Langkau ke kandungan utama

186) APA PENDIDIKAN TERAWAL KEPADA ANAK-ANAK? ( Bhg. 2)

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,


     Di bahagian yang lepas kita telah membahaskan ayat 16 surah Luqman. Maka kali ini kita teruskan apa nasihat Luqman kepada anaknya . Seterusnya lihat surah  Luqman: 17,


        Setelah Luqman menasihati anaknya dan anak-anak kita juga supaya:
1. Jangan mensyirikkan Allah
2. Berbakti kepada ibubapa
3. Allah tetap memberi balasan

        Maka nasihat Luqman yang seterusnya,


4)  Dirikan solat


Kata Luqman kepada anaknya,

            
    Ini adalah point yang penting  yang kita harus ingatkan anak-anak kita. Tentunya yang paling utama ialah solat 5 waktu. Bila sudah mengerjakan solat 5 waktu barulah kita latih mengerjakan solat-solat sunat.  Kerana jika yang wajib dibentengi dengan  yang sunat-sunat , maka yang wajib mudah terjaga. Jika yang sunat mulai diringankan oleh syaitan maka yang wajib juga akan  mula terlalai.

            Maka jika anak kita sudah kuat  solat yang wajib, ia mulai sedar, mudah disuruh, maka mulailah kita melatih mereka solat-solat sunat. Dari solat sunat yang ringan  hingga nanti kepada solat-solat sunat yang berat. Solat sunat yang ringan iaitu sunat qabliah dan sunat ba'diah. Mungkin dengan mulai solat qabliah saja, atau ba'diah saja. Dilatih sehingga mereka terbiasa. Ini peranan ibu dan bapa.  Terutama bapa patut memberi contoh langsung kepada anak-anaknya.

         Kalau solat sunat ringan  sudah dikerjakan, kita latih ia solat witir. Kalau solat witir sudah dikerjakan , baru kita suruh solat malam. Semuanya bertahap, supaya anak-anak tidak berasa bosan dan rasa terbeban. Kerana jiwa itu perlu dilatih sedikit demi sedikit. Supaya dengan adanya amal tersebut dia akan  merasa bahagia. Sedikit demi sedikit. 


Aqimissolah

       Mendirikan solat atau menegakkan solat itu lebih tinggi dari mengerjakan solat. Maka datang perkataan dalam  alquran , aqimissolah,

         
          
       Menegakkan solat itu dalam tujuan  mencari pahala. Kalau hanya mengerja kan solat itu bermaksud,  yang penting beban selesai atau tanggungjawab selesai. Itu tidak cukup. Jadi,  kita ajari anak kita supaya jangan hanya melepaskan  tanggung- jawab sahaja tetapi bagaimana kita mencari bahagia dari solat tersebut.  Maka solat itu mesti disertakan dengan kekhusyukan, faham apa yang dibaca dan rasa Allah melihat kita solat itu. Itu yang dikatakan iqamatissolah iaitu menegakkan solat bukan  sekadar mengerjakan solat.


Beban

        Kerana tak dapat dinafikan, ramai orang solat niatnya  yang penting tidak masuk neraka. Yanq penting tugas sudah dikerjakan, hingga solat itu terasa sebagai beban. Ini perlu dilatih perlahan-lahan supaya dari menjadi beban hingga kita merasa solat itu satu kebahagiaan dan keuntungan. Sebab itulah nabi berkata  ,

      “Dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.” (Riwayat Ahmad dan An-Nasaai)

       Juga apabila Rasulullah SAW menyuruh  Bilal RA mengumandangkan azan, baginda akan berkata, 

     "Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat." 
(Riwayat Ahmad)

       Dengan solat hilanglah kepenatan, atau beban yang kita tanggung. Maka di sini mengajarkan kepada kita supaya difahamkan maksud solat sebenar secara perlahan-lahan sehingga merasa bahagia dengannya.  Ini semua  perlu bertahap. Yang paling penting ibubapa yang menegakkan solat dahulu   lalu ditularkan kepada anak-anak .

      Setelah itu, Luqman meneruskan  nasihatnya kepada anaknya dan kita juga, iaitu,



5)  Serulah kepada makruf dan Cegahlah kemungkaran



        Allah rekodkan nasihat Luqman lagi dalam surah Luqman: 17 juga ,


     Sebahagian ahli tafsir mengatakan bila seseorang sudah mendirikan solat maka dia sudah meraih kesempurnaan dirinya kerana solat itu adalah ibadah yang agung. Maka bila ia sudah menyempurna kan dirinya, maka jangan ia hanya menyempurnakan  dirinya sahaja, tetapi turut menyempurnakan orang lain juga. Caranya ialah dengan ia mulai mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.


