Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,
Mengikut al quran
Apakah bukti bahawa dengan mengikuti al-Qur’an seseorang akan bahagia? Mari kita jelaskan:
1. Al-Qur’an sendiri menegaskan ia sebagai petunjuk kepada kebahagiaan dan kejayaan.
Allah ﷻ berfirman:
"Barang siapa mengikuti petunjuk-Ku, maka tidak akan ada rasa takut atas mereka, dan mereka tidak akan bersedih hati."
(Surah al-Baqarah 2:38)
Maksudnya, orang yang berpegang teguh pada al-Qur’an akan mendapat ketenangan jiwa (tidak takut dengan masa depan, tidak sedih dengan masa lalu). Inilah asas kebahagiaan sebenar.
Penjelasan.
a) Tidak takut dengan masa depan
Manusia biasanya risau apa akan berlaku esok: bagaimana dengan rezeki, ajal, anak-anak, keselamatan atau kedudukan.
Orang yang berpegang teguh pada al-Qur’an percaya bahawa semua perkara di masa depan dalam takdir Allah.
Maka hatinya tenang, sebab dia tahu Allah menjamin rezekinya, melindunginya, dan memberikan balasan terbaik . Itu janji Allah kepada orang beriman dan beramal soleh.
Ini tidak bermakna dia tidak berusaha, tetapi hatinya tidak dikuasai ketakutan.
Contoh: Bila datang ujian hidup, dia tidak putus asa, kerana yakin janji Allah iaitu,
“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (al-Insyirah 94:6).
Dia yakin, selepas kesulitan itu, pasti ada kemudahan. Sebab Allah tidak akan berkata bohong.
b) Tidak sedih dengan masa lalu
Manusia sering terbeban dengan penyesalan masa lalu seperti dosa, kehilangan, kegagalan atau kesilapan yang pernah ia lakukan.
Tetapi orang yang ikut petunjuk al-Qur’an diberi jalan keluar iaitu:
- Dosa boleh diampunkan dengan taubat.
- Kehilangan akan diberi ganti lebih baik di sisi Allah.
- Kesilapan dijadikan pelajaran.
Maka dia tidak terus ditawan dengan kesedihan masa lalu kerana yakin semua yang berlaku ada hikmah dan rahmat.
Contoh: Kalau dia pernah berdosa, ayat al-Qur’an menenangkannya:
“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.” (az-Zumar 39:53).
2. Al-Qur’an menjanjikan kehidupan yang baik (hayatan tayyibah).
Al quran menjanjikan kehidupan yang baik. Lihat penjelasannya,
Allah ﷻ berfirman:
"Barang siapa beramal soleh, lelaki atau perempuan, sedangkan dia beriman, maka Kami pasti akan memberinya kehidupan yang baik, dan akan Kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan."
(Surah an-Nahl 16:97)
Di sini, Allah memberi jaminan bahawa sesiapa yang beriman dan beramal menurut syariat-Nya (yang bersumber dari al-Qur’an), dia akan dikurniakan hidup yang baik di dunia (tenang, rezeki diberkati, hati puas) dan balasan syurga di akhirat. Ini penjelasan maksudnya :
a) Hidup yang baik di dunia
Ulama tafsir menjelaskan maksud “hayatan ṭayyibah” atau kehidupan yang baik di dunia itu seperti berikut:
i) Ketenteraman hati dan jiwa
Hatinya tenang kerana bergantung pada Allah, bukan pada dunia.
Dalil:
“Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (ar-Ra‘d 13:28)
ii) Rezeki yang diberkati
Tidak semestinya banyak, tetapi cukup, halal, dan mendatangkan manfaat.
