah'. Tiba-tiba bekerja kerana nafsu, beli itu ini kerana nafsu dan sebagainya kerana nafsu. Ada unsur syirik di situ.
Benda-benda seperti ini kena tanam semenjak anak kecil. Supaya jangan dia hidup untuk dunia sahaja. Bila tinggal solat tak rasa bersalah, tapi bila hilang dunia jadi kelam kabut.
Ajarlah anak hidup kerana Allah , bekerja kerana Allah. Pilih bidang yang Allah redha.
Syirik bukan hanya menyembah berhala sahaja tetapi mengikut nafsu juga adalah syirik. Dalilnya ialah,
Jadi, mengikut hawa nafsu dalam apa saja pekerjaan kita juga adalah sebahagian dari syirik.
Bagaimana membersihkan syirik dari diri?
Jawapannya dalam surah al Jumuah:2,
Dalam ayat ini Allah kata Dia utuskan Nabi Muhammad s.a.w untuk membacakan kitab al quran dan membersihkan kotoran syirik daripada musyrikin Mekah. Mereka itu akidahnya sesat dan akhlak pula buruk. Dan tugas nabi yang ketiga iaitu mengajar mereka alkitab dan hikmah ( sunnah)
Nabi mengajar orang Mekah ilmu dari alquran dan terus beramal dengan apa yang dipelajari. Maknanya para sahabat belajar mana perintah , mana larangan dan terus mengamalkannya tanpa tunggu-tunggu.
Apa hasilnya?
Iaitu dari hidup dalam kesesatan, membunuh anak , arak dan judi , tapi dengan quran dan sunnah yang dibacakan dan diamalkan, keluar semua syirik iaitu dibuang dari hati para sahabat. Hasilnya mereka menjadi " ummat yang terbaik '.
Sehingga nabi sendiri memuji dengan katanya, ' Kurun yang terbaik ialah kurunku , kemudian kurun selepas itu, dan kemudian selepas itu.' Tak mungkin generasi selepas itu lebih baik dari tiga kurun tersebut.
Dulu dengan sebab seekor unta mereka boleh berperang sesama sendiri. Tapi dengan al quran mereka menjadi damai dan mulia.
Dulu mereka menghina wanita . Anak perempuan dibunuh dan dijadikan pelacur. Tapi dengan alquran wanita dimuliakan dan diangkat martabatnya.
Dulu mereka berperang kerana kaum. Walaupun kaumnya salah , tapi sanggup dipertahankan. Tapi bila diajar dengan quran mereka tidak berperang kerana kaum lagi tapi kerana Allah.
Dengan apa mereka berubah? Iaitu dengan quran dan sunnah. Jadi, jika kita hendak dapat keluarga yang Allah redha, tanpa quran dan sunnah kita takkan ke mana. Buktinya sekarang macam-macam sekolah ada , alat-alat yang canggih, guru yang berijazah. Tapi adakah masyarakat kita semakin baik atau semakin rosak? Nak tau bacalah akhbar, dari situ kita tahu bagaimana keadaan masyarakat kita. Semakin teruk atau semakin baik?
Dulu kita tak pernah dengar suami bunuh isteri, bapa rogol anak. Tapi kini walaupun pelajaran makin canggih , ianya berlaku.
Tapi kalau quran hanya dibaca tapi tak difahami dengan betul dan tak diamal, ia takkan mengubah manusia.
2. Mendoakan anak dengan doa yang baik
Doa adalah senjata orang mukmin dan tanda hati yang tunduk kepada Allah. Apa doa nabi Ibrahim a.s?
Di sini nabi Ibrahim memohon dikurniakan dia dan zuriatnya orang yang berserah diri kepada Allah. Akhirnya Allah kabulkan dengan diutusnya nabi Muhammad s.a.w . Beliau adalah dari keturunan nabi Ibrahim, diutus sebagai nabi yang terakhir. Sesuai dengan doanya lagi...
Untuk mendapat zuriat yang soleh tak cukup dengan doa sahaja , mesti ada guru atau pendidik yang mengajarkan isi kandungan al quran. Bukan setakat mengajar tajwid sahaja. Dengan alquran dan sunnah yang di ajarkan dapat membersihkan manusia dari syirik dan maksiat. Sepertimana orang musyrikin Mekah dulu dapat dibersihkan dari kesyirikan dengan alquran dan sunnah.
