Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,
Syaitan ingin menyesatkan anak Adam
Dalam surah al Hijr:39 syaitan berkata ia akan menyesatkan keturunan Adam. Ini kerana Allah telah menghukum ia keluar dari syurga kerana ia tidak mahu taat perintah Allah supaya sujud kepada Adam.
Tetapi syaitan mengakui ia tak dapat menggoda dan menyesatkan orang-orang yang ikhlas seperti dalam surah al Hijr: 40 ini,
Jadi apakah maksud ikhlas ini? Dan apakah ciri-ciri orang yang ikhlas? Mari kita bincangkan.
Maksud Ikhlas dalam Islam
Ikhlas bermaksud melakukan setiap ibadah dan amalan semata-mata kerana Allah, tanpa mengharapkan pujian, ganjaran manusia, atau kepentingan dunia. Segala perbuatan dilakukan dengan niat mencari keredhaan Allah semata-mata.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat…”
(Riwayat Sahih Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa niat yang ikhlas merupakan asas kepada nilai sesuatu amalan.
Ikhlas merupakan salah satu sifat terpenting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia menjadi asas kepada penerimaan setiap amalan di sisi Allah.
Ciri-Ciri Orang yang Ikhlas
Orang yang ikhlas memiliki beberapa ciri yang membezakan mereka daripada orang lain. Antaranya ialah :
1. Niat Hanya Kerana Allah
> Beribadah bukan untuk dipuji.
> Tidak mengharap sanjungan manusia.
> Sama rajin ketika dilihat atau tidak
Mereka sentiasa menjaga niat dalam setiap perbuatan. Sama ada ketika beribadah, bekerja, atau membantu orang lain, mereka melakukannya kerana Allah, bukan untuk dipuji.
2. Tidak Terpengaruh dengan Godaan Syaitan
> Dijaga Allah daripada maksiat besar.
> Cepat bertaubat bila tersalah.
> Hatinya sensitif terhadap dosa.
Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan godaan syaitan. Apabila melakukan kesalahan, mereka segera bertaubat dan kembali kepada Allah. Hati mereka sentiasa peka terhadap dosa dan maksiat.
3. Konsisten dalam Ketaatan
> Istiqamah solat, doa, zikir, dan amal.
> Tidak berubah walaupun diuji.
Mereka istiqamah dalam ketaatan. Walaupun menghadapi ujian, kesusahan, atau tekanan hidup, mereka tetap menjaga solat, doa, dan amal kebajikan. Keimanan mereka tidak bergantung kepada keadaan, tetapi sentiasa stabil.
4. Rendah Hati & Tidak Bangga Diri
> Tidak rasa diri paling baik.
> Sentiasa takut amal tidak diterima.
> Menganggap semua kebaikan dari Allah.
Orang yang ikhlas bersifat rendah hati. Mereka tidak membanggakan amalan sendiri dan sentiasa merasa takut jika ibadah mereka tidak diterima. Mereka yakin bahawa segala kebaikan yang dilakukan adalah dengan pertolongan Allah semata-mata.
Allah berfirman:
“Padahal mereka tidak diperintah kan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya.”
(Surah Al-Bayyinah: 5)
Ayat ini menegaskan bahawa ikhlas merupakan tuntutan utama dalam beragama.
5. Sabar dan Redha dengan Takdir
> Tidak mudah marah atau putus asa.
> Terima ujian dengan hati tenang.
> Yakin Allah Maha Adil.
Sabar dan redha dengan takdir merupakan antara sifat utama orang yang beriman dan ikhlas kepada Allah.
Bila mereka diuji, mereka menerima ujian dengan hati yang tenang. Mereka yakin bahawa setiap kesusahan pasti disertai dengan kemudahan. Firman Allah:
“Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.”
(Surah Asy-Syarh: 6)
Keyakinan ini menjadikan mereka tidak berputus asa walaupun diuji dengan masalah yang berat, seperti kesempitan hidup, penyakit, atau kehilangan orang tersayang.
Sifat ini menjadikan seseorang tidak mudah marah, tidak cepat berputus asa, serta mampu menerima setiap ujian dengan hati yang tenang.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya…”
(Riwayat Sahih Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa orang beriman akan memperoleh kebaikan sama ada ketika senang mahupun susah, kerana mereka bersabar dan bersyukur.
Mereka yakin bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan adalah ketentuan Allah yang penuh hikmah dan keadilan.
6. Menjaga Hubungan dengan Allah
> Banyak berdoa.
> Rajin membaca Al-Qur’an.
> Selalu muhasabah diri.
Salah satu ciri utama orang yang ikhlas ialah sentiasa menjaga hubungan yang erat dengan Allah.
Hubungan ini tidak terjalin hanya melalui ibadah wajib semata-mata, tetapi diperkukuhkan dengan amalan-amalan sunat, doa yang berterusan, bacaan Al-Qur’an, serta muhasabah diri yang konsisten.
Hati mereka sentiasa bergantung kepada Allah dalam setiap keadaan, sama ada ketika senang mahupun susah.
Dalam Al-Qur'an, Allah berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”
(Surah Al-Baqarah: 186)
Ayat ini menunjukkan bahawa doa merupakan jambatan utama yang menghubungkan seorang hamba dengan Tuhannya. Orang yang ikhlas sentiasa memperbanyakkan doa kerana mereka menyedari kelemahan diri dan kebergantung- an sepenuhnya kepada Allah.
Mereka berdoa bukan hanya ketika ditimpa kesusahan, tetapi juga ketika berada dalam kesenangan, sebagai tanda syukur dan pengharapan kepada rahmat-Nya.
Selain itu, mereka juga rajin membaca dan menghayati Al-Qur’an. Al-Qur’an menjadi panduan hidup, sumber ketenangan, serta penawar kepada kegelisahan jiwa.
Firman Allah:
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
(Surah Ar-Ra‘d: 28)
Bagi orang yang ikhlas, membaca Al-Qur’an bukan sekadar rutin, tetapi satu keperluan rohani. Mereka berusaha memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian agar setiap langkah selari dengan kehendak Allah.
Di samping itu, orang yang ikhlas sentiasa melakukan muhasabah diri. Mereka sering menilai kembali amalan, niat, dan kesalahan yang dilakukan setiap hari. Mereka takut jika amal mereka tercemar dengan sifat riak, ujub, atau takbur. Oleh itu, mereka sentiasa memohon keampunan dan berusaha memperbaiki diri.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang yang bijak ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.”
(Riwayat Sunan al-Tirmizi)
Hadis ini menegaskan kepentingan muhasabah sebagai tanda kebijaksanaan dan keikhlasan seorang mukmin.
Kesimpulan
Orang yang benar-benar ikhlas ialah hamba Allah yang memurnikan niat, menjaga hubungan dengan-Nya, serta sentiasa taat dalam kehidupan seharian.
Mereka beramal bukan kerana pujian manusia, tetapi semata-mata mengharap keredhaan Allah.
Oleh sebab keikhlasan inilah, mereka mendapat perlindungan khusus daripada Allah daripada tipu daya syaitan.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Klang.
18/2/26
Ulasan
Catat Ulasan