Langkau ke kandungan utama

81) MENGAPA PERLU BERZIKIR?

Bismillah.
Assalamualaikum,        


        Al  Quran adalah hujah, dalil dan petunjuk serta rahmat untuk manusia.
       
       Untuk menjadi hujah,   dalil dan petunjuk  maka quran itu hendaklah didengar,  dibaca  , difaham dan dilaksanakan maksud-maksud alquran itu. Hanya dengan cara itu saja alquran itu akan dapat menjadi hujah , dalil , hidayah dan akhirnya menjadi rahmat kepada manusia.

        Apabila alquran itu telah dibaca dan ditadabbur maka akan dapat dilihat hasilnya melalui ayat 205, surah al 'Araf ini;

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai."
(Al  araf:205)

       Disini  Allah perintahkan  nabi Muhammad s.a.w supaya menyebut dan ingat Rabb nya . Perintah itu termasuk juga dituju kepada semua pengikut-pengikutnya. Allah pilih perkataan 'rabbaka' iaitu pencipta mu kerana manusia itu suka ingat kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Jadi Allah itu pencipta manusia maka lebih patut manusia ingat padaNya. Bahkan Allah itu juga pemilik dan mentadbir kita. Kita tidak mampu menghalang kehendak Rabb kita. Kita tak mampu mengurus suara kita pun jika Allah tak keluarkan suara kita. Kalau kita bergantung pada tenaga kita sahaja dalam urusan-urusan  kita tanpa bantuan Allah,  pasti kita akan stress. Oleh itu lagi patutlah kita ingat padaNya sentiasa.

        Allah beri rezeki setiap saat kepada kita, beri sihat, tapi berapa ramai orang yang lupakan Allah. Tak solat , tak zikir.
Kadang dah solat tapi lepas tu lawan Tuhan  sedangkan  tuhan  itu pencipta dia.

          Allah suruh kita ingat Dia dalam hati. Bagaimana ingat dalam hati itu?  

Maksudnya ialah, 
      Yang pertama iaitu  berfikir tentang kebesaran Allah. Dalilnya:

 Ali imran:191

(Ulul Albab ialah) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. ( Seraya betkata)  'Ya Tuhan kami , tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, maka peliharalah kami dari siksa apa neraka.'

    
        Berfikir tentang kebesaran Allah ialah dengan memikirkan kejadian langit dan bumi ini. Maka selepas itu baru ia menyebut nama Allah dengan mengagungkanNya dalam hatinya. Itulah zikir terbaik.

       Berzikir dalam hati bukan bermaksud diam  tanpa menggerakkan  bibir. Itu tidak betul dan tidak mendapat pahala. Seumpama  orang berkata yang ia berdoa makan di dalam hati tanpa menggerakkan bibir. Berdoa mesti dengan menggerakkan bibir bukan didalam hati.

Sambungann al Araf: 205:


“(sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini (kejadian langit dan bumi serta semua kejadian) dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.”

      Maha suci Allah dari membuat sesuatu apa pun  dengan sia-sia. Tidak ada yang sia-sia setiap ciptaan Allah. Maka kita rasakan bahawa setiap ciptaan Allah itu ada tujuannya.

   
      Zikir yang kedua terbaik ialah  berzikir dengan  menyebut nama Allah kemudian ia memikirkan makna dan kebesaran Allah dalam zikir itu.

          Zikir yang paling rendah ialah menyebut nama Allah tapi hatinya lalai dalam memahaminya. Zikir hanya di mulut sahaja tanpa mengingat kebesaran Allah. Zikir begini tidak  memberi apa-apa kesan.
      
      Maksud berzikir dalam hati yang kedua ialah,
         Berzikir dengan suara perlahan. Asalnya pada zaman nabi di Mekah, nabi dan  sahabat membaca quran dengan kuat. Bila orang musyrikin  terdengar bacaan itu maka mereka kutuk nabi,  Islam dan kutuk Allah kerana bencinya mereka. Oleh itu Allah perintahkan nabi jangan  baca quran dan berzikir dengan kuat kerana itu menyebabkan  Islam dan  Allah  dikutuk. 
     
