Langkau ke kandungan utama

260) MENGAPA TIDAK PERCAYA HARI KEBANGKITAN?

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,





       Al quran itu tiada yang salah dan silap. Tetapi bila nabi s.a.w membacakannya didepan orang-orang Quraish, mereka menolak. Mereka juga menolak kenabian  nabi Muhammad s.a.w kerana katanya  ia cuma orang biasa. Ia menggelar nabi ahli syair , ahli sihir, orang gila dan  sebagainya. 

       Mereka juga menolak kepercayaan  manusia akan dibangkitkan  kembali.  Tapi Allah telah  ingatkan mereka bahawa Allah tahu macamana nak membangkitkan kembali manusia.  Dan mereka yang menolak maka merekalah yang akan kacau dan dalam  kebodohan.



Mengajak berfikir

     Logikkah Allah membangkitkan atau menghidupkan manusia setelah ia mati? Maka dalam surah Qaf ayat ke 6  seterusnya, Allah mengajak kita berfikir akan hari kebangkitan itu.  Firman Allah dalam surah Qaf: 6,




a)     Di ayat ini Allah menegur orang-orang yang ingkar dengan pertanyaan,  "Tidakkah mereka melihat ke langit di atas mereka?"

   Langit adalah ciptaan yang jelas kelihatan, namun ramai manusia lalai daripada merenung dan mengambil iktibar daripadanya.

    Langit juga ialah satu isyarat supaya manusia berfikir secara mendalam tentang kebesaran dan keagungan ciptaan Tuhan.


b)   “كَيْفَ بَنَيْنَاهَا”  bererti  "Bagaimana Kami membinanya"

     Di sini   Allah suruh kita berfikir bagaimana langit dibina tanpa tiang yang dapat dilihat, terbentang luas dan tetap kukuh.

   Ini menunjukkan kekuasaan Allah yang sempurna dalam penciptaan alam semesta yang tak mampu dibuat oleh sesiapa pun.


c)  . “وَزَيَّنَّاهَا”   bererti   "Dan Kami menghiasinya"

    Allah memberitahu kita bahawa Dia  menghiasi pula  langit dengan bintang-bintang, bulan dan matahari  yang mana dengan itu  menjadikan langit bukan hanya berfungsi, tetapi juga indah dan menakjubkan.


d)  . “وَمَا لَهَا مِن فُرُوجٍ” – "Dan ia tiada sebarang retak"

    “Furuj” bermaksud kecacatan, rekahan, lubang atau keretakan.

    Di mana,    langit yang sempurna ini tidak ada cela, keretakan  atau kerosakan . Ini menunjukkan  ciptaan Allah itu lengkap dan teratur.





Tafsir Ibnu Kathir tentang ayat ini:

    Menurut ibn Kathir, ayat ini adalah bukti kekuasaan Allah. Yang mana dengan itu menolak kepercayaan  syirik kepada Allah dan memperingatkan mereka yang mengingkari kebangkitan.

    Langit dijadikan sebagai hujah terhadap kekuasaan Allah yang mana  jika Dia mampu mencipta langit seindah itu, maka menghidupkan manusia semula selepas matinya,  lebih mudah.

    Setelah Allah suruh lihat dan fikir tentang langit, lalu kemudian Allah ajak kita fikir pula tentang bumi ini dalam ayat ke 7 ini, 



Penjelasan ayat:

a)  “Dan bumi itu telah Kami hamparkan…”

    Allah menyebut bahawa bumi dijadikan terhampar luas, sesuai untuk kehidupan manusia dan makhluk lain.

    Maksud “hamparan” bukan bumi itu rata sepenuhnya, tetapi maksudnya ia boleh didiami dan dimanfaatkan.


b)   “...dan Kami letakkan padanya gunung-ganang…”

   Gunung pula Allah cipta  sebagai penstabil bumi (pasak) dan ia adalah  bukti kehebatan ciptaan Allah.

   Gunung juga memainkan peranan dalam kitaran air, suhu, dan kehidupan.


c)  “...dan Kami tumbuhkan padanya daripada tiap-tiap jenis tanaman yang indah menawan.”

Zawj” bermaksud pasangan – iaitu pelbagai jenis tumbuhan, dari warna, bentuk, rasa, dan kegunaan yang berbeza-beza.

Bahīj” bermaksud indah, menarik, menyegarkan mata dan hati.

   Ini semua menunjukkan bahawa ciptaan Allah bukan hanya berguna tetapi juga indah dan menyenang kan hati sesiapa yang melihatnya. 



