Langkau ke kandungan utama

221) BAGAIMANA MEMBERSIHKAN HATI?

Bismillah.
Alhamdulillah.
Assalamu'alaikum,


     Di kesempatan kali ini kita akan membahas suatu parkara yang sangat penting iaitu bagaimana kita dapat membersihkan  hati kita dari penyakit-penyakitnya.  Kita, saya dan anda  semua sedang berjuang menuju kepada tujuan ini  kerana hati itu sulit untuk dikawal. Oleh kerana itu kita sama-sama berusaha kerana yang menjadi perhatian  Allah di hari kiamat kelak ialah yang utamanya perkara hati.

       Sebelum dijelaskan langkah-langkah untuk membersihkan hati, ada beberapa mukaddimah yang perlu disampaikan berkaitan pengajian ini sebagai menambah wawasan kita tentang pentingnya perkara ini. Ia bukan main-main bahkan ia adalah puncak dalam tujuan kita menuntut ilmu , puncak tujuan kita belajar , iaitu agar hati kita bersih. 

      Sungguh merugi orang sudah mengaji bertahun-tahun , sudah menelaah banyak buku, sudah kenal banyak ustaz, tapi ternyata ia tak mampu membersihkan hatinya, dia masih terjebak dalam ber- macam penyakit hati. Maka dia sendiri yang akan menderita.

    Maka ada beberapa mukaddimah yang perlu diperhatikan dalam membersihkan hati. Iaitu ,

1) Keutamaan hati yang bersih. 

   Ianya diambil dari sabda nabi s.a.w,

  Dari Abu Hurairah ‎رضي الله عنه berkata, Nabi ﷺ bersabda, 

  “Akan masuk syurga suatu kaum yang hati mereka seperti hati burung.” [HR: Muslim 2840]

     Ada beberapa tafsiran tentang apa makna ayat ' seperti hati burung'.   Diantaranya ialah orang yang takut kepada Allah, atau orang yang bertawakkal kepada Allah swt. Mulla Ali  Qari menafsirkannya sebagai hati yang bersih dari hasad, dengki dan lain-lainnya. Ternyata salah satu sebab utama  orang masuk syurga ialah hatinya bersih.

     Sahabat,  Anas ibn Malik r.a menceritakan,

     Ketika kami duduk bersama Rasulullah saw, beliau bersabda:        “Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga.” Tiba-tiba datang seorang Anshar yang air bekas wudhunya menetes dari janggutnya. Ia mengikatkan sandalnya pada lengan kirinya. Keesokan harinya Nabi saw bersabda seperti itu lagi. Tiba-tiba datang lelaki yang sama dengan sebelumnya. Hari ketiga Nabi saw bersabda seperti itu lagi dan datang lelaki itu lagi dalam keadaan seperti ketika hari pertama.
Anas berkata: ‘Abdullah (ibn ‘Amr) menceritakan bahwasanya ia bermalam di rumah lelaki itu pada tiga malam tersebut. Ia tidak melihat orang itu shalat malam barang sebentar pun. Tetapi setiap kali ia terbangun malam dan beralih posisi di atas kasurnya ia berzikir kepada Allah azza wa jalla dan bertakbir sampai bangun untuk shalat shubuh."

    Abdullah (ibn ‘Amr) berkata: “Tetapi aku tidak pernah mendengarnya berkata melainkan yang baik.” Setelah lewat tiga hari dan aku hampir saja menganggap remeh amalnya aku berkata: …”Aku mendengar Rasulullah saw bersabda tentang kamu tiga kali: ‘Akan datang kepada kalian sekarang seorang calon penghuni syurga’. Lalu ternyata anda yang datang pada ketiga-tiga harinya.      

     Aku bertamu di rumah anda bermaksud melihat amal anda agar dapat aku teladani. Tetapi aku tidak melihat anda banyak beramal. Lalu apa yang istimewa dari anda sehingga Rasulullah saw memuji anda?” Ia menjawab: “Tidak ada selain yang anda lihat.”