Berdakwah

     Maka mulailah berdakwah, perlahan- lahan mengajak mengerjakan hal-hal yang baik. Maksudnya kita ajarlah anak kita supaya mengajak kawan-kawannya ketempat yang baik seperti ke masjid, tempat pengajian atau tempat belajar quran. Dengan  itu anak-anak terlatih menyeru kepada kebaikan  sejak kecil. Jangan hanya sendiri saja yang mengerjakan  solat, mengaji , tetapi ajaklah kawan-kawannya juga. 

      Melarang kepada kemungkaran juga harus dilatih kepada anak-anak. Misalnya jika adiknya berbuat salah, kita suruh anak kita menegurnya. Atau sepupunya, jangan dibiarkan. Sehingga ia terlatih mencegah kemungkaran. 

         Kalau sudah terbiasa , jika  dia tidak mencegah kemungkaran maka ia sangat risih atau terasa janggal. Di antara orang yang mesti mencegah kemungkaran di depan nya ialah syeikh Abdul Razzaq. Ada saja  kemungkaran di depannya, pasti ia tegur Iaitu dengan cara lembut dan dengan caranya tersendiri. Ada sekali ia datang ke satu kebun, tukang kebun itu menerangkan sesuatu sambil merokok, lalu syeikh menegurnya dengan hikmah dan lembut. Ia merasa bersalah jika tidak menegur.  

       Ada satu malam ke 27 ketika ia mahu pergi solat malam, ia terjumpa pemuda-pemuda yang sedang bermain muzik lalu ia tegur. Ia rasa bersalah jika  tidak menegur . Akhirnya  salah seorang dari mereka  di kemudian hari telah menjadi seorang da'i. Betapa kalimat yang baik itu boleh mengubah seseorang. Ketika kalimat itu keluar dari hati yang sangat dalam, maka akan masuk kedalam hati pendengarnya.

Cara yang halus

       Maka latih diri anak dan diri sendiri mencegah kemungkaran dengan cara yang halus. Bukan hanya mengatakan itu haram ini haram. Tetapi dengan cara yang paling baik sehingga orang dapat menerimanya.

      Nahi mungkar ini semakin hilang dari diri kita kini kerana orang hanya memikir kan  diri sendiri. Orang berkata , "Kenapa memikirkan orang lain , dirimu saja penuh dosa. Jangan salah-salahkan orang sedang kita pun banyak salahnya."

      Ini satu syubhat yang tidak benar. Bukan bererti kita ada salah kita tidak boleh menegur orang. Yang benarnya kita baiki diri, dan itu tidak menghalang kita dari mencegah orang lain. Dengan amar makruf nahi mungkàrlah Allah akan datangkan berkat ke sesuatu negeri. Bila itu tak dilakukan akan jadi Allah turunkan bencana. 

       Maka , aib diri kita banyak tidak bererti kita tidak menegur kemungkaran orang lain.  Maka latih anak-anak kita untuk menegur. Minimal menegur adiknya jika bersalah. Menegur kawan-kawannya, sepupunya, dan orang yang biasa dengannya. Latih dia menegur dengan cara yang sopan sejak dari kecil. Supaya muncul jiwa amar makruf nahi mungkar sejak dari kecil.

       Ini lah hal-hal yang patut kita doktrin kan sejak dari kecil, mendirikan solat , mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. 

        Kata Ar Razi (544 - 606H) dalam tafsirnya, " Jangan kau menyempurnakan dirimu sahaja  tapi berusahalah untuk menyempurnakan orang lain  juga".  Maknanya jika kita sudah solat  baca quran dan sebagainya , ajak juga orang lain bersama. Supaya bila kita menyempurnakan  orang lain,  kita akan makin sempurna di sisi Allah swt.


Lepas dari kerugian

Maka sebab itu Allah berfirman,


         Siapa yang dapat keluar dari kerugian? Kerana manusia itu hukum asalnya sentiasa dalam kerugian kecuali orang beriman. Orang beriman juga masih rugi kecuali yang beramal soleh. Yang beramal soleh juga masih dalam kerugian kecuali yang menyeru kepada kebaikan yang benar dan sabar juga menasihati kepada kesabaran, barulah ia terlepas dari segala kerugian .