Zaman nabi tiada kemudahan dan kecanggihan macam sekarang. Tapi manusia boleh berubah dari syirik kepada beriman. Sehingga orang sejahat Umar juga boleh berubah. Sehingga nabi s.a.w berkata bahawa jika ada nabi selepas beliau , maka Umar lah orangnya. Tapi sekarang, alat-alat canggih tapi manusia tidak menjadi lebih baik dari dulu . Kenapa?
Untuk tahu kenapa, kena lihat nabi guna kitab apa dan apa cara pendidikan nabi? Lihat pula kita mendidik bagaimana , adakah sama? Kalau tak sama maka pastilah hasilnya tak sama. Misal kita tanam pokok duri, bila dah besar, kita kata duri ini menyusahkan kita saja. Tapi siapa yang tanam?
Kalau cara pendidikan kita salah tiba-tiba dapat anak yang sekian-sekian, jangan salahkan anak. Kita tanam pokok begitu maka dapatlah begitu!
Oleh itu ,
Bila anak kita sudah belajar bermacam-macam subjek di sekolah, samada sains , matematik, bahasa dan sebagainya , itu semua adalah tulisan manusia. Oleh itu mengapa kita tak ajar atau cari pengajar, yang mengajar anak kita tadabbur alquran? Yang mana itu adalah kata-kata dari Allah sendiri? Tulisan manusia mungkin baik mungkin tidak. Mungkin betul mungkin salah. Tapi kalau dari Allah tidak ada yang tidak betul. Pasti baik dan pasti betul. Mengapa kita tinggalkan ajaran dari Allah lalu ambil ajaran dari manusia?
Sedangkan yang nak dibawa selepas mati adakah alquran atau matematik? Atau adakah kita mendengar orang yang belajar alquran jadi jahat?
Oleh itu jika kita mahukan rahmat Allah kepada kita dan anak-anak kita ,
kena tadabbur alquran. Jika boleh setiap hari, jika tidak paling kurang seminggu sekali. Tidak akan dapat redha Allah sehinggalah kita buat seperti apa yang Allah sarankan dalam al quran. Kalau tak banyak berubah, sedikit sebanyak mesti ada perubahan sebab itu adalah kata-kata Allah.
3. Mengajar anak-anak Sirah Nabi dan Sahabat
Agar mereka mencintai Allah dan rasul lebih dari segalanya. Sirah nabi dan sahabat membawa kita kearah cinta Allah dan rasul.
Apa yang anak kita belajar , adakah untuk dapat cinta Allah atau cinta manusia? Kebanyakannya cinta manusia...
Sebab itu kita fokus kepada keputusan akademik. Bila ambil SPM orang akan tanya dapat berapa A? Kalau anak nya semua dapat 9A lima-lima orang, ia bangga. Tapi bila solatnya lalai, baca quran tak faham, maka di sisi Allah tiada nilai. Jangan kita cari cinta manusia hingga lupa cinta Allah. Sebab kita mati nak jumpa siapa? Allah...
Jadi ajar anak kita kenal Allah dan kenal nabi. Kenapa? Lihat surah Ali Imran: 31,
Kalau kita kata cinta Allah maka ia perlukan bukti. Iaitu hendaklah ikut apa yang Nabi s.a.w suruh dan tinggal yang ia larang. Allah sendiri yang letak syarat ini, bukan sesiapa.
Maknanya kalau kita belajar hebat , cemerlang tapi tak ikut nabi dalam hidup seharian, adakah boleh dapat cinta Allah? Tak mungkin. Sebab Allah letak jika cinta Allah kena ikut nabi dalam ibadah , akhlak dan sunnah-sunnahnya.
Bila kita ikut nabi apa yang kita dapat? Allah kata iaitu dapat kasih dan keampunan Allah di dunia dan akhirat. Dosa kita yang kecil-kecil semua Allah padam. Sirah sahabat penuh dengan kecintaan dan pengorbanan.
4. Mengajar anak-anak akhlak yang mulia dan berbuat baik kepada ibubapa
Sangat menyedihkan kadang-kadang dengan guru dia hormat, tapi bila balik rumah, dengan ibubapa ia tak hormat, suara tinggi tak dengar cakap, degil. Padahal yang paling anak-anak perlu berbuat baik ialah ibubapa sebelum berbuat baik kepada guru. Dalilnya di surah Luqman : 14 , 15,
Bila Allah perintahkan, maknanya itu benda yang besar. Iaitu Allah perintah kita berbuat baik kepada ibubapa. Allah kata dalam al quran supaya jangan kata kepada ibubapa walaupun perkataan 'uff'.