Setelah aku (Ibn ‘Amr) keluar, ia memanggilku: “Tidak ada selain yang anda lihat. Kecuali mungkin aku tidak merasakan dalam diriku kotor hati kepada seorang muslim pun dan aku tidak pernah hasud kepada seorang pun yang Allah berikan kebaikan kepadanya.” ‘Abdullah berkata: “Inilah keistimewaan yang anda miliki dan kami tidak mampu.”
 (Musnad Ahmad bab musnad Anas ibn Malik no. 12236. Syu’abul-Iman al-Baihaqi bab al-iqtishad fin-nafaqah no. 6181. Al-‘Iraqi menilai hadits ini shahih dalam al-Mughni ‘an Hamlil-Asfar no. 3168. Demikian juga Al-Albani menilai hadits ini shahih dalam Muqaddimah as-Silsilah ad-Dla’ifah).

    Jadi, rasulullah s.a.w  mempersaksikan bahawa seseorang yang hatinya bersih adalah penghuni syurga  .  

   
  Hati juga adalah perhatian Allah. Dalilnya, 

       Iaitu hati yang bersih (selamat)  dari penyakit-penyakit hati. Nabi s.a.w juga bersabda,

    "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada fizikal kalian, tidak pula pada bentuk rupa kalian, tetapi Dia memandang pada hati dan amal-amal kalian."
[Hadis sahih - Diriwayatkan oleh Muslim]

     Allah tak melihat baju kita yang bagus, wajah yang tampan, beg tangan yang kita pakai, atau kereta apa yang kita pakai, bukan itu yang Allah lihat.  Allah melihat hati kita. Ini menunjukkan bahawa orang yang hati bersih itu adalah penghuni syurga. 

     Sabda nabi s.a.w lagi, yang
diriwayat Bukhari dan Muslim  daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. beliau berkata:

  “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya.”

   Selain keutamaan membersihkan hati, mukaddimah yang kedua ialah,


2)  Sulitnya membersihkan hati

       Kenapa sulit membersihkan hati? Ada sebab-sebabnya. Iaitu:

2.1   Hati sukar dikawal 

    Pepatah arab mengatakan,  'dinamakan qalbu kerana taqallub iaitu berubah-ubah atau berbolak- balik '

   
2.2   penyakit hati tak dapat dirasa

      Penyakit fizikal dapat dilihat dan dirasa. Tetapi penyakit hati tak dapat dirasa. Maka awal seseorang yang ingin  mengubat penyakit hatinya, dia harus sedar bahawa ia ada penyakit hati. Jika ia tak sedar ia ada penyakit hati, ada hasad dengki, ada suuzzan, kurang tawakkal kepada Allah, tidak redha dengan pemberian  Alah, maka ia akan santai-santai saja tanpa mahu mengubatinya.

2.3    Terutamanya wanita , lebih sensitif dari lelaki menyebabkan ia sulit dibersihkan hatinya. 

     Rasulullah s.a.w  menyebut hati wanita itu seperti kaca  iaitu ia mudah pecah, mudah retak. Kalau retak mahu dikembalikan lagi susah. Sebab itu hati wanita mudah tersinggung, cepat mendendam. Jadi , sulit untuk diperbaiki. 

     Sebab itu rasulullah s.a.w melarang wanita sering menziarah kubur. Kerana apa? Kerana hati mereka lemah. Banyak wanita yang tadinya sabar, bila menziarah kubur anaknya contohnya, akhirnya  ia merintih hingga berlebihan. 

    Demikian juga Allah sebut dalam surah al  Hujurat,

       Awal ayat ini Allah menyebut suatu kaum, iaitu mencakupi lelaki dan wanita. Setelah itu Allah khususkan menyebut wanita. Apa sebabnya? Kata imam al Qurthubi, sebabnya ialah kerana hal ejek-mengejek ini banyak terjadi di kalangan wanita. Saling rendah- merendahkan , samada mengenai suami orang itu  atau rumah orang itu atau anak orang itu yang dicelanya. Banyak hal yang menyebabkan mereka saling mengejek. Sebab itu Allah sebut wanita secara khusus. Kenapa begitu?

   Kerana hati mereka lebih sensitif daripada lelaki.