         Maka , seseorang yang sudah sempurna dengan mengerjakan  solat, biarkan dia tambahkan kesempurnaannya dengan mengajak orang lain pula. Betapa indahnya seorang anak yang diberkati Allah, dia mengajak abangnya, kakaknya , adiknya supaya ikut mengaji. Dengan sebab ia seorang, satu keluarga dapat hidayah untuk mengikuti pengajian , misalnya. Kerana dia bersemangat beramar makruf nahi mungkar. Bukan mengaji ia sendiri sahaja, tapi tularkan. Sungguh indah jika dapat berbuat begitu.

    Selepas itu Allah berfirman lagi, 



Tafsiran pertama

    Ibnu Abbas memberi 2 tafsiran kepada ayat di atas.  Pertama, jika kau beramal dengan nahi mungkar, kau pasti diganggu. Mustahil tidak diganggu, mesti ada pertentangan. Tidak ada, bila kita kata ini haram, semua orang kata okay saja. Pasti ada yang melawan. Kenapa? Sebab dia terusik. Iaitu dia yang sedang seronok dengan maksiat,   kita larang. Semua maksiat ,semua bid'ah , semua syubhat, jika kita larang pasti ada pertentangan.. 

     Ada sebahagian  ulama  menafsirkan ayat      'Ajak lah kepada makruf dan cegahlah kemungkaran",  maksudnya serulah kepada tauhid dan  laranglah dari kesyirikan .

        Diriwayatkan dari ibnu Abbas, maksud    'Ajak lah kepada makruf dan cegahlah kemungkaran",  ialah serulah manusia kepada iman dan tauhid, cegahlah manusia dari kesyirikan.

       Kalau orang mengajak kepada tauhid, dan mencegah kesyirikan ia pasti diganggu. Kerana apa? Kerana ahli syirik lebih ramai dari ahli tauhid di dunia ini. Jutaan manusia yang syirik ; yahudi, nasrani, buddha, hindu dan sebagainya. Orang yang bebar-benar Islam sedikit saja, sebab itu Luqman mengatakan,

           Dengan  sebab itu Luqman menasihati agar bersabar bila menyeru kepada tauhid dan mencegah dari kesyirikan .

           Begitu juga ditafsir secara umum bahawa segala kemungkaran kalau kita ingkari biasanya ada perlawanan. Misalnya jika ada orang bermain muzik, bila kita katakan itu haram, maka kita akan dikatakan bermacam-macam. Ada orang yang terlibat dengan riba, dengan itu ia memulakan perniagaan,  bila kita kata itu haram, ia terganggu. Begitu juga ada orang suka menonton  filem korea, filem India, kita kata itu haram, dia rasa terganggu. Apalagi pelakonnya, artisnya dan penyanyinya.  Pasti rasa terganggu kerana mengusik kenyamanan mereka, mengusik pendapatan mereka, maka nahi mungkar pasti ada pertentangan .

       Belum lagi yang bid'ah, sedang ia asyik dengan bid'ah,  kita kata tidak boleh, tentu saja ada penentangan. Sebahagian bid'ah pula jadi sumber ekonominya, maka bila ditegur supaya mengikut sunnah  pasti marah ia kerana mengganggu ekonominya. 



     Maka, sesiapa yang beramal nahi mungkar pasti ada gangguan.  Oleh itu kita siapkan mental anak-anak, tegur saja tidak ada apa perlu khuatir. Kita kuatkan anak kita, melatih dirinya beramar makruf nahi mungkar. Itu tafsiran  pertama kepada bersabarlah bila beramar makruf nahi mungkar. 


Pendapat kedua

        Pendapat kedua, dari ahli tafsir ialah musibah umum yang menimpa.. Baik musibah akibat amal nahi mungkar atau musibah umum seperti bencana alam, kelaparan, kemiskinan atau sakit dan lain-lainnya. Anak-anak  juga harus di tanam dalam hatinya supaya harus sabar dan tidak mengalah dalam kehidupannya.

    Adakalanya anak-anak disakiti, dibuli, tapi berdirilah bersama anak agar anak tetap kuat dan tidak lemah. Nasihati dia agar ia tegar dengan gangguan-gangguan tersebut.

     Hidup ini tidak selamanya nyaman, adakalanya kita sakit, gagal dan sebagainya. Jadi, katakan kepada anak,  kita harus sabàr. Semua orang diuji dengan ujian masing-masing. Sebagaimana kita menangis mereka juga menangis. Jika kita sakit perut  ,orang lain pun sakit perut.

       Jadi, hidup ini ujian. Anak-anak harus kuat mental. Jangan sikit-sikit manja, nangis. Perlu sabar. Kita ini hidup di zaman anak strawberry, aiskrim strawberry, bila dibiarkan ia meleleh. Tidak kental , tidak kuat. Lebih-lebih lagi dalam rumahtangga, di bebel sedikit lari dari rumah. Sebab itu banyak perceraian berlaku.