       Berapa banyak kita patut berzikir setiap hari? Lihat surah al ahzab:41,42,

41." Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingat (nama-Nya) sebanyak-banyaknya,"

        Jadi sifat orang beriman bukan sahaja berzikir tetapi berzikir dengan banyak. Kenapa banyak? Sebab nikmat Allah yang  dikurniakan kepada kita itu banyak dan juga berzikir yang sedikit itu sifat orang munafik. Dalilnya, 

          "Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah-lah yang menipu mereka. Apabila mereka berdiri untuk salat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud ria (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingat Allah kecuali sedikit sekali."
(An Nissa":142)

        Berzikir sedikit seperti apabila hanya berzikir selepas solat sahaja. Tidak zikir pagi, tidak zikir petang. Itu sifat munafik

       Kalau tidak ber zikir langsung? Itu sifat orang kafir. Sebab orang kafir memang  menentang Allah. Macamana dia nak ingat orang yang dia tentang?
       
       Tapi orang munafik yang zikir sedikit itu  masuk neraka paling bawah daripada orang kafir yang tidak berzikir langsung. Kenapa? Kerana mereka berpura-pura.
 
Berapa lama berzikir yang banyak itu?

       Perlu faham bahawa makna asas zikir itu ialah taat dalam menunaikan yang wajib seperti  solat jemaah di masjid, berbaik kepada ibu bapa, mengajar tauhid kepada anak dan sebagainya. 
      
       Mengenai zikir dengan lisan dan hati itu maknanya ialah mengamalkan zikir sebagaimana yang diamalkan oleh nabi. Nabi berzikir pada setiap keadaan yang munasabah seperti masuk rumah, keluar rumah, naik kenderaan, nak tidur, waktu hujan , waktu petir dan lain-lain lagi. 

       Maka zikir yang banyak itu maksudnya  berzikir seperti yang nabi lakukan di waktu-waktunya . Bukannya zikir 1000 kali pagi, 1000 kali petang atau 1000 kali  malam.
     

          Sebab itu kalau zikir lepas solat sahaja  kita bersifat dengan  sifat  orang munafik. Sebab itu kita kena hafal semua doa-doa harian dan zikir itu supaya dapat diamalkan . Janganlah sampai belajar tinggi-tinggi, sahih Bukhari-Muslim misalnya  tapi doa  harian tak amal. Rugi kita sedangkan masa telah berlalu seperti air sungai.

       Dan khususnya berzikir pada waktu yang terbaik iaitu waktu  pagi dan petang.
Lihat al Ahzab:42,

42. "dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."


Kenapa waktu Pagi dan Petang? 

       Kerana waktu itu  catatan amalan  kita diangkat kelangit.  Dan malaikat bertukar syif. Jadi biarlah sewaktu amal  diangkat itu kita sedang berzikir.
      
       Berzikir  juga dapat meringankan kita untuk mengamalkan kewajipan-kewajipan yang lain. Ini diberitahu oleh nabi dengan katanya  'hendaklah engkau sentiasa basahkan  lidahmu dengan  zikrullah'. Maka diri akan merasa ringan untuk memahami dan mengamalkan alquran.



 Apa sebab kita rasa malas untuk berzikir? 

         Sebabnya ialah hati yang sangat disibukkan  dengan  hal-hal  dunia. Dan kedua  kerana dosa-dosa yang melekat di hati kita.  Bila hati hitam dengan dosa ia menjadi keras.
       
       Orang yang keras hati itu ialah orang  yang paling celaka. Buktinya lihat surah  az Zumar:  22:

"Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)?
" Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata."

       Oleh itu kita kena lihat diri kita sebanyak mana zikir kita supaya tidak menjadi hati yang keras lalu tersesat.
      