     Demikian juga rasulullah s.a.w sebutkan di akhir zaman bila dajjal keluar  banyak pengikutnya adalah para wanita. Kerana wanita itu mudah terpengaruh. 

     Tentang tafsir ayat ini,


oleh Fakhrurrazi, kenapa Allah sebut berlindung dari penyihir-penyihir wanita? Padahal penyihir lelaki juga ada. Kerana sihir yang hebat adalah sihir para wanita. Kenapa? Kerana syaitan perlukan penyihir yang hati dendamnya,  hasadnya yang luar biasa, yang dengkinya luar biasa, maka ia dapat muncul dari seorang wanita. Sebab wanita itu bila sudah ber- dendam sulit untuk memadamkan nya. Bila orang bersalah kepada nya, ia sulit memaafkan. 

       Ini menunjukkan kita harus berjuang untuk membersihkan hati. 

      Jadi apakah cara-cara atau langkah-langkah bagi kita menyelamatkan hati yang sulit di kawal ini?

       Agar kita dapat membersihkan hati maka yang perlu kita buat ialah:

1.  Berdoa kepada Allah swt.

      Kerana tidak ada yang dapat membersihkan hati kita kecuali Allah swt. Iaitu dengan doa-doa yang diajarkan oleh nabi s.a.w. dan juga dari al quran misalnya,

         
       Jadi untuk membersihkan hati dari penyakit dengki misalnya, perlu doa kepada Allah swt.  Begitu juga nabi s.a.w berdoa, 

  "Ya Allah, kurniakan ketakwaan pada jiwaku. Sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkau-lah yang menjaga serta melindunginya. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak manfaat, hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak dikabulkan."
( HR: Muslim)

Begitu juga dengan doa ,

      Kita meminta  kepada Allah swt dengan serius atau bersungguh-sungguh kerana kesungguhan kita itu membuat Allah kabulkan doa kita. Jangan kita berdoa secara santai saja, sambil lalu saja.  Rasakan kita ini perlu kepada  Allah,  dengan sepenuh hati dan penuh pengharapan. 

       
2.  Mengenali penyakit-penyakit hati.

     Kita perlu kenal penyakit-penyakit hati dahulu. Kalau kita tidak kenal  maka sulit untuk kita mendeteksi penyakit kita. Maka perlu belajar apakah penyakit hati sehingga kita tahu supaya kita waspadai agar tidak menjangkit kepada diri kita . Kalau kita tidak kenal kotoran bagaimana kita mahu  membersihkannya?

      Contoh penyakit hati yang hingga membawa kekufuran seperti ragu adanya tuhan, ragu ugama Islam adalah ugama yang benar, ragu orang musyrikin itu masuk neraka.   Inilah penyakit-penyakit yang dihembuskan oleh orang-orang liberal. Jika kena penyakit ini maka matilah hati kita. 

      Antaranya  penyakit hati lagi ialah kesyirikan yang berbagai macam jenisnya seperti kita percaya mayat-mayat boleh mendengar permintaan kita, boleh menolong kita  , membantu kita  , meyakini ada jin-jin yang mengatur sebagian dunia ini seperti laut dan gunung.  Ini semua adalah kesyirikan. 

       Ada juga penyakit hati  yang tidak sampai kufur tetapi ia maksiat. Seperti riak, beramal soleh untuk disanjung. Jangan sampai hati kita sedang riak  kita santai-santai saja merasa amalan kita diterima Allah.  Sum'ah, ingin amal kita didengar, ingin  kita disebut-sebut orang. Ujub, merasa dapat beramal kerana kehebatan diri sendiri atau kepandaian diri sendiri atau hasil usaha diri sendiri. Dia lupa semua itu dari kurniaan Allah. 

      Betapa banyak orang yang terjerumus dalam penyakit ini iaitu ia merasa semua kejayaan atau kebaikan yang ia dapat itu adalah hasil perbuatan atau kepandaian- nya sendiri. 

      Angkuh, sombong di mana ia bangga menceritakan dia ada ini dia ada itu. Sifat kibir atau sombong atau takbur atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hatinya merasakan dirinya mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan.  Sehingga merasa orang lain rendah. Atau melihat orang lain dengan  pandangan menghina,  merendahkan. Ini penyakit yang bahaya kerana nabi s.a.w  bersabda
daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh Muslim:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat zarah”.

