Bismillah.
Assalamualaikum,
Orang yang beriman kepada Allah itu sentiasa diuji semasa hidupnya. Hingga kadang ia dilihat goyang imannya akibat berdepan dengan cabaran. .. Tetapi Allah menjanjikan sesuatu kepada orang beriman yang teguh pendiriannya. Apakah janji Allah itu?
Lihat surah Fussilat:30,
Orang yang beriman kepada Allah , mesti yakin dengan hatinya, bukan dengan mulut sahaja, dimana orang yang beriman dengan mulut saja itu di panggil munafik. Orang beriman itu berkata 'rabbunaLLah' ( Tuhanku Allah) dan ia tetap istiqamah dengan keyakinannya , ia tak mencelahinya dengan perbuatan syirik, samada dalam amalannnya atau percakapannnya.
Bila disebut 'Rabb' itu maka maknanya terbahagi kepada 3 iaitu, Allah itu Pencipta, Allah itu Pemilik dan ketiga Allah itu Pentadbir. Jadi orang beriman yang berkata Rabbunallah, maknanya ia yakin bahawa Allah itu Pencipta, Pemilik dan juga Pentadbir alam ini.
Maksud istiqamah itu ialah ia tidak berpaling kepada selain Allah apabila melibatkan aqidah seperti ia tidak pergi meminta tolong kepada bomoh apabila ia terkena sebarang musibah. Kerana percaya kepada bomoh itu perbuatan syirik. Begitu juga perbuatan tilik nasib, memakai tangkal dan lain-lain lagi.
Apa Yang Allah Janjikan Kepada Mereka?
Orang yang beriman dengan iman yang benar dan tetap pendiriannya itu Allah akan beri sesuatu , apa dia?
Iaitu Allah akan hantar malaikat yang berkata ' Jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah sudah sediakan jannah untuk kamu". Oleh itu ia tidak takut sesiapa selain Allah. Inilah jiwa yang kuat. Dan ia tidak bersedih jika ditimpa musibah kerana ia tahu semuanya itu dari Allah. Jadi hatinya sentiasa tenang dan bahagia.
Sebaliknya orang yang imannya turun naik, tidak istiqamah, maka ia akan ditimpa rasa takut dan sedih semasa hidup di dunia. Takut ini ialah perkara yang belum berlaku . Seperti ia takut perniagaannya di 'buat' orang, takut membuat amal soleh, takut di kata orang, takut miskin dan sebagainya. Dan yang paling penting ialah semasa ajal akan sampai, ia akan takut kerana melihat perkara-perkara ghaib yang mengerikan. Dan ia sedih untuk meninggalkan anak isterinya di dunia. Tapi waktu itu orang beriman akan ditenteramkan oleh malaikat dan menggembirakannya dengan janji syurga. Adakah benda yang lebih baik dari layak mendapat syurga?
Allah berkata lagi kepada orang beriman yang istiqamah:
"Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta.
Sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Fussilat:31)
Malaikat sentiasa ada bersama orang beriman semasa ia hidup di dunia. Ia membantunya dan memberinya ilham dalam urusan-urusannya. Dan malaikat juga akan menjaganya semasa di akhirat , di padang mahsyar, meniti titian sirath dan lain-lain. Dan apa saja yang ia mahu semasa di syurga malaikat akan hantarkan sebagai penghormatan dan rahmat dari Allah.
Kalau kita solat pun masbuk selalu layakkah kita diberi penghormatan ini?
Siapa Orang Yang Terbaik?
Orang beriman itu ada bermacam-macam tahap. Ada yang biasa-biasa, ada yang sedang dan ada yang terbaik.
Semua orang Islam mahu jadi orang beriman yang terbaik. Tapi bagaimana ? Lihat apa kata Allah ,
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Fussilat: 33)
Jadi , orang yang terbaik itu ialah orang beriman yang menyeru manusia lain kepada Allah. Iaitu ia mengajak orang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Mengajak manusia menjauhi syirik. Dan hanya beribadah dan meminta tolong kepada Allah sahaja.