         Kita bangga  anak kita yang berjaya tapi kalau hatinya keras dalam mentaati Allah ia sebenarnya dalam celaka.
    
         Solusi kepada hati yang lalai dari berzikir ialah ia perlu istighfar dan ber taubat serta kena berzikir/ mentaati Allah.
    
        Kenapa tak digalakkan berzikir secara berjemaah? Kerana mungkin apabila kita solat sendiri kita tak akan berzikir kerana tiada tekong.
 
Seterusnya ,

      Berzikir  dengan merendah diri dan takut kepada azab Allah. Adakah orangramai yang berzikir mengikut imam  ada rasa hina dan takut?  Tidak. Kerana ia hanya mengikut imam . Apa imam baca dia baca, bila imam berhenti dia pun berhenti. Bukan dari hatinya sendiri. Ditambah dengan suara yang kuat dan  tidak mengikut sunnah. Bagaimana ada rasa takutnya?
 
        Bila berzikir jangan kuat, itu perintah Allah. Kenapa jangan  kuat? Dalilnya ada dalam  hadis ini,

"Wahai sekalian manusia, rendahkanlah suara kalian. Kalian tidaklah berdo’a pada sesuatu yang tuli lagi ghoib (tidak ada). Yang kalian seru (yaitu Allah), Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Sungguh yang kalian seru itu lebih dekat pada salah seorang di antara kalian lebih dari leher tunggangannya.”
 (HR. Ahmad 4: 402). 
Sanad hadits ini shahih sesuai syarat Bukhari-Muslim

      Kerana Allah itu dekat dan  Ia tak tuli, jadi mengapa perlu kuat untuk berdoa atau memuji kepada Nya? Kita puji Allah antara kita dengan  Allah . Tak perlu satu masjid dengar. Itu antara kita dengan Allah.
    
        Itulah sebabnya nabi tegur  sahabat yang berzikir kuat. Iaitu pastilah sebab sahabat itu buat salah. Kalau tak salah kenapa nabi tegur?  Jadi,  kenapa kita ingin buat salah yang sama  juga?

       Ada lagi Allah kata Ia dekat iaitu di surah  al Baqarah :186,
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat."

        Berzikir ialah  dengan merendahkan diri dan  takut kepada azab Allah, dengan suara yang perlahan dan yang khususnya pada waktu pagi selepas subuh dan petang selepas asar. Kerana selepas subuh dan asar  tiada solat sunat. 
   
       Pada permulaan ayat  205 ,al Araf ini Allah perintah nabi  supaya  berzikir. Dan di akhir  ayat ini Allah perintah pula  jangan  lalai dari berzikir. Kenapa ? Padahal ia benda yang sama. Satu perintah buat, satu lagi perintah jangan lalai.
   
         Kerana Allah nak tegaskan lagi. Sebab lalai itu punca manusia celaka. Semua kecelakaan manusia kerana lalai dari mengingati Allah

Lihat apa kata Allah,

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan."  (Alhasyr:18)

      Bila disebut orang-orang beriman maknanya ianya penting untuk direnungi oleh orang yang mengaku beriman kepada Allah. Allah suruh tetap bertaqwa, padahal dia memang orang beriman? Kenapa?

        Kerana manusia boleh jadi hilang imannya. Pagi beriman , petang boleh jadi kufur. Sebab itu Allah suruh tetap bertaqwa.

      Hari esok di situ bermaksud dua  hari,  iaitu hari kematian nya,  kedua iaitu hari akhirat. Kerana mati itu juga adalah hari kiamat  (kecil) . Oleh itu kita perlu muhasabah diri setiap hari. Mati boleh datang bila-bila hatta ketika sedang ceramah.

Allah ingatkan  lagi kita dalam surah
al Hasyr:19,

" Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik."