    Ini merupakan ancaman yang sangat keras dari nabi s.a.w. kepada orang yang sombong.

      Antara yang lain ialah putus asa dari rahmat Allah. Iaitu ia merasa Allah tidak akan menolongnya. Ini biasa terjadi bagi orang yang terkena musibah bertubi-tubi. Bila dia lupa kembali kepada Allah maka ia semakin jauh dari Allah swt.  Bila semakin jauh dari Allah semakin ia putus asa dari rahmat Allah. 

   Antara yang lain ialah ia merasa aman dari siksaan Allah swt. Ia berzina merasa aman, ia berjudi merasa aman, ia makan rasuah merasa aman, riba, menonton yang bukan-bukan ia merasa aman.  Ini lah penyakit hati.

      Kemudian yang lain ialah suuz zan kepada kaum muslimin. Lebih buruk bila ia berburuk sangka kepada pasangannya sendiri. Apa saja perbuatannya ia tanya habis-habisan. Belum lagi dengki , membenci  orang, atau hasad iaitu cemburu dengan apa yang diberi  Allah kepada orang làin. 

      Selain itu, ada yang berkaitan dengan syahwat iaitu keinginan untuk berzina. Atau keinginan untuk menonton filem yang bukan-bukan. 

   Ini adalah contoh penyakit hati. Bila kita kenal barulah kita boleh bersihkan hati dari penyakit tersebut.  


3)  Berusaha tidak mendengar keburukan orang lain .

     Ini menurut satu hadis yang maknanya benar walaupun sebagian ahli hadis mendhaifkan nya.  Iaitu,
  " Janganlah salah seorang dari sahabatku menyampaikan kepadaku tentang keburukan seorang pun  sahabatku kerana aku ingin keluar bertemu dengan kalian dalam keadaan hatiku bersih. "

    Intinya,   rasulullah s.a.w tidak mahu mendengar keburukan-keburukan yang diceritakan  tentang orang lain. Kerana hati itu, bila ia mendengar keburukan orang, si A , si B,  si fulan,  dia mesti ada sikap merespon , yang dia itu begini, begini.  Maka ketika kita bertemu dengannya, hati kita menjadi kotor tentang orang itu. Jika hendak hati kita  baik, hindarkan mendengar keburukan orang lain. Meskipun agak mustahil  di zaman sekarang, Tetapi seboleh mungkin  kita minimumkan. Dengan adanya azam yang  kuat tidak mahu mendengar keburukan orang lain. Jangan jadi teori saja tapi berusaha lah bersungguh-sungguh.

      Tanda mukaddimah yang mengirim racun ke hati kita seperti dengan katanya kepada kita,  "Sudah tahu belum? Si anu tu..."  ini permulaan racun kepada hati kita.  Kalau kita mahu mendengar maka hati kita akan diracuni. Apalagi dia orang yang kita kenal. Bila disebut-sebut keburukan orang mulailah penyakit hati masuk ke dalam hati sanubari kita.  Maka seboleh mungkin usah mendengar keburukan orang.  Kalau kita sudah mendengar, kita akan cenderung menceritakannya kepada orang lain pula atau bersangka buruk kepadanya.  Tidak tahan hati kita bila mendengar aib  orang dari ingin  menceritakan kepada orang lain,  mungkin ia jadi satu kenikmatan pula. 

      Maka itu nabi bersabda 

    “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.” [Hadis riwayat Imam Muslim (2590)]

       Ketika kita ada kesempatan mendengar atau melihat keburukan orang lain, maka tahan diri. Melainkan jika  kita ada pekerjaan dengannya seperti ingin berdagang dengannya atau ingin menikahinya. Itu tak mengapa. 

     Maka di antara cara untuk membersihkan hati ialah jangan mendengar keburukan orang lain. 
Mulakan dalam keluarga kita. Berhenti menceritakan keburukan orang di dalam keluarga kita dahulu.  Syaitan suka kita mendengar keburukan orang lain .  Kalau ada teman yang sering berbuat begitu bermakna ia sering  meracuni hati kita, maka tinggalkan dia. Kerana hati itu bukan senang untuk dibersihkan  lalu kenapa kita kotori ia?  

