Langkau ke kandungan utama

266) APAKAH KEPENTINGAN SOLAT YANG KHUSYU' ?

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,




APA MAKSUD KHUSYU'?


Dari sudut bahasa (lughah):

Khusyu‘ (الخشوع) bermaksud:

> Tunduk, tenang, merendah diri, dan diam — zahir dan batin.
Ia menggambarkan keadaan hati dan tubuh yang penuh rasa hormat, takut, dan patuh .



Contoh dalam bahasa Arab klasik:

“Khasha‘a as-sam‘” (telinganya khusyu‘) =    tunduk dan diam mendengar.

“Khasha‘a al-bashar” (pandangan tunduk) = mata tertunduk kerana hormat atau takut.



Dari sudut istilah Syarak:

🔹 Khusyu‘ ialah:

> Kehadiran hati, ketundukan jiwa, ketenangan anggota, dan rasa rendah diri di hadapan Allah, terutama dalam solat dan ibadah.


Ibn Rajab al-Hanbali berkata:

> “Khusyu‘ ialah hati yang tunduk, tenang, hina diri, dan merasa diawasi oleh Allah. Bila hati khusyu‘, anggota badan pun akan turut khusyu‘.”



Adakah khusyu sama maksud dengan fokus?

    Khusyu‘ dan fokus tidak sama, walaupun berkongsi beberapa ciri luaran seperti tumpuan dan ketenangan. Tetapi khusyu‘ lebih mendalam dan berkaitan dengan hati dan perasaan terhadap Allah, bukan sekadar perhatian atau konsentrasi.


Perbezaan Antara Khusyu‘ dan Fokus


Asal makna  khusyu:'
   Iaitu tunduk, tenang, merendah diri kepada Allah

Makna fokus:
  Memberi perhatian penuh pada sesuatu

Letaknya khusyu:
Letaknya di  Hati dan anggota tubuh

Letaknya fokus:
    Pada Akal dan pancaindera


Tujuan khusyu':
Mendekatkan diri kepada Allah

Tujuan fokus:
Menyiapkan tugas atau mencapai objektif duniawi


Ciri utama khusyu':
    Rasa hina, takut, harap dan  cinta kepada Allah

Ciri utama fokus:
Tumpuan minda, elak gangguan


Contoh aplikasi Khusyuk
Seperti dalam solat, zikir dan doa

Contoh applikasi fokus:
Fokus dalam kerja, belajar, membaca


Persamaan antara khusyu' dan fokus:

-   Kedua-duanya melibatkan tumpuan dan ketenangan.

-  Kedua-duanya memerlukan latihan dan usaha.


Perbezaan utama antara khusyu' dan fokus:

-   Fokus boleh digunakan dalam perkara duniawi (kerja, pelajaran).

-    Khusyu‘ hanya digunakan dalam konteks hubungan dengan Allah, khasnya dalam ibadah seperti solat, zikir, doa.




Dalil Khusyu dan Kepentingannya.

    Dalil khusyu' itu  sesuatu yang ditekankan dalam Islam adalah dalil dari quran dan hadis. Iaitu:

a)   Surah al Mukminun : 1 , 2,


   "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solat mereka.”

    Ini adalah dalil utama yang menunjukkan khusyuk adalah sifat orang mukmin sejati dan syarat utama kejayaan di sisi Allah.


b)   Surah al-Baqarah: 45


   "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."

   Dengan khusyu',  solat yang berat akan terasa ringan, iaitu  hanya bagi orang yang khusyuk, kerana mereka faham makna dan tujuannya.


c). Hadis Nabi ﷺ (Riwayat Muslim 202)

> "Sesungguhnya seorang hamba itu solat, tetapi tidak ditulis untuknya dari solatnya itu kecuali setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya... sampai sepersepuluhnya sahaja, mengikut kadar khusyuknya."

    Di sini Nabi ﷺ menegaskan bahawa  ganjaran solat bergantung kepada kadar khusyuk seseorang, bukan semata-mata bilangan rakaat.