Tafsir Ibnu Kathir tentang ayat 7 ini:

a)   Tanaman yang pelbagai ini memberi rezeki kepada manusia dan haiwan.

b)   Keindahannya adalah tanda kekuasaan dan kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya.

c)   Ayat ini juga bertujuan mengajak manusia berfikir: jika bumi yang penuh nikmat ini  dan pelbagai jenis Allah cipta dengan teratur, mengapa mereka ragu dengan hari kebangkitan yang mana Allah juga yang mengadakannya?



Pelajaran dari Allah.

      Langit dan bumi itu Allah jadikan bukti atau pelajaran dari  Allah supaya manusia berfikir. Ini Allah nyatakan dalam ayat ke 8 ini,




1. “تَبْصِرَةً (tabsirah)” – pengajaran atau pencerahan

Maksudnya

    Semua yang disebut dalam ayat sebelumnya (ciptaan langit, bumi, gunung dan tumbuh-tumbuhan) adalah bukti kebesaran Allah.

   Ia menjadi "alat untuk melihat dengan hati" bagi mereka yang mahu berfikir  tentang kebesaran Allah.

    Di mana, ciptaan itu bukan sia-sia, tetapi untuk membawa manusia mengenal dan tunduk kepada Allah.


2. “وَذِكْرَىٰ (wa zikra)” – dan sebagai peringatan

      Dan ciptaan Allah itu juga bagi mengingatkan manusia akan kuasa penciptaan Allah dan hari  kebangkitan juga adalah ciptaan Allah juga.

    Zikir di sini bukan sekadar sebutan di lisan, tetapi kesedaran dalam jiwa terhadap hakikat kehidupan dan tujuan akhir kehidupan kita ini.


3. “لِكُلِّ عَبْدٍ مُّنِيبٍ” – bagi setiap hamba yang kembali kepada Allah

    “Munīb” bermaksud orang yang selalu kembali kepada Allah, yang hatinya lembut dan bersih, sentiasa ingin taat dan menjauhi maksiat.

    Jadi, kita perlu  bersifat seperti ini , iaitu kembali mengingati kebesaran Allah, supaya dapat mengambil manfaat dari tanda-tanda kebesaran Allah iaitu langit, bumi dan ciptaannya yang lain.



Tafsir Ibnu Kathir tentang ayat 8 ini:

    Ayat ini menunjukkan bahawa tanda-tanda dari ciptaan alam ini adalah untuk orang yang mahu mengambil iktibar.  Mereka yang berfikir saja yang akan nampak kehebatan Allah ini. Jika tidak mahu berfikir maka tanda-tanda itu tidak memberi menafaat padanya.

    Munib ialah orang yang bertaubat, merendah diri dan kembali kepada kebenaran. Dengan sifat ini saja manusia akan mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah.

    Manakala orang yang keras hati dan sombong tidak akan mengambil pelajaran dari ciptaan Allah walaupun melihat bukti nyata di depan mata



Bukti tambahan

     Tidak cukup dengan bukti penciptaan langit dan bumi, Allah tambah lagi bukti kehebatannya dalam ayat ke 9 ini.





Penjelasan ayat:


1. “وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا” – air yang diberkati

    Allah nyatakan bahawa Ia lah yang menurunkan air hujan dari langit.  Dan air hujan yang diturunkan  dari langit itu disifatkan oleh Allah sebagai "mubārak" (penuh berkat).  Kenapa disebut berkat?  Kerana ia akan:

-  menyuburkan tanah,

-  menyegarkan udara,

-  menyuburkan tumbuhan,

-   memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan seluruh ekosistem.

     Ia juga kurniaan yang datang tanpa apa-apa  upah atau bayaran.  Ini mem buktikan  kasih sayang dari Allah.


2. “فَأَنبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ” – lalu Kami tumbuhkan kebun-kebun

    "Jannāt" bermaksud kebun yang rimbun dan hijau, menyejukkan pandangan.  Maka dengan air hujan itu Allah tumbuhkan jannat.

    Ini juga adalah  keindahan dan rezeki yang Allah sediakan kepada makhluk-Nya.


3. “وَحَبَّ الْحَصِيدِ” – dan biji-bijian yang dituai

Maksudnya

      Al hasid itu ialah tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan utama manusia, seperti gandum, padi, jagung dan seumpamanya.

    “Hasid”  juga  bermaksud bahawa tanaman itu sudah matang dan boleh dituai, iaitu rezeki yang nyata dan siap digunakan.



Tafsir  Ibnu Kathir tentang ayat ke 9 ini:

    Allah turunkan hujan. Hujan yang diturunkan Allah menghasilkan pelbagai jenis tanaman dan makanan. Dengan sebab itu air hujan iyu Allah menamakannya 
“Mubarak”   kerana  membawa keberkatan yang luas dan manfaat yang menyeluruh kepada manusia dan haiwan.