    Orang yang paling bahagia ialah orang yang hatinya bersih. Kebagiaan itu di hati. Bayangkan ada orang tidak pernah hasad, tak pernah dengki , tak dendam, pemaaf, agak-agak  dia bahagia atau tidak?  Ia redha, qanaah.

     Ada pula orang yang kaya raya  keretanya mewah, barangnya semua branded, tetapi hatinya penuh dengki, dendam, sombong, meskipun barang-barangnya semua mahal, ia orang yang menderita. 

       Jadi, jika kalian tidak berkaitan dengan sesuatu hal misalnya politik atau hal rumahtangga orang, lebih baik jangan masuk campur dalam hal tersebut. Bila ia tidak perlu , jauhkan diri kita dari memperkatakannya.  Seterusnya, untuk membersihkan hati, perlu,


4)  Jaga lisan

     Seterusnya dari menjaga pendengaran dari hal buruk orang lain, maka jaga pula lisan kita atau percakapan kita.

Firman Allah dalam al ahzab:70, 71,


     Lisan mempunyai sambungan yang terus kepada hati.  Maka rasulullah s.a.w  pernah mengingatkan,

“Tiada lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tiada lurus hatinya sehingga lurus lidahnya” (HR. Ahmad).

     Nabi kaitkan hati dengan lisan secara langsung. Hati seseorang takkan lurus sehingga lurus pula lisannya.  Oleh itu berfikir dahulu sebelum berbicara, berfikir sebelum menulis,    sebelum memberi komen,  kerana ucapan anda, komen anda berkait dengan hati anda. Lisan boleh membawa kepada hal-hal yang buruk. 

     Jangan ghibah, jangan namimah, jangan komen hal yang bukan bidang kita. Orang yang banyak berbicara ia memberi kesan kepada hati. Ada orang yang bangga dengan komennya, asal ada  hal dia respon. Apalagi jika viewers nya banyak. 

       Sebab itu nabi bersabda,
 "Barang siapa yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Oleh itu sebelum berkata-kata fikirkan apa kah itu perkara yang baik atau itu perkara yang buruk. 
Seterusnya,


5)  Melatih diri untuk ikhlas

     Melatih diri untuk ikhlas terutama dalam amal soleh kita. Semakin hati kita ini kita kaitkan dengan Allah semakin kita bahagia, semakin hati kita  kaitkan dengan makhluk semakin kita menderita.   

     Diantara mengaitkan hati kepada Allah ialah ikhlas. Caranya, sebelum kita berbuat sesuatu misalnya menziarah jenazah, diam sekejap dan niatkan dalam hati aku ingin ziarah ini kerana Allah. Sebentar saja. Atau ingin ziarah rumah adik beradik, kenapa? Ingin dipuji , ingin disanjung?  Atau itu perintah Allah?  Tanya hati dan  betulkan niat kerana Allah.

     Ingin berbuat sesuatu, tanya hati kenapa berbuat.  Jika ini sering kita lakukan maka kita menyambung hati dengan Allah. Itu kebahagiaan. Kerana Allah berkata,

     Yang memiliki hati itu Allah, yang memberi bahagia itu Allah. Maka kebahagiaan itu dengan berbuat sesuatu kerana Allah. Bukan kebagiaan  itu datangnya dari pujian netizen. 

      Dan supaya kita ikhlas kepada Allah ialah dengan  menyembunyi kan amal soleh.  Itu melatih hati  kita terhubung dengan Allah. Ada amal soleh kita lakukan usah dicerita kepada orang.  

      Ini antara hal yang membantu kita membersihkan hati kita. Dan lagi,



6)   Beriman dengan takdir dengan iman yang benar.

     Ini paling menghilangkan banyak penyakit. Qadarullah  iaitu redha dengan  apa yang Allah berikan kepada kita.   Yang mana Allah swt
berfirman dalam az zukhruf :32,

       Di sini Allah tegaskan bahawa Dia lah yang membahagi-bahagikan rahmatnya atau rezekiNya. Bukan manusia yang membahagikan. 