KEPENTINGAN KHUSYU'

     Khusyu' terutamanya  dalam solat itu amat penting dan perlu.  Jadi, apakah kepentingannya bagi seseorang yang solat?  Iaitu:

a)   Tanda keimanan sejati
     
    Khusyu' itu tanda iman sesorang kepada Allah kerana ia tahu dan yakin bahawa Allah sentiasa melihatnya baik ketika solat atau di luar solat

b)  Lambang kejayaan.
   
    Allah mulakan surah al-Mu’minun dengan sifat khusyu sebagai syarat kejayaan seseorang di akhirat dan dunia. 

c)  Penentu kualiti solat
   
    Tanpa khusyuk, solat hanya gerakan kosong tanpa jiwa. Iaitu seolah- olah seperti robot yang bergerak, ia bergerak tetapi tiada perasaan.

d)   Penentu ganjaran solat           

    Khusyu menentukan sejauh mana  ganjaran pahala solat yang kita kerjakan.  Semakin tinggi khusyu', semakin besar pahala (Hadis Muslim). 


e)   Mendekatkan diri kepada Allah    
    Khusyu'  lahir dari rasa takut, cinta, harap dan tunduk kepada-Nya. Dengan adanya perasaan itu, akan mendekatkan diri  dengan Allah.


f)    Menghalang diri dari maksiat dan dosa
  
    Solat yang khusyu' mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (al-‘Ankabut: 45).   Kerana dihatinya telah ada rasa takut kepada azab Allah hasil dari rasa khusyu' tadi.


g)    Ketenangan jiwa dan hati
  
    Hati orang yang khusyuk akan tenang dan tidak gelisah.  Kerana apa? Kerana  ia tidak takut lagi kepada selain Allah dan dan hatinya sudah redha dengan takdir Allah. Jadi, hatinya mantap.



Apa Makna Berjaya dalam ayat ini?

   Dalam ayat 1 surah Mukminun, Allah kata orang yang khusyu' dalam solat itu orang yang berjaya. Apakah maksud berjaya itu?



Makna “berjaya ( beruntung) ” dalam ayat ini (أَفْلَحَ)

   Perkataan "أَفْلَحَ" (aflaha) berasal dari akar kata "falāḥ" (فلاح), yang membawa maksud:

-    Berjaya dengan kejayaan yang menyeluruh

-  Selamat daripada keburukan

-   Mendapat apa yang dihajati


  Maka, “berjaya” di dalam ayat di atas  bermaksud:

✅ Beroleh syurga dan redha Allah
✅ Selamat daripada azab neraka
✅ Mendapat ganjaran besar di akhirat
✅ Menjadi orang yang mulia di sisi Allah


Tafsiran Ulama Tentang Makna Berjaya:

1. Ibn Kathir (رحمه الله):

 “Maksud ‘berjaya’ ialah selamat dan menang — mereka beroleh kejayaan abadi iaitu syurga.”



2. Al-Qurtubi (رحمه الله):

 “‘Berjaya’ bermaksud mereka telah mencapai kebaikan dan keselamatan, dunia dan akhirat.”



3. Al-Baghawi (رحمه الله):

 “Mereka mendapat apa yang mereka harapkan (syurga) dan terlepas dari apa yang mereka takutkan (neraka).”




 Kenapa dimulakan  Ayat di atas dengan "قَدْ" (sungguh-sungguh)?

   Perkataan قَدْ membawa maksud penegasan, iaitu orang yang khusyu pasti akan:

-    “Benar-benar telah berjayalah…”
-    “Sudah pasti berjaya…”
    
    Ini menunjukkan janji Allah yang pasti, bukan sekadar harapan.



Bagaimana Solat yang Khusyu itu Dapat Mencegah maksiat?


  Dalam surah al-‘Ankabut:45 Allah mengatakan bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran dalam diri seseorang. Tapi hakikatnya ramai orang solat, tapi masih terlibat dengan maksiat. Kenapa? Adakah ayat quran ini salah?

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar."

  Sebabnya ayat ini adalah teori tetapi teori yang benar.  Tetapi ada syarat-syarat yang mesti diikuti supaya mendapat hasil yang dikehendaki iaitu beberapa langkah yang melibat peranan hati iaitu,

Bagaimana Solat Khusyu' dapat Mencegah Maksiat?