Ibn Kathir berkata: Allah jadikan hidup mereka bahagia dengan rezeki halal, hati yang lapang, dan keyakinan kuat pada Allah.
iii) Hati yang puas dan redha
Walaupun sedikit rezekinya, dia bersyukur.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Bukanlah kekayaan itu kerana banyak harta, tetapi kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” (HR. Bukhari & Muslim)
Ertinya, orang yang ikut al-Qur’an akan merasa cukup dan puas, tidak dikuasai tamak, dengki, dan putus asa. Inilah orang yang bahagia.
b) Balasan syurga di akhirat
Selepas melalui kehidupan dunia dengan iman dan amal soleh, Allah janjikan syurga pula bagi yang mengikut al quran.
i) Nikmat abadi tanpa penderitaan
Keadaan nikmat dk syurga itu seperti kenyataan Allah ini,
“Mereka kekal di dalamnya, mereka mendapat apa sahaja yang mereka inginkan di sisi Tuhan mereka.” (asy-Syura 42:22)
Inilah kebahagiaan sebenar kerana ia bersifat kekal abadi.
ii) Balasan lebih besar daripada amal
Apa sahaja amal kecil yang kita lakukan, Allah akan digandakan dengan balasan besar.
Contoh: senyum, sedekah kecil, atau zikir ringan boleh menjadi sebab masuk syurga.
iii) Kesempurnaan bahagia
Di dunia, kebahagiaan bercampur dengan ujian. Tetapi di syurga, Allah hilangkan semua ujian seperti rasa sakit, takut, sedih, dan penat.
“Dan mereka berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Fathir 35:34)
3. Al-Qur’an adalah penawar kegelisahan hati.
Dalilnya, Allah ﷻ berfirman:
"Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."
(Surah ar-Ra‘d 13:28)
Dan juga:
"Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kalian pelajaran dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, serta petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman."
(Surah Yunus 10:57)
Ini menunjukkan bahawa al-Qur’an berfungsi sebagai ubat bagi keresahan hati, penenang hati, penghilang stres, iaitu sesuatu yang semua manusia cari untuk bahagia. Ini penjelasannya:
a) Berasal dari Dalil al-Qur’an
Allah ﷻ berfirman:
Surah Yunus 10:57
“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran (al-Qur’an) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Maksudnya: Al-Qur’an menyembuhkan penyakit hati seperti resah, gelisah, iri hati, putus asa, takut berlebihan, dan keliru.
Dan dari Surah ar-Ra‘d 13:28,
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
Iaitu dengan membaca, tadabbur, dan mengamalkan al-Qur’an termasuk dalam bentuk zikrullah yang menenangkan hati.
b) Bagaimana al-Qur’an menjadi ubat keresahan?
Iaitu dengan,
i) Memberi makna hidup
Banyak orang resah kerana tidak tahu tujuan hidup. Al-Qur’an menjelaskan tujuan hidup ialah untuk beribadah kepada Allah ,
(az-Zariyat 51:56).
Maka bila hidup ada tujuan, hati jadi lebih kuat menghadapi ujian. Kerana hati sudah fokus kepada tujuan, bukan fokus masalah.
ii) Menguatkan tawakkal
Al-Qur’an mendidik kita bergantung pada Allah, bukan pada makhluk.
Di mana, orang yang bertawakkal tidak dihantui ketakutan yang berlebihan.
iii) Menenangkan dalam ujian
Al-Qur’an sering mengingatkan bahawa ujian adalah sementara dan penuh hikmah ,
(al-Baqarah 2:286,
Dan juga,
Al-Insyirah 94:5–6).
Ini menghilangkan stres, kerana dia yakin setiap masalah ada jalan keluar, dan setiap kesukaran akhirnya ada kemudahan.
iv) Menghapus rasa putus asa
Al-Qur’an membawa harapan.iaitu walaupun seseorang berdosa, masih ada keampunan dari Allah selagi ada nyawa.
Dengan perasaan itu, orang yang beriman tidak dihantui masa lalu, sebaliknya bangkit dengan harapan baru. Kerana selagi masih hidup, ada peluang untuk bertaubat dan memulakan hidup baru.
c) Contoh praktikal
Seseorang yang gelisah kerana masalah hidup → bila membaca surah al-Dhuha, hatinya teringat janji Allah bahawa setiap kesulitan akan diganti dengan kebaikan.
Seseorang yang stres dengan tekanan dunia → bila mendengar tilawah al-Qur’an, hatinya jadi lembut dan damai.