Maksudnya apa saja perkataan, perbuatan atau isyarat-isyarat yang menyebabkan keduanya tidak suka, hukumnya haram. Termasuk dalam derhaka kepada ibubapa.
Lebih khusus kepada ibu kerana ia mengandung dengan penat demi penat. Itu jasa ibu. Tetapi ayah pun ada jasa, seperti memberi nafkah dan sebagainya. Kenapa Allah tak sebut jasa bapa? Jasa ibu sahaja yang di sebut.
Sebabnya ayah berjasa semasa anak dah besar, maka anak nampak. Tapi jasa ibu mengandung dan menyusu, anak tak nampak. Sebab itu Allah beritahu jasa ibu. Sebab itu kata nabi ,dahulukan berbuat baik kepada ibu , kemudian ibu kemudian ibu kemudian baru bapa. Sebab apa? Sebab ibu mengandung dan menyusu anaknya dengan separuh nyawanya
Oleh itu Allah suruh bersyukur kepada Nya dan bersyukur kepada ibubapa. Sebab Allah cipta kita tapi ibubapa penyebab kita ada di dunia ini.
Oleh itu perlu tanam nilai yang baik anak-anak kepada ibubapa. Kadang guru tidak tahu macamana anak itu dengan ibubapanya.
Oleh itu beri anak-anak dengar apa yang quran kata tentang ibubapa, biar dia tersentuh dan tersedar.
Sehingga walaupun ibubapa itu kafir , masih perlu berbuat baik padanya. Jangan berkasar , jangan tengking. Apa kata Allah?
Sebab apa? Sebab, walaupun ia kafir, ia tetap ada jasa kepada kamu . Dia mengandung dan membesarkan kamu. Cuma satu yang Allah pesan jika dia menyuruh berbuat syirik maka jangan taat tetapi wajib berbuat baik.
Kalau dia sakit bawa dia berubat. Haram berkata, "Sebab emak ini bukan Islam saya tak mahu tolong."
5. Mengajar anak-anak mendirikan Solat dengan betul
Bila solat diwajibkan ? Iaitu 11 tahun selepas kenabian. Sepanjang 11 tahun itu nabi ajar aqidah. Sebab itu bila sahabat kenal Allah mereka solat dengan mudah. Sebab mereka kenal dan cinta Allah. Tapi sekarang terbalik, yang mula diajar ialab hukum solat bukan kenal Allah. Apa yang wajib apa yang sunat. Tapi bila solat malas. Kejut 3 kali pun tak bangun. Yang duduk asrama bila balik, lagi liat nak solat.
Sebab apa ?
Sebab pendidikannya tak sama dengan nabi. Allah tak dikenalkan dahulu dengan rasa cinta, tiba-tiba suruh solat 5 waktu.
Oleh itu kena tanam cinta Allah dan akhirat dulu. Kalau tanam cinta dunia , cinta akhirat takkan masuk. Dan dia akan senang tinggal solat.
Begitulah Luqman ajar anaknya. Pertama, jangan syirikkan Allah. Kedua, buat baik kepada ibubapa dan ketiga barulah suruh diri kan solat. Luqman kata dirikan solat bukan solat saja. Apa bezanya?
Kalau dirikan solat, maknanya mesti ikut solat cara nabi. Rukunnya , wajibnya , sunatnya dan khusyu'nya.
Lepas solat Luqman suruh anaknya buat apa? Iaitu ajak orang kepada yang makruf dan tegah ia dari kemungkaran. Itulah kerja yang paling baik iaitu mengajak manusia kepada Allah. Kata nabi 'Sebaik-baik kamu yang belajar dan mengajar alquran". Kita tahu itu. Tapi kita tak mahu anak jadi pendakwah. Padahal pendakwah lah orang yang pahalanya berlipat kali ganda di akhirat manti.
Kita jarang berfikir nasib anak kita di akhirat. Yang kita fikir setiap hari ialah nasib anak di dunia. Nak kerja apa , gaji macamana, kahwin dengan siapa dan sebagainya.
Orang yang berjaya.
