Bismillah.
Alhamdulillah
Assalamualaikum,
Dua Zikir Yang Dicintai Allah SWT
Apakah dua zikir yang dicintai Allah? Jika Allah mencintainya, kenapa kita tak suka mengamalkan nya? Apakah zikir itu?
Dalam hadis Sahih al-Bukhari No. 6406:
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Muhammad ﷺ bersabda:
“Dua kalimah yang ringan di lidah, berat di timbangan, dan dicintai oleh Ar-Rahman:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ،
سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ”
Maksudnya:
“Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya,
Maha Suci Allah Yang Maha Agung.”
(Riwayat Sahih al-Bukhari, no. 6406)
Inilah dua kalimah yang dicintai Allah.
Kenapa Allah mencintanya?
Allah mencintai zikir ini kerana beberapa sebab yang besar:
1. Ia mengandungi tasbih (penyucian Allah)
Ucapan “Subhanallah” bermaksud kita menyucikan Allah daripada segala kekurangan. Ini tanda pengagungan dan pengiktirafan bahawa Allah Maha Sempurna.
2. Ia mengandungi pujian (tahmid)
“Wa bihamdih” bermaksud kita memuji Allah atas segala nikmat-Nya. Pujian adalah bentuk syukur dan penghambaan.
3. Ia menzahirkan tauhid dan pengagungan
“Subhanallahil ‘Azim” itu tanda mengakui kebesaran Allah Yang Maha Agung. Ia memperkuatkan iman dan rasa tunduk kepada-Nya.
4. Ia lahir dari hati yang ikhlas
Zikir ini ringkas di lidah tetapi besar nilainya kerana ia menghubungkan hati dengan Allah secara langsung.
Sebab itu dalam hadis riwayat Sahih al-Bukhari no. 6406, Nabi ﷺ menyebut ia dicintai oleh Ar-Rahman — kerana ia menghimpun kan penyucian, pujian, dan pengagungan kepada Allah dalam kalimah yang sangat mudah.
Kaedah pengajaran dengan Angka
Hadis ini mengandungi kaedah tarbiah dan kelebihan zikir dengan menggunakan angka. Nabi sering menggunakan kaedah angka ini dengan tujuan tertentu. Ini penjelasannya:
1. Kaedah Pengajaran Nabi ﷺ
Nabi ﷺ menyebut “dua kalimah” — menggunakan angka supaya mudah dihafal dan diingati.
Ini menunjukkan metodologi pengajaran baginda yang ringkas, jelas dan praktikal.
Lafaznya pendek, tetapi makna nya dalam dan kesannya besar.
2. Ringan di Lidah, Berat di Timbangan
Zikir ini mudah disebut, tidak memerlukan tenaga atau masa yang panjang.
Namun ia berat di mizan (timbangan amal) — membuktikan bahawa amalan walaupun kecil, jika ikhlas, tetap besar di sisi Allah.
Ini selari dengan prinsip bahawa amalan walau sekecil zarah tetap akan dibalas.
3. Dicintai Allah (Ar-Rahman)
Amalan yang terbaik ialah yang dicintai Allah. Zikir ini dicintai Allah kerana:
Ia menggabungkan tasbih (pensucian Allah) dan tahmid (pujian kepada Allah) — gabungan pengagungan yang sangat agung.
4. Kelebihan Mengulanginya
Dalam riwayat lain, membaca “Subhanallahi wa bihamdih” 100 kali sehari diampunkan dosa walau sebanyak buih di lautan.
Hadis yang dimaksudkan ialah sabda Nabi ﷺ:
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، حُطَّتْ خَطَايَاهُ، وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.
Maksudnya:
“Sesiapa yang membaca Subhanallāhi wa bihamdih sebanyak 100 kali dalam sehari, akan dihapuskan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”
[Riwayat Bukhari (no. 6405) dan Muslim (no. 2691)]
Maknanya sangat besar sehingga kandungannya disebut dalam banyak ayat al-Quran, antaranya:
a) Surah An-Nasr – Perintah bertasbih dan bertahmid:
b) Surah Al-Isra ayat 44 – Seluruh makhluk bertasbih memuji-Nya.
c) Surah As-Sajdah – Gambaran sujud dan tasbih makhluk:
d) Surah Ash-Shura ayat 5
Malaikat bertasbih memuji Tuhan mereka.
Ini menunjukkan tasbih dan tahmid adalah ibadah agung yang menjadi amalan seluruh makhluk langit dan bumi.
Rumusan Akhir
Dua kalimah ini mengajar kita bahawa:
> Amalan tidak perlu panjang untuk menjadi besar pahalanya.
> Zikir adalah ibadah yang paling mudah tetapi paling berat timbangannya.
> Tasbih yang digabung dengan pujian adalah bentuk pengagungan tertinggi kepada Allah.
> Ia sesuai diamalkan setiap hari, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan.
Sudahkah anda mengamalkannya hari ini....?
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Klang.
19/2/26
(1 Ramadhan 1447)
Ulasan
Catat Ulasan