       Jadi,  kata Luqman,


        Sabar. Di sebalik kesabaran itu ada keindahan. Ini dipanggil liku-liku hidup.  Kita diuji dan tiada orang yang tidak diuji, kerana Allah nak beri yang lebih baik. Sampaikan kepada anak-anak supaya mentalnya kuat.  Sehingga hati menjadi lebih kuat. Jangan ada masalah saja, pindah sekolah lain.

       Bila ada masalah anak-anak,  jangan bapa pula yang masuk campur bila anak di hukum oleh cikgu. Sehingga melapor ke polis , hingga cikgu ditangkap.  Itulah orang yang tidak tahan banting, mental yang tak sabar, baru tersinggut sedikit sudah tak tahan.

       Oleh itu ajarkan  anak-anak bahawa hidup ini harus berjuang. Berjuang menghadapai hidup  dalam rumahtangga, dalam mencari rezeki dan sebagainya, perlukan perjuangan.  Jadi ajarkan anak-anak supaya,
   ' Sabar dalam apapun musibah yang menimpa'

        Dan kata Luqman lagi,


      Kesabaran dan kekuatan itulah intipati iman. Solat , amar makruf nahi mungkar dan sabar, itulah hakikat keimanan, kata ibnu Abbas.

      Ini juga menjadi dalil bahawa  jika kita beramar makruf nahi mungkar, jangan berundur. Pasti ada yang marah, pasti ada yang tersinggung, itu risiko yang pasti. Cuma cara kita itu baik-baik sahaja. Perlahan-lahan, jika tak diterima tidak mengapa.

        Mencegah kemungkaran itu haruslah dengan cara sebaik-baiknya. Satu ketika di padang Arafah musim haji , ada seorang atok berumur 70  yang menghisap rokok saja kerjanya. Lalu ditegur oleh ustaz Firanda, katanya, "Atok ini hari Arafah, hari yang paling baik untuk berdoa , jangan dulu merokok, nanti habis haji baru merokok. '  Dijawabnya,  ' Ya anak, ya anak, kemarin teman atok dia berhenti merokok terus meninggal'. Dijawab, ' Ya udah,  kalau begitu lanjut saja lah atok...'. Mahu diapakan lagi. Kita sudah berusaha.

       Kita hanya berusaha. Bukan bererti jika takut sesuatu,  kita harus berhenti. Kalau begitu maka tidak akan ada amar makruf nahi mungkar.  Risiko pasti ada, cuma kemaskan cara, dengan sebaik-baiknya. Bukan saja kita mengatakan itu haram, ini haram , tapi cara mengatakan haram juga ada caranya.

        Kecuali jika ketakutan  tersebut sangat bahaya. Ini uzur syarie di hadapan Allah taala nanti. Tidak semua kemungkaran kita mampu ingkari, jika tidak boleh dengan tangan, maka dengan perkataan, jika tidak maka dengan hati. 

      Ini bermakna kita harus menegur. Orang berkata jangan jaga tepi kain orang.  Itu bagus dalam hal tertentu. Tetapi dalam bab nahi mungkar kena jaga tepi kain orang. Jika tidak,  maka tidak hidup amar makruf nahi mungkar. Maka kemungkaran terus berlaku tanpa ada yang mencegah. Jika ada yang sedang ghibah harus ditegur.  Jika tidak, maka tidak hidup nahi mungkar. 

     Maka kita latih diri kita atau anak kita menegur kesalahan dengan cara yang paling sesuai. 

      Kalau orang berkata, 'Adakah kau lebih baik dari saya, mahu menegur saya?' Menegur tidak semestinya kita lebih baik, tapi tugas kita sebagai muslim ialah memberi  teguran sesama muslim. 

     Luqman meneruskan lagi nasihatnya , dalam ayat ke 18,


        Sa'ar adalah penyakit yang menimpa unta.  Bila terkena penyakit ini, ia akan memalingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Maka Allah berkata,  jangan jadi seperti unta yang sakit sa'ar ketika berbicara dengan orang.  Sebahagian ahli tafsir mengatakan bila bercakap dengan orang besar atau orang kecil, usahakan beradab,  dengarlah kata-katanya. Jangan sampai dikesan kau ada sifat sombong. Kau manusia, dia juga manusia ,  maka tawadhu'lah kepada orang lain. Meskipun ia itu orang miskin, atau orang yang memerlukan pertolonganmu. Kalau tak dapat membantu, jangan berlaku sombong dengannya,  katakan saja, 'Mohon maaf saya tak dapat membantu.'