    Allah beri si fulan kaya, si fulan pintar, si fulan cantik, si fulan tampan  , si fulan tinggi, pendek, putih, hitam,  itu Allah yang tentukan  dan Allah yang tahu mana yang terbaik bagi orang itu. 

Allah   berfirman dalam 42:27,

      Kalau Allah bentangkan, iaitu semua apa yang mereka minta Allah beri, maka mereka akan melampau batas di atas mukabumi ini.  Tapi  Allah beri sesuai dengan apa yang Allah kehendaki. Kerana Allah maha tahu tentang hamba-hambaNya. 

    Di antara cara memiliki hati yang bersih ialah dengan redha dengan apa yang Allah beri kepada kita. Yakin di balik itu ada hikmah yang Allah kehendaki. 

    Anda tidak kaya, sudah. Belum tentu kalau kaya anda jadi orang baik. Anda mungkin tidak tampan, kalau tampan mungkin anda digoda oleh banyak wanita, seperti kisahnya nabi Yusuf a.s.  Beliau,  kerana tampannya masuk penjara , tapi kalau kita mungkin masuk neraka. 

    Oleh itu kita hendaklah redha dengan apa yang Allah berikan. Kita lihat si fulan keretanya mewah, pakainnya branded, tapi kita tak tahu bahawa hisabnya panjang. Oleh itu redha dengan apa yang Allah berikan pada kita. 

     Seorang salaf bila membaca firman Allah,

    Iaitu Allah lah yang membahagi-bahagikan nikmat/ rezeki Nya kepada manusia, maka dia pun redha kepada Allah.  Selesai.

     Maka seruan supaya kita memikirkan hal ini ialah firman Allah,

    Dalam qiraah yang lain terjemahannya iaitu Allah berikan segala apa yang kamu minta dan yang kamu tidak minta. 

      Di waktu kecil kita tak minta apa-apa dari Allah kerana kita tidak tahu berdoa.  Tapi Allah beri kita rezeki sejak kecil lagi. Dan banyak yang Allah beri kepada kita tanpa kita minta. Maka bila kita berdoa sesuatu lalu Allah tak kabulkan, yakinlah itu tidak maslahah bagi kita. Buktinya?

      Iaitu jika itu maslahah  bagi kita, maka Allah beri walaupun tanpa kita minta. Ini mengajar kita untuk redha dengan Allah.

      Ada orang dia berusaha, berusaha, berusaha tapi akhirnya tak berhasil. Kemudian ia fokus kepada suautu usaha yang lain lalu berjaya. Ternyata yang awal tadi tidak baik baginya , Allah tidak izin dia ke sana. Jika ia redha maka hatinya tenang dan tenteram. Dan apa yang Allah takdirkan pasti ada hikmahnya meskipun pahit Jadi, inilah antara cara untuk membersih kan hati.



7) Banyak istighfar 
  
       Kita boleh menilai sendiri diri kita , kita ingat dunia atau ingat Allah lebih banyak? Dari bangun subuh sampai tidur lagi. Kalau kita banyak ingat Allah maka hati kita  akan tenteram.

      Kalau kita banyak ingat dunia, lihat itu, lihat ini, bukan ingat Allah tapi ingat dunia yang banyak , maka bagaimana hati kita mahu bersih? Lihat saja al quran di rumah kita, adakah kita baca hari -hari? Tapi tulisan-tulisan  di facebook, di whatsapp   kita baca hari-hari berjam-jam lamanya. Belum lagi apa yang kita lihat.

    Intinya, mintalah kepada Allah agar hati kita dibersihkan oleh Allah. Yang mana ini perlukan perjuangan kerana inilah yang menentukan nasib kita di akhirat. Jangan hanya berteori sahaja tapi bertekad untuk membersihkan hati dengan jalan-jalan yang ditunjuk kan.

        Bertekad misalnya bertekad  membaca al quran setiap hari, bertekad tidak menceritakan keburukan orang kecuali yang perlu,  bertekad menyembunyikan amal- kita, bertekad tidak melihat medsos kecuali beberapa minit, jika tidak , sia-sia kita mengaji sana mengaji sini, tapi ternyata hati kita masih kotor.  Seboleh mungkin bila kita bertemu Allah kita tidak membawa sebarang penyakit hati baik dengan manusia ataupun dengan Allah. 

