Langkau ke kandungan utama

68) APA PUNCA KEJAHATAN? APA PUNCA KEBAIKAN?


Bismillah.
Assalamualaikum,


         Terjadi segala macam kejahatan baik di timur mahupun di barat , dibuat oleh manusia kepada manusia yang lain.  Yang kuat menindas yang lemah, pembunuhan, penyiksaan, kufur kepada Allah  , maksiat dan sebagainya . Kenapa ini berlaku?

         Allah tahu segala-gala punca ianya berlaku, lantas Allah berfirman dalam surah an Nahl: 60,
"Bagi orang-orang yang tidak beriman pada (kehidupan) akhirat, (mempunyai) sifat yang buruk; dan Allah mempunyai sifat Yang Mahatinggi. Dan Dia Mahaperkasa, Mahabijaksana."
( An nahl:60)

             Iaitu puncanya ialah manusia tidak percaya kepada hari akhirat. Sebab bila tidak percaya kepada akhirat, maka ia tidak percaya  kepada pembalasan dari Allah.  Mereka akan buat apa saja kejahatan  kerana mereka fikir  tidak ada pembalasan. Manakala orang yang nak buat amal  soleh pula  kecewa kerana walaupun  dah buat baik tapi tiada  balasan baik.. bahkan di dunia  mereka ada yang dihina,  bahkan ada yg dibunuh. Itulah terjadi jika tiada hari pembalasan selepas mati seseorang.

       Jadi bahaya tidak percaya kepada akhirat inilah punca segala kejahatan .


Apa Sifat Orang  Beriman ?

         Lawan kepada tidak beriman ialah orang beriman. Apakah sifat orang beriman?  Lihat surah al baqarah: 3,
"(yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan shalat, dan menginfakkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"
( al Baqarah:3)

         Allah itu  ghaib , tidak kelihatan. Orang beriman percaya adanya Allah yang ghaib. Di dalam quran bila disebut beriman kepada Allah , maka biasanya disebut  'beriman kepada Allah dan hari akhirat.'. Disebut dua ini sahaja. Kenapa tak disebut iman kepada  yang lain?

        Kerana asas nak sembah Allah mestilah kenal dan percaya kepada Allah dahulu. Tapi jika percaya Allah tapi tak percaya akhirat, dia takkan sembah Allah, sebab tiada pembalasan atau ganjaran. 

         Jika tiada pembalasan atau ganjaran  maknanya   sembah berhala sama saja hasilnya seperti  sembah Allah.  Bila mati,  habis tiada apa-apa  lagi. Jadi buat apa sembah Allah kalau sembah berhala sama  saja. Itulah pentingnya hari akhirat dan beriman kepadanya.

Iman Pendorong Kebaikan.

       Oleh itu beriman kepada akhirat itu pendorong  untuk seseorang sembah Allah dan  mentaati perintah Allah. Kalau tanya orang islam yang tak solat, mereka kata mereka beriman kepada Allah. Tapi hari akhirat itu yang mereka tak percaya atau tak tahu .
       
        Dari ayat al Baqarah di atas, kenapa beriman kepada yang ghaib itu  didahulukan  dari solat?  Bukankah solat itu tiang agama? Mesti ada sebab yang penting Allah nak bagi tau kita.


          Sebabnya ialah  jika tidak beriman kepada  Allah dan akhirat, maka  tiada sebab orang nak solat. Tiada orang yang selepas solat dapat duit, atau dapat naik pangkat   . Tidak ada. Jadi yang mendorong seseorang  untuk solat ialah suatu  benda ghaib iaitu pahala dan syurga. Begitu juga ia mendorong orang buat solat sunat, berzikir, sedekah dan zakat. Kuat iman kita maka kuatlah dorongan untuk beramal. 