Siapakah orang berjaya? Orang yang berjaya ialah yang khusyu' dalam solatnya. Tetapi orang yang celaka ialah yang tak khusyu' dalam solat.
Apa tanda orang yang khusyu" dalam solat? Iaitu ia selepas itu tidak membuat perkara yang sia-sia dan lagha. Jadi sesiapa yang suka buat benda yang lagha, main game, tengok Korea, itulah tanda solatnya tak khusyu'. Lihat lagi surah al Mukminun:
Tanda khusyu lagi ialah :
1. Mengeluarkan zakat atau sedekah
2. Menjaga kemaluannya
3. Memelihara amanat dan janjinya
4. Memelihara solatnya
Tanda orang Islam yang baik ialah apa yang nabi kata ,
“Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi no. 2317)
Walaupun halal tapi jika tak bermenafaat maka ia tinggalkan. Seperti main dam. Bukankah lebih baik berzikir subhanallah, walau pun sekali, tentu ada pahalanya.
Allah berkata tentang faedah solat bagi orang beriman di dalam al Ankabut :49
. Mula-mula Allah suruh fahami al quran. Kemudian dirikan solat. Kenapa Allah suruh baca quran dulu sebelum solat? Padahal solat lebih utama sebab ia perkara pertama akan disoal. Tapi kenapa solat jadi nombor 2?
Solat ini menjadi bebanan jika kita tak kenal tuhan dan cinta tuhan. Sedangkan solat penyejuk hati. Jadi untuk kenal Allah, siapa Allah, apa sifat Nya, ayat Allah, perintah Allah, semua ada dalam quran. Jadi, kalau kita baca quran, kita faham, kita kenal Allah maka solat akan jadi khusyu'. Sebab itu Allah suruh faham quran dulu.
Kalau kita cinta seseorang pasti kita suka dengar suaranya. Kita sanggup buat apa saja untuknya. Dia suruh buat benda berat pun kita sanggup. Sebab ada cinta.
Tapi solat tak sampai 5 minit, dalam aircond, rasa terbeban. Sebab apa?
Sebab tidak ada rasa cinta. Sebab itu Allah kata, kenal Aku dulu, Aku siapa, laksanakan perintahKu, tinggal laranganKu dan dirikan solat. Barulah solat itu akan mencegah kita dari maksiat. Kenapa?
Sebab kamu dah kenal Allah, neraka Allah dan cinta Allah.
6. Mengajar dan mendidik anak supaya menjadi manusia terbaik di sisi Allah.
Walaupun anak kita ingin menjadi doktor misalnya, tetapi terapkan di hatinya bahawa tugas pendakwah itu lebih besar lagi ganjarannya. Dengan syarat mesti ada ilmu. Contoh, kita kata bahawa semua penyakit berpunca dari dosa Bila bertaubat insya Allah akan hilang penyakit. Kalau ada sakit pun kita redha maka pahala pun dapat. Jadi doktor dan pendakwah.
Siapakah yang terbaik di sisi Allah? Allah berkata dalam al Fussilat:33,
Dalam ayat ini Allah beritahu orang yang terbaik di sisiNya ialah yang kenal Allah, cinta Allah dan sembah Allah. Dan menyeru manusia kepada Allah.
Dan lagi di surah Ali Imran:110,
Bila sesuatu kaum itu menjadi umat terbaik? Iaitu bila seseorang itu:
1. Amal makruf dan mencegah mungkar
2. Beriman dengan Allah
Barulah ia menjadi umat yang terbaik. Katakan ia seorang engineer , dia ajak kawan nya berbuat makruf, bila kawannya buat mungkar dia tegur. Maka dia adalah umat terbaik.
Siapa lagi orang yang terbaik di sisi Allah? Lihat Ali Imran:35,
Ibu Maryam bernazar ingin menjadikan anaknya itu sebagai orang yang berkhidmat kepada agama Allah. Kenapa ia ingin anaknya begitu? Sebab ia tahu sebaik-baik manusia ialah yang menunjuk kepada orang lain jalan kebenaran. Dalilnya ialah kata nabi iaitu,
" Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik dari unta merah.” (HR Bukhari)
Maksudnya bila kita berdakwah, daripada tak solat, ia solat daripada tak pakai tudung, ia pakai tudung. Maka kita dapat apa? Kita dapat pahala lebih tinggi dari harga barang yang paling mahal masa itu. Contohnya, kereta Ferrari.