    Ayat ini juga menguatkan hujah tentang kebangkitan. Iaitu jika Allah mampu menghidupkan tanah yang mati (kering) hanya dengan siraman air,  maka menghidupkan manusia semula jauh lebih mudah kerana Allah pernah menciptakan manusia itu. 



Pokok kurma

      Setelah air hujan, Allah suruh kita lihat pula pokok kurma yang tinggi menegak dan mayang-mayangnya yang elok tersusun  dalam ayat ke 10 ini,


      Kalau kita lihat pokok kurma  dengan mata dan hati maka kita akan dapati:

1. Keindahan dan ketelitian ciptaan Allah

    Iaitu  pokok kurma yang tinggi dan subur, dengan mayangnya tersusun rapi.   Ini menunjukkan betapa hebat dan telitinya ciptaan Allah,   bukan sekadar berguna tetapi juga cantik dan teratur.
Dengan itu kita dapat rasakan bahawa Allah Maha Sempurna dalam mencipta  dan  tiada yang sia-sia dalam ciptaan Nya. 


2. Tanda rezeki dan rahmat

    Pokok kurma sangat bernilai di kawasan padang pasir kerana ia adalah sumber makanan dan minuman.

    “Bāsikāt” (menmenjulang tinggi) dan “nadhīd” (tersusun rapi) menggambarkan kelimpahan dan keberkatan rezeki dari sebatang pokok kurma. 

     Ini menandakan bahawa rezeki dari  Allah bukan hanya mencukupi, bahkan penuh keindahan dan kebaikan.


3. Tersusunnya ciptaan, petunjuk kepada Pencipta

      Susunan mayang kurma mengingatkan kita kepada susunan hidup yang Allah kehendaki  iaitu hidup ini ada aturannya dan  ada tujuannya.   Maka  hidup manusia pun perlu ada tertib, susunan dan hala tuju yang jelas.


4. Seruan kepada hati yang mahu berfikir

    Ayat ini mengajak kita merenung alam dengan hati yang hidup, bukan sekadar melihat dengan mata.  Di mana , orang beriman akan melihat pohon dan berkata, “Subhanallah, ini semua tidak terjadi sendiri.”



Rezeki dan kebangkitan semula

     Semua  tumbuhan yang berbuah,  yang berbijian dan sebagainya itu semua adalah untuk menjadi rezeki kepada hidupan seperti Allah nyatakan lagi dalam ke 11 ini,




 1.     Di sini Allah nak nyatakan bahawa  semua nikmat seperti hujan, tanaman, buah-buahan, dan bijian adalah rezeki langsung daripada Allah.  Dan Allah kurniakan kepada seluruh manusia tanpa mengira beriman atau kafir,  rahmat yang Allah turunkan secara umum .


2. “وَأَحْيَيْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا” – Kami hidupkan bumi yang mati

       Bila sesuatu tempat itu kering, tandus dan mati,  maka Allah boleh
hidupkan tanah yang kering dan tandus itu  dengan siraman air hujan.

   Dari tanah yang mati, dengan siraman  hujan,  Allah hidupkan pokok-pokok ,  tanam- tanaman . Dan dengan sebab itu  haiwan di tempat  kembali aktif.

   Ini adalah tanda kekuasaan Allah.  Allah mampu menghidupkan semula manusia selepas matinya seperti mudahnya Allah hidupka  tanah yang mati.


3. “كَذَٰلِكَ الْخُرُوجُ” – Begitulah juga kebangkitan

    Jika seperti  itu Allah menghidupkan bumi yang mati, begitulah juga Allah akan menghidupkan manusia di akhirat dari kubur.

     “Al-khuruj” bermaksud keluar dari kubur, iaitu hari kebangkitan (Yaumul Ba’th).





Tafsir  Ibnu Kathir tentang ayat ke 11 ini:

    Ayat ini menguatkan hujah tentang kebangkitan selepas mati bahawa  ia bukanlah  sesuatu yang mustahil.

    Jika manusia merenung bagaimana Allah hidupkan tanah yang mati, mereka akan sedar bahawa menghidupkan semula manusia adalah lebih mudah.




Kesimpulan

   Kebangkitan selepas mati adalah pasti dan logik, di mana  jika tanah yang mati  boleh dihidupkan kembali oleh Allah dengan siraman air,   manusia yang telah mati pun Allah boleh hidupkan kembali dengan mudah.


   Dengan ayat ini juga Allah hendak mengajak kita yakin kepada hari kebangkitan  dan bersiap sedia untuk menghadapi masa itu.


   Semoga diberi  hidayah dan  sampaikan kepada orang lain.





Dari kuliah: Ust. Yob
Surau Hidayah
26/5/25

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...