        Jadi,  latih diri berlaku baik bila orang berbicara dengan kita. Maka antara kenikmatan ahli syurga ialah bila ia berbual-bual. Sabda nabi,

     “Sesungguhnya penghuni syurga (dapat saling) melihat satu sama lain sebagaimana kalian melihat bintang kejora yang terbit di ufuk.” (H.R. Bukhari dan Muslim).   

      Dan tidak ada perkataan yang sia-sia dan yang berdosa di dalam syurga. Seperti perkataan yang menyakiti orang. Seperti digambarkan dalam surah Maryam:62,


   
   “Di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang tidak berguna, kecuali (ucapan) salam. Dan di dalamnya bagi mereka ada rezeki pagi dan petang.” (Q.S. Maryam: 62).

     Seperti perkataan menyindir, tidak ada di dalam syurga. Maka di dunia pun sepatutnya  demikian. Jika orang berbicara kita beri perhatian. Bahkan ketika menegur, kita pilih perkataan yang baik sehingga tak menyakiti orang itu. Ini semua ibadah. Sabda nabi,

  "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaknya dia berkata baik atau diam” (HR Muslim no 222). 



       Tidak boleh kita menyakiti orang dengan bersikap memalingkan wajah. Anak-anak zaman ini kurang belajar adab kerana ia belajar dari youtube.  Kalau dulu anak belajar adab dari orang tuanya. Cara bercakap, cara duduk. Tapi sekarang anak-anak belajar dari konten youtube. Isinya kemewahan  , rambutnya yang berwarna-warni,  bergaul bebas, menunjuk-nunjuk dan sebagainya. 

         Bila kita bercakap dengannya, ia main game depan kita. Bukan anak-anak saja, bapa-bapa juga. Kenapa jadi begitu? Sebab ia tak belajar adab. Sensitif dengan adab itu sudah hilang. 


Beradab
      
       Jadi, Allah mengajar kita supaya beradab . Kalau ada anak kecil bercakap dengan kita, dengarkan.  Lihat rasulullah s.a.w  dengan Abu Umair yang burungnya mati.    Anas bin Malik RA katanya: 

       Rasulullah SAW sering menjenguk kami, dan aku mempunyai seorang adik lelaki kecil yang dipanggil Abu ‘Umair. Dia mempunyai seekor burung kecil dan selalu bermain dengannya. Suatu ketika burung itu mati. Maka suatu hari Rasulullah SAW menjenguknya dan melihatnya sedang bersedih. Lalu baginda bertanya: "Apa hal dengannya?" Orang-orang menjawab: "Burung kecilnya telah mati." Lantas baginda bertanya kepadanya: "Wahai Abu ‘Umair, apa yang dibuat oleh si-burung kecil?"
 (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim)


Dengar dengan baik

     Dikatakan ada seorang salaf, bila ia mendengar orang berbicara kepadanya, dia mendengar seolah-olah ia baru mendengar hal itu. Datang seseorang bercerita ia dengar. Datang orang kedua bercerita hal yang sama, ia dengar lagi seolah-olah  ia belum pernah dengar. Dia tak kata , 'Aku sudah dengar benda ni'. Datang orang ketiga cerita hal yang sama, ia dengar lagi , ya,  ya, katanya . Untuk menyenangkan  hati orang itu . Padahal dia bukan tidak  sibuk,  dia super sibuk.

      Allah menyuruh bersikap dengan orang dengan  sikap yang baik.  Tàpi anak-anak  sekarang berbicara sambil melihat h/p nya. Kalau darurat tak mengapa , ini tidak. Itu tidak sopan. Hati kita hanya satu, kita takkan fokus kepada dua. Kalau benar kita ada hal penting, katakan, " Sebentar saya sedang sibuk. " Itu tidak mengapa.  

      Anak-anak harus dilatih. Kalau ibunya sedang bercakap, dengarkan. Kalau cikgu sedang mengajar, diam dan dengar. Jangan seperti unta yang sakit sa'ar.  


Orang yang sombong

     Orang yang sombong semasa bercakap ada bermacam tanda. Kadang memalingkan wajah, kadang sambil  bermain h/p, kadang memuncung kan bibirnya, semua itu dilarang. Kecuali ia orang gila, orang yang meracau atau yang tak betul. Tapi kita ini orang biasa. Orang datang kita dengarkan. Semua orang sibuk , bila orang datang kita santuni ia.