      Maka bila kita ada masalah kita keluar dengan tenang, lihat firman Allah,  bila berlaku perceraian,  bertalak lah dengan baik. Jika dengan cara berdendam maka yang dapat musibah ialah anak-anak.   Begitu juga jika mahu keluar dari grup maka keluarlah dengan cara baik. Dengan itu hati kita terjaga dari dikotori.


Semoga bermenafaat.




Dari kuliah Dr. Firanda.
Klang.
18/1/25

       

      





      

      
       
     




     



      


 

     

      

   

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

185) APA PENDIDIKAN TERAWAL KEPADA ANAK-ANAK? ( Bhg. 1)

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,       Di antara hal yang menjadi perhatian ibubapa ialah pendidikan  anak-anak.  Tidak seorang pun dari ibubapa kecuali mengharapkan  anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh. Kerana anak yang soleh ialah perhiasan di dunia, kerana Allah berfirman, dalam al Kahfi:46          Lebih-lebih lagi jika anak itu anak yang soleh. Oleh kerana itu ibubapa suka membanggakan  anak-anaknya lebih-lebih  lagi jika anak itu berjaya, tidak lain kerana anak itu adalah buah hati ibubapanya. Itu sebab nya bila Allah bertanya kepada malaikat yang mencabut nyawa anak seorang yang beriman, kata Allah,     Firman Allah , 'Kamu telah mengambil nyawa buah hati hamba-Ku? Dijawab oleh malaikat, 'Ya.'  (HR: Tirmizi dan ibn Hibban)        Allah sendiri menamakan anak adalah buah hati kedua ibubapa. Ini bermaksud anak adalah sangat dicinta...

174) MENGAPA PERLU KENAL SUNNAH NABI S.A.W?

Bismillah, Assalamu'alaikum,         Mengapa perlu kenal sunnah nabi s.a.w? Kerana dengan itu kita akan kenal apa itu bid'ah. Kenapa perkara ini perlu dibahas? Kerana ramainya orang membahas syariat. Sehingga dengan keahliannya beretorika, atau kepintarannya dalam berlogika, hingga boleh memahamkan orang yang tidak faham , bahawa bid'ah itu sama dengan sunnah.  Dan hingga semua bid'ah itu dianggap bid'ah hasanah.  Sehingga baginya tidak ada lagi bid'ah yang dholalah (sesat).         Dengan mafhum seperti itu, diakui atau tidak diakui, maka setiap kali lahir bid'ah , asal baik dianggap oleh pelakunya, maka mereka panggil ia  bid'ah hasanah.         Oleh itu, daripada kita payah memikirkan definisi bid'ah ini, yang mana definisi bid'ah itu semakin hari semakin berkembang, semakin hari semakin membuka peluang untuk memasukkan hal-hal yang bukan dari sunnah menjadi sesuatu yang tak terpis...

228) APA TANDA ALLAH NAK BERI KEBAIKAN KEPADA SESEORANG ?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum,          Bila Allah mahukan kebaikan kepada seseorang, maka Allah beri apa padanya? Adakah Allah beri rumah besar atau duit banyak atau isteri cantik? Jawapannya nabi s.a.w jelaskan dalam satu hadis yang pendek,       Nabi s.a.w bersabda: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ “Barangsiapa yang Allah inginkan padanya kebaikan,  Allah akan fahamkan dia dalam (urusan) agama.” ( HR: Muslim 1037,  Bukhari:71)      Orang yang nak dapat kebaikan, tapi dia cari benda lain. Contohnya dia cari duit, tapi duit bukan semesti nya membawa kebaikan. Buktinya Qarun paling banyak harta tapi dihina oleh Allah swt. Di dunia lagi Allah azab. Nabi Muhammad s.a.w miskin tapi ia paling dicintai Allah sebab ia paling faham agama      Bila kita minta dalam solat dengan membaca ,      Maka jalan yang lurus itu ialah d...