        Bukan kah nabi berkata 'siapa yang solat sunat 12 rakaat dalam  sehari ia dapat istana di syurga.' Ini menunjukkan ada ganjaran  yang Allah nak beri di akhirat. Ini  juga menunjukkan bahawa bolehnya beribadah untuk mengharapkan  pahala di akhirat.   Sebab yang tawarkan pahala itu  Allah sendiri. 

 Lihat surah  al Baqarah:4,
       

 "dan mereka yang beriman kepada (Al-Qur'an) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya akhirat.
(Al Baqarah:4)


        Lanjutan kepada sifat orang beriman Allah jelaskan lagi  iaitu;

- beriman kepada al quran.
- beriman kepada  kitab-kitab yang terdahulu
- yakin adanya  hari akhirat.

         Orang beriman yakin dengan adanya hari  akhirat,  termasuk juga alam kubur, padang mahsyar dan titian sirat . Dengan  itu mereka takut untuk berbuat dosa kerana  takut kepada balasan di akhirat nanti.   Kalau terbuat dosa juga terus ia bertaubat  kerana takut kematian  datang tiba -tiba.


Apa Sifat Orang Tak Beriman?

Dari firman Allah ini pula, 
          
       " Bagi orang-orang yang tidak beriman pada (kehidupan) akhirat, (mempunyai) sifat yang buruk"
(an nahl:60)

          Maka  sebaliknya kata Allah jika orang tak beriman maka perangainya buruk. Perangai buruk itu kejahatan lah.

         Sanggupkah orang yang membunuh orang  , jika ia tahu ia akan masuk neraka kekal  selama-lamanya? Tentu tidak.

        Sanggupkah orang membakar orang lain?. Jika dia tahu di akhirat nanti dia pula akan di bakar? Mesti tidak. Tapi dia buat juga kenapa.? Sebab  ia tak yakin ia akan  di balas serupa itu bahkan mungkin lebih dari itu.

        Sebaliknya percaya kepada hari akhirat punca kepada semua amal soleh.

Lihat surah al Insan:7&8.
7.   Mereka memenuhi nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.


8. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang misin dan anak yatim serta orang tawanan,

        Allah terangkan golongan ini digelar al Abrar iaitu orang yang suka dan selalu buat baik di dunia. Apakah sifat mereka?iaitu:

1. Menunaikan nazar. Maksudnya buat benda yang sunat seperti ianya wajib.
2 . Takut hari yang penuh azab yang apinya merata-rata
3. Memberi makan makanan yang baik kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan.

         Ini menunjukkan juga bahawa Islam itu penuh rahmah kepada siapa saja. Tujuan nya tiada lain supaya semua orang kembali kepada Allah.


Mengapa Mereka Ikhlas?

Disambung dengan ayat 9, 
      (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan  dan juga tidak ucapan tetima kasih.
(Al Insan:9)

         Dengan pemberian mereka  tidak mengharapkan balasan bahkan tidak juga ucapan terima kasih. Mereka benar- benar ikhlas kepada Allah . Jika orang tak ucapkan terima kasih pun mereka tidak terasa apa- apa. Termasuk bila kita beri makan kepada orang, kita minta orang doakan untuk kita. Itupun termasuk mengharap balasan.

      Kenapa  al abrar tidak mahu balasan manusia? Sebab mereka tahu balasan dari Allah jika dibanding dengan balasan manusia, balasan manusia tiada nilai langsung. Apalah ucapan terima kasih dibandingkan dengan syurga?

       Tanda   tidak ikhlas juga iaitu jika merungut di dalam hati jika tidak dapat  apa-apa balasan. Sebaliknya  al abrar tidak mahu diketahui orang apa-apa  sumbangan mereka.
     
       Apakah pendorong al abrat berbuat baik ini? Iaitu mereka yakin dan takut kepada pembalasan kepada hari akhirat seperti dalam  surah al Insan :10,
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".

        Di hari akhirat, wajah mereka yang berdosa akan berkerut kerana sangat takutkan azab yang ada di depan mereka.