       Kenapa seseorang merendahkan seseorang yang lain? Kerana mungkin yang direndahkan itu miskin. Walau dia miskin, di sisi Allah belum tentu.  Ada orang merendahkan orang gajinya. Ada orang gaji menghantar kadang 100% gajinya kepada ibunya di kampung. Sedangkan kita 10% setahun sekali pun belum tentu . Tapi kita merasa lebih tinggi darinya. Mungkin ia kurang solat,    mungkin ia kurang mengaji, tapi ia mempraktiskan satu amal yang besar yang kita tak lakukannya walau kita sudah banyak mengaji. Oleh itu,  jangan bersikap sombong di hadapan manusia, tetapi tawadhu lah bila berbicara. 



Adab berbicara

        Di antara adab berbicara :
1. Jangan potong kata orang yang sedang bercakap. Dengarkan ia bercakap.  Biàrkan ia menyampaikan  pendapatnya. Kalau di diskusi,  jadikan meja itu meja bulat  jangan meja sudut. Iaitu kita saja yang bercakap, orang lain tiada kesempatan bercakap.  Hargai pendapat orang lain juga.  
       
2.  Tidak melihat kanan kiri ketika berbicara. Dengarlah kata-kata orang dengan fokus dan penuh minat. Seolah-olah  kita baru mendengar perkara itu. 

      Adab itu terkait dengan akal dan hati. Orang yang sombong terkadang tidak berakhlak. Orang yang yang tidak berakal juga tidak berakhlak. Ketika orang badwi datang mahu menemui nabi s.a.w  mereka berkata,
    " Wahai Muhammad keluar ketemui kami." Maka Allah tegur perbuatan itu dengan kata-kata Nya,


        Allah kata kebanyakan mereka yang berbahasa seperti itu tidak berakal, tidak ada adab iaitu  sombong. Kedua-dua kemungkinan itu buruk. 


Berjalan cara sombong

     Seterusnya, Allah berfirman dalam surah Luqman :18,

      
        Kesombongan itu bukan saja dari perbuatan muka , tetapi juga dari cara berjalan seseorang. Maka dalam hadis diterangkan  bila Abu Dujanah dalam perang Uhud, dia  memakai serban merah, kemudian ia berjalan sombong di depan tentera musyrikin, kemudian nabi bersabda,

 " Sesungguh ini cara jalan orang sombong yang Allah benci kecuali di dalam peperangan."

      Iaitu untuk membuat musuh sakit hati. Jadi, orang sombong itu ternampak juga dari cara jalannya, mahu paling depan, mahu dihormati.  Maka harus dilatih diri kita berjalan  dengan tidak menyombong, juga cara bercakap, berpakaian, penampilan  dan sebagainya. 


Menembus bumi

      Dalam surah al Isra' Allah berfirman,


       Kalau orang itu besar badannya, tinggi 2 km, 3 km ,  yang bila berjalan bumi bergetar , bolehlah ia sombong .Tapi tinggi kita mungkin 1.5m atau 1.6m atau 1.7m sahaja. Kalau berjalan kaki boleh masuk kaki ke bumi 500m, bolehlah ia sombong. Ini tidak, bila kita berjalan , goyang-goyang,  bumi tidak goyang tapi kaki kita yang goyang. Kaki kita tidak mampu menembus bumi. Jadi  apa yang nak kita sombongkan?

      Kata Allah dalam surah Mukmin/ Ghafir,

        
           Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih hebat dari penciptaan manusia  tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya.

      Jika dibandingkan manusia  dengan langit, kita ini sangat kecil. Jika dilihat  manusia itu, dari pesawat , manusia itu seperti seekor semut sahaja. Kerana sangat kecilnya kita ini.  Jadi, apa yang mahu disombongkan?
       

Allah tidak suka

       Apa kata Allah kepada orang yang sombong?  Iaitu,


        Allah tidak suka orang yang sombong,  membanggakan  diri. Iaitu ia merasa dirinya hebat , orang lain lemah, kecil dari dirinya. Atau dia berbangga dengan nasabnya, atau jawatannya, atau kecantikannya, atau rumah besarnya dan sebagainya. Allah memberi nikmat untuk kita syukuri, bukan untuk berlaku sombong  atau merendahkan orang lain
 

Latih anak-anak tawadhu'

       Maka, latih anak-anak tawadhu' sejak ia kecil. Kerana kesombongan itu tumbuh sedikit demi sedikit.  Adakalanya,  dengan cara tak sedar kita melatih anak kita sombong seperti kita berkata, 
     ' Kamu anak mama, lihat anak orang tidak seperti anak mama ini'.  Atau ' Lihat h/p mu yang mahal, tidak seperti anak orang lain'.  Iaitu melatih anak membanggakan diri atau bangga dengan barangnya.  Kita lah yang mengajarnya sombong.  sifat tawadhu'nya hilang. Akhirnya anak jadi sombong dan  terasa diri besar dan tinggi. 