Seseorang yang risau masa depan , bila ia tadabbur ayat rezeki (Hud 11:6),
Maka dia yakin Allah menjamin keperluan rezeki setiap makhluk-Nya.
4. Al-Qur’an mengajar manusia jalan keseimbangan hidup.
Al quran tidak hanya menekankan ibadah ritual, tetapi juga mengajar akhlak, keadilan, kasih sayang, menjaga hak orang lain, hubungan dengan keluarga, dan kesejahteraan masyarakat. Bila diamalkan, semua aspek ini membawa kebahagiaan individu dan masyarakat.
Ini penjelasannya:
a) Al-Qur’an Menekankan Akhlak Mulia
Dalilnya, bila Allah memuji akhlan Nabi ﷺ:
“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berada di atas akhlak yang agung.” (al-Qalam 68:4)
Banyak ayat al-Qur’an yang menyeru supaya bersikap jujur, amanah, sabar, rendah hati dan menepati janji.
Akhlak inilah yang menjadikan manusia dicintai Allah dan disukai manusia, yang menjadi asas kebahagiaan manusia.
b) Al-Qur’an Menegakkan Keadilan
Dalilnya , Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.” (an-Nisa’ 4:58)
Keadilan membawa masyarakat hidup tenteram tanpa zalim, dengki, dan permusuhan. Inilah yang menjadikan masyarakat bahagia.
c) Al-Qur’an Mengajar Kasih Sayang
Kasih sayang antara sesama Muslim, Allah menyatakan,
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” (al-Hujurat 49:10)
Juga kasih sayang antara suami isteri, maka Allah menjelaskan,
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan … supaya kamu mendapat ketenangan padanya, dan Dia menjadikan di antaramu kasih sayang dan rahmat.” (ar-Rum 30:21)
Dengan adanya kasih sayang, menjadikan rumah tangga bahagia dan masyarakat harmoni.
d) Al-Qur’an Menjaga Hak Orang Lain
Al quran melarang menzalimi atau mengambil hak orang dengan firmanNya,
“Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.” (al-Baqarah 2:188)
Al quran juga melarang kita merendahkan, mengumpat dan menghina orang lain. Seperti firmanNya,
(al-Hujurat 49:11–12)
Bila hak-hak ini dijaga, masyarakat akan jadi damai, tiada dendam dan tiada permusuhan.
e) Al-Qur’an Menekankan Hubungan Keluarga
Hubungan kekeluargaan boleh di rapatkan dengan,
i) Berbakti kepada ibu bapa:
Dalam al quran Allah berfirman,
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya.” (Luqman 31:14)
ii) Menjaga silaturrahim:
Allah berfirman,
“Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan.” (an-Nisa’ 4:1)
Bila ikatan keluarga itu kuat dan penuh kasih, masyarakat juga akan stabil. Ini membawa kebahagiaan kepada semua.
f) Al-Qur’an Mendorong Kesejahteraan Masyarakat
Iaitu dengan memerintahkan gotong-royong dan tolong-menolong dalam kebaikan. Firman Allah,
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
(al-Maidah 5:2)
Dengan adanya sifat tolong- menolong ini akan menimbuhkan kebahagiaan. Ia juga bermaksud menolak sikap mementingkan diri sendiri.
Maka, masyarakat yang saling bantu- membantu akan lebih bahagia, saling percaya, dan saling melindungi.
Kesimpulan:
Bukti bahawa mengikuti al-Qur’an membawa kebahagiaan itu ialah:
1. Allah sendiri menjanjikan ketenangan jiwa (2:38).
2. Allah menjanjikan kehidupan yang baik (16:97).
3. Al-Qur’an menjadi penawar kegelisahan (10:57, 13:28).
4. Ia memberi panduan hidup yang seimbang – yang akhirnya menghasilkan kebahagiaan hakiki, bukan sekadar keseronokan sementara.
Jadi, bahagia sejati datang bila hati tenang, hidup diberkati, dan akhirat terjamin. Itulah janji al-Qur’an kepada pengikutnya.
Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain.
Padang Jawa.
16/10/2025
Ulasan
Catat Ulasan