       Oleh itu   keyakinan kepada akhirat hendaklah   di tekan kan sedari kecil lagi.  Walau pun ada belajar rukun iman, tapi kerana tak di tekankan dan difahamkan  melalui  ayat-ayat  quran, maka ia tak berkesan. Maka tidak nampak kesannya.

Kesimpulan.

          Iman kepada hari akhirat itu pendorong manusia beramal soleh. Manakala tidak beriman kepada hari akhirat pula mendorong manusia mengikut nafsu berbuat jahat.
       
           Jika sampai dakwah di depan kita supaya kita beriman, segeralah disambut dengan hati yang lapang. Takut selepas itu Allah tutup pintu hati kita.

Peringatan.

"Maka rasakanlah olehmu (azab ini) disebabkan kamu melalaikan pertemuan dengan harimu ini (hari Kiamat), sesungguhnya Kami pun melalaikan kamu dan rasakanlah azab yang kekal, atas apa yang telah kamu kerjakan.”
(As Sajdah:14)


Klang.
15/7/23


    



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

444) APAKAH PANDUAN MEMBERI SALAM?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Anjuran Memberi Salam     Apakah dalil anjuran memberi salam?     Iaitu satu hadis yang  masyhur daripada Abdullah bin Salam r.a. ketika Nabi SAW baru tiba di Madinah. Rasulullah SAW bersabda:  “Wahai manusia!   Sebarkanlah salam,   beri makan (kepada orang lain),   sambunglah silaturrahim,    dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur,   nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad – sahih)    Dalam hadis ini ada empat arahan Nabi SAW: 1. Sebarkan salam ( أفشوا السلام ) 2. Beri makan ( أطعموا الطعام ) 3. Sambung silaturrahim ( صلوا الأرحام ) 4. Solat malam ketika manusia tidur ( صلوا بالليل والناس نيام ) Apakah ganjarannya?     Iaitu  “Kamu akan masuk syurga dengan aman.” Kita fokus kepada bab memberi salam. Apa panduan dalam memberi salam?   Berikut hadis-hadis utama sebagai p...

439) APAKAH AMALAN TERBAIK BAGI UMUR 60-AN?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamu'alaikum, Umur 60-an...      Berada pada usia 60-an adalah fasa yang sangat mulia dalam Islam — fasa “usia peluang terakhir” (umur i‘tidzār), di mana seseorang lebih dekat dengan akhirat, tetapi masih sempat mengumpul pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:    “Allah telah memberi uzur (alasan kuat) kepada seseorang yang dipanjangkan umurnya sehingga mencapai enam puluh tahun.” (HR al-Bukhari) Maksudnya:     Allah sudah memberi cukup masa untuk seseorang kembali kepada-Nya dengan amal yang terbaik. Amalan Paling Baik    Berikut amalan paling baik untuk usia 60-an, berdasarkan nas-nas syarak dan panduan ulama: 1. Taubat yang sungguh-sungguh    Ini amalan teragung pada usia 60-an. Allah berfirman:     “Sesungguhnya Aku Maha Pengampun kepada siapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap berada di jalan yang benar.” (Surah Taha: 82)   ...

343) BAGAIMANA MEMBACA SURAH AL MULK SECARA SUNNAH?

Bismillah. Alhamdulillah. Assalamualaikum, Membaca Surah Al Mulk     Membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah sunnah berdasarkan beberapa hadis sahih yang menunjukkan amalan ini diamalkan oleh Nabi ﷺ dan memberi manfaat besar kepada orang yang mengamalkannya. Dalil dari Hadis    Terdapat hadis sahih yang menganjurkan membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur:    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:    "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya hingga diampunkan dosanya, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil-mulk’." (HR. Abu Dawud, Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih) Dalam riwayat lain:  "Nabi ﷺ tidak tidur melainkan setelah membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk."  (HR. Tirmizi dan Ahmad – dinilai sahih oleh al-Albani) Amalan Sunnah Sebelum Tidur    Jadi, membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur adalah termasuk dalam ama...