      Harusnya kita latih tawadhu'. Katakan 'Kasihan tetangga kita , entah makan entah tidak. Ajaklah ia makan di rumah kita'.  Atau katakan ,'Kamu jangan mentang-mentang sombong, mentang-mentang kaya, kita tak boleh seperti itu'..

       Ketika kita lihat ada kata-katanya yang sombong, tegur waktu itu juga.  Lagi pun potensi sombong ada saja, apalagi jika anak kita itu pintar, juara, cantik dan sebagainya. Kita ingatkan ia bila ia berjaya atau apa-apa , jangan  angkuh atau sombong. 

      Pendeknya, jangan sampai kita melatih anak kita bersikap sombong gara-gara  suka menayangkan hidup mewah, merendah kan orang lain dan sebagainya. Hati anak-anak  itu lemah, jangan pula ibubapa melatih ia sombong. Kerana sombong itu dibenci oleh Allah. Sombong itu membawa ke neraka jahannam.

        Kadang bila isteri call kita, kita tutup panggilan itu. Itu juga tanda sombong walaupun kita tak bermaksud begitu. Kita manusia , memang tidak lepas dari lupa. Jadi bila isteri kita tegur, kita terima... 

       Sabahagian ahli tafsir menafsirkan ayat di atas  termasuk juga orang yang sombong tapi merasa ia tawadhu'. Ini pun ada. Kerana ia kurang menilai dirinya. Oleh itu kita ini perlu dinilai oleh orang lain juga untuk kita tahu diri kita. Dengan tulisan, dengan komentar , dari kata-kata, kita tahu orang itu sombong. Jadi , ada orang sombong tapi ia merasa dirinya tawadhu'. Ini juga dibenci Allah swt.




6) Bersederhana dalam penampilan dan lunakkan suara

       Dalam ayat terakhir , Luqman menasihati anaknya lagi,


        Cara berjalan atau penampilan cukup yang biasa saja . Kerana punca kesombongan  itu banyak ; sombong dengan ilmu, sombong dengan  h/p, sombong  dengan kenderaan, dengan tas, dengan rumah, dengan kasut, dengan tudung  dan sebagainya. Terutamanya wanita. Sebab itu Allah tegur wanita secara khusus, firman Allah,




          Bila Allah sebut   'Wahai orang-orang beriman',  itu mencakupi orang lelaki dan perempuan.  Tetapi selepas itu, Allah khususkan wanita dalam ayat ' Jangan sampai   seseorang wanita mengejek wanita yang lain'.  Bila Allah menyebut itu secara spesifik, kata ahli tafsir, kerana ia banyak terjadi di kalangan wanita.  Iaitu berbangga-bangga dengan barangan yang ia miliki dan merendah-rendahkan orang lain. 

      Oleh kerana punca kesombongan itu banyak, maka berhati-hati. Jangan  kita sombong dan mengajar anak kita sombong. Kita sepatutnya tawadhu dan  mengajar anak kita tawadhu. Ajari anak bersedekah, kalau ada tetangga miskin ajak makan di rumah,  berbual-bual dengannya. Jadi,  ajar dia untuk tawadhu'. 


Rendahkan  suara

     Dan juga rendahkan suara bila berbicara. Iaitu jika tidak perlu suara yang keras  maka jangan keras-keras. Kalau dalam ceramah perlu keras. Kalau tidak, kenapa perlu keras-keras? Kasihan telinga orang yang mendengar. 

     Kalau sekadar  suara keras itu tanda paling hebat,  ia masih kalah dengan kaldai.  Sedangkan  suara kaldai itu paling buruk bunyinya, 


  
       Oleh itu jangan bicara keras-keras. Tenang saja jika tak perlu suara keras.  Jika perlu maka bolehlah. 

      Kerana ini semua adalah ekspresi kesombongan. Ada orang sombong dengan suara yang meninggi,  ada yang sombong dengan cara jalannya, ada yang sombong dengan cara bercakapnya. Itu semua bentuk kesombongan. Sombong itu sumber malapetaka. Kata nabi s.a. w dalam hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu yang diriwayat kan oleh Muslim:

   “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat zarrah”.