Itu baru seorang kalau 2, kalau 10, kalau 100? Selepas kita mati orang itu dakwah pula kepada orang lain. Semua itu kita dapat sampai hari kiamat. Tanpa dikurang sedikit pun.
Sebab itu ibubapa yang cerdik dia mahu anaknya jadi begitu
Nak kerja boleh tapi dalamasa yang sama jadikan mereka pendakwah kepada agama Allah. Itulah yang terbaik di sisi Allah.
Bila seorang anak itu sudah hafal, faham dan amal al quran, apa ganjarannya? Allah kata, bila baca satu ayat, ia naik satu tingkat dalam syurga. Sehinggalah ayat terakhir yang ia baca dan amal. Setinggi itulah tingkatnya dalam Syurga kelak.
Kalau kita ibubapa yang waras, kita mesti mahu anak dapat tingkat tertinggi di syurga ber banding setakat masuk ke menara gading sahaja.
7. Mengajar akhlak yang mulia.
Apa kata Luqman kepada anaknya?
Jangan memaling muka itu maksudnya jangan sombong. Kerana dengam sombong itu orang akan jauh dari kita dan apa yang kita mahu sampaikan akan gagal. Jumpa orang senyum, jumpa orang beri salam.
Juga jangan berlagak sombong. Apalagi jika ia berjaya cemerlang. Tak mahu berkawan dengan orang yang rendah darinya.
Dan bagaiamana cara berjalan yang baik? Dan cara bercakap yang baik?
Iaitu tidak berjalan terlampau laju atau terlampau lambat. Sederhana sahaja. Atau jangan berjalan dengan sombong dan muka masam.
Nabi diutuskan untuk membaiki akhlak. Katanya,
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Al Baihaqi)
Iaitu nabi diutus untuk membaiki akhlak manusia supaya akhlak mereka jadi mulia. Maka tujuan sekolah pun mesti tujuan yang sama iaitu menjadikan pelajar berakhlak mulia. Jangan letak target keputusan cemerlang nombor satu
Akan rosak, akan rosak pelajar itu. Dengan target akhlak mulia, keputusan cemerlang akan mengikut
Nabi berkata lagi,
"Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian ialah orang yang paling baik akhlaknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kita kejar keputusan akademik, jawatan, dan pangkat. Tapi nabi kata yang paling baiik antara kamu ialah yang paling akhlaknya sesama manusia dan kepada Allah. Tukar mindset kita.
Bila sahabat bertanya kepada nabi apa sebab yang memasukkan manusia ke syurga ? Jawab nabi dalam hadis,
Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?” baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Baginda di tanya lagi; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?” baginda menjawab: “Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.” (HR Ibnu Majah: 4236)
Nabi tak jawab sebab solat malam, atau keputusan cemerlang atau ilmu yang banyak. Tapi taqwa dan akhlak yang baik. Sebab akhlak itu adalah buah ibadah.
Jadi , ibubapa fokuskan kepada akhlak anak-anak. Kalau dapat keputusan cemerlang itu bonus . Akhlak nombor satu diutamakan. Contoh , ajar anak jangan cakap bohong, makan tangan kanan dan sebagainya.
Apa pula yang banyak memasukkan manusia ke neraka?
Iaitu sebab mulut dan kemaluan. Mulut paling bahaya. Dengan sepatah perkataan boleh jatuh syirik. Katanya, apa solat-solat, bukan wajib pun!
Maka habis dia, jatuh kufur.
Susah kita nak jumpa anak yang dapat kawal mulutnya. Diam sebab tiada apa benda naik nak dikatakan. Payah nak jumpa. Nabi pesan,
“Barang siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat hendaklah berkata baik atau diam"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kesimpulan
Tanggung jawab utama ibubapa kepada anak-anak ialah:
1. Berusaha menyelamatkan anak-anak dari neraka dan berusaha memasukkan nya ke syurga.
2. Mendoakan anak dengan doa yang baik.
3. Mengajar anak-anak Sirah Nabi dan Sahabat
4. Mengajar anak-anak akhlak yang mulia dan berbuat baik kepada ibubapa
5. Mengajar anak-anak mendirikan Solat dengan betul
6. Mengajar dan mendidik anak-anak supaya menjadi manusia terbaik di sisi Allah.
7. Mengajar akhlak yang mulia.
Padang Jawa , Klang.
12/10/23
Ulasan
Catat Ulasan