Dakwah yang wajib kepada seorang lelaki ialah mengajak keluarga nya beriman dan beribadah kepada Allah. Ini wajib tidak boleh tidak sebab Allah berkata,
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, "
(At Tahrim:6)
Maka berdakwah kepada keluarga sendiri itu wajib. Maka wajib pula seseorang belajar kandungan al quran supaya ia dapat tahu apa yang nak didakwahkan kepada keluarganya. Walaupun hanya dengan beberapa patah perkataan.
Tetapi mereka yang dapat berdakwah kepada keluarganya dan seterusnya orang ramai kepada Allah, maka ia adalah yang terbaik. Dakwah ini bukan mengajak manusia kepada kumpulannnya, atau partinya, tetapi kepada Allah. Iaitu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Beribadah dan beramal soleh mengikut sunnah nabi, tidak syirik dan tidak melakukan bid'ah.
Selepas dakwah, yang kedua ia mesti berani dan tidak malu menunjukkan dan mengisytiharkan keislamannya. Seperti ia tidak malu menyimpan janggut dan tidak malu menyatakan ia orang Islam.
Bila kita membuat kebaikan atau keburukan, ianya tidak sama dari segi kedudukannya. Seperti membuat kebaikan di masa ini dengan dimasa lain mungkin berbeza pahalanya. Atau membuat keburukan oleh orang muda dengan orang tua mungkin lain kedudukannya. Seperti kata Allah,
"Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia."
(Fussilat:34)
Allah mengajar kita supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Tetapi membalasnya dengan cara yang sama atau yang terbaik ialah membalasnya dengan kebaikan. Inilah amalan nabi dulu kepada orang kafir masa itu. Yang mana dengan sebab perbuatan kita itu, Allah menyebut bahawa kita dengan dia, walau pun asalnya adalah musuh, akan menjadi baik antara sama mereka dan akan menjadi sahabat karib.
Kalau orang buang tahi kucing depan rumah kita, jangan bergaduh. Ambil dan buang saja. Lama kelamaan dia akan sedar sendiri dan mohon maaf pada kita. Dan akan menjadi kawan karib kita. Iaitu dari musuh menjadi sahabat yang baik.
Tapi adakah mudah hendak membalas baik tersebut? Lihat lagi apa kata Allah,
"Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar."
(Fussilat: 35)
Apa kuncinya untuk dapat berbuat baik tersebut? Iaitu dengan banyak bersabar apabila mendapat provokasi atau kejahatan dari seseorang. Biarlah kita bersangka baik kepadanya dengan mengatakan ia mungkin ada masalah yang perlu diselesaikan dan sebagainya.
Dan orang yang sabar itu tidak lain, kecuali Allah kurniakan dengan anugerah yang besar di akhirat nanti. Iaitu syurga yang seluas langit dan bumi. Itulah keuntungan yang lebih besar.
Bila kita sabar, ia akan membawa kedamaian berbanding permusuhan. Maka syaitan sangat tidak suka. Lalu ia akan membisikkan di hati kita supaya kita membalas kepada musuh kita. Jadi waktu itu Allah ingatkan kita dengan katanya lagi,
"Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Fussilat:36)
Jadi bila ada bisikan jahat di hati kita maka mohon perlindungan Allah dengan ucapan isti'azah, 'Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam'. Bukan dengan 'mengucap' seperti orang biasa katakan.
Jika kita turutkan marah, iaitu tidak mohon perlindungan dari Allah, lalu bertindak mengikut bisikan syaitan, maka kita akan menyesal seumur hidup kerana telah bertindak melampau batas kepada musuh kita atau orang yang kita marah kepadanya.
Kesimpulan.
1. Orang yang beriman dengan rabb nya, tidak diselangi dengan syirik maka malaikat akan men jaganya dari dunia hingga ke akhirat.
2. Balaslah keburukan dengan kebaikan. Bersabar dalam melakukannya maka Allah akan angkat darjat kita.
3. Syaitan tidak suka orang yang sabar. Dia akan hasut hingga terjadi pergaduhan yang besar.
4. Mohon perlindungan dari Allah apabila syaitan membisikkan kejahatan di hati kita. Allah akan lindung kita sehingga kita tidak terjerumus ke lembah kebinasaan.
Padang Jawa,
15/8/23
.
Ulasan
Catat Ulasan