     Walau ada sedikit saja sifat sombong, maka tak layàk kita ke syurga. Kerana yang boleh sombong hanya Allah swt. Kita ini diberi kebaikan oleh Allah, kalau mahu diambilnya boleh bila-bila saja . Jangan sombong.

          Inilah nasihat Luqman al Hakim kepada anaknya, selanjutnya kepada kita dan anak-anak kita juga. Kita berjuang supaya anak-anak kita berakidah yang baik dan juga berakhlak yang baik. Kerana inilah 2 intisari Islam, kedua-duanya harus diperhatikan. Jangan perhati  akidah saja, akhlak tak diperhatikan  atau perhati akhlak sahaja , tapi akidah tak diperhatikan.  Kedua-duanya harus diperhatikan.



Semoga bermenafaat.



Dari kuliah Dr. Firanda.
Klang.
23/7/24

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

164) APAKAH TANGGUNGJAWAB YANG SANGAT DILUPAKAN OLEH PARA IBUBAPA ?

Bismillah. Assalamu'alaikum,         Bila hari hujan  kita pakai baju hujan supaya tak basah. Sedangkan itu hujan je. Dan bila hari panas, kita tak tahan panas, sebab itu kita pasang khemah. Pada hal panas di dunia ini taklah sepanas di akhirat. Api di akhirat nabi kata panasnya 69 kali ganda daripada api di dunia. Di akhirat ahli neraka bukan duduk tepi api tetapi di dalam api.  Pakaian ahli neraka bajunya dari api. Kemudian dituang dari atas kepalanya air yang menggelegak. Lalu masuk ke dalam badan menghancur kan semua isi perut kemudian merebak ke kulit hingga hangus kulitnya.        Bila badan terbakar hangus sampai ke hati, Allah tukar kulit yang baru, seperti firman Allah,          Bila kulit  sudah hangus ia takkan rasa kepanasan lagi, maka Allah tukar dengan kulit yang baru. Kerana Allah mahu  ahli neraka yang dulu suka buat dosa itu terus merasa kan azab.  Sebab itu pilihan mereka di dunia dulu. Mereka tahu perbuatan mereka dulu boleh menyebabkan ma

168) BENARKAH SAHABAT NABI MEMBUAT BID'AH?

Bismillah. Assalamu'alaikum,       Ada orang yang membuat bid'ah atau amalan baru iaitu yang tidak ada di zaman nabi, berdalilkan bahawa bid'ah juga ada dibuat di zaman nabi oleh para sahabat. Jadi, mengapa pula bid'ah dilarang di zaman ini? Benarkah begitu?          Sebenarnya bid'ah tidak ada di zaman nabi  s..a. w .  Maka sebab itu, keliru besar jika ada orang mengatakan sahabat membuat bid'ah di  depan nabi lalu nabi benarkan atau izinkan. Misalnya, sahabat solat sunat selepas tiap lepas wudhu' atau membaca zikir waktu iktidal yang tak pernah dibaca nabi . Tapi nabi membenarkannya.         Sebenarnya syariah pada masa itu belum selesai, maka tidak ada yang namanya menambah - nambah . Apabila sahabat membuat sesuatu amal lalu dibenarkan nabi maka itu menjadi syariat. Ada juga yang tak dibenarkan oleh nabi maka itu tidak boleh  menjadi syariat. Syariat selesai atau lengkap  bila turun ayat ini,  iaitu pada 9hb. Zulhijjah tahun 10H,

185) APA PENDIDIKAN TERAWAL KEPADA ANAK-ANAK? ( Bhg. 1)

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,       Di antara hal yang menjadi perhatian ibubapa ialah pendidikan  anak-anak.  Tidak seorang pun dari ibubapa kecuali mengharapkan  anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh. Kerana anak yang soleh ialah perhiasan di dunia, kerana Allah berfirman, dalam al Kahfi:46          Lebih-lebih lagi jika anak itu anak yang soleh. Oleh kerana itu ibubapa suka membanggakan  anak-anaknya lebih-lebih  lagi jika anak itu berjaya, tidak lain kerana anak itu adalah buah hati ibubapanya. Itu sebab nya bila Allah bertanya kepada malaikat yang mencabut nyawa anak seorang yang beriman, kata Allah,     Firman Allah , 'Kamu telah mengambil nyawa buah hati hamba-Ku? Dijawab oleh malaikat, 'Ya.'  (HR: Tirmizi dan ibn Hibban)        Allah sendiri menamakan anak adalah buah hati kedua ibubapa. Ini bermaksud anak adalah sangat dicintai oleh kedua  ibubapanya.  Tugas ibubapa       Maka tugas ibubapa bukan  sahaja mem