Solat yang khusyu' akan:

a)    Hidupkan hati dengan zikrullah

   Solat yang khusyu' menjadikan hati berzikir dengan penuh sedar — membaca ayat-ayat Allah dengan faham maknanya, mengingati akhirat, dosa ,  pahala, azab neraka dan nikmat syurga

Kesan
  Hati jadi sedar, takut berbuat dosa, dan lebih kuat melawan nafsu.



b)   Rasa diawasi oleh Allah (muraqabah)

   Orang yang khusyu'  sentiasa merasa dia berdiri di hadapan Allah, dan ini terbawa ke luar solat.

 Kesan
    Dia malu untuk melakukan maksiat di luar solat, kerana merasa Allah sentiasa melihatnya.


c)   Membina disiplin jiwa

   Solat yang khusyuk melatih jiwa untuk tunduk kepada  Allah,  tenang dengan takdir dari Allah,  mengawal anggota dari sesuatu yang dimurkai Allah dan sentiasa  menjaga waktu solatnya.

Kesan
Jiwa menjadi kuat menolak godaan maksiat dan mempertahankan prinsip yang baik.



d)  Menghidupkan rasa cinta & takut kepada Allah

   Khusyu' bukan sekadar fokus, tetapi penuh dengan perasaan kehambaan: takut dosa, harap rahmat  dan malu dengan Allah jika melanggar perintah-perintah Allah

 Kesan:
    Bila hati sudah cinta dan  takut kepada Allah, maksiat menjadi sangat berat untuk dilakukan. Ia lari dari maksiat. 


e)   Mengingatkan kepada akhirat

   Solat adalah peringatan tetap bahawa dunia ini sementara, dan hari hisab itu pasti. Akhiratlah tempat yang sebenar-benarnya, dunia ini tempat diuji. Maksiat itu adalah ujian bagi orang beriman.

 Kesan
   Orang yang solat dengan khusyu' akan memandang maksiat sebagai racun jiwa, bukan hiburan. Seronoknya sekejap, tapi azabnya berpanjangan.  Lalu ia jauhi maksiat.



Kata-kata ulama Mengenai Hal ini:

● Imam Ibn Kathir:

   “Solat yang sempurna dari segi zahir dan batin akan mencegah pelakunya dari dosa.”


● Syeikh al-Sa‘di:

   “Solat yang dilakukan dengan sempurna akan menumbuhkan iman, dan dari situlah ia akan mencegah kejahatan dan kemungkaran"


Kenapa Seseorang masih buat maksiat, Sedangkan dia Solat?

   Inilah yang banyak terjadi.  Dia solat tetapi maksiat pun dia buat. Ini berlawanan dengan kata-kata Allah bahawa solat mencegah kemungkaran.  Antara sebabnya ialah:

a)    Mungkin solatnya belum cukup khusyu'.  Fikirannya ketika solat  90% ke dunia hanya 10% atau kurang khusyu'.

b)    Belum faham bacaan dan maksud solat. Kalau dia faham pasti dia sedar bahawa dalam solat ia minta jauhkan dari jalan yang sesat.  Bila tak faham, ia jadi macam robot yang bergerak saja.

c)     Hati masih lalai dan lemah dalam muhasabah diri. Iaitu ia tak berusaha cuba memperbaiki kualiti solatnya. Ia umpama 'melepas batok di tangga'.




Adakah Solat Khusyu' Membawa Kejayaan  Dunia?

    Mengapa tidak? Solat yang khusyu' bukan sahaja membawa kejayaan di akhirat, tetapi juga kejayaan di dunia.

   Walaupun tujuan utama solat adalah untuk beribadah kepada Allah, kesannya melimpah kepada kehidupan dunia dalam bentuk:


a)   Mendamaikan jiwa dan mengurangkan stress

    Solat yang khusyuk memberi ketenangan dalaman (سَكِينَة), melegakan fikiran, dan menjauhkan keresahan.

 Dalil:
"Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."
— Surah ar-Ra‘d: 28

  Di mana,  orang yang tenang lebih mampu berfikir, membuat keputusan tepat, dan tidak mudah gelabah apabila ada tekanan kerja atau rumahtangga. 


b)   Membentuk disiplin dan pengurusan masa

    Solat mengajar seseorang mematuhi waktu, beristiqamah, dan menghargai masa.  

