Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamualaikum,


Perumpamaan yang mudah
Dalam Al-Qur’an, Allah SWT sering menyampaikan pengajaran melalui perumpamaan yang mudah difahami oleh manusia. Tujuannya ialah agar manusia dapat berfikir, merenung, dan mengambil iktibar dalam kehidupan.
Salah satu perumpamaan yang sangat mendalam maknanya terdapat dalam Surah Ibrahim ayat 24,
di mana Allah menggambarkan “kalimah yang baik” seperti sepohon pokok yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.
Kalimah tauhid
Kalimah yang baik dalam ayat ini merujuk kepada kalimah tauhid, La ilaha illallah,
yang bererti 'Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah', yang menjadi asas utama dalam kehidupan seorang Muslim.
Kalimah ini bukan sekadar dilafaz di bibir, tetapi satu pengakuan yang lahir dari hati yang penuh keyakinan kepada Allah SWT.
Tertanam di dalam jiwa
Apabila tauhid benar-benar tertanam dalam jiwa, maka ia akan menjadi seperti akar pokok yang kuat mencengkam bumi. Akar inilah yang memastikan pokok itu tidak tumbang walaupun dilanda ribut dan hujan lebat.
Begitulah juga iman seorang mukmin, yang tidak mudah tergugat walaupun diuji dengan kesusahan, kemiskinan, fitnah, dan cabaran dunia.
Cabang menjulang tinggi
Selain akar yang kukuh, Allah juga menggambarkan cabang pokok itu menjulang tinggi ke langit. Ini melambangkan amalan soleh yang lahir daripada iman yang benar.
Iman yang hidup akan melahirkan:
> solat yang terjaga,
> zikir yang berterusan,
> akhlak yang mulia, serta
> hubungan yang baik sesama manusia.
Segala amalan ini akan diangkat oleh Allah SWT dan menjadi bukti keikhlasan seorang hamba.
Seseorang yang benar-benar beriman tidak hanya menjaga hubungannya dengan Allah, tetapi juga menjaga adab dan tingkah lakunya dalam masyarakat.
Menghasilkan kebaikan
Seterusnya, perumpamaan ini juga memberi isyarat bahawa iman yang kuat akan sentiasa menghasilkan kebaikan. Seperti pokok yang subur sentiasa berbuah, seorang mukmin yang istiqamah akan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Kehadirannya membawa:
> ketenangan,
> nasihat yang baik,
> serta contoh teladan yang mulia.
Dia menjadi sumber inspirasi kepada keluarga, sahabat, dan masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Iman perlu usaha
Namun, iman tidak datang dengan sendirinya tanpa usaha. Ia perlu dipupuk melalui :
> ilmu,
> ibadah,
> muhasabah diri,
> doa yang berterusan.
> membaca dan memahami Al- Quran,
> menghadiri majlis ilmu,
> menjaga solat lima waktu,
> serta menjauhi maksiat
Itu merupakan antara cara untuk menguatkan akar iman dalam hati.
Jika iman lemah
Jika iman dibiarkan lemah, maka ia akan menjadi rapuh seperti pokok yang tidak berakar kuat, mudah tumbang apabila diuji.
Dalam Al-Qur’an, iman yang lemah membawa banyak kesan buruk kepada kehidupan seseorang.
Kesan Iman lemah:
i) Mudah melakukan maksiat
Tidak rasa takut kepada Allah, lalu ringan melakukan dosa.
ii) Lalai dalam ibadah
Seperti solat ditinggalkan, zikir berkurang, malas membaca Al-Quran.
iii) Hati tidak tenang
Mudah gelisah, resah, dan tidak bahagia walaupun cukup harta.
iv) Mudah putus asa
Cepat kecewa apabila diuji, kurang bergantung kepada Allah.
v) Akhlak menjadi buruk
Suka marah, dengki, menipu, dan menyakiti orang lain.
vi) Cinta dunia berlebihan
Lebih mementingkan harta dan pangkat daripada akhirat.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Surah Ibrahim ayat 24 mengajar kita bahawa iman yang sejati ialah iman yang kukuh dalam hati, subur dengan amalan, dan memberi manfaat kepada sekeliling.
Seorang Muslim yang memiliki iman seperti ini akan sentiasa istiqamah dalam ketaatan, sabar dalam ujian, dan bersyukur dalam nikmat.
Semoga kita semua tergolong dalam hamba-hamba Allah yang memiliki iman yang teguh seperti pohon yang baik, yang akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengsn orang lain.
Klang.
16/2/26
Ulasan
Catat Ulasan