      Allah ingatkan kita jangan sampai lupa untuk muhasabah diri. Kerana jika tidak, Allah akan jadikan kita lupakan diri sendiri untuk beramal untuk hari akhirat. Itulah akibat jika kita  lupa Allah ,   iaitu kita jadi tidak bersedia membawa bekal ke akhirat. Maka jadilah kita orang yang rugi diakhirat nanti dan fasik di dunia ini.

Siapa yang membuatkan kita lupa Allah?

Lihat al Mujadilah:19

"Syaitan telah menguasai mereka, lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa golongan syaitan itulah golongan yang rugi."

     Punca manusia lupa mengingati Allah ialah kerana ia telah dikuasai syaitan.  Lupa Allah maknanya hanya fikir dunia dan ikut nafsu sahaja.  

       Maka apa-apa nasihat dan peringatan pun tidak masuk lagi dalam hatinya. Seperti air di daun keladi.  Mereka sebenarnya sudah  menjadi pasukan syaitan.  Bila lupa Allah secara otomatik ia jadi ahli parti syaitan. Ahli parti syaitan ini ada dalam mana-mana parti politik.
       
Pengajaran ayat 205;
1. Antara tanda orang yang memahami alquran dan beramal dengannya ialah dia sentiasa berzikir kepada Allah. Samada dalam keadaan  berdiri,  duduk  atau baring. Khususnya di waktu pagi dan petang.

2. Ciri-ciri orang beriman ialah sentiasa berzikir dengan banyak manakala ciri-ciri orang munafik ialah ia  tidak berzikir kecuali sedikit.

3. Antara adab berzikir dan  berdoa kepada Allah ialah   dengan suara yang perlahan dalam keadaan merendah diri dan   takut kepada azab Allah.

4. Manusia yang paling celaka ialah manusia yang hatinya keras yang tidak berzikir kepada Allah dan dilupakan oleh Allah daripada melakukan amalan  yang berfaedah untuknya di akhirat.

Terus ke ayat akhir,  Al Araf:206,

206. "Sesungguhnya orang-orang yang ada di sisi Tuhanmu tidak merasa enggan untuk menyembah Allah dan mereka menyucikan-Nya dan hanya kepada-Nya mereka bersujud."

      Allah suruh kita tadabbur al quran. Dan bila sudah tadabbur  maka kita beramal dengan al quran seperti berzikir dan lain-lain lagi. Jadi, kita mungkin letih dan penat dengan semua itu.

        Jadi , Allah berkata di dalam ayat diatas bahawa mereka yang di sisiNya iaitu malaikat, tidak merasa enggan  untuk ber ibadah kepada Allah dan mensucikan Allah dan bersujud kepada Allah . Malaikat tekun beribadah kepada Allah. Tetapi sebenarnya malaikat tidak mendapat apa-apa ganjaran pun dari  ibadah mereka itu. Tetapi kita manusia, setiap amal ada  ganjarannya. Samada diampun dosa, diberi rumah dalam syurga dan lain-lain  lagi.
     
       Malaikat tidak mendapat semua itu tapi ia tetap tekun  beribadah. Jadi tak sepatutnya kita malas untuk beribadah kepada Allah. Sedangkan nikmat yang kita dapat lebih banyak dari malaikat dapat.  Hanya kita dihalang oleh nafsu dan syaitan dari beramal. Jika kita dapat mengatasi nafsu dan syaitan maka darjat manusia akan  jadi lebih tinggi dari malaikat.

Pengajaran ayat 206:

1. Contoh terbaik bagi mereka yang berzikir  kepada Allah ialah para malaikat. Walaupun nikmat yang diberi kepada manusia jauh lebih besar dan banyak dibanding dengan malaikat tetapi malaikat lebih banyak mentaati Allah dan berzikir kepada Nya.

2. Rahmat Allah kepada manusia, dengan  menjadikan malaikat bukan  sahaja mentaati Allah,  tetapi juga sentiasa memohon keampunan untuk manusia yang beriman.




Padang Jawa,
10/8/23

 



        

      

   
   
  


  

    

     
         
       


    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...