  Di mana, orang yang menjaga solat akan:
 -  Bangun awal
-   Susun kerja ikut waktu solat
-  Tahu rehat rohani dan fizikal

    Inilah  kunci kejayaan profesional dan pengurusan hidup.


c)   Menjadikan seseorang jujur dan amanah

    Solat khusyu' menghidupkan rasa takut kepada Allah, sekalipun tidak dilihat manusia.   Allah menegaskan bahawa,

 "Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar." — al-‘Ankabut: 45

    Ini membina integriti, yang sangat penting dalam perniagaan, pekerjaan, dan kepimpinan.


d)   Membina akhlak dan hubungan sosial yang baik

   Orang yang khusyu' dalam solat lebih tenang, sabar, tidak cepat marah atau berdendam.
     
    Ini menjadikan dia disenangi dalam masyarakat dan mudah berjaya secara bersosial.



e)   Memberi kekuatan menghadapi ujian dan tekanan

    Solat khusyu'  membina hati yang sabar, bergantung kepada Allah, dan yakin kepada hikmah-Nya.
Allah menasihatkan,

 “Jadikan sabar dan solat sebagai penolong kamu.” — al-Baqarah: 45

   Di mana,  orang yang sabar dan kuat mental lebih berjaya dalam jangka panjang.  Pepatah mengatakan ' Sabar itu tangga kejayaan'. 




Bagaimana Untuk Khusyu?

   Khusyu‘ dalam solat adalah tujuan besar bagi setiap mukmin — dan ia bukan datang dengan sendirinya, tetapi hasil mujahadah (usaha bersungguh-sungguh).

   Berikut adalah cara-cara praktikal untuk membina dan meningkatkan khusyu‘ dalam solat:


 10 Cara Untuk Mencapai Khusyu‘ Dalam Solat: 


a)  Fahami makna bacaan solat

    Jangan sekadar hafal — fahami maksud takbir, surah yang dibaca, doa dan tasbih yang dibaca.

    Bila kita tahu makna, hati kita akan ikut bersama lidah, bukan hati yang kosong dari makna. Tidaklah seperti burung kakak tua yang pandai berkata-kata.


b)   Bayangkan berdiri di hadapan Allah

     Kaedah ini di tetapkan oleh 
 Nabi ﷺ sabdanya: 

   "Sembahlah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika tidak, yakinlah Dia melihatmu."
(HR Muslim)

    Ini akan  melahirkan rasa takut, malu, dan tunduk kepada Allah yang sentiasa melihat .  Inilah  inti khusyu‘.


c)  Solat seolah-olah ia solat terakhir

  Nabi ﷺ  mengajar kaedah khusyu' lagi dengan bersabda: 
"Solatlah seperti solat orang yang akan meninggal dunia."
(HR Ahmad)

   Bila kita letakkan ini solat terakhirku,  ia menghilangkan lalai, sebab kita tidak pasti adakah akan solat lagi selepas ini.


d)   Datang awal ke tempat solat dan tenangkan diri.

   Hindari solat dalam keadaan tergesa-gesa. Ambil wudhu' siap-siap di rumah,  bersugi,  berwuduk dengan tidak membazir air, duduk sebentar dan berzikir.


e)    Pandang tempat sujud, bukan melilau

   Mata yang fokus membantu jiwa jadi tenang dan tidak terganggu.  Mata melilau , hati pun ikut sama.


f)   Buang gangguan sekeliling

      Solat di tempat yang bersih, tenang, tidak bising atau penuh hiasan yang menarik perhatian.

    Termasuk letakkan telefon jauh atau màtikan dan tidak solat dengan fikiran bercelaru.


g)    Lambatkan dan tenangkan bacaan dan  pergerakan

   Nabi ﷺ solat dengan tenang, tartil dan penuh ketundukan.  Jadi kita ikut cara nabi s.a.w.

