Bismillah.
Apa maksud perkara ghaib?
Perkara ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat, didengar, atau diketahui oleh pancaindera dan akal manusia secara sendiri, kecuali jika Allah memberitahukan nya.
Bolehkah seseorang berkata ia mengerahui sesuatu yang ghaib?
Manusia tidak boleh berkata atau mengetahui perkara ghaib secara mutlak, kecuali jika Allah memberitahu perkara itu melalui wahyu atau tanda-tanda tertentu.
Dalil Al-Qur’an
1. Hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib
(Surah Al-An‘am 6:59)
“Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya selain Dia.”
Ini dalil jelas bahawa perkara ghaib mutlak hanya milik dan diketahui oleh Allah.
2. Nabi pun tidak tahu hal ghaib kecuali yang Allah wahyukan
(Surah Al-A‘raf 7:188)
“Katakanlah (wahai Muhammad): dan sekiranya aku mengetahui perkara ghaib, tentu aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan ”
Nabi sendiri pun tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang Allah beritahu. Ini Allah tegaskan dalam al quran sendiri.
3. Allah boleh memberitahu sebahagian hal ghaib kepada Rasul
(Surah Al-Jinn 72:26–27)
“Dia mengetahui yang ghaib, dan Dia tidak memperlihatkan yang ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya.”
Jadi, wahyu adalah pengecualian dalam hal ghaib . Para rasul tahu perkara ghaib seperti hal-hal kiamat, perkara dalam kubur, nasib seseorang, hanya kerana beliau mendapat tahu dari wahyu. Tanpa wahyu, nabi pun tidak tahu hal tersebut.
Dalil Hadis
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa mendatangi tukang ramal lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.”
(HR. Ahmad, Abu Dawud)
Tukang tilik nasib, bomoh yang mendakwa tahu hal ghaib, haram mendatangi atau mempercayainya dan boleh membawa kepada kufur.
Kesimpulan
Manusia tidak boleh mendakwa tahu perkara ghaib (masa depan, rezeki pasti, jodoh, kematian, takdir dan lain-lain).
Yang boleh:
> Menyampaikan wahyu (bagi Nabi)
> Menyebut tanda-tanda berdasarkan ilmu dan pengalaman (bukan ghaib mutlak).
Sesiapa yang mengaku tahu perkara ghaib , itu adalah dusta, syirik, atau itu satu sihir.
Ghaib mutlak
Ghaib mutlak ialah perkara ghaib yang hanya Allah sahaja mengetahuinya secara sempurna, dan tidak dapat diketahui oleh mana-mana makhluk sama ada manusia, jin atau malaikat, kecuali jika Allah sendiri memberitahu melalui wahyu.
Contoh ghaib mutlak
> Waktu tepat kiamat
> Tempat kematian seseorang
> Takdir hidup secara terperinci
> Apa yang berlaku dalam kubur
Ghaib relatif
Ghaib relatif ialah perkara yang ghaib (tersembunyi) bagi seseorang atau pada satu masa, tetapi boleh diketahui oleh orang lain atau pada masa yang lain dengan izin Allah.
Ia bukan ghaib mutlak, dan bukan rahsia Allah sepenuhnya.
Contoh Ghaib Relatif
> Jantina bayi (dulu ghaib, kini boleh diketahui melalui imbasan)
> Keadaan cuaca (diketahui melalui kajian & data)
> Penyakit (diketahui melalui ujian perubatan)
> Isi hati seseorang (ghaib bagi kita, tetapi diketahui oleh dirinya)
Kesimpulan
> Ghaib relatif boleh diketahui
> Pengetahuan itu berlaku dengan sebab dan izin Allah
> Tidak bercanggah dengan tauhid
> Islam mengiktiraf ilmu, sains dan kajian, tetapi menolak dakwaan tahu ghaib mutlak.
> Ghaib mutlak tidak diketahui oleh sebarang manusia.
> Sesiapa mengaku mengetahui ghaib mutlak, ia boleh jatuh syirik.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Ulasan
Catat Ulasan