    Jangan baca terlalu laju atau rukuk-sujud seperti terburu-buru.


h)  Hadiri solat berjemaah di masjid

   Solat berjemaah memberi suasana sakinah, dan persekitaran yang membantu khusyu‘.

i)  Perbanyak zikir dan  taubat di luar solat

   Hati yang selalu berzikir di luar solat  lebih mudah khusyu‘ dalam solat. Begitu juga selalu iatighfar

   Sebaliknya,  dosa yang banyak menjadikan hati keras dan lalai, susah tunduk kepada Allah.


j)   Mohon kepada Allah agar dikurniakan hati yang khusyu

   Doa adalah senjata mukmin. Kita minta , Allah akan  beri. Masalah- nya, kita tak minta hati yang khusyu'.  
  
     Antara doa Nabi ﷺ:
 "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyu‘."
(HR Tirmizi)



KESIMPULAN

    Khusyu‘ adalah nyawa dalam solat.  Tanpanya, solat menjadi kering, mati  dan tidak membuah kan perubahan dalam hidup .

    Dengan khusyu‘, solat menjadi sumber kekuatan, kebersihan jiwa, menolak maksiat dan dosa dan membawa  kejayaan hidup dunia dan kejayaan dapat masuk  syurga Allah swt.



  Semoga faham, dapat amal dan sampaikan kepada orang lain.




Padang Jawa.
2/6/25



















Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

228) APA TANDA ALLAH NAK BERI KEBAIKAN KEPADA SESEORANG ?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,          Bila Allah mahukan kebaikan kepada seseorang, maka Allah beri apa padanya? Adakah Allah beri rumah besar atau duit banyak atau isteri cantik? Jawapannya nabi s.a.w jelaskan dalam satu hadis yang pendek,       Nabi s.a.w bersabda: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ “Barangsiapa yang Allah inginkan padanya kebaikan,  Allah akan fahamkan dia dalam (urusan) agama.” ( HR: Muslim 1037,  Bukhari:71)      Orang yang nak dapat kebaikan, tapi dia cari benda lain. Contohnya dia cari duit, tapi duit bukan semesti nya membawa kebaikan. Buktinya Qarun paling banyak harta tapi dihina oleh Allah swt. Di dunia lagi Allah azab. Nabi Muhammad s.a.w miskin tapi ia paling dicintai Allah sebab ia paling faham agama      Bila kita minta dalam solat dengan membaca ,      Maka jalan yang lurus itu ialah d...

213) ADAKAH UMUR PANJANG TANDA KEBAIKAN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,           Allah telah memberitahu nabi s.a.w bahawa sekiranya orang-orang musyrikin berpaling dari kebenaran,  dan tidak menyembah Allah, maka azab Allah pasti akan datang kepada mereka.  Tapi Allah minta nabi beritahu mereka bahawa azab itu samada dekat masanya atau jauh masanya.      Kemudian  Allah teruskan lagi wahyunya kepada nabi s.a.w supaya beritahu kepada yang kufur dan menyembah selain Allah , iaitu jika azab Allah itu lambat, apa sebabnya?  Ada yang menyembah berhala 50, 60 tahun tapi sihat walafiat. Ada juga yang telah buat maksiat   , membunuh orang, berzina berpuluh tahun   tapi semakin kaya.  Jadi, bila azab Allah akan turun? Kenapa lewat?  Kenapa lewat?         Jawapannya ada pada ayat al Anbiya' : 111,  ini ,       Katalah seseorang menyembah berhala 40 tahun,  tapi belu...

120) MENGAPA BERAGAMA MESTI ADA DALIL?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,             Tuhan-tuhan    yang disembah selain Allah, seperti berhala, patung Jesus, tuhan Hindu , tuhan Buddha dan sebagainya, adalah batil, tidak berkuasa, tidak dapat memberi menafaat dan tidak dapat membangkitkan  manusia yang telah mati.              Allah hendak membuktikan lagi bahawa apa yang mereka sembah itu adalah batil.  Dan Allah mencabar mereka jika ada tuhan selain Allah, kemukakan bukti dan hujjah.  Allah cabar mereka di dalam surah al Anbiya: 24,      Sesiapa sahaja  yang mengambil tuhan selain Allah,      maka Allah tujukan ayat ini kepada mereka.  Bahkan saja  orang Islam yang mengambil nafsu atau harta atau manusia lain sebagai tuhan mereka,    ayat ini juga ditujukan kepada mereka juga.          Ma...